Wednesday, 11 November 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 16

Aina Yasmin mengemas meja. Dokumen-dokumen dimasukkan kembali ke dalam fail. Fail-fail yang telah digunakan disusun rapi di atas meja. Komputer dimatikan. Tas tangan serta beg pakaian yang dibawa dari rumah sejak pagi tadi dicapai. Dia ingin lekas-lekas meninggalkan pejabat. Iqbal sudah berjanji untuk menjemputnya bersama Mastura petang ini dan mereka akan terus pulang ke kampung. Esok cuti umum. Seronok mengenangkan yang dia bakal menghabiskan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bersama ibu dan abang-abangnya, sebelum kembali ke Kuala Lumpur petang Ahad nanti.

Berita yang diterima semalam yang menyatakan teman-teman sekolah mereka, yakni Sufian dan Lukman telah kembali ke tanah air, membuatkan Mastura serta Aina Yasmin begitu teruja untuk pulang ke kampung. Lama betul mereka tidak berjumpa dengan Sufian dan Lukman. Boleh mereka pergi memancing nanti!

“Dah siap beb? Amboi! Tak sabar-sabar orang tu nak balik kampung!” usikan Sarah membuat Aina Yasmin tersenyum kegembiraan.

“Mestilah… Aina rindu betul pada mak… Sarah buat apa cuti esok?”

“Sarah pun nak balik kampung. Tapi since kampung Sarah taklah jauh sangat, esok pagi kut baru bertolak…” jelas Sarah. “Kirim salam pada mak Aina, ya?”

Aina Yasmin mengangguk. “Dengan mak je? Dengan along Aina tak nak kirim salam ke?” giliran Aina Yasmin mengusik.

Merah padam wajah Sarah. Mati terus senyuman di bibirnya tadi. Yusmadi yang duduk di meja bersebelahan dengan Sarah memasang telinga. “Hesy! Apa Aina ni?” Sarah pura-pura tidak mengerti.

“Nak kirim lebih daripada salam pun takpe…” Aina Yasmin menambah perisa. “Aina sudi sampaikan…”

Sejak Sarah terserempak dengan Iqbal ketika lelaki itu datang menjemputnya untuk keluar makan tengah hari beberapa hari lalu, gadis itu telah menjadi tidak keruan. Aina Yasmin telah mengajak Sarah makan tengah hari bersama-sama mereka dan buat pertama kalinya, Aina Yasmin berasa payah untuk mendengar suara temannya itu. Sarah yang selalunya peramah dan mudah mesra bertukar menjadi pendiam dan pemalu ketika itu. Tahulah Aina Yasmin yang Sarah telah terpikat dengan abangnya itu.

Sejak hari itu, Aina Yasmin tidak putus-putus mengusik Sarah dan sengaja membangkitkan nama abangnya itu di hadapannya. Lagipun, ini semua dilakukannya hanya setelah mendapat kepastian daripada Mastura yang dia serta abang sulungnya itu tidak menjalinkan apa-apa hubungan seperti yang disangka Aina Yasmin sebelum ini. ‘Tak dapat Mastura sebagai kakak ipar, Sarah pun bolehlah…Dua-dua pun baik…’

“Eh, takde nak kirim apa-apalah…” Sarah tunduk malu. Malu apabila mengenangkan dirinya yang hilang kawalan diri sejak matanya bertembung pandang dengan Iqbal buat pertama kali. Dia sendiri tidak mengerti reaksi dirinya itu.  Segan dia dengan Aina Yasmin. Gadis itu seolah-olah dapat menangkap kekalutan dirinya di hadapan Iqbal. Tidak pernah dia begini dengan mana-mana lelaki! Tetapi abang Aina Yasmin itu benar-benar telah membuatnya tidak lena tidur…

“Okey…tapi kalau ada, Sarah mesej je Aina tau.” Tergelak Aina Yasmin melihat jelingan maut temannya itu. “Aina pergi dulu, ya? Jumpa Isnin depan, Insya-Allah…”

Sarah bangun dari tempatnya dan memeluk Aina Yasmin. Mereka berlaga-laga pipi. Sesungguhnya Sarah amat menyenangi gadis itu walaupun gadis itu baru dikenalinya. “Take care, Aina…”

Aina Yasmin mengambil lif untuk ke lobi. Mastura telah siap sedia menanti dengan beg pakaiannya berhampiran pintu utama Menara Muhibbah.

“Along tak sampai lagi?” soal Aina Yasmin.

“Belum. Sikit lagi kut…” Mastura membalas.

“Mas, betul ke Pian dengan Man dah balik?”

