Monday, 21 March 2016

Rafique's Girl - Bab 1

“Kak Yang!!”

Terangkat bahu Dhamira disergah secara tiba-tiba begitu. Terkejut dia. Wajah menyengih Danial yang sudah melemparkan dirinya ke atas sofa keluaran Lorenzo lagak penerjun Pandelela Rinong dijeling geram. Habis melayang kata-kata yang telah tersusun elok dalam minda. Tidak sempat dizahirkan ke dokumen dalam notebooknya.

“Amboi! Comelnya Kak Yang jeling macam tu... Manalah mamat Bangla potong rumput yang selalu datang rumah kita ni tak berkenan...” usik Danial dalam tawanya.

Dhamira mencemik. Sikap adik lelakinya yang kaki menyakat ini bukannya boleh dilayan sangat. Lagi dilayan, lagi menjadi-jadi. Maka dia memaksa diri untuk mengunci mulut. Mata kembali direndahkan ke skrin notebooknya. Sengaja tidak mengendahkan kehadiran Danial di hadapan mata.

Mati sengihan di wajah Danial. Alamak! Kak Yangnya nampak seperti tiada mood untuk bergurau senda. ‘Salah pilih timing ke aku ni? Aisey...’ Daripada posisi baring Danial kini sudah duduk dengan kaki dijatuhkan ke atas lantai.

“Kak Yang...” panggil Danial dengan meleret. Berlagu dengan panjang empat harakat.

Dhamira memanggung mata. Wajah masih masam mencuka. Tidak suka kerjanya diganggu. Kening dijongket. Soalan ‘nak apa’ tidak perlu disuarakan. Cukup secara isyarat mata.

Errr... Kak Yang tengah tulis pasal apa ni?” Danial membeli sedikit masa sebelum menyuarakan pertolongan yang sebenar dimahukannya daripada Dhamira.

Launching branch baru kedai bunga Orchidbox...”

“Oh... padanlah Kak Yang okey je... Takde nak sedih-sedih...” komen yang dibuat lebih kepada dirinya sendiri.

Melihat Dhamira yang tidak bereaksi, Danial mencuba semula. “Kak Yang... Boy dalam kesusahan ni... Boy nak minta tolong Kak Yang...”

Mata Dhamira mengecil. Langsung tidak percaya akan riak penuh merayu yang terpampang di wajah adiknya. Tak nampak macam dalam kesusahan pun? Ni mesti ada apa-apa ni!

Danial melihat Dhamira yang sudah mengetuk meja dengan jari-jemarinya. Lagak orang tidak sabar. Dia menelan liur. Rasa kesal kerana telah menyergah kakaknya tadi. Bukan dia tak tahu si Dhamira ni kadang-kadang badan penuh dengan angin kus-kus.

“Sebenarnya... malam esok Boy ada show. Kenduri kahwin. Anis tetiba kena balik kampung. Tak boleh nak join. So, Boy tengah desperate gila ni nak cari pengganti...”

No!” balas Dhamira sepatah. Mata ditunduk kembali ke skrin notebooknya. Cuba mengarang kembali ayat yang tergantung tadi.

“Kak Yang...”

No!” potong Dhamira tanpa berkelip. Mata langsung tidak berkalih.

Danial bangkit dari sofa lalu mendekati kakaknya yang duduk bersila di atas permaidani. Skrin notebook kakaknya di atas meja kopi ditutup.

“Hei!” marah Dhamira. “Apa ni?”

“Kak Yang, tolonglah Boy. Dah last minute sangat ni... Please Kak Yang, please, boleh tak? Boy tak tahu nak tanya siapa lagi...” rayu Danial sambil menggenggam tangan kiri Dhamira. “Lagipun, Kak Yang selalu ganti tempat Anis masa jamming kan? Suara Anis tu pun sebenarnya tak sesuai nak nyanyi lagu-lagu kahwin ni. Lagu rock, sesuailah... Suara Kak Yang yang paaaaaalinggg sesuai...” pujuk Danial lagi. Bukan main panjang lagi perkataan ‘paling’ itu ditekankan.

