Wednesday, 19 October 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 8



Izara melangkah lemah masuk ke dalam rumah. Salam diberi perlahan.

“Kak long?”

“Ya, abah...”

Encik Mustafa mengeluh. Tidak sampai hati mahu bertanya. Izara kelihatan begitu lesu. “Masuklah dulu rehatkan badan. Abah dah masak untuk kita semua makan malam ni...”

“Terima kasih, abah...”

Izara masuk ke dalam bilik. Tas tangan dicampak ke atas meja. Punggung dilabuh berat ke birai katil. Rayuan serta rintihan Amzar tadi masih terngiang-ngiang di telinga.

“Zara... pernah tak Zara dengar, bila hati kita jauh daripada Allah, mudah untuk syaitan mengganggu kita?” Amzar bertanya.

Izara hanya mampu mengangguk.

“Itulah yang terjadi pada abang, Zara. Abang mudah dikuasai syaitan sebab abang dah lama lalai dalam suruhan Tuhan. Abang tak tahu nak terima ketentuan Allah. Abang mudah marah, abang tak jalankan tanggungjawab abang sebagai suami, abang ketepikan hak Zara sebagai isteri abang... Tu semua ajaran syaitan! Dan abang malu sebab abang tak cukup kuat untuk lawan godaan syaitan yang sentiasa berbisik kat telinga abang untuk benci dan ceraikan Zara...”

Izara tunduk. Sayu hatinya tidak terkata.

“Tapi Allah Maha Kuasa. Allah balikkan hati abang daripada benci, kepada sayang...”

Kepala ditongkat perlahan. Sayang? Mustahil.

“Dan abang bukan bodoh sampai tak tahu nak bezakan antara sayang dengan rasa bersalah, Zara. Dan bukan rasa terhutang budi yang bawak abang ke sini. Tapi rasa rindu pada Zara yang abang dah tak mampu nak tanggung lagi...”

Laju kepala Izara menggeleng. Tidak percaya.

“Abang tak salahkan Zara kalau Zara tak percaya cakap abang ni... Sebab selama ni, abang tak pernah layan Zara dengan baik. Setiap saat, ada je perbuatan abang atau tutur kata abang yang lukakan hati Zara. Kalau nak difikirkan balik, tak sanggup abang nak ulang semula apa yang abang pernah hamburkan pada Zara dulu, sebab abang begitu kejam pada Zara...” Amzar memejamkan mata. Cuba menepis air mata yang sudah mula menampakkan bayangnya.

“Abang sedar yang kata maaf je tak mampu nak pulihkan luka di hati Zara... dan mungkin sampai bila-bila pun Zara tak mampu nak lupakan semuanya... Tapi izinkan abang cuba bahagiakan Zara dan adik-adik Zara hingga ke nafas abang yang terakhir...” Lirih suara Amzar. Permintaan yang cukup berani dirasakan oleh Izara.

Bulat mata Izara memandang ke arah Amzar.

“Saya tak mampu nak terima Abang Am semula...” Perlahan suara Izara. “Sebab dari mula saya dah tanamkan dalam hati saya ni, yang Abang Am akan ceraikan saya. Saya dah terima dan dah belajar hidup sebagai seorang janda... Talak tak jatuh lagi pun orang kampung dah panggil saya janda... Saya tak pernah terfikir untuk teruskan hidup sebagai isteri Abang Am. Dan saya tak nak fikir pun pasal perkara tu...”

Kesat terasa kerongkong Amzar. Perit!

“Saya bahagia hidup dengan abah dan adik-adik saya. Saya tak mampu hidup dengan rasa bersalah ni lagi. Saya dah rampas kebahagiaan Abang Am dan Kak Tina...”

“Tak, Zara!” Amzar mencelah laju. “Kalau Zara fikir Zara dah rampas kebahagiaan abang, abang pun sebenarnya dah rampas kebahagiaan Zara. Abang tak pernah tahu pun yang Zara dah ada kekasih hati. Jadi abang pun sama! Kita takde bezanya... Maafkan abang, sebab menjadi penyebab Zara tak dapat kahwin dengan kekasih Zara tu...”

