Monday, 18 April 2016

Rafique's Girl - Bab 11

Sorry, kalau aku terlebih emosional tadi...” ucap Shafika perlahan. Dia duduk di birai katilnya menghadap Dhamira yang juga sedang duduk di katil sendiri.

Dhamira tersenyum segaris. “Kau dah okey?”

Much better. Aku terkejut sebenarnya jumpa dia tadi. Sebab aku tak sangka yang aku akan terserempak lagi dengan dia lepas kejadian tu. Tapi sekarang aku dah okey. Kau jangan risau, ek?”

Tak risau? Sesuatu yang sukar. Takkan dia pernah lupa betapa terkesannya Shafika dengan tindakan Naqib dulu. “Kau masih tak nak report polis?” soal Dhamira mengharapkan agar Shafika mengubah pendiriannya.

Shafika menggelengkan kepala. “Dia tengah high masa tu. Dia tak sedar pun dia buat perkara tu pada aku. Yang penting aku selamat. Dan aku yakin dia takkan lupa penampar yang kau dah bagi dia bagi pihak aku...”

“Huh! Tak puas aku sekadar tampar dia. Patutnya aku smackdown dia sekali-dua...” Dhamira berjenaka dalam keterpaksaan. Kalau ikutkan hati, memang Naqib sepatutnya menerima pengajaran yang lebih teruk lagi daripada apa yang telah diberikannya, namun biarlah... Tiada guna lagi mereka memandang ke belakang.

Shafika ketawa halus. “Aku rasa dia takkan berani nak tunjukkan muka dia depan aku lagi lepas ditumbuk Shaf dulu. Lagipun dia masih takut dengan ugutan aku yang nak lapor pada polis kalau dia berani dekati aku lagi...”

“Bila Shaf tumbuk dia?”

“Lepas kau tampar dia, kau kan blah macam tu je... Tak lama lepas tu, orang nampak Shaf tumbuk dia. Bila aku tanya Shaf, dia mengaku tumbuk Qib...”

Dhamira mengangguk. “Fika... tadi abang kau tanya aku pasal Qib... Tapi aku tak cerita apa-apa... Aku masih berpegang pada janji aku pada kau...”

Satu keluhan berat dilepaskan Shafika. Teringat wajah sugul abangnya ketika dia dan Dhamira menghampiri dirinya serta Shafique di pantai siang tadi. Abangnya telah meminta Shafique serta Dhamira meninggalkan mereka bersendirian.

Lama Rafique diam setelah mengambil tempat duduk Shafique tadi. Sekali-sekala mata abangnya akan singgah di wajahnya. Mungkin Rafique tidak tahu bagaimana hendak memulakan bicara dengannya. Yalah... mereka bukannya rapat pun selama ini...

“Along rasa mungkin along ni abang yang paling teruk dalam dunia ni, kan?” Rafique akhirnya berkata-kata. Perlahan suaranya. Nada yang penuh dengan kekesalan.

Laju kepala Shafika berpaling.

“Fika dan Shaf membesar dalam keadaan mata along tertutup. Banyak perkara tentang korang berdua yang along tak tahu... dan tak pernah cuba nak ambik tahu...” Rafique melarikan mata dan memandang jauh ke arah Laut China Selatan yang berombak tenang. “Work was my life... it still is... Disebabkan along tak nak join business abi, along rasa macam along terpaksa kerja berganda-ganda lebih kuat untuk buktikan pada semua yang along boleh berjaya tanpa pengaruh abi... Sampaikan along sanggup korbankan masa bersama keluarga... especially dengan adik-adik along sendiri...”

Shafika hanya membisu. Mendengar luahan hati si abang yang amat-amat menyentuh perasaannya. Melihat senyuman hambar di bibir abangnya. Senyuman yang jarang-jarang dipamerkan, tak kisahlah senyuman ikhlas atau tawar seperti kini.