Jamming lain Boy. Tu dalam studio atau kat basement rumah Jo. Ni kenduri! Depan orang ramai...” bidas Dhamira. “Akak tak suka...”

Danial mengeluh hampa. “Kak Yang pernah apa perform in public. Kenduri kahwin pun pernah... Okey je?” ungkit Danial.

“Kenduri kahwin tu sebab akak kalah betting dengan Boy! Kalau tak, jangan harap akak akan setuju perform masa tu. Boy pun tahu yang I hated every single minute of it.” Dhamira mengetap gigi. Kalau tak kerana dia kalah pertaruhan dengan adiknya itu, takkan pernah dia sanggup membuat persembahan di tengah-tengah orang ramai seperti itu. No way! Cerita yang dulu-dulu sebelum kenduri kahwin tu pula, tak perlu nak diungkit lagi. Sudah menjadi sejarah.

“Tapi, ramai orang puji suara Kak Yang sedap. Pengantin, famili pengantin semua kata suara akak lemak merdu bak penyanyi zaman dolu-dolu. Kalah biduanita Saloma atau Sharifah Aini tau! Kalau akak kata akak kembar seiras Uji Rashid pun orang percaya agaknya,” bodek Danial sambil memujuk. “Tolonglah kak... Lagipun lagu orang kahwin ni, majoritinya perempuan yang nyanyi. Anita Sarawak, Sharifah Aini, Saloma tu semua... Lagu duet nanti, Boy nyanyi sama-sama akak...”

Dhamira masih menggelengkan kepalanya. Menyanyi di atas pentas hanya akan menarik perhatian orang ramai ke atas dirinya. Itu yang mahu dielakkan. Dia tak suka! Tidak suka!

You know I hate being in the centre of attention...”

“Boy tahu...” Meleret. Ya. Memang dia tahu. Dalam lagak selamba dan kasar yang cuba ditonjolkan kakaknya, ada sifat malu dan kurang keyakinan diri yang begitu tebal tertanam dalam jiwa Dhamira. Dulu kakaknya bukan begini. Membuat persembahan di atas pentas begitu mudah bagi dirinya. Dan dia tahu mengapa kakak kesayangannya berubah sedemikian rupa. Sebab itu dia sengaja mahu mencipta situasi untuk mengetengahkan Dhamira agar kakaknya dapat mengembalikan ciri-ciri seorang penghibur dalam dirinya yang sudah hilang.

“Tapi ni kes desperate sangat! Kak Yang yang paling sesuai untuk gantikan tempat Anis. Dahlah mak dan bapak pengantin request lagu-lagu lama... lagu klasik, lagu-lagu cinta 70-an dan 80-an. Pengantin je yang request satu lagu Anuar Zain untuk dia tujukan pada isteri dia. Yang lain semua lagu lama.” Danial masih tidak putus asa mencuba memujuk Dhamira. Lagipun lagu-lagu lama begini merupakan kegemaran arwah papa mereka dan mereka membesar dengan ditemani lagu-lagu irama 70-an, 80-an dan juga 90-an.

Sesungguhnya, suara Dhamira memang lemak berkrim dan disukai ramai. Memang sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu seperti yang diminta keluarga pengantin. Dengar sekali, pasti orang akan meneka suara Uji Rashid. Dengar dua kali, pasti orang akan kata lagi merdu daripada Uji Rashid. Tak percaya? Ketua kumpulan muzik mereka, Joseph pun pernah meminta Danial memujuk Dhamira untuk menyertai mereka secara sepenuh masa bagi menggantikan Anis yang tidak berapa komited tu. Namun Danial tidak perlu bertanya. Dia sudah tahu jawapannya.

Dhamira mengeluh. Terasa tersepit antara kemahuan adiknya dengan ketidakmahuan dirinya sendiri.

