Thursday, 21 April 2016

Rafique's Girl - Bab 12

Dhamira mengesat air mata. Ruang coffee house kini kembali terang. Shafika serta Shafique masih berdiri sambil bertepuk tangan. Dia tidak bisa membuat perkara yang sama. Lutut terasa tidak bermaya.

Sepanjang malam mereka dihiburkan dengan lagu-lagu retro daripada irama rock dan pop yang dinyanyikan oleh Anis. Di penghujung persembahan, mikrofon telah berpindah tangan. Danial telah melakukan suatu kejutan untuknya pada malam ini. Kejutan yang membuat dia mengalirkan air mata. Dendangan lagu ‘And I Love Her’ nyanyian kumpulan The Beatles benar-benar menyentuh hati dan perasaannya. Lagu cinta arwah papa serta mama mereka. Lagu yang mempunyai sejarah yang tersendiri. Lagu yang sering dinyanyikan arwah papa kepada mama mereka setiap kali papa ingin memujuk atau mengambil hati mama mereka. Nyanyian Danial secara akustik tadi telah menerbitkan rasa rindu yang teramat dalam kepada arwah papa serta mama... Sehinggakan dia langsung tidak menyedari ada air mata yang mengalir dari kolam matanya...

Dada Rafique terasa dicengkam, dihentam dan dipalu dengan begitu hebat. Pandangan Dhamira ke arah Danial sepanjang malam dan juga sebaliknya membuat dia sedar hubungan mereka berdua ini begitu rapat... begitu erat... Jelas masing-masing menghantar pesanan kasih dan sayang antara satu sama lain. Ketika Danial menyanyikan bait-bait ‘A love like ours could never die, as long as I have you near me...’ Dhamira mula mengalirkan air mata. Terharu sangat agaknya dengan dedikasi daripada si pemain gitar sehingga bisa menangis.

Ya... Rafique harus akui bahawa hubungan mereka berdua kelihatan begitu teguh sekali. Kenyataan yang begitu pahit untuk ditelan. Adakah gadis itu merupakan pencinta yang setia sama seperti dia merupakan sahabat yang sejati? Hati tertanya sendiri.

Walaupun dia berpegang kepada prinsip bahawa dia tidak akan sekali-kali merampas hak orang lain, namun untuk Dhamira, pernah terdetik di hatinya betapa dia ingin benar melanggar prinsipnya yang satu itu. Lebih-lebih lagi apabila tubuhnya turut mengiakan kemahuan hatinya. Sejak dari pertemuan pertama lagi, tubuh Rafique sudah bersuara. Namun fikirannya begitu tegar mahu mempertahankan prinsip yang telah dipegang sekian lama. Mampukah fikirannya bertahan sedangkan hati serta tubuhnya seakan mahu menderhaka kepada si tuan? Tidak! Dia mesti bertahan! Dia tidak akan membenarkan kemahuan hatinya menguasai mindanya! Dia seorang lelaki yang kuat! Lelaki yang berprinsip! Mata berpaling dari wajah Dhamira.

Para hadirin mula meninggalkan coffee house. Danial menyerahkan gitarnya kepada Joseph sebelum melangkah turun dari atas pentas. Meja mereka berempat dituju.

Shafique menepuk-nepuk bahu Danial. Segaris pujian diberikan kepada temannya itu. Shafika turut menyumbangkan kata-kata penuh bangga. Melahirkan kerinduan akan suara Danial serta persembahan kumpulan muziknya. Danial tersenyum puas. Lega persembahan dua hari ini berlalu dengan jayanya.

Korang tak kelentong aku, kan? Korang betul-betul ikhlas, kan?” soal Danial inginkan kepastian.

“Hesy kau ni! Kalau tak sedap aku takkan puji kata sedap!” ngomel Shafika bersama suatu jelingan.

Danial ketawa. Matanya dikalihkan ke wajah Dhamira yang masih kekal duduk di kerusi. “Yang?”

Dhamira mengangkat mata.

