Tuesday, 5 April 2016

Rafique's Girl - Bab 5

 “Shaf... kau perasan apa yang along buat tadi, kan?”

Shafique yang sedang memandu mengilas pandang ke kirinya. “Hmmm... aku perasan...”

“Kau rasa?” soal Shafika ingin tahu.

“Pelik...”

“Aku pun rasa macam tu... macam ada sesuatu...”

Hmmm...”

“Kau rasa along suka kat Mira ke?” soal Shafika lagi.

Shafique menjongket bahu. “Entahlah...”

Want to find out?”

Kepala dipalingkan seketika. “Kau nak buat apa? Kau nak match kan diaorang berdua ke? Kau jangan buat kerja gila, Fika. Macam kau tak tahu Boy tu macam mana...” Shafique melaungkan amaran kepada kakak kembarnya. “Kau takde masa Mira break down dulu. Kau tak tengok Boy macam mana. Jangan ingat Mira je yang teruk... Boy pun teruk gak...”

Shafika mengeluh. “Aku tahu... Kau pernah cerita dulu...”

“Dalam tempoh dua tahun ni, sekali pun Mira tak pernah keluar dengan lelaki selain Boy atau dengan budak-budak D’Jammerz tu. Boy memang jaga gila...”

“Tapi along bukan macam Kuzim...”

“Aku tahulah along bukan macam Kuzim, tapi kau sendiri yang panggil along mamat sejuk beku, kan? Takkan kau nak matchkan mamat sejuk beku tu dengan Mira?” Tak percaya Shafique dengan apa yang terlintas di fikiran Shafika. Rafique memang kadang-kadang sejuk beku, kecuali dengan ibu atau abi mereka. Dengan mereka berdua pun Rafique kurang mesra. Mungkin kerana jarak usia mereka yang agak besar. Rafique sudah berusia tujuh tahun ketika Shafika dan Shafique dilahirkan. Ketika mereka membesar, dunia Shafique hanyalah Shafika. Dia seakan tidak memerlukan orang lain untuk dijadikan kawan sepermainan. Rafique pula sudah mempunyai rakan-rakan sebayanya sendiri dan apabila Rafique masuk ke sekolah berasrama penuh, hubungan mereka adik-beradik kekal begitu. Tidak mesra.

“Aku tengok along pandang Mira tak lepas kut tadi... Mungkin kau tak perasan sebab kau tengah sibuk pujuk Mira buat iklan radio tu. Tapi aku perasan...” ujar Shafika lagi. Masih terasa pelik dengan aksi abang sulung mereka. Boleh duduk semeja dengan Dhamira dan Danial walaupun Rafique bukannya pernah mahu bergaul dengan rakan-rakan mereka sejak zaman persekolahan lagi. Dan boleh pula menghabiskan sisa makanan yang ditinggalkan Dhamira sehingga licin... yang ini memang dia terkejut beruk!

“Licin roti naan Mira along makan. Aku ingat dia nak makan bahagian roti yang tak diusik Mira je. Rupanya along habiskan semua!” tambah Shafika.

“Hah, yang tu memang pelik. Yang tu memang buat aku terkujat!” Shafique bersetuju dengan kata-kata Shafika.

“Aku rasa kan, kalau along tanya kita pasal Mira ataupun Boy, then apa yang aku rasa dalam hati ni memang betul. Along minat kat Mira... Dan bila along tanya je pasal diaorang, kita buat macam selalu...”

Shafique terus memandu sambil memberikan perhatian kepada bual bicara kakaknya. Dia mengerti akan permintaan Shafika. Dia berfikir seketika.

“Biar along tak tahu dan tertanya-tanya pasal hubungan Mira dengan Boy. Kita buat sama macam masa kat kolej dulu...”

“Aku tak tahulah... aku tak rasa along sesuai dengan Mira... Mira perlukan lelaki macam Boy... bukan macam along...”

Shafika menggelengkan kepala. “Aku tak setuju... aku rasa Mira perlukan lelaki macam along. Yang tegas, serius and yes, sejuk beku! Kau pernah tengok along mainkan pompuan? Pernah? Tak, kan? Pompuan yang mainkan dia, ada. Ibu pernah cerita. Pompuan yang mula-mula syok kat along akan give up tak lama lepas tu. Tak tahan dengan perangai along yang macam tu. Sudahnya along asyik kena tinggal je. Aku tengok Boy ni terlampau protective, terlampau takut nak lepaskan Mira. Kalau macam tu, sampai bila-bila pun Mira takkan berani nak melangkah ke hadapan kalau Boy asyik tahan...”

