Wednesday, 30 March 2016

Rafique's Girl - Bab 4


Pelukan dua orang sahabat itu seakan tidak mahu dilepaskan. Ingin meledakkan rindu yang bersarang di hati. Lebih dua tahun mereka terpisah... banyak yang telah berlaku dalam tempoh itu... Dan rasa terkilan dan kesal di hati Shafika kerana tidak dapat pulang sewaktu Dhamira diduga dengan begitu hebat masih menebal... Sukar baginya untuk pulang memandangkan baru beberapa bulan dia menjejakkan kaki ke kota Paris. Rasa diri gagal sebagai seorang sahabat... Semasa Dhamira jatuh dia tiada, tapi kini Dhamira sudah bangkit kembali. Apa-apa pun, dia amat-amat bersyukur...

“Kau dah kurus, Fika...” bisik Dhamira perlahan menahan sebak. Pelukan dirungkaikan lambat-lambat.

“Sebab aku nak comel macam kau...” balas Shafika juga dengan suara yang serak. Dhamira menepuk bahu Shafika. Tahu Shafika mengusik ketinggian serta saiz badannya yang sering dipanggil kemetot. Terburai tawa Shafika.

“Hoi, korang. Duduk boleh tak? Kalau korang nak buat drama air mata kat sini, aku nak blah. Nanti orang rekod pakai smart phone, viralkan aksi terlebih mesra korang ni, aku tak tahu... Aku tak nak masuk campur...”

Spontan kepala Dhamira dan Shafika berpaling. Dan spontan juga tangan mereka menampar bahu kiri dan kanan Shafique. Kuat. Menyeringai Shafique kesakitan. Si Danial pula terkekek-kekek melihat muka cemberut Shafique. Padan muka!

“Hoi! Sakitlah! Kureng...” jerit Shafique. Shafika menjelirkan lidah sebagai balasan. Geram dengan kata-kata kembarnya sebentar tadi.

“Duduklah woi! Orang dah tengok pelik korang bertiga ni...” gesa Danial. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Yang lain pantas ikut serta setelah menyedari berpasang-pasang mata di sekeliling mereka memandang mereka dengan senyuman sinis. Sibuk je!

“Aku nak merajuk ni. Dah berapa hari kau balik, baru hari ni kau call aku untuk jumpa...” adu Dhamira dengan suara yang konon berkecil hati. Mulut dimuncungkan sedikit.

Danial menjulingkan mata ke atas. Over betul!

Sorrylah... aku sampai je KL, mula-mula sekali aku kena ziarah kawasan... ramai sangat nak kena jumpa... kena balik kampung untuk mencemar duli lagi... Kalau tak, telinga aku tak tahan kena bebel dengan nenek sebab balik tak jumpa sanak keluarga... Habis belah ibu dengan abi aku kena round... Penat sangat...” ngomel Shafika.

Dhamira mendengar dengan tekun penceritaan temannya. Tahu dia akan kewujudan keluarga Shafika yang agak besar itu. Tidak seperti dirinya dan Danial...

“Kau apa cerita? Masih cover cerita pasal masalah remaja?” soal Shafika.

Dhamira mengangguk. Meluncur dia bercerita tentang perkembangan kariernya sebagai seorang penulis bebas. Shafika asyik mendengar. Sekali-sekala dia akan mencelah untuk bertanyakan dengan lebih terperinci aktiviti-aktiviti luar yang dilakukan Dhamira untuk mendapatkan sesuatu cerita. Sungguh menarik dirasakan kerjaya temannya ini.

“Nanti kau boleh tuliskan artikel untuk butik aku?”

Mata Dhamira membulat. Lebar senyumannya. “Kau nak bukak butik?”

“Tu masih dalam perancangan sebab dari dulu lagi cita-cita aku nak bukak fashion house aku sendiri. My own label...”

Dhamira menepuk tangan tanda teruja. “Waaaa.... bestnya... excited gila aku dengar beb!”