“Haah. Rupanya aku tak perasan e-mel yang Pian hantar pada aku. Semalam baru sempat bukak. Kalau ikutkan e-mel tu, diaorang dah ada kat kampung dah ni…”

“Aku tak sabarnya nak jumpa diaorang, Mas. Dah lebih lima tahun kan, kita orang tak jumpa? Tangan aku dah gatal ni nak gi memancing!” Aina Yasmin dan Mastura sama-sama ketawa. Nama saja Sufian dan Lukman sama-sama belajar di Amerika Syarikat namun tidak pernah sekali pun Aina Yasmin berjumpa dengan teman-temannya itu.

“Aku pun sama, Min. Aku rindu gila dengan diaorang…Eh, kau rasa diaorang dah berubah tak?”

“Berubah? Maksud kau?” Aina Yasmin tidak mengerti.

“Yalah. Diaorang kan grad oversea. Manalah tahu, dah tak pandang kat orang macam aku ni?” Mastura merendah diri. Masa mereka berempat mula berkawan, mereka masih belasan tahun. Kini masing-masing sudah dewasa. Walaupun dia bersyukur Aina Yasmin kini masih sama dengan Aina Yasmin yang dikenalinya dulu, dia tidak tahu sama ada Lukman atau Sufian juga masih seperti dulu. Kalau melalui e-mel atau kadang-kadang berchatting di facebook, nampak macam mereka berdua ini tidak berubah. Harap-harapnya begitulah.

“Hesy kau ni! Suka sangat sangka buruk dengan orang. Aku pun grad oversea jugak apa! Nanti esok kau jumpa diaorang ni, barulah kau tahu…” tegur Aina Yasmin. Dia tidak suka Mastura merendah diri begini. Tidak kiralah ‘keluaran’ universiti dalam atau luar negara sekalipun. Pokoknya, mereka sudah berjaya dalam pelajaran masing-masing. Itu yang penting. “Ha, tu pun kereta along dah sampai. Jom!”

Mastura mengikut langkah Aina Yasmin menghampiri kereta Iqbal. Beg-beg pakaian diisi ke dalam bonet kereta. Aina Yasmin membuka pintu penumpang di bahagian hadapan lalu masuk ke dalam perut kereta. Tidak sabar untuk memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung. Wajah ibunya hadir di ruang mata. ‘Mak….adik rindu!’

***********

Pagi yang cukup indah! Bangun di atas katil sendiri, tiada tandingannya. Bunyi sudip berlaga dengan kuali menangkap telinganya. Lepas subuh tadi, dia tidur kembali. Penat rasanya. ‘Alamak dah pukul 7.30?’ Aina Yasmin pantas mencapai tuala dan mengunci diri di dalam bilik air. Lima belas minit kemudian, dia telah siap berpakaian.

Ibunya sedang sibuk mencedok bihun goreng ke dalam mangkuk tatkala Aina Yasmin masuk ke dalam dapur. “Mak, sorry ya. Adik tertidur balik lepas subuh tadi. Tak sempat nak tolong mak…” Aina Yasmin memaut mesra bahu ibunya.

Takpe. Mak tahu adik penat. Malam tadi sampai rumah pun dah lewat malam. Mak tak kisah pun. Mak larat lagi…” Hajah Amirah menghidangkan mangkuk berisi bihun goreng ke atas meja. “Adik tolong bancuhkan teh, ya?”

“Okey,” Aina Yasmin yang sememangnya ringan tulang pantas menjerang air dan mencapai teko. “Along dengan angah tak bangun lagi?”

“Dah lama bangun dah, dik. Subuh tadi diaorang ke surau. Balik je terus ke kubur arwah abah. Nak bersihkan apa-apa yang patut…”

“Oh…”

‘Malunya aku. Along yang drive semalam pun boleh bangun awal untuk solat subuh kat surau.’

Selepas semuanya siap, Aina Yasmin mengambil tempat di sebelah ibunya. “Mak nak makan dulu ke, atau nak tunggu along dengan angah?” soal Aina Yasmin sambil menuangkan secawan teh untuk ibunya.

“Tunggulah. Baru seronok makan ramai-ramai…” balas Hajah Amirah mesra.

Hajah Amirah baru perasankan cincin di jari manis Aina Yasmin. Rasanya itu bukan cincin tunang yang disarungkan sepupunya Shima dulu. ‘Cincin mana pulak ni?’

“Cincin mana adik pakai tu? Meh sini mak nak tengok…” Tangan Aina Yasmin dicapai. “Ni bukan cincin tunang adik, kan?” Soal Hajah Amirah lagi.

Emm… cincin tunanglah mak. Abang Aazad belikan adik lagi satu bila dia tahu yang cincin lama tu dah tak muat!” Aina Yasmin cuba beriak selamba seolah-olah apa yang dibincangkan itu tidak penting pun. “Membazir je. Padahal yang lama tu mesti boleh dibesarkan kalau nak. Adik je tak sempat nak hantar kedai…”

Terbeliak mata Hajah Amirah. “Betul ke? Dia beli sendiri ke atau adik yang pilih?” Rasa gembira menerjah di hati mendengarkan perkembangan ini.