Twenty five years wasted just like that... Takde apa-apa pun yang mampu along buat untuk dapatkan masa tu balik... Tapi along harap, Fika sudi beri peluang pada along untuk jadi seorang abang...”

Mata Shafika kembali berkaca. Dia mengerti permintaan Rafique. Rafique mahu dia berkongsi perasaan hatinya yang tiba-tiba berubah sejak kehadiran Naqib tadi. Abangnya itu mahu dia membuka mulut. Berterus-terang menceritakan semuanya tanpa perlu dipaksa. Meletakkan kepercayaan pada seorang abang yang seharusnya menjaga dan melindungi...

“Fika kenal dia masa tahun akhir...” Shafika mula bercerita. “Fika ada projek. Ada orang rekomenkan dia jadi photographer. Dia pro, dan banyak tolong Fika dalam projek Fika. Fika puas hati sangat dengan hasil kerja dia...” Jeda. Shafika menaburkan pandangan ke dada laut. “Satu petang tu, Fika pergi ke studio dia nak collect semua gambar yang dia dah tangkap. Dia sorang je kat studio masa tu tapi Fika tak rasa apa-apa pun. Lepas tu baru Fika perasan yang dia macam lain... macam lalok semacam...” Jeda lagi. Shafika menelan liur. Terasa sukar untuk menyambung penceritaannya.

He attacked you!” Rafique tidak perlu bertanya namun melemparkan kenyataan yang begitu pasti.

Yes...” Shafika mengaku begitu perlahan, seakan berbisik.

“Fika... Fika...” Rafique tidak sanggup menghabiskan soalannya.

“Fika dapat lari, Alhamdulillah... Fika selamat...” balas Shafika memahami.

Rafique menekup tangan ke dada lalu melepaskan nafas kelegaan. “Polis?”

“Tak... Fika tak buat laporan. Fika tak nak...”

“Kenapa?” soal Rafique jelas tidak puas hati dengan keputusan yang telah diambil Shafika.

Laju Shafika menggelengkan kepalanya. Soalan Rafique tidak mampu dijawab.

And him?”

“Kena tampar dengan Mira dan kena tumbuk dengan Shaf...” Terukir jua senyuman di bibir Shafika melihat mata Rafique yang terbuntang mendengar kata-katanya. “Bila Fika cerita pada Mira, Mira terus report pada Shaf. Lepas tu, Fika tak tahu Mira menghilang pergi ke mana. Rupa-rupanya dia pergi sorang-sorang ke studio Qib. Mira cerita pada Fika yang dia marah-marah Qib, lepas tu dia tampar muka Qib sebab terlalu marah!” Shafika turut bercerita tentang tindakan Shafique terhadap lelaki yang sama.

“Dia pergi sorang-sorang?” Rafique mengetap bibir.

“Haah... Fika pun terkejut! Berani betul Mira tu. Kalau apa-apa jadi pada Mira masa tu, Fika mesti akan salahkan diri Fika sendiri...”

“Pemain gitar tu tak larang ke?”

“Dia tak tahu... Mira tak cakap pada dia. Dah lama sikit lepas tu baru Boy tahu. Itu pun Mira terlepas cakap... Teruk Mira kena bebel...”

Hingga kini Shafika masih tertanya-tanya mengapa abangnya kelihatan begitu berapi. Marah kepada Naqib atas apa yang dilakukan terhadap dirinya atau marah kerana tindakan Dhamira? Dia sendiri tidak tahu. Abangnya begitu misteri...

“Mira... aku dah cerita semuanya pada along...” luah Shafika.

Really?”

Shafika mengangguk. Laju mulutnya menceritakan kepada temannya segala yang berlalu antara dirinya dengan si abang sulung siang tadi. “Sedih aku dengar pengakuan along tadi... Along macam tak setuju aku tak report polis... tapi biarlah... Aku tak nak kenang lagi kisah tu...”