Tersenyum Shafika, Shafique serta Danial melihat gelagat Dhamira. Macam budak kecik!

Wanna be my business partner?” Shafika membuat tawaran. Keningnya dijongket-jongketkan.

Senyuman di wajah Dhamira tambah memekar. “I thought you’d never ask!! Tapi setakat aku jadi silent partner bolehlah beb. Aku tak tahu apa-apa pun pasal fashion. Tahu beli dan pakai je. Nak run a business pun aku tak tahu. Jadi kalau kau perlukan pelaburan dari segi kewangan, aku on je beb!” Dhamira terharu Shafika menawarkan peluang pelaburan untuknya. Dia yakin dengan kemampuan Shafika. Shafika seorang yang rajin dan kuat berusaha. Suka berdikari dari dulu lagi. Setelah tamat pembelajaran dalam bidang seni reka fesyen di kolej, Shafika telah menyambung pengajiannya di Paris. Belajar sambil bekerja di bawah pimpinan pereka fesyen terpilih di sana.

“Aku masih berbincang dengan abi dan Shaf. Diaorang kan dalam business tekstil, jadi berkait rapat dengan kerja aku nanti. Jadi aku nak dapatkan pendapat dan nasihat abi tentang rancangan masa depan aku...”

“Beres, dah ada business plan nanti beritahu aku...”

“Eh, aku kau tak nak ke?” soal Danial mengusik. “Aku pun boleh je jadi silent partner...”

“Kau biar betul, Boy! Kau nak ke jadi partner kepada dua orang pompuan yang kepala tak berapa nak betul ni?” tanya Shafique pula. Dia menahan tawa. “Kang, dengan kepala kau sekali jadi biul...”

“Hei!!” jerit Dhamira dan Shafika serentak. Kepala tak berapa betul? Cis! Kureng!

Danial serta Shafique berbalas tepukan high five! Berdekah-dekah mereka ketawa. Suka benar dapat mengenakan Dhamira serta Shafika.

Takdelah... aku gurau je. Biarlah aku jadi partner kepada Jo sorang... Korang berdua venturelah sendiri. Aku tak nak masuk campur. Aku tahu pasal muzik je, pasal fesyen memang out,” ujar Danial dengan tawa yang masih bersisa.

Seketika itu telefon bimbit Shafique berbunyi. Sambil dia menjawab telefonnya, yang lain sibuk memanggil pelayan untuk memesan makanan dan minuman mereka.

“Siapa Shaf?” soal Shafika setelah melihat Shafique mematikan talian.

“Along...” jawab Shafique. “Dia tanya kita kat mana. Dia tertinggal kunci rumah jadi dia akan singgah sini untuk ambik kunci aku... ada barang yang dia nak ambik dari rumah tu...”

“Oh...” balas Shafika. “Aku dah order untuk kau dah...”

Shafique mengangguk. “Thanks...”

Begitu rancak keempat orang sahabat itu berbual. Persahabatan yang terjalin sejak hari pertama Dhamira menapakkan kaki ke pusat pendaftaran kolej mereka, semakin hari semakin utuh.  Tatkala berkenalan dengan Shafika, gadis yang menjadi teman sebiliknya sepanjang perjalanan pengajian mereka walaupun berlainan bidang, secara automatik Dhamira diperkenalkan kepada Shafique, kerana di mana ada Shafika, di situ ada Shafique dan sebaliknya.

Sama juga keadaannya dengan Dhamira dan Danial. Danial yang diamanahkan papa mereka untuk menjaga dan melindungi Dhamira telah menjadi bayang-bayang kakaknya sendiri. Sehinggakan sesiapa yang berkawan dengan Dhamira secara automatik akan berkawan dengan Danial dan sebaliknya. Akibatnya, Dhamira, Danial, Shafika dan Shafique sukar dipisahkan. Jika mahu mencari Danial, tanya sahaja salah seorang daripada yang tiga lagi. Pasti akan bertemu jawapannya.