“Abang Aazad yang pilih… Adik ikut je…”

“Cantiknya, adik! Mesti mahal, kan? Bertuah adik. Bersungguh-sungguh nampaknya Abang Aazad adik tu!” senyuman di wajah Hajah Amirah tambah meleret. Hatinya senang melihat kesungguhan Ameer Aazad menawan hati anak bongsunya.

‘Hah? Abang Aazad aku? Errr… tapi macam best pulak dengar mak cakap macam tu…’ Aina Yasmin turut tersenyum gembira melihat reaksi ceria ibunya. Rasa di hati mahu melakukan apa sahaja untuk membahagiakan ibunya demi membalas segala jasa ibunya selama ini. Tapi termasuk kahwin dengan Ameer Aazad ke? Errr
                                                                                                                     
“Mak bersyukur sangat adik beri peluang pada Aazad untuk perbaik semuanya. Mak nampak keikhlasan dia masa dia datang rumah sebelum adik pindah ke KL tu. Lama dia tunggu adik, tapi adik pulak masa tu kat rumah Mas. Sempat dia mintak maaf dengan mak sebab buat perangai yang entah apa-apa dulu…”

Aina Yasmin dapat menangkap harapan yang terpancar daripada sinar mata Hajah Amirah. Walaupun Hajah Amirah tidak memaksa, namun Aina Yasmin tahu yang ibunya menaruh harapan terhadapnya agar melaksanakan impian arwah abahnya suatu waktu dahulu. “Mak, mak rasa adik sesuai tak dengan Abang Aazad?” Pandangan ibunya mahu diraih.

“Jujurnya, mak rasa memang sesuai. Sorang cantik sangat dan sorang lagi handsome sangat! Aazad baik pada pandangan mata mak. Sekarang ni barulah mak nampak apa yang arwah abah nampak pada Aazad dulu. Dulu mak tak nampak, tapi arwah abah beria-ia nak bermenantukan Aazad. Mak faham sekarang dan mak berdoa sangat yang adik pun akan nampak apa yang arwah abah dan mak nampak pada Aazad…”

Aina Yasmin mengeluh.

“Adik ada buat solat istikharah?” soal Hajah Amirah.

“Ada... tapi... baru sekali-dua. Adik masih tak mimpi apa-apa...”

Takpelah... adik cuba je lagi...” saran Hajah Amirah.

“Mak, Abang Aazad buat adik rasa tak selesalah. Dia dah mula luahkan isi hati dia pada adik. Adik keliru sangat…”

Hajah Amirah mengusap rambut panjang Aina Yasmin yang diikat satu dengan penuh kasih. Bangga anaknya yang sering dihina dulu kini telah berubah menjadi seorang gadis yang cukup sempurna. Rambut pendek lagak tomboy dulu kini sudah panjang beralun. Tambah bangga apabila mahkota anaknya kini sudah disembunyikan daripada mata yang haram memandangnya. “Masa Abang Aazad luahkan isi hati dia pada adik, adik rasa macam mana?” soal Hajah Amirah.

“Adik rasa malu pun ada, rasa jantung nak tercabut pun ada, mak!” bersungguh-sungguh Aina Yasmin bercerita. Ingin berkongsi pengalaman dengan ibunya. Ibunya amat memahami. Mereka berdua seperti teman yang amat rapat pabila berbicara soal hati dan perasaan. Aina Yasmin tidak perlu risau dengan penerimaan ibunya. Ibunya takkan pernah melenting dengan apa pun soalan yang diutarakan. Pendapat ibunya amat penting dan berharga buat dirinya.

Hajah Amirah tersenyum. “Tu maknanya, adik pun ada perasaan pada Abang Aazad…”

Terkesima Aina Yasmin dengan rumusan yang dibuat ibunya. “Adik tak percayalah, mak! Takkan kut?”

“Kalau adik takde perasaan, adik takkan rasa apa-apa bila dia luahkan perasaan pada adik. Sama macam budak-budak kat universiti adik tu… Kan adik buat selamba je bila diaorang luahkan perasaan pada adik? Adik sikit tak rasa apa-apa, kan?” Hajah Amirah mengingatkan Aina Yasmin tentang apa yang pernah diceritakan kepada dirinya dulu.

