Saturday, 7 November 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 15

Sudah lama Aina Yasmin berdiri di lobi. Mastura telah menyuruh dia tunggu di lobi sahaja manakala dia ke basement untuk mengambil kereta. ‘Apa lama sangat nak ambik kereta ni? Mana Mas ni?’ Dia tahu dia tidak mungkin dapat menelefon rakannya itu memandangkan kesukaran mendapat talian di bahagian basement bangunan itu.

“Min…”

Aina Yasmin menoleh. Dia melihat Mastura tercungap-cungap keluar dari pintu lif lalu berjalan menuju ke lobi.

“Kereta tak boleh startlah… Aku rasa bateri kereta aku tu kong!”

Laaa… ya ke? Nak aku call along mintak tolong dia panggilkan mekanik ke? Boleh dia datang ambik kita sekali kat sini…” Aina Yasmin melontarkan cadangan.

“Eh, tak payah. Aku dah call dah pun. Kejap lagi diaorang sampai. Kau baliklah dulu… Aku kena tunggu mekanik…”

“Hesy, tak naklah aku balik dulu… Aku tunggu sekali dengan kau jelah…” Tidak sampai hati pula membiarkan Mastura dengan masalah keretanya. Padahal datang kerja bersama-sama. Balik pun mestilah bersama-sama, kan?

“Min, Mas… ada apa ni?”

Spontan Aina Yasmin dan Mastura menoleh ke arah suara itu. Ameer Aazad berdiri berhampiran mereka sambil menjinjing beg bimbit. ‘Dia ni dari mana? Tahu-tahu muncul je…” gumam Aina Yasmin. Dengan dua butang teratas pada kemeja yang sudah dibuka, Ameer Aazad nampak seksi dan menggoda. Bisa menggoncang keimanan gadis naif seperti Aina Yasmin. Aina Yasmin melarikan mata daripada melihat bulu dada Ameer Aazad yang mengintai keluar dari dalam kemeja. ‘Hesy! Tak pasal-pasal berdosa aku tengok benda yang tak sepatutnya aku tengok…’

“Kereta Mas tak boleh nak start, bang. Mas dah call mekanik. Mas dah suruh Min balik dulu tapi dia ni nak tunggu Mas pulak…” jelas Mastura kepada Ameer Aazad. Dia melayangkan tangannya ke arah Aina Yasmin.

“Kau ni! Biarlah aku tunggu kau. Nanti kau sorang-sorang je kat basement tu dengan si mekanik tu nanti. Kau tak takut ke?” Aina Yasmin mencelah.

Errr… macam ni. Biar abang call driver abang mintak dia tunggu dengan Mas kat sini. Sebab abang ada hal nak jumpa Min kejap. Min ikut abang, ya? Nanti abang hantar Min balik rumah…” Ameer Aazad memberikan cadangan.

Aina Yasmin baru sahaja hendak membuka mulut untuk menolak cadangan Ameer Aazad itu, namun Mastura lebih pantas bertindak. “Hah! Cantik! Boleh jugak macam tu. Min, kau pergilah dengan Abang Aazad. Aku okey je kat sini… no hal…”

Sedang Ameer Aazad mencapai telefon bimbitnya dari dalam poket untuk menelefon pemandunya, Aina Yasmin sudah memberi isyarat mata kepada Mastura. Berkerut dahinya. Tidak suka betul dengan apa yang telah dirancang kini. Mastura menjongketkan kening. Pura-pura tidak mengerti dengan isyarat yang cuba dihantar temannya itu. Akhirnya Aina Yasmin mendekati Mastura dan berbisik ke telinganya, “Aku tak nak ikut Abang Aazad…”

Alaaah, kau nak tunggu sini buat apa? Kau pergi jelah…” balas Mastura, juga dengan nada berbisik.