“Siapalah saya nak tolak jodoh yang Allah dah tentukan? Saya terima jodoh saya dengan Abang Am, tapi saya juga terima yang jodoh kita tak panjang. Allah dah tentukan semuanya untuk kita. Biarlah kita cari kebahagiaan kita masing-masing selepas ni...”

“Bahagia abang ada dengan Zara. Abang yakin sangat tentang tu. Tanpa abang sedar, Zara dah ambik tempat dalam hati abang ni dan sedarkan abang yang takkan ada perempuan lain yang layak menjadi isteri abang selain Zara...” luah Amzar setulus hati. “Zara dah pegang hati abang...”

“Maafkan saya... Saya tak boleh terima...” Dan dengan kata-kata itu, Izara meninggalkan Amzar begitu saja.

‘Betulkah tindakan aku tadi?’ soal Izara sendirian. Dia tak tahu... namun digagahkan diri untuk bangun dan membersihkan diri. Hanya Allah yang tahu...

*******

Izara mencelikkan mata. Ya! Dia bukan bermimpi. Pintu biliknya sedang diketuk dan suara bapanya memanggil namanya dari luar bukan sekadar khayalan.

Izara menekan suis lampu. Mata mengilas pandang ke arah jam di dinding biliknya. Pukul 11.30 malam? Dia menarik selak pintu dan tangan bersedia untuk memulas tombol. Sebelum sempat daun pintu ditarik dari dalam, abahnya berkata, “Am ada kat luar ni, kak long. Dia nak jumpa kak long...”

Terbuka terus matanya. Hilang kantuknya. Tudung dicapai lalu dikenakan ke kepala. Kardigan yang tersangkut di kerusi disarung ke badan. Pintu akhirnya dibuka perlahan.

“Kak long, bincang elok-elok. Ingat apa yang abah pesan tadi?”

Izara menggigit bibir. Pesan abah tadi? Doa, doa dan terus berdoa...

“Am, masuk dalam bilik Zara ni. Dah lewat sangat ni. Lepas dah bincang, tidur je kat sini...”

Terbuntang mata Izara. Mana ada sofa dalam bilik tidurnya? Aduh...

“Baik, bah. Terima kasih...” ucap Amzar sopan.

Tanpa pilihan lain, Izara berkalih dari jenang pintu untuk membenarkan Amzar masuk ke dalam biliknya. Pintu ditutup semula.

“Maaf, abang datang malam-malam macam ni...” mula Amzar. “Abang datang bukan nak desak Zara. Abang dah terima keputusan Zara petang tadi, cuma...” Jeda. Sebak yang singgah di kerongkong dibiarkan berlalu seketika. Ya. Dia bukan ke mari untuk memaksa Izara menerimanya. Janji kepada mama, papa serta bapa mentuanya untuk menerima apa saja keputusan Izara tidak dilupakan. Dia hanya mahukan masa...

Izara masih tercegat di hadapan pintu. Amzar berdeham kecil.

“Zara, meh duduk sebelah abang,” gamit Amzar agar Izara duduk di sebelahnya di birai katil. Izara menurut. Sudah biasa akur dengan setiap perintah serta arahan suaminya itu.

“Abang akan balik ke KL esok. Abang akan ikut cakap Zara sebab abang tak mampu lagi nak ubah keputusan Zara. Abang hanya minta satu je daripada Zara...”

Tak berkalih mata Izara dari wajah Amzar. Menantikan permintaan yang nampak begitu sukar untuk dilafazkan.

“Abang nak malam ni jadi kenangan abang yang terakhir dengan Zara. Kenangan yang abang akan pegang sampai abang mati...” bisik Amzar sayu. “Abang hanya nak luangkan masa dengan Zara, berbual dengan Zara sampai esok pagi, dan abang nak tatap wajah Zara sepuas hati abang...” Amzar menelan liur. Berpegang pada kekuatan yang semakin goyah. “Boleh tak, Zara?”