Dahi Aina Yasmin berkerut. ‘Eh, betul jugak! Aku tak pernah rasa macam ni bila ada lelaki lain luahkan hati dan perasaan dia pada aku dulu…’

“Adik, tepuk dada, tanya selera… Errr… macam ni… Adik cuba bayangkan Abang Aazad bersanding atas pelamin… Dengan pakaian pengantin yang cukup indah…” syor Hajah Amirah. Dia memerhatikan Aina Yasmin memejamkan mata. Cuba membayangkan situasi yang digambarkan agaknya. “Lepas tu, adik cuba bayangkan yang duduk sebelah Abang Aazad tu errr… perempuan lain. Katalah Mas…” Hajah Amirah sengaja tidak menghabiskan ayatnya.

Pantas mata Aina Yasmin terbuka luas. Tidak suka dengan bayangan yang muncul di sebalik matanya yang terpejam tadi. Ameer Aazad dengan perempuan lain? Ameer Aazad dengan Mastura? Kenapa dirasakan begitu sakit di hatinya? Kenapa pula gadis yang dibayangkan pada mula-mula tadi yang duduk di sebelah Ameer Aazad merupakan dirinya sendiri, sebelum ibunya menyuruh dia membayangkan gadis lain duduk bersebelahan dengan Ameer Aazad? Aina Yasmin menarik muka masam. Tak suka!

Hajah Amirah mengulum senyum. “Kalau adik tak rasa apa-apa tengok Abang Aazad dengan perempuan lain, maknanya adik takde perasaanlah pada Abang Aazad…” duga Hajah Amirah.

Suara abang-abangnya yang memberi salam membuat Hajah Amirah dan Aina Yasmin mengalih topik perbualan. Dengan lemah, seolah-olah semangatnya telah dicabut dan dirobek dengan rakus, Aina Yasmin menyenduk bihun goreng dan menghidangkan kepada ibu serta abang-abangnya sementara Iqbal dan Syafiq membasuh tangan di singki.

“Adik, angah nak Nescafe. Angah tak nak teh. Tolong buatkan untuk angah, boleh?” Syafiq memulakan sesi membuli adiknya. Rindu dia akan Aina Yasmin.

Tanpa bersuara, Aina Yasmin bangun untuk menurut suruhan abangnya itu. Syafiq memandang ke wajah Iqbal sambil menjongketkan keningnya? Hairan. Tidak pernah Aina Yasmin menurut suruhannya tanpa membantah atau membebel terlebih dahulu. Kenapa sekarang Aina Yasmin terus menurut sahaja? Sihat ke dia?

Secawan Nescafe panas diletakkan di hadapan Syafiq. Aina Yasmin kembali duduk. Bihun disuap ke mulut, dikunyah dan ditelan. Disuap lagi, dikunyah dan ditelan. Seperti robot sahaja lagaknya. Hajah Amirah memberi isyarat kepada anak-anak lelakinya agar membiarkan Aina Yasmin melayani kegelisahan hatinya. Dia tahu Aina Yasmin sedang berperang dengan perasaannya. Dan jika betul Aina Yasmin mempunyai perasaan terhadap Ameer Aazad, maka dialah yang paling bahagia…

***********

“Mas, hati kau masih tertutup ke untuk terima mana-mana lelaki dalam hidup kau?”

Wajah Aina Yasmin yang sedang tunduk merenung anak sungai yang mengalir deras di celah-celah batu direnung tajam. Terkejut Mastura dengan soalan yang diajukan temannya itu.

Aina Yasmin mengangkat wajah. “Kau masih teringatkan si Johan tu?”

Mastura mengeluh. Sudah lama dia tidak mendengar nama itu. Nama Johan sudah dikuburkan bersama segala kenangan yang pernah tercipta bersama lelaki itu. Merupakan senior dua tahun di universitinya dahulu, lelaki itu telah berjaya membuka hatinya untuk berjinak-jinak dengan cinta. Sudahnya, apabila lelaki itu tamat pengajian dan ingin pulang ke negeri asalnya di Johor, hubungan mereka juga ditamatkan secara serta-merta. Alasan Johan yang tidak percaya pada hubungan jarak jauh tidak dapat diterima sepenuhnya oleh Mastura. Masakan sekarang baru tidak percaya sedangkan dari mula lagi Johan mengetahui dirinya berasal dari Perak dan ingin mencari pekerjaan di Kuala Lumpur? Jauh sangat ke Kuala Lumpur dengan Johor Bahru tu?

Perasaan sangsi yang melanda membuat Mastura menyiasat sendiri. Barulah dia tahu Johan yang dicintainya dengan sepenuh hati merupakan tunangan orang. Bakal isterinya sedang menunggu dengan tangan terbuka nun di selatan. Mastura hanya mampu melihat dari jauh kemesraan Johan dengan tunangnya ketika Johan kembali ke UIA sempena menghadiri majlis konvokesyennya. Dirinya hanya merupakan persinggahan buat Johan yang kesunyian dan memerlukan kasih dan perhatian daripada seorang perempuan sepertinya, tatkala berjauhan daripada tunangnya. Dia benar-benar kecewa!

