Monday, 25 April 2016

Rafique's Girl - Bab 14

“Sayang... abang bersyukur sangat Allah temukan kita. Dan abang happy sangat sayang dapat terima abang...”

Dhamira tertunduk malu.

“Abang tak sabar nak tunggu sayang habis belajar. Enam bulan je lagi kan?”

Dhamira mengangguk. “Kenapa abang tanya?”

“Yalah... abang serius dengan hubungan kita. Abang bukan nak main-main. Abang yakin dengan hati abang, jadi abang tak nak tangguh-tangguh walaupun kita baru je kenal. Dahlah abang nak rapat dengan sayang pun susah. Berapa lama abang cuba, tau? Banyak rintangan yang abang kena tepis terutamanya si Boy tu...” lembut kata-kata yang meluncur dari bibir Kuzim. “Abang nak ikat sayang cepat-cepat!”

Manis senyuman Dhamira. “Abang tak rasa Mira masih terlalu muda ke? Apa benda pun Mira tak tahu... Camna nak jadi isteri?” soal Dhamira malu-malu.

Takpe... abang tak kisah... Dah kahwin nanti, mesti semua pandai...” Kuzim mengenyit mata. Wajah Dhamira merona merah.

Kuzim memejamkan matanya rapat-rapat. Masih bisa terbayang di matanya betapa indahnya senyuman yang menghiasi wajah Dhamira setiap kali dia membicarakan soal masa depan. Ketika itu, dia memaksudkan setiap patah perkataan yang lahir dari bibirnya. Sumpah! Dia memang berniat menjadikan Dhamira suri hatinya. Walaupun beza umur mereka lima tahun dan Dhamira dirasakan masih terlalu muda dan kurang matang, dia tidak menghiraukan semua itu. Dia yakin Dhamira diciptakan untuknya...

Betapa sukar perjalanannya mendapatkan Dhamira. Danial enggan memperkenalkan Dhamira kepada dirinya walaupun diminta beberapa kali. Kali pertama Kuzim melihat Dhamira sahaja hatinya sudah terpikat. Maka didesaknya Danial, yang ketika itu sedang menjalani praktikal di syarikat tempat dia bekerja, untuk menemukan dirinya dengan Dhamira. Bermacam-macam alasan diberikan Danial. Namun Kuzim tidak berputus asa. Kesungguhan yang ditunjukkan akhirnya berjaya mengubah fikiran Danial. Dhamira berjaya jatuh ke tangannya...

Kuzim tersenyum sendirian. Manisnya saat-saat itu... Dapat memiliki sekeping hati yang pada mulanya begitu sukar untuk ditawan. Hakikat bahawa Dhamira masih belajar dan hanya berusia dua puluh dua tahun sedangkan dia sudah berumur dua puluh tujuh tidak diendahkan. Dhamira sangat-sangat istimewa. Dan dia tidak dapat mengelak daripada mengakui bahawa ada secebis rindu yang bertamu buat Dhamira di kamar hatinya...

“Sayang!” suara meleret di belakangnya membuat semua memori terus berlari pergi. Pinggangnya dirangkul erat dari belakang. “You buat apa kat balkoni ni? I balik pun you tak sedar...” rengek Damia.

Kuzim mengusap tangan yang melingkar di pinggangnya. “I tengah fikir pasal presentation esok. Tu yang I tak sedar you dah balik...” bohong Kuzim. “You dari mana ni?”

“Dari ofis klien. Model I buat hal masa shooting tadi. Mengada-ada betul. Stress I tau! Time I dulu, kalau tengah kerja, I betul-betul fokus. Takde nak main-main. Ni muda-muda lagi dah diva. Fed up betul! I pulak kena pujuk klien tadi...” ngomel Damia.

Kuzim memalingkan tubuhnya. Bahu Damia dipaut lembut. “Sebab you serius dalam kerjalah muda-muda lagi you dah berjaya ada modelling agency sendiri. Diaorang tu tak fikir masa depan. Asyik nak buat hal je...”

“Tulah... I penat sekarang ni. Tak larat nak keluar makan...”

“I pun malas nak keluar sebenarnya. Ingatkan nak minta you tolong masak apa-apa... I lapar...”

Damia membuat muka. “Buat sandwic bolehlah. Lain I tak larat...”

Aduh... Balik-balik sandwic. Kalau tak sandwic, salad. “I tak lalu la nak makan sandwic. I nak makan nasi...”

“Hesy you ni! You kan tahu I tak makan nasi! I kena jaga badan. Walaupun I dah tak jadi model, I have to look good in front of my clients. Kalau you nak makan jugak, nanti I potongkan salad untuk you, nak?”

Kuzim mengeluh. “Takpelah. I keluarlah kejap lagi cari apa-apa...” putus Kuzim. Tekak sudah tak dapat nak terima makanan ruji isterinya.

“Ikut suka you la. I nak berendam dalam tub kejap. Nak hilangkan stress...” Damia berlalu masuk ke dalam bilik. Baju ditanggal tanpa sedikit pun rasa malu. Kuzim melihat tubuh isterinya yang terdedah. Terus teringat kata-kata bakal suami Dhamira tempoh hari. Ya. Damia memang terlalu kurus. Ketika peluk, memang tiada rasa indahnya. Berbeza dengan Dhamira. Walaupun tubuh gadis itu kecil sahaja, namun tidaklah sekeping seperti Damia. Masih ada lekuk di tempat yang seharusnya ada lekuk. Astaghfirullah... Kuzim meraup wajah. Apa kena dengan aku ni?

Sejak pertemuan dengan Dhamira di Multi Mall, Kuzim sering membandingkan isterinya dengan Dhamira. Perbezaan dari segi personaliti, tabiat, kesukaan dan macam-macam lagi. Perbezaan yang begitu ketara sehingga terdetik beberapa kali persoalan sama ada dia telah tersilap memilih kaca akibat dibutakan dengan kecantikan dan nafsu. Akhir-akhir ini, kenangannya bersama Dhamira asyik singgah di ingatan. Kebencian Danial yang sedikit pun tidak pernah luntur, membuat perasaan bersalah yang menghimpit dadanya hingga kini, sukar untuk dilenyapkan.

Sudah dua tahun kecurangannya diketahui... dengan cara yang begitu memalukan bagi dirinya. Sudah dua tahun dia kehilangan Dhamira dan mencipta permusuhan dengan Danial. Sudah setahun enam bulan dia beristerikan Damia. Bahagiakah dia? Tidak disangkal yang ketika dia mula-mula mengahwini Damia, terasa diri amat-amat mencintai isterinya itu. Tapi... Mengapa hatinya terasa berat? Mengapa rasa bersalah terhadap Dhamira tidak mampu pudar walaupun adik iparnya itu sudah pun memaafkannya? Mengapa dia sukar memberikan jawapan sama ada dirinya benar-benar bahagia dengan Damia atau tidak?


Gagal mencari jawapan yang dicari, Kuzim pantas mencapai kunci kereta dari atas meja solek dan keluar dari emper mewah miliknya bersama Damia.

4 comments:

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....