Thursday, 24 March 2016

Rafique's Girl - Bab 2


Dhamira rasa ingin meraung. Dia panik. Gugup. Gelisah. Takut. Sesak nafas. Dan kalau boleh dia ingin cabut lari...

“Boy...” serunya dengan suara yang tertahan.

Danial berpaling. Wajah Dhamira yang pucat lesu memulas tangkai hatinya. Mata kakaknya bulat menyerlahkan rasa takut yang tentunya bukan sedikit.

“Akak rasa akak tak boleh... akak nak balik...” putus Dhamira dengan suara yang terketar.

Danial menelan liur. Rasa mahu memeluk Dhamira yang nyata dilanda gugup pentas. Namun terlampau ramai manusia di ruangan menunggu ini.

You can do this, Kak Yang... akak bayangkan kita semua kat basement Jo tengah jamming, okey? Sama macam semalam. Jangan fikir benda lain...” pinta Danial. Bahu Dhamira dicengkam lembut.

“Kak Yang yang Boy kenal kuat orangnya. Kuatkan semangat, kak. Suara akak paling merdu yang Boy pernah dengar. You should have been a recording artist a long time ago...”

Dhamira mengambil nafas dan melepaskannya kembali. Beberapa kali. Sehingga rasa lega mula menyapa. Wajah penuh mengharap adiknya menjadi pemangkin untuknya menghilangkan rasa gugup di hati. Dia cuba senyum. Tetap manis di mata Danial walaupun sedikit goyah.

“Kak Yang nampak cantik sangat,” bisik Danial. “Lup lap lup lap baju kebaya akak ni. Matching pulak dengan baju Melayu Boy. Tak sabar nak berduet dengan akak lagu Hail Amir dengan Uji Rashid nanti...” Danial mengamati Dhamira dari sanggul yang diikat tinggi, baju kebaya berwarna merah hati yang dipadankan dengan kain batik Jawa lepas, sehingga ke ankle straps empat inci jenama Louboutin di kaki. Perfecto! Walaupun dengan tumit empat inci, Dhamira hanya mampu berdiri separas dagunya. Kak Yangnya memang kemetot. Tidak seperti kakak mereka, Damia dan dirinya sendiri yang mengikut baka arwah papa mereka.

Guys, we’re on...” suara Joseph yang tiba-tiba hadir membuatkan Danial dan Dhamira sama-sama menoleh. Danial kembali berpaling dan menghadap kakaknya. “Jom, Yang! Let’s kill them!” 

Sekali lagi Dhamira mengambil nafas panjang. Dengan suatu anggukan, dia membuntuti langkah Danial serta Joseph.

Masuk ke dalam dewan utama, Dhamira mendengar nama kumpulan D’Jammerz diumumkan. Cepat-cepat Dhamira melafazkan doa di dalam hati agar dia diberikan ketenangan. Tidak mahu menghampakan adiknya dan terutama sekali, dia tidak mahu kumpulan D’Jammerz mendapat malu. Melihat langkahnya yang penuh keyakinan ketika mengambil tempat, tiada seorang pun yang dapat meneka perasaan sebenarnya.

Sementara menunggu Danial, Joseph, Togel dan Shark mengambil tempat dan bersedia dengan alat muzik masing-masing, Dhamira melontarkan pandangan ke seluruh ruangan dewan yang penuh dengan tetamu jemputan. Seperti yang diperkatakan Joseph semalam, memang para tetamu rata-ratanya sibuk memulakan upacara santapan. Dia melepaskan nafas lega. Mungkin tiada siapa yang akan pedulikan kehadirannya di atas pentas ini.

Alunan muzik mula kedengaran. Danial sebagai pemain gitar utama, Togel pemain gitar bass, Joseph pemain dram dan Shark pemain keyboard. Persembahan dimulakan dengan lagu Selamat Pengantin Baru dendangan biduanita Saloma. Dhamira mula menyanyi. Wajah riang dengan senyuman manis dilayangkan. Tubuh turut dilenggokkan mengikut irama.



Danial mengerling ke arah Dhamira. Dia tersenyum bangga. Dhamira sebenarnya seorang penyanyi yang sangat natural. Rasa panik dan gugup tu memang biasa. Takkan ada seorang penyanyi, walaupun penyanyi profesional, yang tidak akan berasa gugup ketika naik ke pentas. Namun, pegang saja mikrofon, dengar sahaja muzik, buka sahaja mulut, rasa gugup tu terbang entah ke mana. Alunan muzik mula menakluki jiwa dan minda. ‘I knew you could do it, sis!’ fikir Danial. Sejak zaman remaja mereka lagi, Dhamira memang suka membuat persembahan seperti ini. Pantang ada apa-apa acara di sekolah mahupun di kolej, Dhamira dan Danial pasti akan terlibat. Semuanya berubah dua tahun yang lalu... selepas episod itu...