“Tak… aku dah lama lupakan dia. Aku tak harapkan dia balik pada aku pun. Aku takkan terima lelaki penipu macam tu… Cuma bila ada lelaki lain nak dekat dengan aku, aku jadi takut. Aku akan teringat balik rasa sakit yang pernah aku rasa masa putus dengan Johan dulu. Rasa macam tak sanggup nak rasa perasaan tu sekali lagi… Jadi aku akan buat apa yang aku selalu buat… Aku lari…” Tiada nada sedih. Cuma rasa kecewa yang masih bersisa.

Aina Yasmin dan Mastura sama-sama mengocak kecil air sungai dengan kaki yang direndam sejak tadi. Terasa sejuk dan nyaman. Lagak mereka tiada beza jika dibandingkan ketika mereka meniti zaman persekolahan dulu. Melepak di kawasan yang sama. Duduk di atas batu yang sama dengan kaki yang terendam di dalam air sungai yang sama. Rapat mereka duduk sehingga bahu mereka bersentuhan. Akrab dan mesra.



“Dia dah kahwin ke?” soal Aina Yasmin lagi tentang Johan.

“Entahlah… aku tak tahu dan tak ingin nak ambik tahu…” jawab Mastura acuh tidak acuh.

“Mas, macam mana kau tahu kau dah jatuh cinta?” Merah wajah Aina Yasmin bertanyakan soalan itu. Kata-kata ibunya pagi tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Tapi dia perlu tahu juga. ‘Betul ke aku ada perasaan pada Abang Aazad?’

Mastura tersenyum kecil. Wajah Aina Yasmin yang beriak segan dipandang lucu. “Bila kau rasa yang dunia kau seolah-olah berputar di sekeliling si dia… keinginan kau menjadi tak penting… kebahagiaan kau tak penting… yang penting hanyalah si dia… kau korbankan keinginan dan kebahagiaan kau sendiri agar keinginan si dia tercapai… kau sanggup buat apa saja asalkan si dia bahagia… Hati dan perasaan dia menjadi keutamaan kau… segalanya untuk si dia…”

Dahi Aina Yasmin berkerut. Keningnya hampir bercantum. ‘Hmmm… kalau macam tu, aku taklah cinta pada Abang Aazad… aku tak rasa macam tu pun? Phew! Lega...’

“Kau rasa tenang bila jumpa si dia… kau boleh senyum sorang-sorang kalau teringatkan dia… kau rindukan suara dia kalau seharian dia tak call… kau senang terasa hati dan terlebih sensitif dengan hal-hal yang melibatkan dia… kau jadi cemburu kalau nampak dia dengan perempuan lain…”

Eeeekkkk? Ulang balik! Apa dia tadi? Cemburu? Alamak!!’ Bayangan Ameer Aazad bersanding dengan perempuan lain memanaskan kembali hatinya. Kembali menjadikan dia tidak senang duduk.

“Kenapa? Kau ada rasa macam tu bila dengan Abang Aazad ke?” giliran Mastura bertanyakan soalan.

“Aku tengah nak pastikanlah ni… Aku kelirulah… Aku tak tahu apa yang aku rasa…” jelas Aina Yasmin. “Aku tak pernah jatuh cinta jadi aku nak pastikan betul-betul perasaan aku ni…”

Mastura memaut bahu teman karibnya itu. “Baguslah kalau macam tu… Bagi diri kau peluang untuk kenal diri kau sendiri. Kalau kau bahagia dengan Abang Aazad, kau tak harus lepaskan dia… Aku pun tumpang bahagia kalau kau bahagia, Min…”

Aina Yasmin terharu. “Terima kasih, Mas. Aku tak ramai kawan dalam dunia ni. Aku hanya harapkan along, angah, kau, Pian dan Man je selama ni… Kau pun tahu aku takde kawan yang betul-betul rapat masa kat US dulu. Kawan biasa-biasa je. Aku tak percaya pada sesiapa pun… Jadi aku rasa bertuah kau masih sokong aku macam dulu…”

Mata Mastura berkaca. Susah dan senang mereka tetap bersama. Pada kala Aina Yasmin dicemuh dan dicaci dulu, sedikit pun Mastura tidak mahu berganjak dari posisinya yang memegang gelaran BFF (best friend forever) Aina Yasmin. Pada kala Mastura dirasuk kesakitan dan hampir berputus asa kerana cinta yang tidak kesampaian, hanya kepada Aina Yasmin dia berkongsi segalanya. Walaupun Aina Yasmin jauh, temannya itu masih sudi meminjamkan bahunya. Berskype dan menangis bersama…

Ya, Aina Yasmin memang tidak mempunyai ramai teman rapat selama lima tahun di California. Masa dia mula-mula sampai di bumi Amerika, ramai pelajar Malaysia yang menjauhkan diri. Cuma ada beberapa kerat sahaja pelajar Malaysia yang sudi berkawan dengannya tetapi tidak seperti hubungannya dengan Mastura. Hanya kerana dirinya yang banyak kekurangan pada pandangan mata mereka. Ada yang terang-terangan menyindir dirinya yang mengaku sudah bertunang, dengan menyatakan itu hanya cerita dongeng semata-mata. Siapalah yang mahu bertunang dengannya? Rupa pun tiada… Sengaja mencipta cerita bagi menutupi dirinya yang keseorangan, tiada teman.

