Thursday, 28 April 2016

Rafique's Girl - Bab 15 (Akhir di Blog)

Kad nama D’Jammerz Music & Studio sekali lagi dibelek kemudian wajah didongak ke hadapan. Rafique mula berjalan. Kad nama diseluk ke dalam kocek kemeja. Pintu kaca ditolak dari luar. Seorang lelaki muda berimej rock yang sedang menyusun buku-buku muzik di rak mengangguk lalu tersenyum. “Selamat datang, Encik...”

Rafique sekadar mengangguk. Mata meliar ke kedai muzik kepunyaan Danial serta Joseph. “Danial ada?” soal Rafique.

Pemuda tadi berkerut seketika sebelum tersenyum kembali. “Oh, encik maksudkan Boy ke? Dia keluar pergi tapau nasi kejap. Kejap lagi dia balik. Encik duduklah dulu ya?” sopan pemuda tadi menuding ke arah sofa berangkai tiga di tepi dinding.

Rafique akur. Dia melabuhkan duduk. Nampaknya Danial hanya mahu dikenali sebagai Boy, tidak kira dalam kalangan keluarga, sahabat atau orang luar. Sangkanya dulu, Boy itu hanya panggilan yang digunakan oleh Dhamira. Rupa-rupanya, semua yang mengenali Danial menggunakan panggilan Boy. Aduh... banyak betul salah sangka dan buruk sangka yang telah dilakukannya sepanjang mengenali dua beradik itu.

Not bad...’ fikir Rafique melihat peralatan muzik yang dijual di kedai D’Jammerz ini. Dia tidak tahu sangat tentang muzik, tapi dia boleh agak yang Danial serta rakan-rakannya memang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang ini. Dari tempat duduknya, Rafique mengamati gambar-gambar yang tersusun elok di serata dinding. Kebanyakannya gambar D’Jammerz ketika membuat persembahan. Rafique bangun. Ingin melihat dari jarak yang lebih dekat.

Ada gambar Anis sedang menyanyi dan ada juga gambar penyanyi yang tidak dikenalinya. Mungkin penyanyi lama sebab nampak Danial begitu muda lagi dalam gambar itu. Ada satu gambar yang menarik matanya untuk melihat dengan lebih teliti. Gambar Dhamira di atas pentas sedang menyanyi secara duet dengan Danial. Wajah gadis itu sangat ceria... sungguh bercahaya... senyumannya begitu memukau...

“Tu masa kita orang kat kolej...” Rafique berpaling mendengar suara yang agak dekat di belakangnya.  “Ada persembahan entah apa entah aku pun dah tak ingat...” sambung Danial memberi penjelasan tanpa diminta. Dia berlalu ke kaunter. Meletakkan bungkusan nasi yang baru dibeli ke atas meja.

“Chot, nah... nasi kau...” tutur Danial kepada pekerjanya.

“Terima kasih, bos muda...” sengihan meleret dihadiahkan kepada Danial.

“Banyaklah kau punya bos muda. Dapat makan free je terus panggil aku bos muda, ya?” sindir Danial. “Dah pergi makan kat belakang!”

Hai! Bos yang keluar belikan makanan untuk pekerja sendiri? Baiknya!

Lelaki yang dipanggil Chot tadi terus mencapai bungkusan plastik dari atas meja dan berlalu. Pintu di bahagian belakang kedai dibuka.

“Kau nak apa datang sini? Nak beli gitar ke?” duga Danial. Kedatangan Rafique ke kedainya tidaklah memeranjatkan sebenarnya. Dia tahu Rafique akan mencarinya. Selepas kejadian pada malam terakhir mereka di Cherating tempoh hari, mereka tidak lagi berkesempatan untuk berjumpa. Seawal pagi Ahad lagi Dhamira sudah mengajaknya pulang ke Kuala Lumpur. Enggan menunggu rakan-rakan yang lain untuk pulang bersama-sama.

Rafique mendekati kaunter. “Aku nak jumpa kau...”

“Jom masuk bilik aku. Aku panggil staf aku jaga kedai kejap...” Namun sebelum sempat Danial ke belakang untuk memanggil stafnya yang sedang menikmati waktu rehat, seorang pemuda Cina muncul daripada bukaan pintu yang digunakan Chot tadi. “Andy, jaga depan...” arah Danial. Lelaki tadi hanya mengangguk.