Di meja yang betul-betul berhadapan dengan pentas, Dato’ Syed Mahmood berhenti berkata-kata. Dibiarkan sahaja ayatnya tergantung. Berkerut dahi Rafique melihat Dato’ Syed Mahmood tercengang dengan mata terarah ke hadapan. Dia masih menunggu Dato’ Syed Mahmood menghabiskan kata-katanya tadi. Namun melihat Dato’ Syed Mahmood yang masih pegun tidak bergerak, dia turut mengalihkan pandangan ke arah yang sama dengan panahan mata Dato’ Syed Mahmood.

‘Sedapnya suara dia...’ bisik Rafique di dalam hati. Matanya turut terpaku. Lama.

“Raf...” bisik Dato’ Syed Mahmood setelah beberapa ketika tanpa mengalihkan pandangannya. Sudu dan garpu di tangan masih kekal statik.

Rafique berpaling bagi menyahut seruan kawan baik abinya ini.

Uncle ingatkan tadi Uji Rashid yang menyanyi. Penyanyi favourite uncle tu... terkejut uncle...”

Amboi! Minat Uji Rashid rupa-rupanya. Padanlah mata langsung tak berkelip!

“Cantiknya dia... classic Malay beauty. Reminds me of perempuan dulu-dulu macam pelakon Roseyatimah dan Saadiah...”

Rafique kembali menuntaskan pandangan ke arah gadis yang kini sedang menyanyikan lagu Anita Sarawak. Dalam hati mengakui kebenaran kata-kata Dato’ Syed Mahmood. Solekan yang ringkas yang dikenakan gadis itu menyerlahkan keunikan wajah si penyanyi. Classic Malay beauty? Hmmm...

Sesaat mata dilarikan ke atas pinggan, namun lekas-lekas mata dipanggung semula untuk menikmati pemandangan yang lebih enak daripada menu nasi minyak yang terhidang. Lenggokan tubuh gadis itu terasa amat menggiurkan. Membuat jantung Rafique bergendang lebih laju dan lebih kuat daripada ketukan si pemain dram. Satu lagu demi satu lagu gadis itu bernyanyi. Semuanya dihayati Rafique dengan tekun. Dia mengilas pandang ke meja-meja berdekatan. Nyata sekali bukan dia dan Dato’ Syed Mahmood sahaja yang terpesona. Berpasang-pasang mata daripada kaum sejenisnya turut asyik menikmati pemandangan yang sama. ‘Gatalnya diaorang ni semua! Padahal masing-masing bawak bini! Huh!’ dengusnya geram.

“Oh, uncle suka lagu ni...” bisik Dato’ Syed Mahmood dengan senyuman yang cukup lebar. “Lagu Hail Amir dan Uji Rashid...”

Tajam renungan Rafique melihat kemesraan yang dipamerkan gadis itu bersama pasangan duetnya, pemain gitar yang memakai baju Melayu yang sedondon dengan gadis itu. Bernyanyi sambil tersengih lebar. Bersama lirikan mata penuh dengan usikan manja. Ada suatu ketika si gadis menepuk bahu si pemain gitar. Hesy! Tahulah lagu usik-mengusik tapi perlu ke aksi over begini?

Rafique meletakkan sudu dan garpu ke atas pinggan. Entah mengapa dia sudah terasa kenyang walaupun nasinya masih berbaki separuh. Air sirap diteguk rakus. Namun matanya tetap tidak berkalih.

Tatkala muzik tidak lagi kedengaran, semua mata kembali bertumpu ke arah pengerusi majlis. Dan mata Rafique masih ke hadapan. Melihat si pemain gitar berbisik rapat ke telinga si gadis. Si gadis hanya mengangguk. Pandangan penuh kasih dilayangkan ke arah si pemain gitar. Hmmph!