Izara tunduk. Sukar baginya untuk menahan air mata. Apa yang diminta oleh Amzar hanyalah demi suatu bekalan. Bekalan untuk mengisi kekosongan pada masa hadapan. Lambat-lambat Izara mengangguk. Sesungguhnya, dia juga amat perlukan masa yang terhad ini untuk diluangkan bersama Amzar. Sebelum semuanya bakal berakhir...

Amzar meraih tangan isterinya lalu dielus lembut. “Abang rindu pada tapak tangan ni. Tangan yang selalu lumurkan sabun kat badan abang, yang tak pernah kasar bila mandikan abang...” Amzar tunduk lalu melabuhkan ciuman pada telapak tangan isterinya. Hangat!

“Abang tak pernah berpeluang nak ucap terima kasih pada Zara sebab sanggup jaga abang sampai abang sihat. Terima kasih, Zara, untuk semua yang Zara dah buat untuk abang... Zara sabar melayan kerenah abang. Sentiasa senyum walaupun abang pasti, hati Zara mesti terluka...”

Kocek seluar diseluk dan kotak empat segi kecil dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Izara. “Sepanjang kita kahwin, abang tak pernah hadiahkan apa-apa pada Zara. Hari ulang tahun perkahwinan kita yang pertama pun kita tak raikan. Berlalu begitu je...” Kotak kecil dilabuhkan di atas tapak tangan isterinya. “Ni hadiah ulang tahun perkahwinan untuk Zara. Abang harap Zara sudi terima...”

Kotak dibuka. Seutas rantai tangan emas bertatahkan berlian bersinar terus ke anak mata. Bibir Izara bagai digam. Tidak mampu menuturkan kata.

“Kelmarin abang ada masukkan duit belanja sikit untuk Zara dan adik-adik dalam akaun Zara. Papa yang bagi nombor akaun Zara pada abang. Duit tu pun hak Zara. Nafkah yang abang tak pernah beri pada Zara...” Lirih.

“Saya tak perlukan ni semua... Saya dah bekerja. Saya mampu nak sara adik-adik...” Terlafaz juga kata-kata yang terkunci sedari tadi. Tidak mahu Amzar berfikir yang dia berkahwin dengan Amzar atas dasar kekayaan keluarga suaminya itu.

“Abang faham... Tapi ni hak Zara. Please take it...” Rantai tangan dikeluarkan lalu disarungkan terus ke pergelangan tangan isterinya.

Izara terdiam.

“Zara, abang nak kenal isteri abang. Boleh tak Zara ceritakan pada abang tentang Zara dan keluarga Zara?”

Izara menongkat wajah. Ada garis-garis keikhlasan yang terpancar dari mata Amzar. Meyakinkan Izara yang lelaki itu benar-benar ingin mengambil peluang ini untuk lebih mengenalinya. Dan Izara mula bercerita...

“Adik-adik mesti dah tidur kan?” Kalaulah dia tidak sombong dengan keluarga Izara dulu, tentu saja adik-adik Izara rapat dengannya.

“Ada yang kat asrama... Tak semua ada kat rumah...”

Amzar mengangguk.

Izara menelan liur. Ingin meluahkan soalan yang sering mengganggu lenanya.

“Ada apa Zara? Zara nak tahu tentang Tina, kan?” duga Amzar.

“Boleh? Saya nak tahu apa jadi dengan Kak Tina je...”

Sekali lagi Amzar mengangguk. “Lepas abang dah sihat, dia ada datang cari abang semula. Tapi abang dah sedar yang cinta dia pada abang tak sekuat mana,” keluh Amzar kesal. “Abang percaya dia cintakan abang, tapi cinta dia cinta yang datang tanpa pengorbanan. Dia tak sanggup nak sama-sama susah dengan abang. Dan bila dia sunyi, dia cari lelaki lain untuk temankan dia... Jadi abang dah takde apa-apa hubungan dengan dia. Dia dah tak wujud lagi dalam hidup abang...”