“Sebab Boy salahkan diri dia sendiri... Dia salah menilai Kuzim sampai biarkan Mira rapat dan bercinta dengan Kuzim...”

“Bukan salah Boy Mira jatuh cinta dengan Kuzim dan bukan salah Boy Kuzim tinggalkan Mira... dan kalau Boy berterusan lindungi Mira macam ni, selama-lamanya Mira akan takut untuk bercinta lagi...” tegas Shafika memberikan pandangannya.

Shafique terdiam. Menyedari kebenaran di sebalik kata-kata kakaknya.

She doesn’t need a man who smothers her, Shaf, but a man with a firm hand...”

“Macam along?” soal Shafique.

“Macam along!” balas Shafika penuh yakin.

Shafique mengeluh lagi. “Aku tak tahulah... Masih terbayang kesengsaraan Mira depan mata aku ni. Kalau Mira kecewa pulak lepas ni di tangan along, aku rasa Boy akan bunuh kau dengan aku-aku sekali...”

Shafika tersenyum tawar. “Aku rasa Boy kena disedarkan dengan cepat la... kau pun nampak macam mana dia cuba protect Mira daripada along, kan? Dia layan Mira macam budak kecik. Sengaja panggil Mira ‘Yang’ in public sebab dia tak nak orang dekat langsung dengan kakak dia tu. Dia nak orang anggap yang ‘Yang’ tu singkatan untuk ‘sayang’, padahal, dia yang tak reti nak sebut ‘kak ngah’ masa kecik dulu. Sebab kakak yang sulung dia panggil ‘kak yong’, untuk bagi mudah, dia panggil Mira ‘Kak Yang’. Bukan apa-apa pun...” gerutu Shafika.

“Jadi kau nak aku cakap dengan Boy ke?”

Giliran Shafika mengeluh. “Bukan senang nak cakap dengan Boy tu...”

“Tahu takpe!”

“Kita berdualah cakap dengan Boy...”

Shafique mematikan enjin setelah kereta selamat diparkir di dalam perkarangan rumah. Wajah Shafika dipandang. “Kau yakin ke pasal perasaan along?”

“Nak kata yakin 100% taklah... tapi kita boleh je korek kan? Selagi kita tak yakin 100% kita jangan bertindak apa-apa. Kita tunggu... dan lihat...” Yalah. Mana boleh suka-suka kenenkan Dhamira dengan abang mereka. Sekali detik hatinya salah, memang akan kena pancunglah jawabnya dengan si Danial. Tapi selama ni, mana pernah detik hatinya salah?

Sebelum sempat Shafique membalas, cermin kereta bahagian pemandu diketuk. Shafique berpaling dan melihat wajah yang terpacul di balik cermin. Dia membuka pintu.

“Kenapa tak keluar lagi?”


 “Saja berborak dengan si Fika ni...” Shafique keluar dari perut kereta. Baru perasan kereta Mercedes Benz C-Class Coupe kepunyaan Rafique sudah terparkir di belakang keretanya. ‘Hai... bilalah aku dapat beli kereta macam along ni...’ angan Shafique sendirian.

Rafique menyeluk poket. “Nah kunci rumah Shaf. Along nak ambik barang je sebenarnya...”

Kunci disambut. Mereka bertiga berjalan menuju ke pintu utama rumah banglo rumah Haji Abdul Khaliq serta Hajah Shafini. Shafique dan Shafika masih tinggal bersama ibu dan abi mereka. Hanya Rafique yang tinggal berasingan.

“Along nak balik ke lepas ni? Tak tidur sini je?” soal Shafique.

Rafique mengilas jam di tangan. Hampir pukul 12.00 malam. “Hmmm... macam malas nak balik. Penat. Mungkin along tidur sinilah malam ni...”

Shafika masuk ke dalam rumah. Terus menuju ke dapur. Tekak terasa kering. ‘Mesti mamak tadi letak banyak sangat MSG dalam maggi goreng aku!’

Pemegang pintu peti ais dicapai lantas dibuka. Apabila dia berpaling, terkejut dia melihat kelibat alongnya di dalam dapur itu.

“Along nak minum ke?”

Rafique kelihatan teragak-agak. Akhirnya dia mengangguk.

Shafika mencapai satu lagi gelas kosong dari atas kabinet dapur. Dia menuangkan air sejuk kosong sebelum menghulurkan kepada Rafique. Shafika duduk di meja empat segi di tengah-tengah dapur ini. Matanya melirik ke arah Rafique yang turut menarik kerusi di hadapannya.

