Saturday, 7 November 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 14

Panas! Hati Aina Yasmin panas…

Dia melangkah menuju ke pintu. Ameer Aazad yang masih berdiri sambil menyilangkan tangan ke dada di balik pintu yang sudah bertutup rapat tidak dihiraukannya. Dia cuba membuka pintu untuk lekas-lekas keluar dari bilik Ameer Aazad, namun laluannya dihalang lelaki itu.

“Tepi! Min nak keluar…Min ada banyak lagi kerja kat bawah…” Wajah Ameer Aazad tidak dipandang. Tidak hingin!

‘Amboi! Garangnya…’ Ameer Aazad menyembunyikan senyuman di dalam hati. Dia sedar hati gadis itu sedang membara tapi itu caranya untuk ‘memerangkap’ Aina Yasmin agar bersetuju berkahwin dengannya. Dia hanya menurut cadangan Tan Sri Khir Razak. Dia memilih untuk mengguna taktik ‘mendesak’ dan sekiranya perlu, dia akan ‘memaksa’. Apa sahaja asalkan gadis itu akan menjadi isterinya. Dan kalau boleh dalam masa yang terdekat ini.

Alaaah, tunggulah dulu. Dah nak dekat lunch time dah ni. Jom makan dengan abang?” ajak Ameer Aazad mesra. Senyuman menggoda dihulurkan.

“Tak nak… tepilah!!” nada Aina Yasmin naik seoktaf. Geram betul dia dengan lelaki itu! ‘Perasan handsome lettew, dok senyum macam gitu. Mengada-ada! Dah bersedia nak kahwin, konon! Habis yang enam bulan tu hape?’ Berangin betul Aina Yasmin kini.

“Kenapa tunang abang marah-marah ni?” Lembut Ameer Aazad bertanya. Dia pura-pura tidak tahu. Suka dia mengusik gadis itu. Sedikit demi sedikit, perwatakannya yang ceria dan nakal dulu mula kembali. Semuanya kerana gadis itu. Dia pun sebenarnya sudah jemu dengan sifatnya yang sentiasa serius dan tegas itu. Asyik dengan barannya. Dengan gadis itu, terbit rasa hendak mengusik dan menyakat.

Aina Yasmin cuba untuk tidak mengendahkan panggilan ‘tunang abang’ yang disebut Ameer Aazad tadi. Dia sedar kelemahannya sendiri. Tidak mahu lemas dengan perasaannya seperti sebentar tadi, dia menolak lengan Ameer Aazad agar tubuh lelaki itu menjauhi pintu namun sedikit pun lelaki itu tidak beranjak. Sia-sia sahaja aksinya. Ameer Aazad kekal berdiri dengan santainya. Nampak terhibur dengan gelagat Aina Yasmin.

‘Comel betul dia ni! Betul cakap Iqbal. Min ni memang manja…’

“Min, kenapa ni? Kenapa marah sangat ni?” desak Ameer Aazad.

“Abang jahat! Min benci abang!” ujar Aina Yasmin tanpa perasaan. Bukan dia maksudkan pun kata-katanya itu. Sekadar ingin melepaskan amarahnya.

“Tapi abang sayangkan Min…” bisik Ameer Aazad dekat ke telinga Aina Yasmin secara tidak sengaja. Dia sendiri terkedu dengan luahan yang lahir dari bibirnya. Syukur hanya ucapan sayang yang dilafazkan. Kalau terkeluar ungkapan cinta tadi? Hai, biarlah ungkapan cinta itu dipendamkan dahulu.

Terkejut Aina Yasmin mendengar pengakuan berani mati daripada Ameer Aazad. Sukar baginya untuk mempercayainya. Lebih-lebih lagi melihat Ameer Aazad sendiri terkejut dengan kata-katanya tadi. ‘Takkan dia ada apa-apa perasaan pada aku? Aku tak percaya!’ Dia menjarakkan wajahnya dari lelaki itu. Dengan sekuat hati dia menolak tubuh Ameer Aazad sekali lagi. Dia berjaya. Lelaki itu bergerak jua. Apa lagi? Dengan pantas dia membuka pintu dan meluru keluar dari bilik Ameer Aazad. Dia tidak betah berlamaan dengan tunangnya itu. Boleh jatuh gila!