“Kak Yang, Boy sanggup jadi driver untuk Kak Yang selama sebulan! Just name it sis... mana-mana je Boy sanggup bawakkan...”

“Habis tu, Bradley bersarang je lah kat depan rumah tu?”

Apasal bersarang pulak? Boy tawar jadi driver je. Tapi mestilah bawak kereta Kak Yang. Takkan kereta Boy pulak? Pancitlah nak bayar duit minyak...”

Pantas tangan Dhamira meluku kepala adiknya. Kedekut!

“Aduh... Kak Yang!” jerit Danial sambil menggosok kepalanya. “Betullah apa yang Boy cakap tu. Kak Yang kan banyak kena ke hulu ke hilir. Demi kerja Kak Yang yang tercinta tu, kan? Boy sanggup jadi driver...” tawar Danial sekali lagi.

Takde orang lain ke?”

Danial menelan senyuman kemenangan. Sudah kenal dengan nada suara kakaknya yang sudah mengalah. Mana pernah Dhamira menghampakan permintaannya sebelum ini? Sebutlah ‘no’ beberapa ribu kali pun, akhirnya Kak Yangnya itu pasti akan mengalah. Sebab tu dia sayang gila dengan Dhamira.

Dhamira mengeluh lagi. Kali ini lebih panjang dan lebih berat.

“Kenduri kat mana?”

“Dewan Perdana Felda.”

“Anak Lord ke?”

Hmmm... anak Datuk,” jelas Danial.

“Pakai baju apa?”

Bersinar mata Danial mendengar soalan demi soalan daripada mulut Dhamira.

Anything yang Kak Yang rasa sesuai untuk kenduri kahwin...”

I hate you for this!”

But I love you even more for this!” Manis senyuman yang dihulurkan Danial.  Bahu Dhamira ditarik. Suatu kucupan mesra singgah di pelipis Dhamira. “Thanks, Kak Yang...  I know I can always count on you!”

Sejuk hati Dhamira yang tadinya resah gelisah. Sekali lagi Danial berjaya membeli jiwanya. Tak sukar mana pun. Adiknya memang pandai memujuknya. Tapi skil memujuk yang begitu punya baik tidak pernah pula digunakan untuk mencairkan hati perempuan di luar sana. Tak pernah sekali Dhamira melihat adiknya itu mengurat sesiapa. Nak kata muda, taklah muda sangat lagi.

Danial bangun. Tangan Dhamira ditarik bersama. Terpinga-pinga Dhamira jadinya kerana dipaksa bangun. “Kenapa ni?”

Practice. Kat rumah Jo. Jom kita dah lambat. Boy janji pukul lima...”

Dhamira mengilas jam di tangan. Pukul 4.45 petang. Dhamira mengetap bibir. “Boy dah janji dengan Jo? Macam tahu-tahu je yang Kak Yang akan setuju??”

Alamak! Kantoi!

Danial menepuk dahi. “Alaaaa, Kak Yang... Kak Yang kan sayang sangat dengan Boy. Takkanlah Kak Yang nak hampakan Boy, kan? Mestilah Kak Yang setuju...”

Sekali lagi Danial mengaduh kesakitan. Kepalanya digosok perlahan. Ganas betul kakaknya ni! Tapi mulut dikunci. Tidak mahu Dhamira menukar fikirannya.

“Habis tu? Kerja akak ni?” Tangan melayang ke arah kertas-kertas di atas meja kopi.

“Bila due?” soal Danial.

“Selasa depan...”

“Lama lagi tu. Sempat...” Tangan Dhamira ditarik laju ke arah pintu utama. Tak guna Dhamira hendak membantah. Kedegilan Danial melebihi satu peratus saja daripada tahap kedegilannya. Jadi dia pasti akan kalah dengan Danial.

“Bradley Kak Yang block kereta Boy. Kita bawak Brad jelah...”

“Yalah, yalah,” ngomel Dhamira. Tangan mencapai tas tangan dari atas sofa. “Cepat! Kunci pintu!”