Ameer Aazad hanya memerhatikan gelagat tunangnya bersama Mastura dengan ekor mata. Mengerti bahasa tubuh tunangnya itu yang meronta-ronta tidak mahu berduaan dengannya. Rancangan yang dicipta dengan pertolongan Mastura sejak pagi tadi nampak berhasil. Untung juga Aina Yasmin tinggal bersama Mastura. Ameer Aazad sudah lama kenal dengan Mastura. Satu kampunglah katakan. Syukur Mastura sudi membantu. Kalau tidak, jangan harap dia bisa berjumpa dengan Aina Yasmin. Gadis itu asyik mahu mengelak sahaja.

Tidak lama kemudian, kelibat seorang pak cik dalam lingkungan usia lima puluhan dan siap beruniform datang menghampiri Ameer Aazad. “Mas, ni Pak Cik Sidek, driver abang. Pak cik, tolong tunggu kawan saya ni, ya? Macam saya cakap dalam telefon tadi,” arah Ameer Aazad kepada orang tua tadi. “Min, jom?”

Aina Yasmin menjeling Mastura tanda tidak puas hati sebelum mengekori Ameer Aazad. Langkahnya berat. Dia geram! Mastura sempat mengenyitkan matanya kepada Aina Yasmin.

“Kita nak ke mana ni?” soal Aina Yasmin, setelah hampir sepuluh minit berada di dalam kereta Ameer Aazad. Dia tidak selesa berada dalam suasana yang sepi tanpa bicara. Lelaki itu pun tidak memulakan perbualan dengannya seperti selalu. Senyap membatu.

Ameer Aazad menjeling ke wajah Aina Yasmin sebelum kembali menumpukan perhatian pada pemanduan. Sinis senyumannya. “Ingat tak nak tanya tadi… Abang bawak Min lari ke Siam pun Min tak tahu, kan?” Ameer Aazad bergurau.

Semakin geram Aina Yasmin dibuatnya. ‘Tak kelakar langsung, hoccay!’ Terkumat-kamit mulut gadis itu. Ameer Aazad yang mengilas pandang ke arah tunangnya berasa geli hati.

“Makin comel je abang tengok Min buat macam tu… Kutuklah… Abang tak kisah… Suka hati Min la nak kata abang apa pun… abang terima…” sindir Ameer Aazad.

Terus berhenti pergerakan di bibir Aina Yasmin. Malu dia ditangkap sebegitu. Ingin sahaja dia menepuk mulutnya yang terlepas aksi tadi.

“Cepatlah beritahu. Kita nak ke mana ni?” Aina Yasmin tidak mengendahkan sindiran daripada tunangnya itu.

“Adalah…” ringkas balasan Ameer Aazad. Dia terus memandu. Kesesakan lalu lintas menjadi penghalang kepada mereka untuk cepat sampai ke destinasi yang telah dirancang. Hampir tiga puluh minit kemudian, barulah Ameer Aazad dapat memarkirkan kereta di hadapan kedai Habib Jewels, bersebelahan Ampang Point.

Sangka Aina Yasmin, Ameer Aazad ingin berbelanja di Ampang Point. Jadi, dengan separuh rela, Aina Yasmin keluar dari perut kereta. ‘Nak shopping pun nak bawak aku ke? Hesy! Bosanlah macam ni…’ gumam Aina Yasmin sendirian.

Ameer Aazad menghampiri Aina Yasmin. “Jom?” ajak lelaki itu, apabila melihatkan gadis itu masih berdiri di sisi kereta. Langsung tidak berganjak. Lembut pandangan lelaki itu. Suka dia melihat Aina Yasmin berbaju kurung hari ini. Warna pink lagi! Entah mengapa rasa bangga menyelubungi dirinya. Bangga kerana gadis di hadapannya merupakan tunangnya. Aina Yasmin dirasakan cukup sempurna sekali. Rasa dirinya begitu bertuah. Dia tersenyum.