“Suka lagu tu?”

Laju kepala Dhamira mengangguk. “Of course suka!”

“Shaf, Fika, along masuk bilik dulu. Along kena call Zaid...” celah Rafique. Tidak sabar dia ingin keluar dari ruang yang dirasakan semakin sempit itu. Dia sekadar mengangguk ke arah Danial sebelum berlalu. Tiada sepatah kata yang diucapkan kepada lelaki itu. Rafique terus mengatur langkah namun kehendak hatinya tidak dapat ditahan. Dia menoleh kembali.

Danial kini sudah mengambil tempat duduknya tadi. Lembut menyeka sisa air mata dari pipi gadis itu. Rafique menahan rasa. Tangan digenggam erat. Sayang... si lelaki tidak tahu menjaga maruah orang yang dicintainya sehingga sanggup bersentuh-sentuhan di khalayak begitu. Jika Dhamira miliknya, maruah gadis itu akan dijaga dan dilindungi seperti yang seharusnya dilakukan oleh kaum lelaki. Sesungguhnya Danial tidak layak untuk Dhamira! Dengan hati yang sangat berat, Rafique mengatur langkah kembali ke bilik...

********

Pagi Sabtu yang cukup nyaman....

Usai solat subuh, Dhamira serta Shafika memilih untuk duduk di tepi pantai mengambil angin pagi dan menikmati terbitnya mentari dari ufuk timur... Dua-dua sahabat itu leka berbual sambil ketawa. Mengimbas zaman pengajian yang telah mendewasakan mereka. Mengungkit tabiat masing-masing yang bermacam-macam ragam. Senak perut mereka. Shafika ketawa sehingga mengalirkan air mata...

You had us worried sick!!” Suara tegang di belakang mereka membuat tawa di bibir masing-masing terus terhenti. Spontan kepala berpaling.

Wajah Rafique setegang suaranya. Shafique di sebelah turut mempamerkan riak kelat. Dia bercekak pinggang. Eh?

“Kenapa ni, Shaf? Long?” soal Shafika tidak mengerti.

“Boleh tak kalau korang nak tinggalkan bilik, sekurang-kurangnya hantarlah mesej. Taklah aku dengan along ke hulu ke hilir mencari korang macam orang gila!” dengus Shafique marah.

Shafika serta Dhamira berbalas pandang. Dahi mereka berkerut.

Laaaa.... takkanlah kita orang ni hilang kut. Kereta pun takde. Mana lagi kita orang nak pergi? Mestilah kat sini-sini je...” Shafika beralasan.

Dhamira tidak berani memandang ke wajah Rafique maka dilabuhkan matanya ke wajah Shafika dan Shafique sahaja. Kenapa dia nak risau sangat?

“Fika! Kau tak ingat pesan abi? Kalau kau nak pergi mana-mana kau kena beritahu aku atau along!” ungkit Shafique. Tidak puas hati dengan balasan Shafika.

Dhamira tambah bingung. Ni apa hal pulak ni? Kena report bagai!

Sorry... sorry... Aku lupa... Sorry, long...” ucap Shafika tanpa mahu berbalah lagi. Sedar akan kesilapannya. Bukan dia tidak tahu kebimbangan kedua orang tua mereka yang mempunyai musuh dalam perniagaan. Rasanya, kebimbangan abi serta ibu mereka melebihi tahap yang seharusnya. Lagipun, pihak polis sedang menjalankan siasatan atas segala ugutan yang telah diterima, maka Shafika tidaklah terlalu risau... Namun, untuk menyejukkan hati kembar serta abangnya, ucapan maaf diberikan tanpa perlu memikir dua kali.

“Apa hal ni? Aku tak faham...” tutur Dhamira.

None of your business!” getus Rafique dari celah gigi.

Mencerlung mata Dhamira. Kurang ajar! Bingkas dia bangun daripada posisi bersila. Kepala didongak dan mata bertembung dengan mata Rafique. Berani! “Excuse me? Orang tanya elok-elok, tak reti nak jawab elok-elok ke?” Tangan dicekak ke pinggang.

