Wednesday, 13 April 2016

Rafique's Girl - Bab 9

Meluncur Mercedes Benz C-Class Coupe berwarna perak dengan ngauman enjin yang begitu enak di telinga sebelum berhenti betul-betul di hadapan rumah sebandung dua tingkat di kawasan perumahan lama Kelana Jaya ini.

“Ni rumah dia?” soal Rafique perlahan. Shafique di sebelah dikerling. ‘Hmmm... kerja jadi penulis je pun boleh duduk rumah besar macam ni? Not bad!’ Rafique sudah mula berfikir yang bukan-bukan.

“Haah. Tu pun dia!” Shafique membuka pintu kereta bahagian penumpang.

Dari sepasang mata yang dilindungi aviator jenama Ray-Ban, Rafique mengamati tubuh halus Dhamira cuba mengimbangi tas tangan di bahu kanan serta bagasi pakaian di tangan kiri. Bagasi diletakkan di atas lantai dan tangan laju mengunci pintu gril utama. Kunci dicampak ke dalam tas tangan sebelum bagasi tadi diangkat semula. Kaki diatur perlahan ke pintu pagar yang sudah sedia terbuka sebelum kembali ditutup.

Rafique dapat menangkap dahi Dhamira yang berkerut melihat kereta di hadapan matanya. Tentu tidak menjangka kehadirannya pada pagi ini.

“Hai Mira!” Shafika menjengahkan kepala dari tempat duduk bahagian belakang. Tangan dilambai ke arah temannya. “Jom!”

Shafique membuka but kereta. Bagasi Dhamira disusun elok-elok di tempat yang masih kosong bersebelahan bagasi mereka tiga beradik.

Dhamira hanya memandang. Lutut seakan kaku. Masih terkejut melihat gerangan lelaki yang duduk penuh gaya di kerusi pemandu. Sangkanya, perjalanan mereka ke Cherating hari ini hanya bertiga. ‘Kenapa pulak mamat tu ada sekali?’ gumamnya tidak puas hati.

Shafique melipat kerusi yang didudukinya tadi untuk memudahkan Dhamira masuk ke ruang penumpang di bahagian belakang. Kereta dua pintu la katakan. Memanglah susah sikit.

Salam diucap perlahan seraya mengambil tempat di sebelah Shafika. Suara dalam Rafique yang menyambut salam Dhamira membuatnya mula tidak senang duduk. Matanya ditangkap mata Rafique melalui cermin pandang belakang. Walaupun mata lelaki itu terlindung, dia masih bisa merasakan kehangatan daripada sorotan pandangan Rafique. Dhamira tidak mengerti reaksi tubuhnya setiap kali lelaki ini ada di hadapan matanya. Dengar suara sahaja tubuhnya sudah macam-macam. Pada malam dia membuat persembahan bersama-sama D’Jammerz di Dewan Perdana Felda lebih kurang tiga minggu yang lalu, dia cuba sedaya-upaya untuk tidak bertentang mata dengan lelaki yang tidak lepas-lepas memandangnya sepanjang malam. Ada sesuatu pada pandangan lelaki itu ketika itu. Sesuatu yang buat dia tidak selesa. Seperti sekarang ini.

Beb, kenapa mata kau sembap ni?” soal Shafika. Terlerai tautan mata antara dirinya dengan Rafique.

“Aku tidur pukul tiga pagi kut. Mana mata aku tak sembap?” balas Dhamira selamba.

Shafique di hadapan mengalihkan tubuhnya agar dapat berpaling ke belakang.

“Kenapa kau tidur lambat sangat?” Kening Shafique bertaut.

“Aku ada deadline pagi ni. Tu yang bersengkang mata siapkan tu. Nasib siap. Kalau tak, takdelah aku dapat ikut korang hari ni...”

“Mana boleh kau tak ikut? Marah Boy kau tu nanti...” ujar Shafika. Sengaja menuturkan ‘Boy kau’ untuk santapan telinga abangnya.

Tanpa disedari sesiapa, Rafique mengetap bibir. Mendengar gadis yang duduk di sebelah adiknya ketawa, tiba-tiba terasa ingin muntah pula.

“Kau dah breakfast ke belum ni?” soal Shafika lagi.