Mata si gadis terpejam. Ada riak sedih terbias di wajahnya sebelum pantas ditelan bersama sekuntum senyuman sebelum mata dilarikan ke arah pentas utama. Setelah dijemput pengerusi majlis, pasangan pengantin bangun dari meja santapan bagi memulakan upacara memotong kek. Gemuruh tepukan para jemputan tatkala mendengar permulaan lagu Sedetik Lebih yang mengiringi langkah pengantin ke pentas utama. Perlahan langkah mereka. Seiring irama lagu yang dimainkan.

Sekiranya tadi Dhamira hilang dalam keasyikan lagu-lagu rancak yang dimainkan, kini dia hilang dalam keremukan jiwa yang menyesakkan. Menyanyikan lagu yang suatu waktu dulu begitu bermakna dalam hidupnya. Lagu yang pernah dinyanyikan khas buat si dia. Dengan dada yang penuh rasa cinta yang membara...

Sekali lagi dahi Rafique berkerut melihat riak si gadis yang menyanyi dengan penuh penghayatan. Tapi bukan dengan perasaan gembira seperti tadi, tapi dengan perasaan yang... perasaan yang... entahlah... Macam sedih semacam je... mendayu-dayu...

Dari jarak yang tidak begitu jauh ini, Rafique berani bersumpah yang mata gadis itu berkaca sebaik sahaja lagu Anuar Zain tadi selesai didendangkan. Sekali lagi si pemain gitar berbisik ke telinga si gadis. Dan kali ini bahu gadis itu ditarik rapat ke dadanya. Si pemain gitar menanggalkan gitarnya sebelum menggenggam tangan si gadis lalu dipimpin keluar dari dewan. Tertoleh kepala Rafique yang mengiringi langkah mereka sehingga hilang daripada pandangan. Dia melepaskan keluhan kecil.

“Sekejap sangat diaorang menyanyi. Tak puas uncle...” ngomel Dato’ Syed Mahmood. Rafique diam tidak membalas. “Uncle nak ambik contact number band ni la. Senang nak panggil masa annual dinner syarikat nanti... Uncle suka. Very soothing. Tak bingit dan takde nak melalak-lalak...”

Rafique hanya mengangguk sebagai tanda hormat. Tidak tahu balasan yang patut dilafazkan.

Sementara menunggu majlis tamat, Dato’ Syed Mahmood kembali berbincang mengenai urusan perniagaan dengan Rafique. Topik kegemaran mereka berdua. Sekali-sekala, kepala Rafique berpaling ke arah pintu yang digunakan ahli kumpulan muzik tadi. Mengharapkan encore ke?

Begitu ralit mereka berbincang sehinggakan keadaan dewan yang semakin lengang tidak disedari. Ketika melihat para petugas daripada pihak katerer mula mengemas meja mereka, barulah mereka bangun untuk meninggalkan dewan. “Jom, Raf. Jangan lupa tips uncle bagi tadi. Tanah tu prime land sebab ada perancangan untuk buat highway kat kawasan tu. Kerajaan nak jadikan kawasan tu kawasan perindustrian dalam dua-tiga tahun lagi. Pegang beberapa tahun, lepas tu flip. Uncle jamin untungnya berlipat ganda.”

Thanks, uncle. Nanti saya buat feasibility study.”

Dato’ Syed Mahmood mengangguk. Bahu Rafique ditepuk. Bangga dengan pencapaian anak teman baiknya ini. Tidak mengharapkan ihsan ibu bapanya untuk berjaya. Cukup dengan usahanya sendiri.

Di bahagian luar dewan, mereka bersalaman dengan pasangan pengantin serta keluarga mereka bersama ucapan selamat dan tahniah. “Hai, Raf. Sorang je?” tegur Yusri bersama senyuman mengusik. “Aku dah selamat dah ni... kau bila lagi?” kerling Yusri ke arah isterinya.

Rafique tersenyum tawar mendengar usikan teman seuniversitinya itu. “No rush, Yus...” Ringkas. Tidak perlu alasan yang berjela. “Congrats, ya!”

“Terima kasih kerana sudi datang ke majlis aku ni. Aku tahu kau sibuk...” ucap Yusri lagi.

Small matter, Yus. Takkan aku nak miss kenduri kahwin Naib Presiden kelab sukan kita pulak, kan?”

Berderai tawa Yusri. Bahu Rafique ditepuk perlahan. “Yalah, Tuan Presiden. Aku berterima kasih sangat-sangat...”