Danial membuka pintu di bahagian kanan kedai. Ada tangga menuju ke tingkat atas. Rafique membuntuti langkah Danial. Tiba di tingkat atas, Rafique mengerling ke arah kanan. “Tu studio,” jelas Danial. Danial berjalan ke hujung koridor lalu membuka pintu di bahagian kirinya. Bilik yang sederhana besar. Ada dua meja tersusun secara sebelah menyebelah dalam bilik pejabat ini. Danial mengambil tempat di meja bersebelahan jendela. Rafique meneka meja yang satu lagi itu milik Joseph.

Tanpa dipelawa, Rafique melabuhkan duduk di hadapan meja Danial.

“Kalau kau datang sini nak minta maaf pasal bengkak kat bibir aku ni, tak payahlah. Don’t bother! Aku tak rasa apa-apa pun. Lagipun tengok kesan merah kat pipi kau malam tu pun, aku dah puas hati... Kira kau dan aku dah 0-0 la...” terjah Danial mengungkit balasan yang diterima Rafique di tangan Dhamira kerana telah menumbuknya.

Rafique sedar Danial menyindirnya namun dia tak rasa apa-apa. Dia tahu mulut Danial begitu. “Apa pun, aku tetap nak minta maaf. Aku dah buruk sangka dengan korang berdua...”

Danial sekadar menjongket bahu.

“Aku nak jumpa Mira...” pinta Rafique seolah-olah meminta izin daripada Danial. “Nak minta maaf...”

“Hah yang tu susah sikit, bro. Mira tengah marah gila dengan kau. Muka kau pun dia tak nak tengok!”

Rafique menelan liur. Pemergian Dhamira dari Cherating tanpa sedikit pun mahu bertemu dengannya sememangnya memberikan isyarat yang nyata betapa gadis itu menyimpan rasa marah terhadapnya. Dan Rafique benar-benar terasa dengan ‘kehilangan’ Dhamira. Yalah... pergi bersama-sama, tapi pulang dengan orang lain... Shafika pun telah memberikan layanan yang amat dingin kepadanya pagi itu. Sepatah dua sahaja adiknya itu mahu berbicara dengannya. Itu pun apabila perlu... Rupa-rupanya Shafika tak bisa tidur semalaman kerana asyik dikejutkan oleh Dhamira yang terganggu dalam tidurnya. Sudah tentu gadis itu rasa tertekan dengan kejadian malam itu sehinggakan tidurnya tidak mampu lena. Dan Rafique tambah rasa bersalah...

“Kau tak payah jumpa dia la... Nanti aku sampaikan ucap maaf kau pada dia...” tawar Danial. Wajah Rafique diamati.

“Tapi tak sama...”

“Sama je... minta maaf jugak kan?”

Rafique menggeleng kepala. “Dia kat mana sekarang?”

“Keluar dengan Fika...”

“Oh...” Jeda. “Kenapa kau sengaja biar aku fikir yang bukan-bukan? Aku tahu yang kau tahu aku anggap korang berdua kekasih...”

“Bukan kau sorang je yang fikir macam tu. Dan aku tak pernah kisah apa orang fikir tentang aku dengan Mira. Keselamatan dia, hati dia dan kebahagiaan dia lebih penting daripada apa yang orang lain fikir tentang kita orang berdua!” Tajam mata Danial menikam ke mata Rafique.

“Keselamatan dia? Is she in danger?” Berkerut wajah Rafique. Kenapa semua yang dikenalinya dalam bahaya? Mula-mula keluarganya. Kini Dhamira juga?

You’ll never know. Macam-macam orang gila kat luar sana tu...” balas Danial memberikan jawapan yang selamat. Termasuk Damia yang merupakan ibu kepada semua yang gila di luar sana.

“Kau nak lindungi dia daripada siapa?”

“Lelaki dan perempuan yang hanya tahu nak ambik kesempatan atas kebaikan dan kelemahan kakak aku tu...” Pertama kali Danial mengaku Dhamira sebagai kakaknya.

Rafique teringin sekali ingin bertanyakan tentang Damia dan Kuzim tapi dia tidak rasa yang dia mempunyai alasan untuk mengambil tahu. Dia bukan sesiapa dalam keluarga Danial. Dia tidak mahu dianggap cuba menjaga tepi kain orang...

“Kau buat dia macam dia tu budak kecik... Lagipun, dia tak nampak lemah pada aku...”