Dhamira tersengih. “Belum... Aku terlajak tidur lepas subuh tadi. Aku sedar-sedar je, terus siap. Pas tu ngam-ngam korang pun sampai...”

Rafique seakan sukar untuk melepas pandang riak Dhamira yang tersengih tadi. Tidak ubah seperti budak kecik yang belum tamat sekolah. Cheeky!

Laaaa.... aku tak bawak bekal apa-apa. Kita orang semua dah breakfast...” Memek risau terbias di wajah Shafika.

“Eh takde hal. Aku tak lapar. Aku nak tidur je ni... Ngantuk gila! Aku nak pinjam bahu kau, Fika. Kalau ada apa-apa yang meleleh, kau buat-buat tak nampak je tau!”

Pecah tawa Shafique serta Shafika mendengar lawak Dhamira. Bibir Rafique hanya koyak sedikit sebelum kembali serius.

Siot kau!” Sempat Shafika mengutuk temannya sebelum menyambung tawanya.

Rafique ketawa di dalam hati. Ada sesuatu yang berbeza pada gadis itu. Selamba. Tidak perlu terlalu mengawal tingkahnya di hadapan orang yang tidak dikenalinya, lebih-lebih lagi jika teman-teman rapat ada di sisi. Dalam erti kata lain, gadis itu tidak perlu control ayu, tidak perlu berhias bagai untuk menarik perhatian sesiapa. Cukup dengan wajah yang bersih dengan bibir yang sentiasa berkilat dicalit pelembap bibir, jean lusuh berwarna biru serta jersi Harimau Malaysia juga berwarna biru. Yang tidak berubah, rambutnya tetap disanggul tinggi. Terdetik di hati Rafique ingin melihat rambut gadis itu lepas bebas. Panjang mana agaknya ya? Tentu lebat dan ikal! Tiba-tiba jari-jemarinya terasa gatal.

Kereta tiba-tiba berhenti. “Kenapa, long?” tanya Shafique. “Along nak isi minyak ke?” Stesen minyak Petronas menjadi singgahan tidak dirancang mereka.

“Tak...” balas Rafique. “Mira, awak pergilah beli apa-apa makanan kat dalam tu. Jauh lagi perjalanan kita ni...”

Mulut Dhamira terbuka sedikit. Sungguh dia tidak sangka yang Rafique sudi berhenti agar dia dapat membeli sesuatu untuk mengisi perutnya. Tanpa disuruh, Shafique membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Kerusi penumpang dilipat sekali lagi.

Errr... thanks...” ucap Dhamira. Rafique hanya mengangguk kecil.

“Mira! Aku nak keropok udang!” laung Shafika dari dalam kereta. Memesan jajan kegemarannya.

Dhamira berpatah balik. “Awak nak apa-apa?” soal Dhamira lambat-lambat. Kekok.

Rafique menanggalkan aviator. Mata menjamah wajah teragak-agak Dhamira sebelum kepalanya menggeleng perlahan. Aviator disarung semula.

Dada Dhamira terasa ditekan sesuatu. Cool gila mamat sejuk beku ni!

“Kau Shaf?”

“Aku nak Nescafe satu tin, chewing gum, Bika perisa ayam, Pringles perisa asli, dengan Cheezels...” balas Shafique dalam satu nafas.

“Hoi! Kata dah breakfast?” Dhamira menampar lengan Shafique.

Shafique tersengih lebar. “Macam kau tak tahu perut aku, kan?”

“Kau ni memang tau Shaf! Dari dulu lagi aku dah agak kau ada bela jin!” Cepat-cepat Dhamira berlalu meninggalkan Shafique yang kini sudah bercekak pinggang. “Kureng!” Dengus Shafique. Nasib baik Dhamira sudah berlalu. Kalau tidak, mahu telinga gadis itu dipiatnya.

Shafika galak ketawa. Melihat riak Shafique cukup lucu dirasakannya. Padan muka! Perut tangki kontena betul Shafique ni! Tidak perasan abang di hadapan erat menggenggam stereng. Dahi Rafique berkerut. Tidak suka dengan aksi gadis itu yang menampar lengan adiknya tadi. Walaupun berlapik, dia tetap tidak suka. Dengan si pemain gitar sebelum ni pun boleh bersentuh-sentuhan di khalayak. Gadis ini jenis perempuan yang lepas laku ke? Takkan si pemain gitar tak kisah dengan perangai teman wanitanya? Sebal terasa di dalam hati.