Aina Yasmin tetap begitu. Cara Ameer Aazad memandangnya membuat dia tidak keruan. Dia boleh lemas dalam pandangan lelaki itu. ‘Kenapa aku rasa disayangi setiap kali dia renung aku dan senyum pada aku macam tu?’ Aina Yasmin merasakan perlakuan tunangnya itu membuatkan dirinya semakin sukar untuk melawan usaha Ameer Aazad untuk merapatkan hubungan mereka. Aina Yasmin menggelengkan kepalanya sekali seolah-olah cuba menepis fikirannya itu.

“Abang cakap dulu kita nak ke mana…” gertak Aina Yasmin. ‘Tak suka tau macam ni!’

Ameer Aazad ketawa kecil. “Comel sungguh tunang abang ni. Rasa macam nak cubit-cubit je. Kenapa takut sangat ni, hmmm? Kita kan kat tempat awam ni. Abang bukan nak bawak Min masuk hotel pun? Tak payahlah cuak sangat…” usik Ameer Aazad.

Aina Yasmin mengetap bibir. Geram! Ameer Aazad sering membuat hatinya panas. ‘Hotel? Aku tak fikir sampai ke situ pun hoccay!!’ Dia menjeling lelaki di hadapannya. Jelingan yang membuat jantung Ameer Aazad berdetak lebih laju daripada biasa.

“Tunang abang, janganlah merajuk. Usik sikit dah marah… Abang nak bawak Min beli cincin tunang baru. Jom?” ajak Ameer Aazad sekali lagi. Jelas riak teruja di wajahnya.

“Cincin baru? Kenapa?” berkerut dahi Aina Yasmin mendengar cadangan tunangnya itu.

“Cincin Min kan dah tak muat… jadi abang nak ganti dengan cincin baru. Lagipun, cincin lama tu bukan abang yang pilih. Mama yang pilih. Abang nak belikan sendiri cincin tunang baru untuk Min. Min pilih je mana yang berkenan kat mata Min. Nanti, bila nak bernikah nanti, abang akan beli cincin lain pulak…” Itulah niatnya. Mahu membelikan cincin baharu yang lebih bermakna buat mereka berdua. Mahu menghapuskan kenangan lama yang langsung tiada manisnya ketika mereka dipaksa bertunang dulu. Pembelian cincin baharu ini juga termasuk dalam bab ingin memulakan episod baharu bersama Aina Yasmin. Biar mereka sama-sama memilih cincin yang bakal menghiasi jari manis gadis itu. Biar lebih bermakna…
“Abang nak mulakan segalanya yang baru dengan Min. Cincin lama tu, Min simpanlah buat kenangan, walaupun abang tahu hanya kenangan pahit je yang melekat pada cincin tu, takde kenangan manis pun. Abang tak mintak Min lupakan kisah lama kita sebab kisah lama tulah yang membuat kita berada kat sini sekarang. Cuma abang nak hadiahkan Min cincin yang kita sama-sama pilih. Yang lebih bererti buat kita berdua. Abang nak bila Min pandang je cincin tu, Min akan senyum terkenangkan abang dan perjalanan kehidupan baru kita ni…”

Aina Yasmin terkesima. Hati kecilnya tersentuh dengan hasrat dan kata-kata Ameer Aazad. Begitu terkesan di hatinya. Luahan hati yang kedengaran begitu ikhlas di telinga Aina Yasmin. Lama mata mereka bersabung pandang. Sinaran mata hazel Ameer Aazad menusuk ke dalam lubuk hatinya yang paling dalam. Aina Yasmin menelan air liur.

“Abang tak perlu buat ni semua… Min tak mintak pun abang…”

Laju jari Ameer Aazad menekup bibir lembap Aina Yasmin. Aina Yasmin menarik nafas tanda terkejut lalu terus membisu. Terkedu dia dengan aksi pantas Ameer Aazad. “Ssshhhno objections!”

Seketika itu juga Ameer Aazad menarik tangannya. Aina Yasmin memandang ke kiri dan ke kanan, ingin melihat sama ada perlakuan Ameer Aazad tadi dilihat sesiapa. Dia malu.