Riak Rafique terus berubah. “Sorry, girl! My bad...” Dan Rafique terus berpaling lalu laju meninggalkan mereka bertiga termangu di situ.

Kali ini, Shafika berbalas pandang dengan kembarnya pula. Isyarat dihantar. ‘Kenapa dengan along tu?’

Errr... sorry Mira. Aku rasa along tu risau sangat bila korang tak jawab telefon kat bilik tadi. Bila kita orang ketuk pintu, korang takde. Call handphone pun tak angkat... Tu yang kita orang risau sangat-sangat...” jelas Shafique.

“Nak risau kenapa? Apa hal sebenarnya ni?” soal Dhamira masih panas.

“Nantilah aku cerita kat kau, Mira. Aku taklah risau sangat, tapi abi suruh kita orang berjaga-jaga...” balas Shafika. 

Dhamira mengeluh. Hati sedikit tergores dengan perlakuan Rafique tadi. Sentap tau! Tapi kenapa perlu dia berkecil hati, ya? Dia sendiri tidak mengerti.

“Jomlah breakfast. Aku dah lapar ni...” ajak Shafique. Shafika serta Dhamira hanya menurut.

Melangkah ke dalam coffee house, Dhamira memilih untuk duduk semeja dengan Joseph, Anis, Shark serta adiknya Danial. Tidak mengendahkan Rafique yang duduk bersendirian di meja yang bersebelahan.

Dhamira menarik kerusi di sebelah adiknya. “Selamat pagi semua... Togel mana?”

Semua di meja membalas sapaan mesra Dhamira. “Membuta lagi! Penat sangat agaknya...” jawab Shark.

“Awal korang bangun? Tak penat ke?” sindir Dhamira.

Shark menyengih. “Aku kena balik KL la... Berapa hari dah aku cuti ni... so kena cover balik kerja-kerja aku kat ofis tu... ada satu design yang aku kena ubah. Isnin depan client nak tengok...”

“Jo dengan Anis pun?” soal Dhamira.

Hmmm... masing-masing dah ada hal...” balas Joseph. “Togel pun sebenarnya kena balik ni. Kenapa kau tak kejutkan dia, Shark? Lambat nanti kita nak gerak...”

Takpe... kejap lagi bangun la tu... Aku dah kunci jam dan letak sebelah telinga dia...”

Dhamira, Joseph serta Anis ketawa. Danial cuma tersenyum segaris. Mata masih giat melihat meja yang diduduki Rafique, Shafika serta Shafique dari ekor mata. Ada apa-apa ke ni? Kenapa sepasang mata Rafique asyik melirik ke arah Dhamira? Dan kenapa Dhamira buat-buat tidak nampak dan cuba sedaya upaya untuk tidak mengerling ke meja sebelah?

“Jo...” seru Dhamira. “Well done! Malam tadi korang excellent sangat!” puji Dhamira. Malam tadi tidak sempat nak kata apa-apa.

Thanks, Mira...” Joseph tersenyum bangga.

Dhamira mengangguk. “Aku nak ambik makanan kejap...” Dhamira tiba-tiba bangun. Dia ke meja bufet. Pinggan dicapai. Berkira-kira sama ada untuk memilih nasi lemak atau mi goreng mamak yang siap terhidang.

“Nak makan apa?” suara di sebelah menegur.

Dhamira menoleh sebelum kepala terpaksa mendongak. Lelaki ini? Huh! Malas nak layan!

Rafique melihat Dhamira yang mencebik sebelum berpaling. Dia mengeluh di dalam hati. Rasa bimbang yang melampau telah membuat dia bersikap kurang ajar dengan gadis itu tadi. Tatkala menyedari Shafika serta Dhamira tiada di dalam bilik mereka, hati tiba-tiba menjadi walang. Minda sudah dirasuk dengan bermacam-macam fikiran. Dicampur pula dengan kata-kata Shafique yang entah apa-apa tadi.