Tidak lama kemudian, kelihatan Dhamira keluar dari kedai Mesra Petronas. Tangan kiri dan kanan menjinjing plastik penuh berisi makanan dan minuman yang dipesan. Setelah tubuhnya masuk ke dalam perut kereta, Shafique kembali membetulkan kerusinya. Pintu ditutup.

“Kau beli apa, Mira?” soal Shafika. Kepala disua mendekati plastik di atas paha Dhamira.

“Keropok udang kau ada la, don’t worry...”

“Aku punya?” sampuk Shafique tidak sabar.

“Nah!” Satu plastik lantas dihulurkan ke hadapan. “Semua dalam ni kau punya...”

Errr... Shaf, dalam plastik tu ada air mineral untuk abang kau...” Teragak-agak Dhamira bersuara. Rasa pelik membeli untuk Shafique, Shafika serta dirinya, tetapi langsung tidak membeli apa-apa untuk si tukang bawa kereta.

Sekali lagi mata Dhamira bertaut dengan mata Rafique melalui cermin pandang belakang. “Thanks, girl!” ujar Rafique perlahan.

‘Apa dia panggil aku? Girl? Kureng!’

Rafique mengulum senyum melihat riak terkejut bercampur tidak puas hati gadis itu. Entah macam mana panggilan itu boleh meniti di bibirnya, dia pun tak pasti. Girl? Kenapa girl? Entahlah, yang pasti, panggilan itu memang kena, memang padan dengan gadis itu. Nasib baik si pemain gitar memanggil teman wanitanya ‘Yang’, jadi dia tiada halangan memanggil gadis itu ‘girl’! Hesy! Tiba-tiba hati terasa panas mengenangkan panggilan si pemain gitar terhadap Dhamira. Meluat!

Takpe ke makan dalam kereta abang kau ni?” bisik Dhamira dekat di telinga Shafika. Risau lelaki itu melenting sekiranya serdak makanan bersepah-sepah nanti. Itu merupakan pantang nombor satu adiknya, Danial. Jangan berani nak kotorkan keretanya! Pelik betul orang lelaki ni. Kereta kotor sikit nak melenting. Bilik tidur bersepah boleh pulak hidup!

“Entah, aku pun tak tahu...” Shafika menjongket bahu. Tidak semua benda yang diketahuinya tentang Rafique. Memang Rafique seorang yang pembersih dan amat terurus. Buat kerja semua mesti teratur. Namun dia tidak tahu sama ada abangnya itu berkira dengan tahap kebersihan keretanya ataupun tidak. Kalau Shafique atau Danial, ya! Mereka sangat berkira!

Dhamira sudah mula teragak-agak mahu membuka bungkusan sandwic yang dibeli tadi. Nak ditanya rasa segan. Nak panggil nama lelaki itu pun dia rasa kekok. Nak panggil apa? Raf? Fiq? Rafique? Dia menelan liur.

“Makan je, Mira. Shaf dan Fika dah janji nak cuci kereta saya luar dalam sebagai upah saya jadi drebar hari ni...” Tiba-tiba Rafique bersuara. Bagai mengerti apa yang terlintas di fikiran Dhamira sebelum sempat gadis itu berkata-kata. Alaaah... Bukan sukar untuk meneka fikiran gadis itu. Melihat empunya diri yang teragak-agak menilik sandwic di tangan pun dia sudah faham.

“Hei! Mana ada?” tangkis Shafika. “Shaf yang suruh along drive. Malas katanya! Kenapa Fika pun kena cuci?”

Shafique menjeling ke arah Shafika. Mulut yang penuh dengan Bika tidak mampu membalas. Kalau mahu bersuara juga, sudah tentu dia akan tersedak besar.

“Terima kasih...” perlahan nada suara Dhamira. Masih terkedu memikirkan lelaki itu tahu apa yang berlegar di benaknya. Tidak menghiraukan Shafika yang masih mencerlung memandang ke arah kembarnya.