“Aku peduli apa? Dia tu amanah. Aku pernah gagal sekali dan aku tak akan benarkan diri aku gagal untuk kali kedua...” Bayangan Kuzim muncul di layar mata sebelum pantas Danial menghalaunya pergi.

Terjongket kening Rafique. Pernah gagal? Sebab itukah Danial amat berahsia tentang hubungan sebenarnya dengan Dhamira. Ah... lagi banyak maklumat yang diterima mindanya, lagi keliru jadinya!

“Aku ada kerja kat studio ni. Kau ada apa-apa lagi?”

Rafique menggelengkan kepala. Kepala yang tiba-tiba rasa berat dan bingung. “Takpelah kalau macam tu. Aku pergi dulu...” Tangan dihulur. Lama Danial membatu sebelum tangan Rafique disambut. Tidak perlu mengucap sebarang kata. Danial memahami permintaan Rafique yang menghulurkan salam perdamaian.

Entah mengapa melihat kelibat Rafique yang keluar dari biliknya membuat dia terdetik sesuatu. Dia yakin Rafique akan lekas-lekas mencari Dhamira. Lelaki itu tidak nampak seperti seseorang yang akan menangguhkan sesuatu perkara. Lihat sahaja hari ini. Baru sehari pulang ke Kuala Lumpur, lelaki itu sudah mencarinya untuk meminta maaf. Walaupun Rafique lelaki yang serius dan tegas, dan berbeza 100% jika dibandingkan dengan Kuzim, hatinya semakin yakin mengatakan dialah orang yang dicari selama ini.

Melihat kekuatan Rafique berlawan kata-kata dengan Damia, dia yakin Rafique dapat melindungi Dhamira. Rafique nampaknya tidak terkesan langsung dengan kecantikan Damia dan tidak kelihatan seperti mudah tewas dengan godaan wanita. Ya, Rafique tidak selemah Kuzim. Kuzim seorang yang lembut bicara, romantik dan mudah mempamerkan sifatnya yang penyayang sedangkan Rafique langsung tidak pandai menzahirkan kasih sayangnya, meskipun kepada adik-adiknya sendiri. Mulut Rafique lantang berbicara tanpa berlapik dan lidahnya setajam pedang samurai. Pada dasarnya, Rafique langsung tidak sesuai digandingkan dengan Dhamira, namun hatinya berdetik sebaliknya. Pelik...

Semoga hatinya tidak salah kali ini. Tidak sanggup lagi menanggung kesal untuk kali yang kedua...

********

“Shaf, Fika keluar pergi mana?” soal Rafique melalui talian.

“Entah, katanya nak cari barang untuk butik... Tapi dia kata tak lama...”

“Dia pergi macam mana?”

“Mira ambik dia kat rumah. Diaorang keluar lepas zuhur tadi. Nanti dah sudah, Mira akan hantar Fika balik... Kenapa, long?”

Takde apa-apa.”

Rafique mendengar adiknya mengeluh.

“Kenapa, Shaf?”

“Dari pagi Shaf asyik gelisah je la, long...” adu Shafique kepada abangnya. Dia tidak suka rasa begini. Dari kecil, apa-apa yang melibatkan kembarnya, dia akan berasa berat hati seperti kini. “Tapi Shaf tak tahu kenapa...”

Tegak telinga Rafique. “Shaf selalu ke rasa macam ni?”

“Kalau melibatkan Fika, ya. Kalau Fika rasa tak sihat, Shaf pun akan mula tak sihat walaupun Fika jauh. Hari yang Fika kena serang dengan Naqib dulu, Shaf rasa tak sedap hati macam Shaf rasa sekarang ni la. Ni yang Shaf risau sangat ni... Satu kerja tak jadi apa ni...”

Rafique mula berasa tidak sedap hati. Jangan dibuat main dengan intuisi atau gerak hati seseorang, lebih-lebih lagi jika melibatkan seorang daripada pasangan kembar. “Shaf, kau balik rumah sekarang. Along pun akan terus gerak ke sana...” Cuba sedaya-upaya untuk tidak memperdengarkan rasa cuak yang semakin mencengkam.

“Okey, long...” Shafique akur. “Nak Shaf call Fika?”

“Ya. Call Fika suruh balik sekarang!” arah Rafique sebelum talian dimatikan. Kereta dipecut ke arah rumah abi serta ibunya di Bangsar.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....