Your choice, Fika, aku tak nak paksa... tapi kalau kau ubah fikiran, masih belum terlambat...”

“Aku tahu... thanks...” ucap Shafika.

“Fika... dari pagi tadi aku nak tanya...” Dhamira menggigit bibir. Dia perlu tahu. “Macam mana abang kau boleh ada sekali dengan kita kat sini?”

“Entahlah... Hari tu dia tanya kita nak pergi mana. Mula-mula dia macam berminat nak ikut. Lepas tu dia kata tak pasti sebab dia sibuk. Tup tup pagi tadi dia dah bertenggek kat rumah. Punyalah awal dia datang. Aku dengan Shaf pun tak mandi lagi along dah siap...” Shafika ketawa geli hati. Namun reaksi Dhamira diamati. Riak Dhamira seperti tidak puas hati. Kenapa ek?

“Peliklah along kau tu! Dahlah panggil aku girl!” gerutu Dhamira lagi.

“Hah yang tu aku rasa sweet sangat! Sesuai dengan kau!” Shafika berpaling tadah. Berpihak kepada abangnya. Abangnya kan mamat sejuk beku. Sejak dua menjak ni, Rafique nampak seperti sudah kurang sedikit tahap bekunya. Perlakuan-perlakuan abangnya ada yang mampu mengejutkan dirinya serta Shafique, seperti makan sisa makanan Dhamira, mahu duduk semeja dan berbual-bual dengan mereka berdua, dan yang paling utama, mengambil cuti untuk bersama-sama mereka dalam percutian ini. Seingat Shafika, sejak abangnya mula menempuh alam pekerjaan, dia sudah tidak lagi menyertai sebarang percutian keluarga. Sibuk memanjang. Workaholic!

“Cis! Kureng!” jeling Dhamira. Dia menjelirkan lidah. Semakin kuat Shafika ketawa.

“Kau dah ready ke untuk malam ni?” soal Dhamira sebaik sahaja Shafika berhenti ketawa.

“Aku ready. Lagipun, Qib dah check out. Shaf yang beritahu aku tadi. Rupa-rupanya, dia ada buat shoot kat hotel ni sejak semalam, atas permintaan pihak hotel... untuk majalah mana entah...” jelas Shafika.

“Mana Shaf tahu?” soal Dhamira.

“Entahlah... tapi macam kau tak kenal Shaf. Dia akan siasat sampai puas hati...”

“Baguslah macam tu...” Ya. Shafique memang begitu. Otaknya bergeliga. Kalau ada sesuatu yang memusykilkan hatinya, dia tidak akan teragak-agak untuk membuat siasatan sendiri. Ini pula yang melibatkan kakak kembarnya. Lagilah dia tidak akan mendiamkan diri.

So apa plan malam ni?” soal Shafika.

“Boy sibuk untuk persiapan malam ni. Jadi, dia tak dapat nak dinner sama-sama dengan kita. Jadi kita dinner berempat je dulu. Show mula pukul 10.00...”

“Kalau macam tu, biar aku call Shaf tanya dia nak makan kat mana la. Aku macam nak pekena seafood...”

“Okey... Aku tak kisah... Aku ikut je, asalkan pukul 10.00 kita dah sampai sini balik. Boy dah bookkan meja untuk kita.”

Sementara Shafika menelefon kembarnya, Dhamira berlalu ke meja solek. Rambut dirapi dan disanggul tinggi. Pelembap bibir dicalit ke bibir. Siap!

“Jom, Mira! Along nak bawak kita makan kat Kampung Cherating...” ajak Shafika sebaik ganggang telefon dikembalikan ke tempatnya.

Dhamira mencapai tas tangan dari atas katil. “Jom!”