Ameer Aazad memaut lembut lengan Aina Yasmin dan memimpin gadis itu masuk ke dalam kedai Habib Jewels. Bagai lembu yang dicucuk hidung, Aina Yasmin hanya menurut. Tangan Ameer Aazad yang masih di lengannya dipandang. Walaupun berlapik, dia tetap tidak senang diperlakukan begitu.

Aina Yasmin memerhatikan sahaja tunangnya bercakap dengan gadis beruniform berwarna coklat di hadapan mereka. Gadis itu tersenyum sebelum menjemput mereka masuk ke bilik pameran bersebelahan. Ameer Aazad memimpin Aina Yasmin duduk di kerusi yang disediakan. Dia melabuhkan punggung bersebelahan tunangnya itu. Gadis tadi mengambil tempat di hadapan mereka. Aina Yasmin melabuhkan pandangan ke cermin kaca yang mempamerkan cincin-cincin berlian pelbagai reka bentuk dan potongan.

“Pilihlah mana yang berkenan…” lembut Ameer Aazad menuturkan kata.

Aina Yasmin serba salah. Dia keliru sebenarnya. Hatinya berbelah bahagi. Di sebelah kanan, dia tidak mahu Ameer Aazad melakukan pembaziran. Menghadiahkan sehingga dua bentuk cincin tunang. Di sebelah kiri, hatinya teruja dengan niat Ameer Aazad yang mahu mencipta kenangan baharu buat mereka. Dia menoleh ke arah tunangnya yang masih murah dengan senyuman itu. Cuba menghantar pesanan melalui pandangan matanya.

“Min tak tahulah, bang…”

“Kalau macam tu, meh abang pilihkan, ya? Tapi kalau Min tak berkenan cakap tau?”

Ameer Aazad memulakan misi mencari cincin tunang baharu. Cincin itu dan ini diminta dikeluarkan dari bekas pameran. Gadis pekerja tadi melayankan sahaja kehendak Ameer Aazad. Ada kalanya Aina Yasmin dapat menangkap sepasang mata gadis itu meneroka ke wajah lelaki itu. Mungkin terpesona dengan ketampanan Ameer Aazad dan pada masa yang sama, cuba meneka cerita di sebalik parut yang jelas kelihatan di wajah lelaki itu. Sebenarnya, bagi Aina Yasmin, parut di wajah Ameer Aazad membuatkan lelaki itu kelihatan lebih rugged. Rugged and dangerous! Aina Yasmin terpaksa mengakui ada sedikit rasa kurang senang dengan perhatian yang diberikan gadis itu terhadap tunangnya. ‘Agak-agaklah kalau nak tenung-tenung orang pun. Ni tunang aku tahu tak?’

“Yang ni cantik tak, sayang?” soalan daripada Ameer Aazad mengejutkan Aina Yasmin daripada lamunan.

‘Apa dia panggil aku tadi? Sayang? Betul ke telinga aku ni?’

Di sebalik rasa terkejutnya, sempat Aina Yasmin menangkap mata gadis tadi yang pantas dialihkan dari wajah Ameer Aazad. Mungkin, melalui panggilan ‘sayang’ oleh Ameer Aazad tadi, dia tersedar dengan kelakuannya yang sedang menilik lelaki yang bakal menjadi kepunyaan orang lain.

“Apa, bang?”

Ameer Aazad menyembunyikan senyuman. ‘Orang sibuk pilihkan cincin, dia boleh berangan pulak. Yang dia asyik tengok budak perempuan depan dia ni kenapa pulak? Dia perasan jugak ke budak ni tengah syok belek muka aku? Ke dia cemburu?’ Sengaja dia memanggil Aina Yasmin dengan panggilan ‘sayang’ tadi. Ingin menyedarkan gadis di hadapannya betapa pentingnya Aina Yasmin kepada dirinya. Bukan Ameer Aazad tidak perasankan mata liar gadis di hadapannya sedari tadi. Dia sudah berazam untuk tidak mengambil kisah akan mata yang memandang ke wajahnya, sama ada dengan pandangan jijik atau simpati atau juga pandangan yang penuh dengan tanda tanya. Dia tidak akan membiarkan pandangan orang lain tentang dirinya mempengaruhi kehidupannya lagi. Cukup dengan penerimaan Aina Yasmin seorang. Itu adalah lebih daripada mencukupi.