Sesiapa yang tidak mengenali Dhamira dan Danial pula pasti akan menganggap mereka berdua ini berpacaran. Apa taknya? Walaupun Dhamira memegang pangkat kakak, wajahnya yang polos serta keanak-anakan dibandingkan dengan wajah dan perwatakan Danial yang sangat matang membuat seseorang itu berfikiran Danial adalah lebih tua daripada Dhamira, padahal mereka sebaya walaupun bukan kembar. Dan Danial memikul amanah yang dipertanggungjawabkan papa mereka dengan serius. Maka pergerakan serta pergaulan Dhamira dikawal rapi. Lebih kepada lagak seorang kekasih daripada seorang adik. Semua yang ingin rapat dengan Dhamira akan ditapis. Yang menjadi kesalahan besarnya ialah kesilapan pertimbangan ketika menapis makhluk Allah yang seorang itu... Dia gagal menapis dengan betul. Dan rasa kesal yang dirasakan hingga kini seakan tidak bertepi.

Tidak ramai yang tahu hubungan sebenar mereka berdua kerana mereka amat berahsia. Shafika dan Shafique pun hanya mengetahui tentang Dhamira yang mempunyai pertalian darah dengan Danial setelah enam bulan mereka berkawan. Dalam tempoh tersebut, kebaikan serta keikhlasan kedua kembar itu tidak dapat disangkal. Maka Dhamira tidak takut untuk berkongsi latar belakang keluarga mereka dengan Shafika dan Shafique. Dan ternyata kepercayaan yang diletakkan di bahu mereka berdua ini tidak pernah dikhianati.

Danial mengilas pandang ke arah kakaknya. Wajah ceria Dhamira memancarkan seribu kebahagiaan. Sudah agak lama kakaknya tidak segembira ini. Terlampau ralit Dhamira serta Shafika bertukar-tukar cerita, sehinggakan Danial dan Shafique langsung tidak dipedulikan. Sedang asyik bercerita dan bergurau senda, kerusi di sebelah Shafique ditarik. Kuat kedengaran bunyi geseran kaki kerusi di atas lantai.

Putus terus kata-kata Dhamira dengan gangguan bunyi yang datang secara tiba-tiba. Dia memanggung kepala. Ingin melihat gerangan makhluk yang sedang mengambil tempat di antara Shafique dengan Shafika. Membulat matanya pabila pandangannya menangkap renungan daripada tuan punya mata. Mamat ni?

Rafique juga terkedu sebenarnya melihat identiti kawan-kawan lepak adik-adiknya ini. Setelah menelefon Shafique tadi dan dimaklumkan tentang sesi perjumpaan dengan teman lama di restoran mamak ini, Rafique bergegas ke sini semata-mata untuk mendapatkan kunci rumah orang tua mereka yang tertinggal di dalam kondonya. Sudahlah ibu dan abi mereka tiada di rumah. Bibik mereka juga tiada, maka dia tiada pilihan lain. Kunci Shafique terpaksa dipinjam. Kalau tidak, berjanggutlah dia terpaksa menunggu di luar rumah...

Setelah memarkirkan keretanya, dia sudah dapat menangkap figura Shafika yang sedang berbual dengan seorang gadis. Shafique pula enak berbual dengan rakan lelaki yang duduk di sebelahnya. Mereka duduk di bahagian kaki lima di luar restoran. Apabila langkah semakin dekat, barulah dia dapat melihat dengan jelas wajah teman adik-adiknya. Ahli kumpulan D’Jammerz rupa-rupanya... Dan gadis itu... masih bersanggul tinggi namun kali ini tiada kebaya yang menyalut tubuhnya. Cuma tersarung jersi pasukan Liverpool yang bersaiz dua kali lebih besar daripada saiz sebenar gadis itu dan jean lusuh berwarna biru.

Hmmm along dah sampai?” soal Shafique berbasa-basi. Dia menyeluk kocek seluar jeannya. “Nah kunci rumah... Kata nak cepat kan?”