Ketika Dhamira membuka pintu bilik, pandangannya bertembung dengan mata Rafique yang sedang menyarungkan sandal di luar bilik. Dengan jean gelap berwarna hitam serta baju polo yang melekap di badan, Rafique kelihatan begitu... berbahaya! Jantung mula berdegup laju. Pantas Dhamira mengalihkan pandangan. Dia masih tidak mengerti reaksi tubuhnya setiap kali bertembung pandang dengan lelaki itu. Yang lebih parah, dengar suara saja, dada dah terasa sempit semacam.  ‘Kenapa, ya? Dengan Kuzim aku macam ni ke dulu? Macam tak...’

“Fika?” suara dalam Rafique menyeru nama adiknya. “Okey?”

Laju kepala Shafika mengangguk. Senyuman manis dihulurkan kepada abangnya. Terharu. Terbias rasa bimbang di wajah abangnya.

Mereka berempat sama-sama berjalan ke tempat letak kereta. Mengikut sahaja ke mana Rafique mahu membawa mereka.

“Along pernah datang sini ke? Macam sedap je...” komen Shafika sebaik kaki masuk ke dalam sebuah restoran yang menghadap laut. Bayu laut yang lembut menyapa ke muka. Nyaman...

“Ramainya orang... sempat ke balik hotel sebelum kul 10.00 ni?” gumam Dhamira risau. “Nanti Boy tercari-cari pulak...”

Rafique mengetap bibir. Gadis itu dijeling tajam. Entah mengapa kata-kata Dhamira tadi buat dia berangin seluruh badan. Tak habis-habis dengan si pemain gitar! Huh!

“Jangan risau, Mira. Along dah call restoran ni tadi. Dah siap order pun...” Shafique bersuara.

Riak lega di wajah Dhamira membuat Rafique berniat mahu berlama-lama di restoran itu. Menyesal pula membuat pesanan awal-awal tadi. ‘Kalau lambat dapat makanan pun bagus jugak!’ Idea jahat mula berlegar-legar di mindanya.

Tak sampai lima minit mereka menunggu, makanan sudah mula dihidang. Beraneka lauk telah dipesan Rafique. Dhamira menelan liur. Terus bangkit seleranya melihat ikan siakap masak kukus kegemarannya.

“Sedapnya, long...” puji Shafique. “Mahu bersilat Shaf makan malam ni...”


“Eleh! Kau makan kat kedai mamak pun bersilat!” sindir Dhamira. Mulut mencebik ke arah Shafique. Shafika sudah menyengih.

Shafique sudah menarik muka empat belas. “Diamlah, kau!”

Dhamira menjelir lidah. Shafique mengangkat penumbuk seolah-olah mahu melayangkannya ke muka Dhamira.

Terdetik suatu rasa di hati Rafique. Rasa cemburu melihat keintiman hubungan antara adik-adiknya dengan Dhamira dan juga si pemain gitar. Mereka berempat ini memang rapat. Seperti saudara. Bertepuk-tampar, bergelak-ketawa bersama-sama dan yang paling buat dia rasa terharu, setiap mereka ini sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi yang lain, tanpa mempedulikan keselamatan diri sendiri. Adakah sahabat seperti ini dalam dunia Rafique? Mungkin Zaid seorang sahaja. Teman-teman yang lain, terutamanya dari universiti, walaupun rapat, namun tiada seorang pun yang sanggup bergolok gadai untuknya. Yang itu dia pasti.

Dhamira tersandar kekenyangan. Nasinya bertambah. Meminta itu dan ini tanpa segan-silu. Dia cukup berselera menikmati makan malam. Sedikit pun tidak menghiraukan layang pandang daripada Rafique yang memandangnya dengan riak geli hati. Walaupun wajah masih serius dan langsung tidak tersenyum, sorotan matanya jelas mempamerkan perasaan hatinya. ‘Eleh! Peduli apa aku? Rezeki jangan ditolak...’

“Malam ni aku bayar, ya?” Dhamira bersuara.

Terjongket kening Rafique. Tidak berkenan dengan kenyataan Dhamira.