Kali ini senyuman di wajah Rafique ikhlas. Senyuman yang jarang-jarang sekali dipamerkan, kecuali keadaan yang mewajarkan dia mengukirkan senyuman. Bahagia melihat temannya itu selamat mendirikan rumah tangga. Pada usia mereka kini, memang seorang demi seorang rakan mereka mendirikan rumah tangga. Tahun ini sahaja sudah tiga kenduri kahwin yang dihadirinya, termasuk kenduri Yusri. Dan yang tidak dapat dihadirinya sahaja ada dua. Dia sahaja yang masih terkecuali.

“Aku balik dulu, Yus. Jumpa lagi..” Rafique mengangguk ke arah isteri Yusri sebagai tanda hormat sebelum berlalu.

Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Cuba mencari Dato’ Syed Mahmood. ‘Cepatnya hilang...’

Di suatu kawasan yang agak terselindung di ruang legar yang cukup luas ini, matanya tertancap ke arah seorang gadis yang elok melabuhkan punggung di atas amplifier. Kakinya bersilang. Sebelah kasutnya sudah ditanggalkan dan tubuhnya terbongkok sedikit sambil tangannya memicit tumit dan tapak kaki dengan perlahan.

‘Huh! Typical female! Dah tahu tak tahan sakit pakai kasut tinggi, nak pakai jugak...’ dengus Rafique.

Tanpa sedar, kaki Rafique diayun perlahan ke arah gadis itu. Namun langkahnya terhenti tatkala melihat ahli kumpulan muzik yang lain mula menghampiri si gadis.

“Mira... you did great!! Aku bangga gila dengan kau!” ujar Joseph. Pujian yang dibuat entah kali yang ke berapa.

‘Oh... nama dia Mira...’ bisik Rafique.

Manis senyuman yang dihulurkan Dhamira. Rafique terpanar. Bergetar jantungnya buat seketika. Pantas kerutan muncul di dahi Rafique menyedari reaksi tubuhnya. What the heck?

Tiba-tiba si pemain gitar utama tadi berdiri dekat di sebelah gadis bernama Mira itu. “Yang... sakit sangat ke? Meh Boy tolong picit...”

‘Yang? Boy? What the heck? Endearments jenis apa ni? Macam ni ke cara orang bercinta zaman sekarang? Eeei! Meluatnya!’

Danial tunduk. Kaki Dhamira yang tersilang ditarik ke bawah. Untuk menstabilkan dirinya, Dhamira memaut bahu Danial agar tidak jatuh. “Takpe Boy. Sikit je...”

“Yang balik dulu, okey? Boy nak tolong diaorang ni kemaskan barang masuk van...” ujar Danial. Dia bertinggung pula. Kasut yang ditanggalkan Dhamira tadi dicapai lalu disarungkan kembali ke kaki kakaknya. Tali pengikat diikat sedikit longgar di buku lali.

Thanks, Boy...” ucap Dhamira. Adiknya ini memang terlebih hormon kasih sayang malam ini. Mungkin ingin membodek dirinya kerana bersetuju menggantikan tempat Anis.

“Eh, Raf. Tak balik lagi? Uncle ingatkan dah balik...” tegur Dato’ Syed Mahmood dari arah belakang Rafique.

Rafique berpaling. “Belum. Errr... uncle pergi mana tadi?”

Uncle pergi toilet. Baguslah Raf tak balik lagi. Jom kita jumpa ahli band tadi?” ajak Dato’ Syed Mahmood. Tanpa menunggu balasan Rafique, Dato’ Syed Mahmood melangkah menghampiri ahli kumpulan D’Jammerz. Rafique mengikut lambat-lambat.

Salam diberi. Hanya si pemain dram sahaja yang tidak membalas.

Uncle enjoy sangat dengan persembahan you all tadi... Kena dengan cita rasa uncle. Ada call card? Manalah tahu ada peluang kita bekerjasama?” Ramah Dato’ Syed Mahmood menyapa mereka. Ramah dan cukup sopan.

Terbit senyuman bangga di bibir anak-anak muda di hadapan mereka berdua. “Terima kasih, uncle...” jawab si pemain dram bagi pihak yang lain.

Joseph menyeluk poket lalu mengeluarkan dompet. “Uncle, nama saya Joseph. Panggil Jo pun boleh. Ni kawan-kawan saya. Danial, Togel dan Shark,” Joseph memperkenalkan ahli kumpulan D’Jammerz kepada Dato’ Syed Mahmood. “Dan penyanyi kita ni, nama dia Mira. Ni kad saya. Uncle boleh call saya bila-bila masa je...” Kad berpindah tangan. Tekun Dato’ Syed Mahmood mengamati tulisan yang tertera di kad tadi. Sekeping kad turut dihulurkan kepada Rafique. Bersambut.