Pabila dirinya berubah menjadi Aina Yasmin yang sekarang ini, ramai yang cuba mendekati. Namun gadis itu yang ‘jual mahal’. Tidak mahu menjalin persahabatan dengan mereka yang jelas tidak pernah ikhlas dengannya dulu. Sedarlah dia akan sikap penuh kepura-puraan mereka. Mementingkan keadaan luaran seseorang semata-mata! Semuanya plastik!

“Apalah pentingnya punya ramai kawan kalau semuanya kawan masa senang je, Min? Aku dengan kau tak banyak beza. Aku rela ada seorang kawan daripada seratus orang, tapi semuanya mengharapkan sesuatu balasan daripada hubungan yang terjalin. Aku akan tetap sokong kau sampai bila-bila, Insya-Allah…”

Mereka membalas senyuman. Jelas terpancar apa yang tersirat di hati masing-masing.

“Hoi! Buat apa tuuuuu?” suara yang amat dikenali Aina Yasmin suatu ketika dulu memecah kedamaian suasana. Spontan mereka menoleh. Intan, yang pernah menggelar dirinya Ratu Cantik di kampung mereka ini memanjat batu dan menghampiri mereka. “Mas, bila kau balik? Errr... kau cakap dengan siapa ni? Aku tak kenal pun…”

“Amboi! Cantiknya bahasa! Panggil orang hoi-hoi je? Tulah, bapak suruh belajar tinggi-tinggi tak nak. Sibuk nak jadi artis. Artis semua biadab macam ni, ke? Panggil orang hoi-hoi?” sindir Mastura pedas tanpa menjawab soalan-soalan Intan, rakan sekolah mereka itu. Geram dia dengan sifat kurang ajar yang masih ditunjukkan Intan. Sifat perasan cantik yang dimiliki Intan masih tidak pudar, walaupun hakikatnya dia memang cantik. Cuma tidak cantik pada budi pekertinya. ‘Ni apa ke jadah pakai skirt pendek dalam kampung dan masuk ke kawasan sungai macam ni? Tak takut nyamuk ke? Mental betul pompuan ni!’ cemuh Mastura sendirian.

Intan mencemik. Kemudian dia menjeling ke arah Aina Yasmin. Dia langsung tidak kenal akan gadis yang sering dihinanya suatu waktu dahulu. Dipandangnya gadis yang berjean biru yang dilipat hingga ke betis. Berkemeja santai berwarna putih dan bertudung biru. Hati perempuannya mula berasa iri hati melihatkan kejelitaan asli gadis itu. Tidak perlu ditokok tambah dengan apa-apa solekan. Mana boleh ada perempuan lebih cantik daripadanya di kampung ini? Dia kan ratu?

“Ni siapa?” Jari telunjuknya menuding ke arah Aina Yasmin angkuh. Sungguh kurang sopan lagaknya.

“Hai takkan tak kenal??” Mastura berteka-teki. Entah mengapa dia begitu meluat dengan Intan. Sejak dulu lagi. “Minlah… Aina Yasmin…”

Terbeliak mata Intan. Tidak percaya. ‘Tak mungkin!’

Intan pantas menyembunyikan riak wajahnya. Wajahnya dimaniskan. “Oh, Min rupanya… Maaflah, aku tak cam kau tadi. Dah lain sangat… Bila kau balik?”

“Dah lamalah jugak… dalam sebulan macam tu…” malas-malas Aina Yasmin menjawab. Dia sengaja melarikan pandangan matanya dari wajah Intan. Penuh kebencian di wajah itu. Sama seperti dulu. Tiada yang berubah.

“Kenapa tak datang rumah aku? Dah lama kita tak berjumpa… Boleh kita lepak-lepak…” Intan sekadar mengajak-ajak ayam.

Mastura dan Aina Yasmin dapat menangkap sifat Intan yang penuh kepura-puraan. “Nak buat apa? Takde kerja kita orang nak lepak rumah kau… Macamlah dulu kita orang pernah lepak pun!” Mulut tiada insurans Mastura membalas. “Kau kan tak nak kawan dengan orang biasa-biasa macam aku dan Min ni… Kita orang bukan retis pun. Tak famous! Tak glamour! Jadi boleh tak kau blah je. Aku dengan Min nak aman lepak kat sini… Menyemak je kau ni! Lagipun, kau takde shooting ke hari ni?”