“Beres!” balas Shafique dan Shafika hampir serentak. Sudah biasa dengan tawaran yang sering dilakukan oleh Dhamira. Dhamira serta Danial memang pemurah.

Excuse me? That’s not necessary!” tangkis Rafique.

“Apa salahnya saya nak belanja? Dahlah saya datang ni tak contribute duit minyak sikit pun. Biarlah malam ni saya belanja...” bidas Dhamira pula. Walaupun niatnya ikhlas, dia enggan dianggap suka mengambil kesempatan pula. Jadi, tidak salah kalau dia mengeluarkan belanja sedikit, bukan?

“Tak payah!” Tegas. Wajah Rafique sudah muncul garis-garis tegang.

“Saya tak kira! Saya nak bayar jugak!” Dhamira berdegil. Pantas dia bangun menuju ke kaunter. Tidak mahu lagi mendengar sebarang bantahan daripada lelaki itu.

“Hesy!” dengus Rafique. Dia turut bangun mengikut langkah Dhamira. Shafika serta Shafique berbalas pandang. Ketika Shafique menjongketkan keningnya, Shafika tersengih.

Diaorang berdua ni memang sesuai kan?” soal Shafika perlahan.

Shafique mengangguk. “Masa mula-mula kau cakap dulu, aku tak yakin sangat. Tapi sejak aku perasan along yang lain macam bila ada Mira, baru aku berani mengaku. Along memang sesuai dengan Mira...”

“Aku rasa along cemburukan Boy. Setiap kali Mira sebut nama Boy, muka along tegang semacam...” getus Shafika lagi.

“Betul... Aku pun perasan...”

Di kaunter pembayaran, mak cik yang bertugas kelihatan sedikit keliru. Matanya berkalih daripada wajah kelat si jejaka tampan, ke wajah cemberut gadis manis di hadapannya. Masing-masing menghulurkan duit nota ke arahnya.

“Mak cik, ambik duit saya. Saya bayar...” ujar Dhamira.

“Mak cik, saya yang call buat pesanan tadi, jadi biar saya yang bayar...” bidas Rafique pula.

Dhamira menjeling Rafique tajam. Jelingan yang hampir membuatkan duit nota di tangan terlepas daripada pegangan. ‘Bahaya betul budak pompuan ni!’ Rafique kembali memandang ke arah mak cik di hadapannya. Sudahnya, mak cik tadi memilih untuk menyambut duit huluran dari tangan Rafique. “Dik, biarlah cik abang ni yang bayar, ya? Esok-esok, adik pulak yang belanja cik abang ni, ya?” gurau mak cik tadi.

Bibir diketap geram. Dhamira tidak puas hati! ‘Cik abang my foot!’ “Huh! Ego!” dengus Dhamira sebelum berlalu.

“Jomlah, balik!” Dhamira bersuara dengan nada yang marah ke arah Shafika serta Shafique. Tanpa menunggu sesaat pun, langkah diatur keras menuju ke kereta.

Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, Dhamira senyap tidak bersuara. Hatinya masih sebal. Rafique turut senyap namun matanya sering berlabuh ke wajah gadis itu. Mengintai melalui cermin pandang belakang. Menyedari gadis itu tidak puas hati dengannya. Hati terasa cukup terhibur dengan perangai gadis itu yang macam-macam. Seperti yang pernah terdetik di benaknya, ada sesuatu yang berbeza pada gadis itu. Untuk menghuraikan ciri-ciri atau personaliti gadis itu, dia yakin dia harus menggunakan pelbagai kata adjektif bagi melengkapi huraian yang dimaksudkan. Selamba, comel, sempoi, setia, berani, degil, manja, kuat makan, mulut agak laser, suka bertindak melulu dan bermacam-macam lagi. Satu lagi... istimewa. Mengapa istimewa? Kerana hanya gadis itu yang bisa membuat dia hilang kawalan terhadap nafas, dada serta jantungnya... Rafique mengeluh dalam hati. Antara beribu gadis di luar sana, mengapa tubuhnya hanya bertindak begini terhadap gadis yang sudah menjadi kepunyaan orang lain?