Along, diaorang hilang ke mana ni? Diaorang kena culik ke?

Terus sahaja rasa panik Shafique terjangkit padanya. Sehingga rasa marah terus menggantikan rasa bimbang sebaik sahaja kelibat Shafika serta Dhamira yang santai duduk di tepi pantai menyapa pandangan mata mereka berdua. Bergelak-ketawa tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Padahal di hati berasa lega kerana Shafika serta Dhamira baik-baik sahaja.

I said I was sorry, girl...”

Diam. Dhamira tetap membisu. Tangan sibuk mencedok nasi lemak ke atas pinggan. Buat-buat tak dengar... Namun panggilan ‘girl’ itu tidak lagi mengundang rasa tidak senang di hati Dhamira. Kenapa, ya?

Rafique mengeluh. “Saya risau tadi... awak perlu faham perasaan orang yang risau...”

Dhamira meletakkan senduk sambal ikan bilis kembali ke tempatnya. Tubuh kembali dipalingkan ke arah lelaki itu. “Awak risaukan Fika tapi yang awak nak lepaskan pada saya tu kenapa? Mana saya tahu semua tindakan Fika perlu dilaporkan pada awak atau Shaf?” lepas Dhamira lantang.

“Siapa kata saya hanya risaukan Fika?” soal Rafique pula dengan nada yang begitu dalam. Kening terjongket sebelah.

Terkedu. Dhamira tiada balasan. Mulutnya sedikit ternganga.

“Yang, lamanya ambik nasi...” tegur Danial dari tepi kiri. Matanya sudah menjeling ke wajah Rafique. Sengaja! Seolah-olah mencabar lelaki itu.

Errr... dah, dah...” Dhamira tergagap. Dia langsung berlalu diikuti Danial. Rafique mencapai pinggan dan menyenduk apa-apa sahaja yang berada di depan mata. Serius! Seleranya sudah mati.

“Kak Mira...” bisik Anis rapat ke telinganya. “Siapa tu kak? Handsomenya!!” Mata Anis mengerling ke arah Rafique yang baru melintasi meja mereka untuk ke tempatnya. Wajahnya penuh dengan riak teruja. “Malam tadi Anis nampak dia duduk sebelah akak. Lepas tu kan, dia asyik pandang je masa Anis menyanyi... Dia minat kat Anis ke?”

Terus tersedak Dhamira jadinya. Terbatuk-batuk dia akibat tercekik nasi lemak yang baru sahaja disuap ke mulut. Pedih tekaknya dek penangan sambal ikan bilis. Terkejut Anis lantas gelas berisi air suam dihulurkan kepada Dhamira. Belakang tubuh Dhamira ditepuk-tepuk. Danial memandang ke arah Anis bertanyakan kenapa. Anis hanya menjongket bahu.

Anis, Anis... tak habis-habis dengan sikap perasannya. Umur kalau nak diikut tahun, berbeza setahun saja daripada Dhamira, sebab itu Anis suka dianggap paling muda antara mereka. Maka, sengaja digunakan panggilan ‘kak’ untuk Dhamira, dan setiap anggota kumpulan D’Jammerz dipanggil ‘abang’, termasuk Danial. Setiap kali selepas membuat persembahan, pasti ada yang konon ‘tersangkut’ dengannya, padahal logiklah kalau semua mata bertumpu ke arahnya. Dia kan penyanyi utama? Perasan sungguh!

Rakus Dhamira meneguk air. “Kenapa Anis cakap macam tu?” serak suaranya. Tekak masih terasa perit.

“Yalah... Dia asyik pandang Anis je. Mesti dia minat kat Anis...” meleret sahaja Anis berbicara.