Danial menurut. Setelah semuanya berkunci, Danial menyusun langkah ke kereta Mini Cooper berwarna biru milik Dhamira aka Bradley Cooper. Cheh! Tak boleh blah Dhamira ni! Kereta pun mahu dinamakan sempena nama aktor kesayangan dia tu! Kunci kereta yang dihulurkan Dhamira disambut. “Jom...”

*********

Satu demi satu keluhan lega dilepaskan oleh Joseph, Togel dan Shark melihat Dhamira mengekor langkah Danial. Sedarlah mereka yang Danial berjaya memujuk Dhamira untuk mengambil tempat Anis. Phew! Jangan dibuat main kalau mereka gagal mencari penyanyi ganti. Nama baik kumpulan muzik mereka perlu dijaga. Takut disenarai hitam oleh perunding perkahwinan atau agen-agen yang berkenaan sekiranya mereka ‘mencari pasal’ pada saat-saat akhir. Hendak menaikkan nama tentu sekali mengambil masa bertahun-tahun, tapi hendak menjatuhkannya, hanya memerlukan sesaat sahaja.

“Hai, Yang...” seru Shark dengan sengihan yang cukup lebar sebaik sahaja Dhamira masuk ke dalam rumah Joseph. Suka betul dia dengan Dhamira. Rasanya Joseph dan Togel pun suka gila dengan kakak Danial ni. Sporting, satu kepala, dan sangat-sangat mengambil berat akan mereka bertiga. Dahlah comel! Berwajah babyface walaupun umur sudah dua puluh lima tahun. Tapi tidak sampai sesaat, sengihannya mati dan digantikan dengan muka berkerut menahan sakit. Bahagian atas lengan yang ditumbuk Danial digosok laju. “Kau apahal?”

Dhamira mengerling wajah mencuka adiknya.

“Dah berapa kali aku cakap, aku sorang je yang boleh panggil dia ‘Yang’. Kau jangan nak mengada-ada panggil dia macam tu,” Danial melontarkan amaran. Jari telunjuk dihalakan tepat ke wajah Shark. Dia cukup pantang apabila amarannya tidak diendahkan. Sudah berbuih mulutnya. Tak kisahlah kawan ataupun saudara. Panggilan ‘Yang’ tu eksklusif untuk dirinya sahaja. Kakak sulung mereka pun tidak memanggil Dhamira sebegitu. Hanya dirinya seorang!

Alaaah... aku gurau jelah...” balas Shark. “Lagipun, Mira tak kisah pun kan? Kan?” Kening dijongketkan ke arah Dhamira. Namun rasa tidak puas hati terhadap Danial masih berbuku kerana ditumbuk tadi. Dia sendiri masih tidak mengerti mengapa Danial memanggil kakaknya dengan panggilan ‘Yang’. Dia pernah terdengar Danial memanggil kakaknya ‘Kak Yang’ apabila mereka hanya berdua, namun di hadapan orang lain, Danial hanya memanggil Dhamira, ‘Yang’. Pelik betul adik-beradik ni.

Belum sempat Dhamira membuka mulut, Danial sudah mencantas. “Kalau kau nak rasa sedapnya penumbuk besi aku ni, kau panggillah dia macam tu lagi sekali!”

“Boy...” seru Dhamira perlahan. Isyarat mata dihantar bersama suatu gelengan. Cukup. Danial mengambil satu langkah menjauhi Shark. Akur dengan permintaan kakaknya.

Sorry, Mira...” pinta Shark tidak mahu memanjangkan cerita.

Dhamira tersenyum lalu duduk. Langsung tidak mengambil hati. Danial turut melabuhkan punggung di sebelahnya. “Errr... Jo... betul ke Anis tak boleh esok?” soal Dhamira kepada Joseph selaku ketua kumpulan. Dia inginkan kepastian.

“Betul, Mira. Anis ada hal kat kampung. Dia dapat panggilan mengejut daripada mak dia...” jelas Joseph. Joseph melihat wajah Mira berubah muram. “Mira, terima kasih sangat sebab sudi tolong kita orang...”