Pada masa yang sama, si Dhamira sudah tidak senang duduk. Berhadapan dengan lelaki yang galak merenungnya sepanjang malam, kadang-kadang dengan pandangan yang cukup lunak, dan kadang-kadang dengan begitu tajam, buat dia gelisah. Sekarang ni pun, mata si jejaka ni tidak lari dari wajahnya. ‘Apahal mamat ni? Ada masalah dengan aku ke?’

Tanpa sedar, Dhamira mengambil langkah mendekati Danial. Rapat. Lengan kiri Danial dipaut. Tindakan refleks. Tindakan yang sering diambil sebagai langkah berlindung dengan seorang yang begitu melindungi.

Danial tunduk untuk melihat wajah kakaknya. Dahinya berkerut. Wajah dipanggung. Renungan lelaki yang berdiri di sebelah pak cik tadi ditangkap. Pantas Danial melepaskan pautan Dhamira di lengannya namun lekas-lekas tangannya memaut bahu Dhamira. Perlakuan yang tidak lepas daripada perhatian Rafique. Mata Rafique berkalih ke wajah Danial. Memahami isyarat berbaur amaran yang dikeluarkan oleh si pemain gitar yang diperkenalkan sebagai Danial tadi. ‘Cheh! Nak tunjuk possessive konon! Macam aku nak sangat dengan kekasih dia tu... Huh!’

Laaa... uncle ingat Jo ni Melayu tadi. Dahlah pakai baju Melayu complete dengan songkok. Rupa pun macam Melayu, cakap dah tentulah fasih macam orang Melayu...” Dato’ Syed Mahmood bersuara.

Joseph ketawa kecil. Songkok di atas kepala dibetulkan letak duduknya. Sudah agak biasa dengan salah sangka daripada orang luar.

“Nama uncle, Syed Mahmood. Yang sebelah uncle ni, Rafique Azwar...” Rafique menghulurkan tangan kepada semua kecuali Dhamira. Tiada senyuman berbalas ketika tangan Danial dijabat. Hanya sorotan mata yang tajam disahut.

“Ada kedai muzik dan studio? Hmmm... Boleh tahan... Okey. Nanti apa-apa uncle call...” Kad yang dihulurkan Joseph tadi disimpan ke dalam kocek baju Melayu.

Young lady...” panggil Dato’ Syed Mahmood. Dhamira memanggung mata. “Uncle bangga anak muda zaman sekarang masih boleh menyanyikan lagu-lagu lama sedangkan uncle tahu zaman tu, you were not even born yet. Lagu-lagu evergreen yang Mira nyanyikan tadi, takde cacat cela langsung... sejuk telinga uncle dengar tadi...” puji Dato’ Syed Mahmood ikhlas.

“Terima kasih, uncle” balas Dhamira dengan nada segan. Pipinya terasa sedikit pijar.

“Okey, uncle balik dulu. Well done, once again!” ucap Dato’ Syed Mahmood sebelum berlalu. Rafique mengangguk kecil seraya membuntuti langkah Dato’ Syed Mahmood. Sempat Dhamira dikerlingnya.

“Apa hal mamat tu?” soal Danial tidak puas hati setelah kelibat Rafique hilang daripada pandangan. Tangannya yang masih di bahu Dhamira dilepaskan. “Kerek semacam je aku tengok...” Sudahlah sepanjang malam mata lelaki itu tidak lepas daripada mengamati Dhamira. Terdetik di hati suatu pertanyaan – adakah lelaki ini yang dicarinya selama ini?

“Entah... aku pun pelik. Tengok Mira macam nak telan!” tambah Shark. “Apa-apa pun, uncle Syed tadi baik ek? Aku harap ada la job untuk kita nanti...”

“Amin...” balas Togel dan Danial hampir serentak.

“Eh, jomlah... dah lewat dah ni...” ajak Joseph. Rasa puas dengan perjalanan majlis malam ini serta persembahan mereka secara keseluruhannya. Bukan sahaja pak cik tadi yang memuji, malah ibu dan bapa pengantin tadi pun bukan main puas hati lagi. Hai... Kalaulah Dhamira merupakan penyanyi tetap dalam kumpulan mereka, mesti best... Tapi nak buat macam mana? Tuan punya badan sudah tidak mahu terlibat. Dia tidak boleh paksa. Sayang... Dhamira memang berbakat...

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....