“Eleh, kau pun sama malas, kata orang!” Akhirnya Shafique dapat berlawan kata dengan Shafika setelah isi mulut ditelan rakus. “Takpe long. Nanti kalau kotor, Shaf hantar keta along ni ke car wash. Apa susah? Bukannya mahal pun!”

“Dasar pemalas!” getus Shafika.

“Diam la kau!” balas Shafique.

Dhamira diam tidak mahu masuk campur. Sandwic telur dikunyah perlahan. Mata sudah semakin memberat. Namun digagahkan jua mengunyah serta menelan. Tin berisi air Milo dibuka. Straw dicucuk lalu air dihirup perlahan. Tidak sedar mata di sebalik aviator yang kadang-kadang mencuri pandang.

“Mira!” panggil Shafique.

“Apa?” balas Dhamira malas-malas. Serius! Dia sudah teramat mengantuk. Perut pula sudah kenyang. Lagilah terasa seperti bahu Shafika sudah memanggil-manggil.

“Aku dah dengar jingle yang kau dah rakam tu. Memang menepati cita rasa aku! Lepas ni mesti berbondong-bondong orang datang ke kedai baru kita orang tu nanti...” Shafique sudah memasang angan-angan. Betul-betul berpuas hati dengan nyanyian Dhamira. Memang kena dengan irama lagu yang dimainkan.

“Kau ni memang sengal, Shaf. Tak habis-habis nak kaitkan suara pompuan nyanyi dengan kemahuan pendengar kat luar tu!” Dhamira mengungkit pendapat Shafique tentang iklan roti Gardenia tempoh hari. Sengaja! Tidak mahu Shafique membangkitkan isu dia merakam suara baru-baru ini.

Shafique ketawa lepas. “Kau ni, Mira patutnya dah lama jadi recording artist. Boy nak buat CD untuk kau, kau tak nak...” ungkit Shafique membuat Dhamira semakin tidak selesa. “Tapi apa pun, aku benar-benar nak ucap terima kasih pada kau, Mira. Abi aku pun dah dengar keseluruhan iklan tu. Dia suka tau! Walaupun aku tahu kau takkan setuju nak tolong aku kalau bukan kerana Boy yang pujuk, aku tetap berterima kasih!”

“Cis! Kureng!!” dengus Dhamira. “Blahlah kau! Aku buat ikhlas la...”

Shafique sambung ketawa. Shafika turut tersengih melihat temannya dikenakan kembarnya. Rafique menjongket kening.

“Sudahlah kau. Aku tidur lagi bagus! Melayan kau ni boleh jadi gila kepala aku yang sememangnya dah weng sebab tak cukup tidur... Malam kang nak tengok live band lagi!”

Dhamira membetulkan duduk. Kepala disandarkan ke bahu Shafika. “Fika... apasal bahu kau rasa keras tulang je ni? Tak empuk langsung. Sakit kepala aku!” rungut Dhamira cuba mencari posisi yang selesa. Kereta masih meluncur laju membelah lebuh raya.

Shafika menunjal kepala temannya sedikit. “Nak pinjam bahu aku tapi sedap-sedap mengutuk! Kau nak yang lembut kau sandar kat bahu Shaf. Mesti lena kau tidur...”

Tajam mata Rafique menikam ke wajah Shafika yang sedang tunduk ke arah kepala Dhamira di bahunya. Apa bodoh punya cadangan la adik aku ni?? Bahu Shafique? Huh!

Mata Dhamira terpejam. “Tak hingin aku...” desus Dhamira. Kurang tiga minit kemudian Dhamira sudah hanyut.

Sekali-sekala mata Rafique berlabuh ke wajah polos Dhamira. Mengharapkan agar tidur gadis itu lena dan selesa di bahu adiknya. Manja betul Dhamira dengan Shafika. Memang nampak mata Dhamira sembap seperti yang diperkatakan adiknya awal tadi. Sembap atau bengkak? Tidak cukup tidur atau menangis? Dia menulis artikel apa agaknya ya? Hati teringin mahu tahu kerjaya teman baik adiknya itu.

Rafique turut sedar yang Shafika serta Shafique langsung tidak lagi berbual atau bertekak seperti tadi sebaik saja lena menjemput Dhamira. Shafika pula sedikit pun tidak berganjak dari duduknya. Pastinya tidak mahu mengganggu tidur teman mereka berdua ini. Sayangnya mereka akan Dhamira! Begitu istimewakah gadis ini sehingga ditatang sebegitu?