 Dulu, Intan tak habis-habis mencanang pada mereka tentang tawaran untuk berlakon filem itu dan ini. Hebatnya dia menjadi rebutan pengarah itu dan pengarah ini. Sebab itu dia tidak perlu bersusah-payah untuk sambung belajar. Dia akan jadi kaya dan terkenal, sebaris Lisa Surihani dan Fazura katanya… Sudahnya, filem entah ke mana… dirinya hanya dijadikan teman ‘rapat’ pengarah hidung belang silih berganti. “Eh, tapi aku tunggu jugak kot-kot filem kau keluar kat pawagam. Takde pun…”

Aina Yasmin menguis lengan Mastura. Memintanya berhenti daripada berkata-kata lagi. Tidak perlulah Mastura merendahkan martabatnya serendah Intan.

Intan menjeling Mastura tajam. Menggelegak api kemarahannya disindir Mastura begitu. Silap dia juga. Filem belum keluar dah berlagak… Akhirnya semua filem yang melibatkan dirinya bungkus begitu sahaja akibat kekurangan bajet…

Tanpa sepatah kata dan dengan api membara, Intan berlalu meninggalkan Mastura dan Aina Yasmin. Dengusnya jelas kedengaran.

Apasal kau cakap macam tu pada dia tadi? Tak baik tau!” tegur Aina Yasmin.

Alaaah, tu takde apa-apa kalau nak dibandingkan dengan apa yang dia pernah kata pasal kau dulu…Menyampah aku! Bajet hot sangat!” Mastura membela diri. “Dahlah… biarlah dia. Malas nak fikir pasal pompuan tu!”

“Eh, Mas. Dah pukul 11.00 dah ni. Jom ikut aku balik. Aku nak tolong mak aku masak. Kawan along nak datang. Kau pun makanlah tengah hari kat rumah aku,” ajak Aina Yasmin sambil bangun dari posisinya.

Hmmm. Boleh gak. Mak bapak aku takde ni. Adik-beradik aku pun takde. Malas aku nak masak untuk makan sorang. Jom!” Mereka berdua keluar dari kawasan sungai dan mengatur langkah menuju ke rumah Aina Yasmin.

Ketika kaki melangkah di hadapan gerai Pak Bakar, gerai yang menjadi tempat lepak kedua buat Aina Yasmin, Mastura, Lukman dan Sufian dulu, kedengaran ada suara memanggil nama Mastura. Mastura berhenti melangkah. Aina Yasmin juga. Lebar senyuman kedua-dua gadis itu melihat dua orang pemuda yang teramat dirindu menghampiri dan akhirnya berdiri di hadapan mereka.

Lukman dan Sufian turut tersengih. Mula-mula mereka memandang ke wajah Mastura. Kemudian mata mereka berkalih ke wajah Aina Yasmin. Terus hilang senyuman di wajah masing-masing melihat keindahan di hadapan mereka ini. Walaupun mereka sudah tahu tentang perubahan Aina Yasmin melalui facebook dan sebagainya, namun ketika berhadapan secara terus begini, lidah mereka menjadi kelu. Tidak berkelip mata Sufian. Dia terpaku.

“Amboi! Nak terkeluar bijik mata korang tengok si Min! Sedar sikit hoi, tu tunang orang tu!” Tegur Mastura sinis.

Merah padam wajah Lukman dan Sufian ditegur Mastura begitu. Aina Yasmin hanya mampu tersenyum. Dia sendiri berasa kurang senang dengan cara Lukman dan Sufian merenungnya tadi.

“Min, Mas…korang apa khabar?” Lukman menyoal bagi menutup malu yang dirasakan tadi. ‘Malunya aku!! Dahlah Min tu tunang orang…’

“Baik…” jawab Mastura dan Aina Yasmin hampir serentak.

Korang berdua ni balik Malaysia for good kan? Dah tak balik ke US lagi?” soal Mastura.

“Haah… kita orang dah puas dah kat sana… nak cari kerja kat sini pulak… Kita orang berdua tak nak cari kerja kat Ipoh. Kita orang nak ke KL macam korang,” ujar Sufian.

“Oh, macam tu… Bila nak ke KL?” Mastura bertanya lagi.

“Tengoklah seminggu dua lagi… Sekarang nak bermanja dengan mak…” Sufian berlawak. Terletus ketawa mereka berempat. Sufian masih seperti dulu. Anak mak!

“Eh, mehlah minum dulu… Lama dah kita tak lepak ni…” ajak Sufian.