“Dah dapat investor untuk business Fika nanti?” soal Rafique. Kali ini dia benar-benar ingin tahu. Bukan sekadar membuat ‘small talk’ dengan adiknya ini. “Kalau belum, along boleh tolong...”

Gelas di tangan diletak kembali ke atas meja. “Insya-Allah dah ada. Abi, Fika dengan seorang lagi investor...”

“Siapa?”

“Ada la... dia private investor. Dia tak nak dikenali... jadi Fika kena rahsiakan identiti dia...” Sedar yang Dhamira tidak suka mendedahkan latar belakang dirinya, Shafika memilih untuk merahsiakan gerangan pelabur yang ketiga itu.

Berkerut dahi Rafique. Timbul tiga garisan antara kedua-dua keningnya. “Anyone I know?”

Shafika menggeleng. “Not really...” Betul la tu kan? Abangnya mana kenal Dhamira secara rapat?

“Dia ni serious investor ke?”

Kali ini Shafika mengangguk.

“Fika kena berhati-hati. Jangan sampai kena tipu. Make sure ada proper agreement semua. Jangan mudah percaya pada orang luar...”

Membulat mata Shafika. Alongnya sedang memberikan nasihat serta pesanan ke ni? Biar betul! Dan kalau betul, dia benar-benar terharu...

“Ya, long... jangan risau. Fika percaya pada dia ni...” Memang dia percaya. Percaya pada Dhamira. Sehingga sedia bertaruhkan nyawanya...

Rafique mengangguk. “Kalau Fika perlukan bantuan, just let me know... Along kenal ramai pelabur kat luar tu...”

Tambah terharu. “Thanks, long...”

Shafika menghabiskan baki air di dalam gelasnya. Dia penat. Mahu tidur. Seharian dia mengikut ejen hartanah untuk mencari lokasi yang sesuai untuk membuka butiknya. Masih belum berjumpa. Esok dia akan berjanji temu sekali lagi dengan ejen hartanah yang lain pula.

Shafika bangun. Gelas dibawa ke singki.

“Fika...” seru Rafique. Shafika berpaling. Dia mengulum senyum. Seolah-olah dapat meneka mengapa riak abangnya teragak-agak begitu.

Errr... Kawan Fika tadi tu penyanyi sepenuh masa ke?” Terluah jua soalan yang berlegar-legar di minda sejak minggu lepas.

Haaa kan dah kata? Dah agak dah along nak tanya pasal Mira...

“Taklah...” balas Shafika sepatah. Diam. Sengaja tidak menghuraikan dengan lebih lanjut lagi.

“Dia kerja apa?”

“Penulis...”

“Dengan majalah mana?”

“Macam-macam... Dia freelance...”

“Oh... Dah lama ke dia dengan si pemain gitar tu?”

Shafika mencapai tuala kecil yang disangkut di tingkap dapur lalu mengelap tangannya sehingga kering. Wajah serius abangnya dikerling. “Lama gila!” Memanglah lama along oi! Sejak Danial lahir kut...

Rafique melarikan mata. Dia menelan air liur. Kesat.

“Kenapa along tanya?”

“Saja... nampak pun macam hubungan diaorang dah lama, tapi...”

Shafika menjongket kening. Tapi?

Diaorang nampak macam tak sesuai...”

Sukarnya bagi Shafika untuk menyembunyikan senyuman. ‘Shaf, aku betul Shaf. Aku memang betul!’

Hmmm... tapi Danial tu sayang gila dengan Mira...” Shafika menambah perisa. Ingin melihat perubahan riak di wajah abangnya.

Rafique mendengus. “Sayang apa kalau dia tak jaga maruah orang yang dia sayang?” gumam Rafique perlahan namun dapat ditangkap oleh telinga Shafika. Di mata terlayar adegan Danial mengusap belakang tubuh Dhamira tadi. Rafique bangun. Kerusinya tertolak ke belakang. “Along naik dulu... esok kerja...”

Dalam sekelip mata sahaja Rafique sudah hilang dari ruang dapur. Terkebil-kebil Shafika jadinya. ‘Tak jaga maruah?’ Shafika keliru. Apa maksud abangnya tadi?

‘Hesy! Ni kena cerita dengan Shaf...’ Hampir berlari Shafika keluar dari dapur. Dia berlari-lari anak menuju ke tingkat atas. Bilik Shafique di sebelah biliknya dituju. Ada cerita panas yang ingin dikongsikan bersama kembarnya itu!

*********

“Aku dah dapat pelabur untuk saham syarikat Gemilang tu...” ujar Zaid sambil menghirup kopi-o panas.