Mata Dhamira singgah pada wajah penuh mengharap Joseph, lelaki berbangsa Serani yang begitu minat memperjuangkan irama Melayu. Dibesarkan di perkampungan Melayu di Kelang, Joseph memang mengamalkan kehidupan mengikut budaya masyarakat Melayu. Ibu serta ayah angkatnya juga berketurunan Melayu. Pengetahuannya tentang lagu Melayu dan irama lain memang first class. Semua dia tahu. Irama zapin, joget, inang, pop, rock, jaz, reggae, namakan sahaja. Memang tabik dengan Joseph ni.

“Lama ke performance kita nanti?”

“Kalau ikut atur cara, kita mula perform masa tetamu mula makan. Lepas tu, masa upacara potong kek, kita kena nyanyi lagu permintaan pengantin tu. So semua sekali, lebih kurang 8 buah lagu, tapi kita kena stand-by dua lagu ekstra, just in case...” jelas Joseph.

Dhamira menelan liur. Rasa gugup mula melanda. Takut mengenangkan diri yang terpaksa berdiri di atas pentas untuk menghiburkan para tetamu.

Chill, Mira. Semua akan okey. Semua akan sibuk makan. Takde siapa pun yang akan pay attention to us,” pujuk Joseph lagi. Sedar dia akan perasaan Dhamira hanya melalui riak wajah gadis itu.

“Yang... Boy ada, okey? Boy akan sentiasa berdiri sebelah Yang kat atas pentas tu. Jangan risau, okey?” tambah Danial bagi meredakan kegelisahan hati kakaknya.

Dhamira mengangguk lambat-lambat. “Mana senarai lagu?”


Togel mengambil kertas dari atas meja kopi dan menghulurkan kepada Dhamira. Dhamira mengamati kertas di tangan. “Siapa yang akan nyanyi lagu Sedetik Lebih ni nanti?” soalnya perlahan. Rasa perit di hati datang bertimpa-timpa. Sakit seakan dicucuk-cucuk.

Danial dan Joseph saling berpandangan. “Errr... Yang... suara Boy tak sampai nak nyanyi lagu Anuar Zain tu. Sebab tinggi. So it must be you...”

Luluh hati Danial melihat garis-garis luka di wajah kakaknya. Dia serba salah. Tangan Dhamira diraih lalu digenggam. Dalam kumpulan mereka, hanya Danial dan Anis yang boleh bernyanyi. Yang lain sekadar suara latar bolehlah. “Yang... sorry... tapi ni lagu yang diminta khas oleh pengantin...”

Laju saja wajah Dhamira bertukar ceria. “Eh, takde apa-apalah... Akak tak rasa apa-apa pun...” Dhamira gelak. Amat palsu kedengaran di telinga mereka semua. Sesungguhnya mereka faham gelojak yang melanda hati Dhamira. Mereka berempat pernah melihat zaman kemurungan Dhamira dua tahun lepas. Bukan sehari dua mereka mengenal Dhamira. Sudah lima tahun. Sejak mula-mula Danial menyertai kumpulan D’Jammerz lagi.

Joseph, Togel dan Shark sama-sama menyulam rasa bersalah serta simpati. Entah bagaimana Dhamira hendak menghadapi persembahan malam esok. Menyanyikan lagu yang suatu waktu dahulu pernah menjadi kegilaannya. Sebelum lagu itu dipadamkan dari kotak memorinya. Sebelum episod itu...

Melihat riak berbaur simpati di wajah teman-temannya, Dhamira bangun. “Eh, cepatlah practice. Aku banyak kerja lagi kat rumah tu...”

Lambat-lambat Danial, Joseph, Togel serta Shark bangun. Mengatur langkah ke basement rumah Joseph untuk sesi latihan mereka. Menyembunyikan rasa simpati yang tinggi menggunung buat Dhamira kemas di dalam dada... Kesian Dhamira...


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....