“Along,” seru Shafique perlahan seakan berbisik. “Kalau along penat, Shaf boleh take over...”

“Along okey...” tolak Rafique juga dalam nada perlahan. Sekilas dia memandang ke wajah Dhamira yang masih lena. Mulut gadis itu sedikit terbuka.

“Janganlah Boy...” suara Dhamira yang tiba-tiba merengek sambil tangan menepis sesuatu di hadapan mengejutkan semua yang berada di dalam kereta kepunyaan Rafique. Mata gadis itu masih terpejam.

Shafika mula mengekek kecil. Dia sudah lupa akan tabiat Dhamira ini.

“Kenapa tu, Fika?” soal Rafique risau. Dalam tidur pun boleh sebut nama si pemain gitar tu? Amboi! Bukan main cinta lagi nampaknya!

Shhhh long... Mira memang macam ni. She talks in her sleep... Fika dah biasa... Biar je...”

Bercakap dalam tidur? Allah, comelnya!! Haih! Tak boleh jadi ni... Mengapa semakin lama gadis itu semakin kelihatan begitu... begitu... menawan hati?

“Selalu ke dia macam tu?” soal Rafique ingin tahu.

“Tak, long... only when her emotions are not stable atau dia tengah sedih atau susah hati je dia macam ni. Setiap kali masa minggu exam kat kolej dulu, Fika akan susah nak tidur sebab Mira ni mengigau entah apa-apa...” jelas Shafika perlahan. Bibir menguntum senyum.

‘Dia tengah bersedih ke sekarang? Kenapa perlu rasa susah hati?’ fikir Rafique.

So Mira tengah susah hati ke sekarang?” Shafique menyoal soalan yang tidak terluah oleh Rafique.

“Entahlah... mungkin pasal artikel yang dia tengah tulis kut...” teka Shafika.

Shafique mengangguk sebelum mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Papan tanda di luar tingkap sempat ditangkap. “Long, kat R&R Temerloh nanti berhenti kejap, ya? Shaf nak ke tandas...”

“Fika pun la...”

“Okey...”

Tiba di kawasan parkir, Rafique berhenti. Tanpa mematikan enjin, dia keluar dari perut kereta. Kerusi dilipat agar Shafika bisa keluar dari pintu bahagian pemandu. Redup matanya melihat Shafika yang perlahan-lahan mengalihkan kepala Dhamira dari bahunya. Dhamira bergerak sedikit sebelum kepalanya disandarkan ke kiri tingkap. Rafique masuk kembali ke dalam kereta lalu menutup pintu. Menunggu adik-adiknya melepaskan hajat.

Rafique membetulkan sedikit kedudukan cermin pandang belakang agar wajah Dhamira bisa direnung dengan lebih sempurna. Hati mengutuk tingkahnya. Memandang gadis yang sudah dimiliki orang lain, memang gila! Eh... ‘dimiliki’? Okey... Mungkin gadis ini belum dimiliki secara sah oleh mana-mana lelaki, namun bukan dirinya merampas kepunyaan orang lain... Walaupun masih tiada hubungan yang mengikat gadis itu dengan si pemain gitar, dia takkan sekali-kali mengganggu hubungan mereka itu. Dia sendiri tidak pandai menjalinkan hubungan dengan mana-mana perempuan, ada terdetik nak usyar hak orang lain! Apa kena dengan dia ni?

Tiba-tiba Dhamira mencelikkan mata. Terkebil-kebil dia sebelum tubuh ditegakkan. Kepala dipaling ke kiri dan kanan. Rafique menoleh ke belakang.

“Fika mana?” Naik bulu roma Rafique mendengar suara serak Dhamira. Tergoda.

Toilet. Shaf pun,” balas Rafique ringkas. Cuba menyembunyikan gelojak di hati.

“Oh...” Dhamira membetulkan rambut yang sudah terjuntai ke serata arah. Ikatan sanggul terasa longgar. “Kita dah sampai mana ni?” soal Dhamira untuk menghilangkan rasa gugup yang melanda tatkala menyedari dirinya tinggal berdua sahaja dengan Rafique.

“R&R Temerloh...”