“Abang tanya, Min suka tak dengan cincin ni?” Ameer Aazad menghulurkan cincin yang telah dipilihnya kepada Aina Yasmin.

‘Ya Allah! Cantiknya!’ Kilauan cahaya berlian berpotongan bulat menyapa pandangan Aina Yasmin. Dia sudah jatuh hati dengan cincin yang dipilih Ameer Aazad. ‘Simple tapi nampak elegan sangat. Aku memang suka emas putih! Pandainya dia pilih… Tapi nampak macam mahal je…’

Ameer Aazad melihat reaksi Aina Yasmin. Dia yakin Aina Yasmin amat menyukai cincin yang dipilihnya itu. Kalau tidak, masakan gadis itu menarik nafasnya tadi. Wajahnya turut mempamerkan riak teruja. Dia yakin dia telah membuat pilihan yang tepat.

“Cubalah…”

Dengan bibir yang digigit kemas, Aina Yasmin menyarungkan cincin itu ke jari manisnya. Padanan yang cukup tepat sekali. Cantik betul! Dia mengintai tanda harga di teg yang diikat kepada cincin tadi. Hampir gugur jantungnya melihat harga yang tertera di situ. Kalau dicongak, harga cincin itu melebihi jumlah gajinya untuk setahun! Gila! Pantas dia ingin menanggalkan cincin itu dari jarinya namun dihalang Ameer Aazad.

Ameer Aazad menarik tangan Aina Yasmin dan dibeleknya. Merah padam muka Aina Yasmin dengan aksi selamba lelaki itu. Malu!

Dengan perlahan, Aina Yasmin menarik tangannya agar tidak terlalu ketara. Air muka tunangnya perlu dijaga. “Bang, kita pilih yang lainlah, ya? Yang ni mahal sangatlah…” bisik Aina Yasmin perlahan.

“Min tak suka ke?” duga Ameer Aazad. Dia sudah tahu jawapannya. Namun dia mahu mendengar pengakuan daripada tunangnya itu. Harga bukanlah satu persoalan baginya. Asalkan berkenan di hati mereka berdua, itu lebih utama.

“Eh, bukan tak suka…Min suka, suka sangat…tapi Min rasa mahal sangat…Kita pilih yang lain, ya?” tanya Aina Yasmin sekali lagi.

Ameer Aazad menggelengkan kepalanya. Dia mengambil cincin itu dari jari Aina Yasmin dan menghulurkannya kepada gadis yang bertugas. “Cik, kami pilih yang ni, ya? Tak payah pack. Saya nak tunang saya pakai cincin ni terus.”

“Baik, Encik. Tapi biar saya sediakan bilnya dulu, ya? Nanti saya bawak cincin ni pada Encik semula…” Selepas menyambut kad plastik berwarna platinum yang dihulurkan Ameer Aazad, gadis itu bangun dan berlalu. Aina Yasmin dan Ameer Aazad kekal di tempat duduk mereka.

“Abang, Min tak selesalah pakai cincin mahal macam tu. Min rasa membazir je…” Aina Yasmin masih mencuba mengubah keputusan yang telah dibuat Ameer Aazad tadi. “Kalau cincin tu hilang ke, tercicir atau kena curi macam mana?”