“Abang Am masih cintakan dia?”

“Tak!” Laju Amzar menjawab. “Cinta abang mati sebaik saja dia minta ruang untuk berfikir dan tinggalkan abang kat hospital macam tu je...”

Entah mengapa, balasan Amzar tidak memberikan ruang untuk Izara meragui kata-kata suaminya itu. Dia percaya Amzar berkata yang benar.

“Zara... Zara masih cintakan kekasih Zara tu?”

Sayu senyuman yang singgah di bibir Izara. “Saya dah lepaskan dia dan semua perasaan saya sebaik saja Abang Am lafazkan akad. Saya tak nak berdosa cintakan lelaki lain sedangkan saya dah jadi isteri orang...”

Terkedu Amzar mendengar jawapan Izara. Jawapan yang membuat dia rasa begitu kerdil di sisi isterinya. Amzar mengelus lembut pipi Izara. Elusan yang mengundang debaran yang begitu hebat di dada Izara.

“Abang Am... kenapa Abang Am tak berterus-terang dengan saya yang Abang Am dah boleh berjalan?”

Amzar mengeluh kesal. “Sebab abang ingat apa yang abang cakap dulu dan itulah satu-satunya janji yang abang tak nak kotakan. Abang tak sanggup kehilangan Zara. Abang tak nak Zara tinggalkan abang... Sebab tu abang diamkan je. Abang rela lumpuh seumur hidup kalau itu dapat pastikan yang Zara akan sentiasa ada bersama abang...” Jeda seketika. “Abang sebenarnya dah sedar abang ada perasaan pada Zara tapi abang masih belum bersedia nak berterus-terang sebab abang malu... Malu dengan Zara...”

Tergamam Izara mendengar pengakuan Amzar.

“Dahlah, Zara. Zara nampak penat sangat sekarang ni... Kita tidur, ya? Dah lewat sangat dah ni...”

Izara mengangguk. Sudah lama mereka berbual hingga tak perasan detik waktu berlalu.

“Izinkan abang tidur kat sebelah Zara, ya? Abang janji abang takkan buat apa-apa. Abang cuma nak peluk Zara je...” Amzar takkan sekali-kali menodai kesucian isterinya ketika ini. Walaupun Izara halal baginya, namun untuk menyentuh Izara sedangkan mereka akan berpisah tidak lama lagi hanya akan membuktikan betapa dia lelaki yang amat mementingkan diri sendiri. Hadirnya Izara dalam keadaan suci, perginya jua pasti akan dalam keadaan suci juga!

“Tapi sebelum tu, boleh abang tanggalkan tudung Zara ni?”

Mata Izara memberikan balasan yang sangat diinginkan lelaki itu. Terketar tangan Amzar menarik tudung isterinya. Izara memejamkan mata. Tidak sanggup melihat reaksi lelaki itu.


Amzar menarik nafas. Ya Allah! Indahnya kau ciptakan isteriku ini... Tak mampu dizahirkan dengan kata-kata. Bagaimana gadis secantik ini bisa aku benci dulu? Belum sempat tangan ingin membelai mahkota isterinya yang sebelum ini terlindung daripada pandangan mata, Izara sudah bangun untuk menutup lampu. Debaran di dada, Izara cuba sembunyikan semampu boleh. Getar jantungnya ingin melalui saat yang tidak pernah terbayang dalam hidupnya sepanjang menjadi isteri Amzar. Tidur di samping lelaki itu... Ya Allah... Mampukah hati mengucapkan selamat tinggal tatkala fajar menyingsing beberapa jam saja dari sekarang?

5 comments:

  1. Zara plz don't let Amzar go plz say yes and be together as husband n wife forever...ooooooo

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sekarang lynn baru tahu kenapa komen ni familiar! hehe... Kak Yong rupa2nya... :D

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Lynn dear rose aka Yong Rose....hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Yong Rose!!! Hahaha.... baru lynn tahu... Hehehe...

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....