Kembali ke hotel, mereka dibawa ke suatu meja yang terletak agak berhadapan dengan pentas. Susun atur meja dan kerusi di dalam coffee house ini sudah berubah. Lebih sesuai untuk menikmati persembahan yang bakal diadakan. Dhamira sudah mula dirasuk perasaan teruja. Rasa bengang terhadap Rafique tadi sudah hilang sebaik mengenangkan kumpulan D’Jammerz akan naik ke pentas tidak berapa lama lagi.

Excitednya aku, Mira. Aku dah lama gila tak tengok Boy perform!” ujar Shafika dengan nada ceria.

Mereka berempat duduk sebaris menghadap ke hadapan. Agak melengkung susunan kerusi mereka. Seperti huruf ‘C’. Shafique duduk di kerusi paling kiri, diikuti dengan Shafika, Dhamira dan kemudian Rafique. Dhamira pada mulanya ingin bertukar tempat duduk dengan Shafika kerana dia tidak betah duduk di sebelah Rafique sepanjang persembahan, namun Shafika enggan bertukar dengannya atas alasan kerusinya benar-benar menghadap ke tengah-tengah pentas. Cis!

Why ego, girl?” soal Rafique dekat di telinga Dhamira. Memandangkan Shafika ralit berbual dengan Shafique, Rafique mencuri peluang untuk membentangkan soalan yang mengganggu mindanya sejak tadi.

Laju kepala Dhamira berpaling ke arah kanan. Wajah berkerut Rafique yang hampir dengan wajahnya dipandang sekilas. Ya Allah, rapatnya! Sehinggakan kolong wangian Declaration daripada jenama Cartier mampu dihidu Dhamira.

Why, girl?” desak Rafique.

Sekali lagi Dhamira berpaling tapi wajahnya dijarakkan sedikit. “Sebab awak jenis yang pantang kalau pompuan yang bayar, kan? Kenapa? Tercabar ke kelakian awak kalau pompuan yang bayar untuk awak?”

There is a difference between egoistic and simply being chivalrous... Faham?”

“Huh!” dengus Dhamira. “Whatever!” Tidak mahu kalah.

“Awak nak balas balik jasa saya bawak kereta dari KL ke sini? Fine! Saya terima. Tapi bukan ramai-ramai macam tadi. Dinner! Just the two of us!”

Membuntang mata Dhamira. Dinner? Berdua je dengan dia? No way!!

Sama dengan reaksi Dhamira, Rafique sebenarnya pun sedikit terkejut dengan kata-kata yang meluncur dari bibirnya? ‘Apa aku cakap tadi? Gila aku ni ajak girlfriend orang keluar dinner dengan aku. Aku memang sengaja nak cari pasal dengan si pemain gitar tu, kan?’

“Tak hingin!” tolak Dhamira.


Rafique menjongket bahu seolah-olah tidak terkesan dengan penolakan gadis itu. “Tak kisah... Tapi jangan termakan budi dengan saya sudahlah ya...” gumam Rafique perlahan namun bisa ditangkap telinga Dhamira. Belum sempat Dhamira membalas, lampu di dalam coffee house dimalapkan sebelum pengacara majlis membuat pengumuman serta kata alu-aluan. Seketika kemudian kelima-lima ahli kumpulan D’Jammerz naik ke pentas. Gema sorakan membuat Dhamira lupa apa yang ingin diperkatakan sebentar tadi. Matanya menangkap mata Danial lalu menghulurkan senyuman penuh bangga. Danial mengenyitkan mata ke arah kakaknya. Rafique memaksa diri untuk kekal duduk di kerusi. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dia beredar dari situ. Semoga dia mempunyai kudrat untuk terus kekal di tempat duduknya sepanjang persembahan nanti...

4 comments:

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....