“Kalau hilang, anggap je bukan rezeki kita. Biar cincin tu hilang asalkan bukan Min yang hilang daripada hidup abang…” Penuh romantik Ameer Aazad bersuara. “Cincin tu tak penting. Itu hanya simbol pertunangan kita. Min lagi penting buat abang…”

Aina Yasmin terkedu. Renungan redup daripada Ameer Aazad mengundang debaran yang sangat hebat, yang kian meretakkan kebekuan hatinya. Lama mereka bertembung mata. Seperti biasa, Aina Yasmin yang mengaku kalah. Maka dilabuhkan pandangan matanya. Ameer Aazad menghela nafasnya. Semakin tenang dan yakin dia dengan perasaan hatinya sendiri, dan dia semakin selesa meluahkan rasa. Hati gadis itu perlu dimiliki!

Tidak lama kemudian, gadis tadi datang kembali dengan membawa dokumen yang berkaitan. Cincin tadi yang siap diletakkan di dalam bekasnya dihulurkan kepada Aina Yasmin. Teragak-agak Aina Yasmin menyambutnya. Akhirnya, Ameer Aazad mengambil bekas itu dari tangan Aina Yasmin lalu membukanya. Cincin dikeluarkan dan dengan lafaz Bismillah, Ameer Aazad menyarungkannya sendiri ke jari manis Aina Yasmin. Dia puas! Sekarang status Aina Yasmin yang sudah bertunang kembali menjadi jelas dan nyata. Siapa yang hendak mengacau tunangnya tu, dipersilakan ke hadapan, ya! Dia bersedia dengan langkah kuda-kuda.

“Terima kasih, bang. Min suka sangat cincin ni. Nilah hadiah paling mahal yang Min pernah terima dalam hidup Min…”

Ameer Aazad tersenyum bangga. “Sama-sama, tunang abang. Abang hadiahkan cincin ni seikhlas hati abang, pada orang yang begitu bermakna dalam hidup abang. Abang harap, Min takkan tanggalkan cincin tu sampai bila-bila…”

Takkan tanggal sampai bila-bila? Sekilas, ‘syarat-enam-bulan’ Ameer Aazad terlayar di fikiran. Syarat itu benar-benar menjerut lehernya. Sampai hatikah dia untuk meminta pertunangan mereka diputuskan nanti? Ameer Aazad nampak begitu ikhlas dan begitu serius dalam hubungan mereka. Ada kalanya, Aina Yasmin seolah-olah dapat merasakan kasih sayang yang cuba dicurahkan oleh Ameer Aazad. Sama ada melalui pandangan mata, mahupun bahasa tubuh. Atau sekadar Aina Yasmin telah salah mentafsir segalanya? Tapi bukankah Ameer Aazad telah melafazkan kata sayang kepadanya tempoh hari? Sebelum dia bergegas melarikan diri dari bilik pejabat lelaki itu? Ah, dia sungguh keliru.

“Min? Min okey?” soal Ameer Aazad ketika melihat perubahan pada riak wajah Aina Yasmin.

Aina Yasmin cuba mengukirkan senyuman. “Min okey.”

Terpesona Ameer Aazad melihat senyuman di bibir Aina Yasmin. Selama ini, begitu susah gadis itu hendak senyum kepadanya. Dia berdehem kecil bagi meredakan lonjakan jantungnya.

“Kalau macam tu, jomlah. Kita pergi makan, ya? Sempat lagi kalau kita makan sekarang sebelum maghrib. Boleh?”

Aina Yasmin mengangguk. Entah mengapa dia pun belum bersedia untuk berpisah dengan Ameer Aazad. Rasa bahagia sudah mula berputik… ‘Hesy! Takkan dapat cincin terus bahagia, Min? Senangnya kau kena beli!!’ Ada suatu suara yang tiba-tiba mencucuk hatinya. Sakit! Apabila diri sendiri yang menuduhnya mudah dibeli, hatinya terasa sakit. Betulkah dia begitu?

2 comments:

  1. Niat Aazad baik ... untuk mulakan perhubungan yg baru Min... bagi Aazad peluang kedua... dari sinar mata Aazad tentu Min tahu kan... Aazad sgt merhargai Min sekarang... Aazad berusaha lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aazad takkan putus2 berusaha Kak Sue... :D :D

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....