Rafique mengalihkan pandangan daripada mata bulat Dhamira. Dia menoleh ke kiri. Tangan menyambut huluran kunci daripada Shafique.

Danial berbalas pandang dengan kakaknya. Menghantar mesej melalui isyarat mata. ‘Mamat ni ke abang diaorang ni?’ Dhamira menjongket bahu.

Shafique masih menunggu abangnya bereaksi. Pelik melihat abangnya yang masih duduk. Tadi kata penat. Tadi kata nak cepat balik rumah. Ni kenapa tak bangun-bangun lagi?

Korang tak makan ke?” suara dalam Rafique pertama kali menyapa halwa telinga Dhamira. Rasanya ketika malam kenduri kahwin di Dewan Perdana Felda baru-baru ni, mamat ni langsung tidak bersuara. Hanya Uncle Syed tu sorang saja yang ramah berbual dengan mereka. Pertama kali mendengar suara mamat ni, kenapa dadanya berdebar? Terus berkerut dahinya.

“Dah order dah... tengah tunggu...” balas Shafique. “Eh, along, kenalkan... Ni Danial dan yang duduk antara Danial dengan Fika tu Mira... kawan kita orang dari kolej...” Shafique memandang ke arah Danial dan Dhamira pula. “Korang, ni along aku dengan Fika, Rafique...”

“Kita orang dah pernah jumpa dah abang korang ni minggu lepas... Kat kenduri kahwin anak Dato’ mana entah... Cuma tak tahu yang dia ni along korang...” balas Danial. Tangan tetap dihulurkan ke hadapan walaupun muka kerek mamat ni memang macam nak minta kena penampar je sebenarnya. Dahlah tak berkelip pandang Dhamira.

“Oh ya ke?” soal Shafika pula. Danial mengangguk.

Suasana yang tiba-tiba sepi mengundang rasa yang amat janggal di hati Dhamira. Sesungguhnya kehadiran lelaki ini telah membuat dia rasa kurang selesa. Padahal tadi bukan main rancak dia bercerita. Kenapa ya? Mungkin sebab abang Shafika ini orang yang tidak dikenalinya. Maka rasa janggal dan kurang selesa itu bukanlah sesuatu yang tidak normal.

Seorang pelayan menghampiri meja mereka. Ingin mengambil order tetamu yang baru menyertai mereka. Shafique ingin menyuruh pelayan tadi pergi memandangkan abangnya ingin lekas-lekas pulang ke rumah, namun sebelum sempat dia berkata-kata, Rafique sudah membuat pesanan. Eh? Apa hal?

Shafique berbalas pandang dengan kakak kembarnya. Kening dijongketkan. Shafika menjulingkan mata ke atas. Seolah-olah berkata, ‘macam-macamlah mamat sejuk beku ni...’

Suasana semakin canggung. Mereka tidak tahu apa yang mahu dibualkan.


Korang kenal dari zaman kolej ke? Maknanya dah lamalah berkawan...” suara Rafique memecah keheningan suasana. ‘Dan maknanya dah lamalah si mamat pemain gitar ni bercouple dengan si Mira ni...’ gumam Rafique di dalam hati. Namun tidak dinafikan terselit rasa kesal kerana jarang-jarang dia mengambil tahu tentang kehidupan adik-adiknya terutamanya semasa mereka berdua menyambung pelajaran ke peringkat kolej di Johor Bahru. Dengan siapa mereka rapat berkawan pun dia tidak tahu. Kerja di bank pelaburan dengan waktu kerja yang tidak menentu membuat dia leka dalam dunianya. Langsung tidak peka...

Hmmm... dari hari pertama lagi, long... Fika satu bilik dengan Mira walaupun kita orang ambik jurusan berbeza...” jelas Shafika. “Shaf dengan Danial pulak sama course tapi tak sama bilik...”

Kening Rafique terjongket. Hai... Pemain gitar ni belajar jurusan perniagaan? Biar benar!