Dhamira menggelengkan kepala. “Akak pun pandang Anis. Semua yang ada kat dalam coffee house malam tadi pun pandang Anis. Jadi kita orang semua pun minat kat Anis la ya?” sindir Dhamira. Entah mengapa panas hatinya mendengar tutur kata Anis tadi. ‘Agak-agaklah kalau ya pun! Ini lelaki seperti Rafique. Yang tentunya mempunyai cita rasa yang tinggi. Errr.... tapi betul ke apa yang aku fikir ni? Kalau betul sangkaan Anis tu macam mana?’

Anis menceber. Tidak puas hati dengan kata-kata Dhamira. Rambutnya yang perang celup serta kerinting macam mi maggi dikuak ke belakang bahu. “So, siapa lelaki tu Kak Mira?”

“Abang Fika...” balas Dhamira nak tak nak.

“Abang Kak Fika?” soalnya teruja. “Mesti kaya, kan?” Mata kiri dan kanannya sudah memancar tanda dolar. Bukan dia tidak tahu latar belakang keluarga Shafika. Maklumlah, dia sudah mengenali Shafika serta kembarnya sejak mula menganggotai kumpulan D’Jammerz tiga tahun yang lalu. Abang mereka yang super hot ni saja yang dia tidak pernah jumpa. Senyuman sudah meleret. Idea sudah mula mencurah-curah.

Perangai Anis yang satu ni la yang tidak digemari Dhamira. Terlalu materialistik. Dengan Danial dulu pun Anis pernah mahu mencuba, namun setelah diberi kata dua oleh adiknya itu, Anis berhenti menggatal. Takut juga Anis dengan Danial, setelah gertakan untuk menyingkir Anis daripada kumpulan mereka diambil serius oleh gadis itu. Mungkin kerana membesar dalam keadaan penuh kedaifan, Anis memasang angan untuk mengubah kehidupannya setelah menjejakkan kaki ke ibu kota sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM. Rambut yang hitam pekat kini sudah perang, dan yang lurus kini sudah menjadi kerinting. Tubuh yang dulu berbaju agak sopan kian lama kian dibalut dengan pakaian yang singkat lagi sendat.

Dhamira cuma diam. Sudah arif dengan riak yang terpamer di wajah Anis. Walaupun di hati ada terbias rasa kurang enak, Dhamira cuba menolak perasaan itu jauh-jauh. Rafique bukan sesiapa baginya. Jika Anis ingin mencucuk jarum, silakan... Siapa dia untuk menahan?

Anis tiba-tiba bangun. Rupa-rupanya dia ke meja yang menghidangkan air kopi dan teh setelah melihat Rafique sedang menuang kopi ke dalam cawan. Pantas Dhamira melarikan mata. Tidak sanggup melihat aksi gedik Anis dalam misi mencari seorang lelaki berharta...

“Dah mula la tu...” ngomel Danial. “Gatal tak habis-habis...”

“Biarlah dia...” balas Dhamira.

Joseph menoleh lalu menggelengkan kepala. “Aku kadang-kadang fed-up dengan perangai dia. Malam tadi dia flirt dengan sorang Dato’ ni lepas show. Sikit nak kena serang dengan isteri Dato’ tu...” Jeda. Joseph memandang ke wajah Danial. “Anis ni dulu tak macam ni tau. Sekarang dia dah jadi urban semacam, aku dah mula risau. Takut sebab dia, nanti kumpulan kita yang dapat nama busuk...”

Danial mengeluh. “Aku pun... Shelly sebelum ni okey je perangai. Kalau tak sebab Shelly kahwin dulu, memang sah aku takkan setuju ambik si Anis ni...” ungkit Danial tentang penyanyi utama kumpulan mereka sebelum Anis.

“Betul tu...” celah Shark. “Aku cukup tak berkenan dengan perangai Anis ni. Dahlah tak berdisiplin...”

Kembali Anis ke meja dengan muka cemberut membuat semuanya senyap. Dhamira memandang pula ke wajah Rafique yang baru melepasi meja mereka. Wajah serius Rafique tidak memberikan sebarang gambaran namun melihat wajah Anis sahaja Dhamira seolah-olah dapat meneka. Mungkin Anis baru kena habuan mulut dingin ‘mamat sejuk beku’ tu... Eh, tapi kenapa aku suka pulak ni? Serius! Dhamira tidak suka dengan perasaannya yang mengelirukan ini! Tak suka apabila ada orang lain meminati lelaki itu dan suka tatkala orang itu ditolak lelaki yang sama. Stress betul begini!