“Kejap aku nak cuba fahamkan profil syarikat ni...” Rafique merenung dokumen di tangan. “Pemegang saham sekarang beli syarikat ni daripada Tengku Dahlan dan tiga orang anak dia. Dia beli pada harga RM100 juta, walaupun nilai syarikat ni lebih tinggi daripada tu. Syarikat ni takde pinjaman daripada bank dan semua aset dia clean. Takde cagaran...”

Zaid mengangguk.

“Lepas Tengku Dahlan ni jual, dia dapat RM40 juta sebagai pemegang saham 40% dan setiap anak dia dapat RM20 juta setiap seorang. Betul?”

Yup...”

“Sekarang pemegang saham baru nak cari co-investor? Untuk expand business syarikat ke China?”

“Ya, dan aku dah jumpa pelabur yang berminat. Syarikat ni hebat betul, bro. Dua puluh tahun lebih Tengku Dahlan bangunkan syarikat dia. Aku dengar cerita daripada orang dalam yang anak-anak dia tak minat nak take over. Dan dia tak nak paksa. Jadi dia buat keputusan untuk jual semuanya. Walaupun anak-anak dia pemegang saham tidak rasmi je dan langsung tak terlibat dalam urusan perniagaan syarikat, dia tetap bagi RM20 juta kepada setiap seorang anaknya. Fuh! Kayo siot! Muda-muda lagi dah kayo...”

“Berapa umur Tengku Dahlan tu?”

“Tak tua sangat, bro. Masa dia jual syarikat tu, umur dia 55 tahun. Tapi yang sedihnya... lepas tiga bulan dia jual syarikat dia tu, dia meninggal. Dengarnya sebab sakit...”

Ya Allah! Kesiannya...

“Aku suspect dia mungkin tahu kut yang dia sakit. Tu yang dia jual semua saham syarikat dia tu. Lebih-lebih lagi bila seorang pun anak dia tak minat nak ambik alih...” sambung Zaid lagi. “Maknanya, anak-anak dia dapat lagi portion harta daripada arwah selepas dia meninggal. Entah berapa jutalah sorang...”

“Kau kata anak-anak dia pemegang saham tidak rasmi kan? Maksud kau nama diaorang ni tak tersenarai dalam senarai ahli pemegang saham syarikat ke?”

“Ya...” balas Zaid. “On paper nampak macam Tengku Dahlan ni pegang 100% saham syarikat tapi sebenarnya 60% tu dia pegang sebagai pemegang amanah untuk anak-anak dia. Aku rasa ada sebab kenapa dia sorokkan nama-nama anak dia, tapi aku tak tahu. Yang aku dengar he is a very private man. Orang tahu pasal dunia business dia je, tapi pasal personal life, tak ramai yang tahu...”

Hmmm... dia nak lindungi anak-anak dia kut,” teka Rafique. “Berapa banyak klien kita ni nak daripada co-investor?”

“Dalam RM50 juta. Dapat ni, komisen kita 2%,” jelas Zaid.

“Kalau macam tu kau teruskan jelah... Aku dah tengok report yang kau buat tu. Aku okey. Takde apa-apa...”

Rafique menyerahkan kembali dokumen di tangan kepada Zaid. “Good job, Zaid. Lepas close deal ni, kita ambik cuti ek? Aku penatlah...”

Zaid ketawa. Rafique penat? Cuti? Biar betul!

“Tak salah ke telinga aku ni, wei? Kau biar betul Raf... Orang macam kau ni mana pernah kenal istilah penat dan cuti? Perkataan baru tu, bro yang keluar dari mulut kau!” Zaid mengenakan rakan kongsinya.

Rafique langsung tidak ketawa. Lantaklah! Sudah lama dia tidak mengambil cuti. Asyik kerja, kerja dan kerja. Sejak dia semakin kerap singgah ke rumah ibu dan abinya, hubungan yang dulu agak kaku dengan Shafique dan Shafika kini berubah ke arah yang lebih positif. Perlahan... tapi baiklah ada daripada takde langsung...

“Ikut suka kau la, Raf. Kau nak cuti, bila-bila pun boleh. Tak payah tunggu deal ni close. Aku ada. Aku boleh handle. Aku selalu jugak ambik cuti. Kau tu je tak pernah...”


Betul. Zaid selalu mengambil cuti. Membawa isteri serta anak-anaknya bercuti ke merata tempat. Kadang-kadang dia cemburu dengan Zaid. Kehidupannya nampak begitu sempurna berbanding dirinya... Adakah peluang untuknya menikmati kehidupan berkeluarga seperti Zaid? Entahlah...

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....