Danial memahami riak yang terlayar di wajah Rafique. Jelas lelaki itu memandangnya dengan sebelah mata. Seperti yang lazim terjadi. ‘Apa? Ingat orang yang main muzik ni semua tak berpelajaran ke? How typical!’ Danial menghantar pandangan mengejek. Mahu Rafique sedar yang dia tahu apa yang terlintas di fikiran Rafique tadi.

Rafique mengangguk. Rasa sedikit bersalah kerana memandang rendah pada keupayaan orang lain. “Padanlah ada kedai muzik sendiri...” ujarnya perlahan.

“Mira ambik course apa?” Mata dilabuhkan pada wajah gadis itu. Tanpa sebarang solekan, Dhamira kelihatan seperti seorang budak sekolah. Wajah yang polos, unik dan apa yang Uncle Syed cakap hari tu? Classic Malay beauty? Hmmm... Kalau nak ikutkan, Dhamira bukanlah seorang gadis yang tergolong dalam kategori drop dead gorgeous. Nak kata gorgeous saja tanpa ‘drop dead’ pun tak berapa tepat... tapi... kenapa ya? Mata milik Rafique seolah-olah tidak mahu melepaskan wajah itu? Dan rambut yang terlepas daripada ikatan sanggul dan jatuh di tepi telinga Dhamira kelihatan amat seksi sekali. Lebih-lebih lagi pabila ditiup angin malam yang sekali-sekala berhembus.

Terangkat bahu Dhamira mendengar namanya disebut. Terkejut. “Errr...”

Belum sempat dia menjawab pertanyaan Rafique, pelayan tadi datang menghidangkan makanan yang telah dipesan. Penuh meja mereka. Rafique seorang sahaja yang tidak memesan sebarang makanan. Cukup dengan teh tarik segelas.

Rafique memegang gelas di hadapannya. “Siapa order Nescafe ais?”

Errr... saya...” jawab Dhamira perlahan.

Rafique menghulurkan gelas di tangan kepada Dhamira. Seketika, jarinya tersentuh dengan jari gadis itu. Hampir terlepas gelas di tangan. Seperti terkena renjatan elektrik. What the heck? Syukur gadis itu sudah menyambut gelas tadi.

Dhamira tunduk. Mengapa jarinya terasa seperti sesemut akibat sentuhan yang tak sampai sesaat tadi? Terasa mencucuk-cucuk...

“Yang... tolong pas kuah kari tu...” tajam mata Danial menangkap apa yang terjadi sebentar tadi. Sengaja dia mahu mengalihkan perhatian kakaknya. Wajah Rafique dijeling tajam. Danial menyedari rahang Rafique bergerak-gerak seperti sedang mengetap gigi sebaik sahaja mendengar panggilan ‘Yang’ tadi.

Dhamira yang tidak menyedari suasana tegang antara Danial dengan Rafique menghulurkan piring berisi kuah kari ikan seperti yang diminta adiknya. Shafique serta Shafika sudah mula menjamu selera.

“Boy...” rengek Dhamira sambil mengunyah. “Besar sangatlah roti naan ni... nanti tak habis...”

Takpe... Yang makan dulu, ya? Kalau Yang tak habis, Boy habiskan...” Lembut sahaja butir bicara Danial. Seperti biasa. Seperti selalu... Cebisan roti naan di pinggir bibir Dhamira dibersihkan dengan jari. “Comotnya Yang ni... cuba makan elok-elok sikit...”

Dhamira tersenyum manja ke arah adiknya. Seperti biasa. Seperti selalu...

‘Boleh tak aku nak muntah hijau sekarang?’ gerutu Rafique di dalam hati. Dia mengilas pandang ke arah Shafika dan Shafique. Ingin melihat reaksi mereka. Takkan takde rasa meluat langsung? Ke dari kolej lagi mereka berdua ni dah biasa buat aksi terlebih gedik macam ni? Hmmph!

“Eh, kau takde show ke minggu ni?” soal Shafique sambil mengunyah mi goreng. Langsung tidak menyedari kepanasan hati abangnya.