“Sombong betul mamat tu. Bajet bagus sangat!” dengus Anis. Danial, Shark serta Joseph berbalas pandang. “Eleh, tak hairan la! Dato’ pun boleh syokkan aku, tau!” gerutu Anis lagi.

Dhamira menggelengkan kepala. Malu mendengar omelan Anis yang seolah-olah menjatuhkan maruah kaum perempuan sepertinya.

“Dato’ yang dah kerepot je nakkan kau! Kau tu boleh tak jaga sikit perangai tu? Boleh tak jangan nampak sangat yang kau ni terlampau desperate? Aku yang lelaki ni pun malu tengok perangai kau tau!” tegur Danial penuh bisa.

Anis terkedu. Memang selama ini hanya Danial yang berani menegur walaupun ketua kumpulan mereka ialah Joseph.

“Boy...” tegur Dhamira perlahan.

Anis mencemik. “Macam mana la Kak Mira boleh tahan dengan mulut Abang Danial ni, ek?’ getus Anis yang masih tidak tahu hubungan sebenar antara Dhamira dengan Danial. Lagipun, Anis jarang berjumpa dengan Dhamira. Sangat-sangat jarang. Wajah garang Danial tidak berani dipandang.

“Mira? Dah makan ke? Jom?” ajak Shafika dari meja sebelah.

Dhamira bangun. “Jo, Shark, Anis... jumpa lagi. Bawak van tu nanti hati-hati tau!”

Hanya Joseph serta Shark yang mengukirkan senyuman ke arah Dhamira. Tangan diangkat tanda hormat. “Jumpa lagi, Mira...”

“Aku ciao dulu!” ujar Danial. “Aku jumpa korang kat KL nanti...”

Danial serta Dhamira berjalan seiringan mengikut langkah ketiga-tiga beradik itu. “Boy, kau nak ikut tak?” soal Shafique.

Korang nak pergi mana?”

“Fika nak jalan-jalan sampai ke Kemaman. Entah apa dia nak cari kat situ pun aku tak tahu... Jomlah...”

“Aku penatlah... Aku nak rehat kejap. Petang nanti aku join aktiviti korang...” balas Danial. “Yang, kalau Yang nak ikut, pergilah...”

Dhamira menggeleng kepala. “Fika... aku nak duduk dalam bilik je ya? Nak baca buku... Aku malaslah nak ikut...”

Alaaaa... okeylah...” Shafika membalas lambat-lambat. Sempat Shafika melihat abangnya mengetap gigi sebelum pandangan dilarikan dari wajah Dhamira. Jatuh simpati dia terhadap abangnya. Tentu abangnya sedang makan hati sekarang ini. Dia kini yakin 100% bahawa abangnya sudah terpikat dengan temannya itu. Sejauh mana abangnya suka akan Dhamira, itu dia tidak tahu. Tapi nampak seperti abangnya tidak akan melakukan apa-apa tindakan untuk ‘merampas’ Dhamira dari tangan Danial. Danial pula sudah bersedia melepaskan Dhamira ke tangan Rafique... Cuma dia mahu Rafique yang memulakan tindakan yang sewajarnya. Aduh... pening kepalanya. Kalau macam ni, rancangannya untuk menyatukan Dhamira dengan abangnya tidak akan tercapai! 


6 comments:

  1. bila ye nk keluar buku ni? cari di pesta buku antarabangsa pon xde lagi..
    sob sob..

    ReplyDelete
  2. Buku ni keluar masa pesta buku antarabangsa hari tu sis... Ada kat booth lovenovel. Sorry lynn tak perasan komen sis ni... InsyaAllah nanti akan keluar kat kedai buku ya... :D

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....