“Tak bolehlah Pian. Aku kena balik sekarang…Ada orang nak datang rumah lepas Jumaat. Nanti-nantilah kita lepak, ya?” Aina Yasmin terpaksa menolak. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menurut. Rindu betul dengan Lukman dan Sufian!

Lukman dan Sufian mengangguk. “Kalau tak boleh petang ni, esok kita pergi memancing nak, macam dulu?” usul Sufian pula. Dia tahu kelemahan Aina Yasmin. Takkan menolak sebarang ajakan untuk memancing.

Wajah Aina Yasmin berubah ceria. “Boleh je… apa-apa kita orang call ek? Kita orang jalan dulu… Assalamualaikum…” Bibirnya lebar dengan senyuman.

Lukman dan Sufian membalas ucapan salam Aina Yasmin sambil mata mereka tidak berkalih daripada melihat kelibat Mastura dan Aina Yasmin yang semakin menjauh. Kemudian Lukman dan Sufian saling berpandangan. “Cantik gila, siot!! Tergoda aku!” Sufian akhirnya berkata-kata.

Lukman sekadar mengakui kata-kata temannya itu di dalam hati. Aina Yasmin merupakan bunga yang hanya boleh dilihat tetapi tidak boleh disentuh.

“Bertuahnya Abang Aazad…” keluh Sufian lagi. “Kalau Abang Aazad lepaskan Min, aku orang yang pertama yang akan sambar dulu!” Sufian buat-buat ketawa. Masih cuba mengawal gelojak di hati.

Lukman diam tidak membalas. Diaturkan langkah kakinya masuk semula ke dalam gerai Pak Bakar. Air Milo aisnya mahu dihabiskan dahulu. Memang Aina Yasmin cantik tapi dia tahu sia-sia sahaja mempunyai apa-apa perasaan terhadap gadis yang hampir menjadi milik lelaki lain. Buat apa nak rampas hak orang lain? Nanti hak kita juga akan dirampas orang. Senang sahaja prinsip kehidupannya. Tidak perlu memeningkan kepala. Tapi, Mastura juga telah jauh berubah. Wajah yang tenang, walaupun mulutnya sedikit laser… Tapi dari dulu Mastura jenis yang cakap lepas… Dia tahu tu…

Sufian masih belum habis dengan puji-pujiannya, sehinggakan Lukman mula merasa tidak sedap hati. “Dahlah tu Pian… Si Yati kau dah lupa ke? Amboi, baru balik sehari dah lupa. Mentang-mentanglah dia kat Terengganu, kau kat sini…” Lukman menegur dengan cara halus. Hayati, teman istimewa Sufian dari universiti yang sama sengaja dibangkitkan untuk menyedarkan temannya semula.

Sufian menyengih. “Aku tak lupalah buah hati aku tu… Aku saja cakap yang Min tu cantik… Cantik yang aku tak pernah jumpa pada mana-mana perempuan sebelum ni, termasuklah si Yati… Tapi kan Man, kalaulah aku diberikan pilihan antara Min dengan Yati, aku rasa aku akan pilih Min sebab aku kenal Min lebih lama daripada Yati…”

Lukman menggelengkan kepalanya. “Senang je kau buat pilihan, ya? Min tu anggap kita kawan jelah… Tak pernah lebih daripada tu! Dari dulu dia setia pada Abang Aazad… Kau jangan nak berangan… Setia jelah pada yang satu…”

“Kau apa tahu? Jatuh cinta pun tak pernah, nak nasihatkan orang…” sindir Sufian.

Lukman tersentak. Lain macam sahaja bunyi temannya ini. “Kalau kau dah pernah jatuh cinta, maknanya bukan ke kau patut setia pada orang yang kau cinta tu? Yang kau pasang angan nak menggatal ni apa hal?” tegang suara Lukman. Dia hanya mahu menasihati temannya itu. Sekali, dia pula yang disindir.

Alaaah… relakslah bro… Kita kan boleh pasang empat… Hahaha…” Sufian gelak sendiri. Sangkanya lawak yang diciptanya sendiri itu kelakar sangat agaknya.

Lukman tidak turut ketawa. Dia jelak dengan lawak yang langsung tidak kelakar itu. Dia menghirup air Milo ais sehingga habis dan terus bangun. Dia membuat bayaran dan terus meninggalkan gerai Pak Bakar. Sufian terpisat-pisat di tempat duduknya hanya mampu memerhatikan Lukman meninggalkannya keseorangan. ‘Apa hal mamat tu? Datang bulan ke? Emo semacam je…’

Sufian tidak mengendahkan kelakuan pelik temannya. Dia kembali memberi perhatian kepada mi goreng di hadapannya. Lagi berfaedah!


2 comments:

  1. Lukman dah suka dgn Mas ke??... kira ok lah sama-sama baik... mest kawan Iqbal tu family angkat Aazad...

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....