“Shark ada hal. Jadi kita orang takde gig. So, minggu ni off. Lagipun aku ada kena buat kerja sikit kat studio...”

“Eh... cakap pasal studio, baru aku teringat. Aku nak buat iklan radio untuk promo branch baru kedai kain yang kita orang nak bukak kat Bangi. Agensi dah buat jingle semua tapi aku tak berkenan dengan suara pompuan yang nyanyi tu. Aku nak suara Mira, boleh?”

Tersedak Dhamira jadinya. Terbatuk-batuk dia. Spontan Danial mengangkat tangan lalu mengusap perlahan belakang tubuh kakaknya. Gelas air suam di hadapannya disuakan dekat dengan mulut Dhamira. Dhamira membuka mulut lalu meneguk rakus. Dibiarkan sahaja Danial yang memegang gelas.

Panas mata Rafique melihat gerak laku Danial serta Dhamira. Sungguh kurang sopan bersentuh-sentuhan di khalayak seperti ini. Anak muda zaman sekarang memang sudah hilang rasa malu agaknya! Langsung tiada adab! Bibir diketap kuat.

“Kau ni nak bunuh aku ke Shaf?” bentak Dhamira. Perit terasa anak tekaknya tersedak ketika sedang menelan cebisan roti naan yang penuh bergelumang dengan kuah dal.

Kening Rafique terjongket sebelah. ‘Amboi boleh tahan kasar jugak minah ni!’

Sorry, sorry...” sukar bagi Shafique untuk menelan tawa. “Aku tanya elok-elok camtu pun kau boleh terkejut?”

Dhamira menjeling geram. “Sakit tekak aku siot!”

‘Okey... minah ni memang ganas...’ desis Rafique.

Alah... kau ni pun. Perkara kecik macam ni pun nak kecoh. Bukannya aku suruh kau menari gelek kat depan kedai kain aku tu. Aku nak kau nyanyi lagu iklan je... Muka kau pun orang takkan nampak. Bukan untuk siaran TV. Radio je pun...” Shafique membela diri.

Forget it! Tak minat,” balas Dhamira. Mata kembali dilabuhkan ke pinggan.

Alaaaaa....” Panjang betul bantahan Shafique. “Tolonglah... bukannya buat kerja free! Aku bayarlah...” Shafique cuba memujuk. Wajah Danial dicari. Isyarat mata dihantar agar Danial memujuk Dhamira. Dia tahu Dhamira selalunya akur akan pujukan atau permintaan Danial. Kalau nak harapkan dia, memang akan fail!

“Berapa lama jingle tu Shaf?” soal Danial.

“Tiga puluh saat. Lagu dalam dua puluh saat macam tu, lepas tu penyampai akan bersuara...”

Danial mengangguk tanda mengerti. “Kenapa nak guna suara Mira?”

“Aku nak suara orang yang lunak. Yang merdu bak buluh perindu gitu. Yang seksi dengan tersendirinya...”

Terbeliak mata Dhamira. Kureng!

“Kau nak rasa penampar aku ke bro?” soal Danial.

Shafique ketawa kuat. “Dah kau tanya, aku jawablah... Tapi memang betullah apa yang aku cakap tu. Biar orang dengar je suara Mira, lepas tu terus tergoda nak cari kedai aku... Sama macam orang tergoda nak beli roti Gardenia dengar suara pompuan tu menyanyi oh Gardenia... enaknya dimakan begitu saja...” Kata-kata Shafique diakhiri dengan lagu iklan roti Gardenia.

“Kau ni memang gila, Shaf. Sengal! Mana ada orang tergoda nak makan roti lepas dengar suara pompuan menyanyi? Melampau kau ni!” bidas Dhamira.

“Mungkin untuk kau tak... tapi untuk aku ya... Sebab tu aku suka makan roti Gardenia...” Shafique tersengih.

Danial menggeleng kepala. Memang dah tersampuk agaknya si Shafique ni. Entah apa yang direpeknya.