Dhamira tidak kuasa lagi membetulkan sanggulnya. Aksesori pengikat sanggul cepat-cepat ditanggalkan sebelum tangan ligat mengumpul rambut untuk disanggul semula. “Errr... boleh pandang tempat lain tak?” tegur Dhamira. Tidak berkelip mata lelaki itu memandang setiap gerak-gerinya. Lambat-lambat Rafique berkalih pandang kembali ke hadapan. Lekas-lekas Dhamira menyudahkan kerjanya.

“Kenapa awak nangis malam tadi?”

Tangan Dhamira di rambutnya kaku. Dia memanggung mata. Mencari mata Rafique yang tidak lagi dilindungi oleh aviator. Macam mana dia tahu?

It’s so obvious, girl!” ujar Rafique tanpa perlu menunggu soalan Dhamira.

“Kenapa awak panggil saya macam tu?” gumam Dhamira tidak suka. Soalan Rafique sengaja dibiarkan sepi.

“Eh, awak bukan pompuan ke?” sindir Rafique.

“Fika pun pompuan tapi awak tak panggil dia macam tu pun?” bidas Dhamira.

Rafique menelan senyum. “Sebab muka Fika tak baby face macam awak...”

Dhamira mendengus geram.

You haven’t anwered my question. Kenapa awak menangis malam tadi?” desak Rafique.
                                                        
“Saja... hobi...” Dhamira berloyar buruk. Sibuk je. Menyampah!

Whatever! But I hope you’re feeling better...”

Bulat mata Dhamira. Suara lelaki itu, disulam pula dengan pandangan yang menghantar pesanan rasa bimbang mengundang rasa terharu di dalam dada. Sedang dia berkata sinis pun lelaki itu masih mampu berdiplomasi. Sudahnya Dhamira termalu sendiri. Dia memilih untuk diam. Tangan sudah dijatuhkan. Rasa lebih selesa apabila rambut sudah dirapikan.

Suasana bening di dalam kereta kian melemaskan. Lamanya Shafique dan Shafika ni!!

Errr... along...” seru Dhamira. “Saya nak keluar kejap...”

Pardon me?” Kepala Rafique laju tertoleh ke belakang? Apa dia panggil aku? Along? Cis! Sakit telinganya mendengar Dhamira memanggilnya begitu seolah-olah mereka bersaudara sedangkan mereka tiada apa-apa hubungan pun. Tapi... kenapa pula dia perlu rasa tidak puas hati dengan panggilan ‘along’ daripada gadis itu? Entahlah... Yang dia tahu, dia tidak mahu Dhamira menganggapnya sebagai seorang abang! Tidak mahu!

Hampir tersedak Dhamira tercekik liur sendiri melihat mata Rafique mencerlung memandangnya.

“Apa?”

What did you just call me?”

“Habis tu saya nak panggil apa? Dah Shaf dengan Fika panggil awak along... saya pun ikut la...” meleret saja balasan Dhamira. Lagak seorang budak sekolah yang tertangkap melakukan perkara yang tidak elok. ‘Eleh! Panggil along pun nak marah. Tu tanda aku hormat tau!’

Diaorang tu adik. Awak bukan!” Tegas. “You know my name. So use it!”

Dhamira mencemik. “Saya nak keluar. Camna nak lipat kerusi depan ni?”

Rafique meregangkan tubuh ke kerusi yang diduduki Shafique tadi. Tangan mencapai sesuatu. Kerusi terlipat. Pintu dibuka dari dalam. “Done!”

“Terima kasih...”

Sebelum sempat Dhamira menutup pintu, telinganya sempat menangkap balasan lelaki itu. “You’re welcome... Girl...”

Dhamira menjeling sebelum pintu ditutup sedikit kuat. Menyampah!

“Eh, Mira! Kau dah bangun? Nak pergi toilet ke?” soal Shafika yang mula menghampiri.

“Taklah. Aku nak stretch kaki aku je ni... Lenguh!”

“Ok jom!” Shafique pula mendekati. Pintu kereta dibuka. Masing-masing mengambil tempat.


Rafique tidak menunggu lama. Kereta diundur sebelum pedal ditekan agak kuat. Tertolak tubuh Dhamira ke belakang. Hesy mamat ni! Kus semangat...

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....