Blahlah kau!” Dhamira mencemik.

Tidak berkelip mata Rafique melihat perbalahan mesra di meja mereka. Shafika sahaja yang tidak turut serta. Terlalu enak menjamu selera. Matanya sering berkalih daripada Shafique ke Danial dan kemudian ke Dhamira silih berganti. Bergantung pada siapa yang sedang berbicara.

“Yang... no harm apa... Boy okey je dengan cadangan Shaf tu...” lembut suara Danial.

“Kau ni, Mira... dengan kawan pun nak berkira... masa ni la nak tolong kawan...” celah Shafique. Pantas Danial menjeling ke arah Shafique. Jelas memberikan isyarat agar Shafique mengunci mulut dan biarkan dia seorang sahaja yang memujuk Dhamira.

Dhamira terkedu. Teringat akan kepayahan Shafique berulang dari KL ke Shah Alam, kadang-kadang ketika lewat malam, semata-mata untuk menjenguknya suatu waktu dahulu. Ketika tu, dia masih tinggal di rumah peninggalan papanya di Shah Alam. Adakah Shafique kini sedang mengungkit segala kepayahannya dan mahu kebaikannya dibalas?

“Yang...” seru Danial.

Dan lelaki yang duduk di antara Shafique dengan Shafika semakin panas punggung.

Bulat mata Dhamira membalas pandangan Danial. Akhirnya dia mengangguk. Setuju.

Yes!” jerit Shafique sedikit kebudak-budakan.

Shafika yang ralit menghabiskan maggi goreng mencebik. Rindunya nak makan maggi goreng ni! “Macam budak-budak kau ni, Shaf.”

Kening Rafique bercantum. Begitu mudah dia dipujuk? Panggil ‘Yang’ je terus setuju? Kuasa apa yang dipegang lelaki bernama Danial ini sehinggakan mudah sahaja si gadis memberikan persetujuan?

Dhamira menolak pinggan ke arah Danial. Selera dia sudah mati. “Boy... tak habis... dah kenyang...”

Rafique mengerling ke arah baki roti naan di atas pinggan Dhamira. Masih banyak. Sudah kenyang atau sudah hilang selera? Hanya kerana bersetuju meminjamkan suara untuk iklan radio yang disebut Shafique tadi? Pelik!

“Yang... banyak lagi tu. Boy pun dah kenyang makan roti canai ni...”

Muncung mulut Dhamira mendengar penolakan Danial. “Tadi kata nak tolong habiskan? Membazir je...” ngomel Dhamira.

“Meh sini saya habiskan...”

Empat pasang mata sama-sama terbuntang melihat orang yang bersuara tadi menarik pinggan Dhamira rapat ke hadapannya. Namun, mulut Dhamira seorang sahaja yang ternganga. Dia cuba menarik kembali pinggannya. “Eh, jangan! Sisa saya tu...”

Kuat Rafique memegang pinggan Dhamira. Menahan pinggan plastik berwarna biru itu daripada bergerak. Pandangan tajam dihantar ke arah Dhamira. “Tadi kata tak nak membazir kan? Jadi biarlah saya yang habiskan...”

Tanpa disedari Danial mahupun Dhamira, Shafique dan Shafika saling berbalas pandang. Okey, ni bukan abang yang dikenali mereka. Makan bekas orang yang dia tidak kenal? Jangankan bekas orang yang dia tidak kenal, yang dikenalinya pun tak tentu dia akan sudi menjamah.

Nak tak nak, Dhamira terpaksa melepaskan pinggannya. Dia menelan liur. Rasa pelik, rasa hairan, rasa segan pun ada... Kenapa mamat ni?

Danial melihat Rafique mencubit roti naan dan mencecah pada kuah dal. Laju sahaja cebisan roti naan masuk ke dalam mulut. Seperti yang pernah terdetik di benaknya selepas pertemuan pertama mereka di Dewan Perdana Felda minggu lepas, dia bertanya sendirian. Inikah lelaki yang dicarinya?

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....