Ameer Aazad tidak mampu menahan langkah Aina Yasmin, maka dibiarkan sahaja gadis itu berlalu. Dia masih belum puas meluangkan masa bersama gadis itu. Sedikit rasa kecewa menerpa di jiwa apabila gadis itu langsung tidak menghiraukan ucapan sayang yang lahir dari hatinya sebentar tadi. Walaupun ucapan sayang itu tidak disengajakan, namun dia ikhlas dengan perasaan hatinya. Nampaknya dia perlu mencuba dengan lebih gigih lagi. Tiba-tiba dia mendapat suatu akal. Dia tersenyum…

************

Mata Ameer Aazad meliar mencari seseorang di dalam Restoran Cendana. Apabila berjumpa dengan orang yang dicari, dia mengayun langkah menghampiri pemuda itu. Dia duduk.

“Bal, Assalamualaikum… Terima kasih sebab sudi jumpa aku malam ni…”

Iqbal melipat surat khabar dan meletakkannya di atas meja. Dia menyambut huluran tangan Ameer Aazad dan membalas ucap salam bakal adik iparnya itu.

No prob, bro! Aku…” Kata-katanya terhenti. Tercengang dia melihat perubahan di wajah Ameer Aazad yang duduk berhadapan dengannya. Dia akhirnya tersenyum.

“Lain sekarang? Ada apa-apa ke?” usik Iqbal. Matanya masih di wajah Ameer Aazad yang bersih.

Ameer Aazad membiarkan dahulu soalan daripada Iqbal itu. Dia memanggil pelayan dan membuat pesanan. “Kau dah order?” tanya Ameer Aazad pada Iqbal.

“Dah…”

Apabila pelayan tadi berlalu, Ameer Aazad memandang Iqbal. Ternyata reaksi Iqbal tidak jauh berbeza daripada Aina Yasmin. Mereka hanya memerhatikan parut yang begitu jelas di wajahnya. Namun tiada riak jijik atau geli pun di wajah mereka. Dan mereka tidak melarikan pandangan. Ternyata dia sudah salah mentafsir hati mereka yang dekat dengan dirinya dulu. Menyamakan mereka ini dengan rakan-rakan serta teman-teman wanitanya dulu, yang jelas tidak pernah pedulikan dirinya, dan hanya berdampingan dengannya kerana rupa serta kemewahan yang boleh ditaburkannya.

“Adik kau suruh aku cukur, Bal. Dia tak suka orang berjambang katanya… Nak buat macam mana? Terpaksalah aku ikut…”

Iqbal ketawa besar. “Hai! Bila masa pulak kau mula dengar cakap orang ni, Zad? Setahu aku kau ni degil… Tak suka nak dengar cakap orang lain?” sindir Iqbal.

“Memang pun… tapi untuk Min, aku sanggup buat apa saja, Bal!” Serius Ameer Aazad bersuara. Matanya tajam memandang Iqbal. Dia ingin Iqbal tahu akan niat sebenarnya terhadap Aina Yasmin. “Apa saja!”

Iqbal bersandar ke kerusi. Wajah serius Ameer Aazad ditatap. Ada maksud tersirat di sebalik kata-kata Ameer Aazad tadi. Dia tahu. Dia dapat menangkapnya.

“Bal, sebelum tu, aku nak mintak maaf pada kau, pada Syafiq. Aku jauhkan diri daripada korang semua lepas aku accident dulu. Aku mintak maaf sangat-sangat!” ikhlas Ameer Aazad memohon keampunan.

Iqbal mengeluh. “Aku dengan Syafiq pun selalu tertanya-tanya kenapa kau sisihkan kita orang berdua. Padahal kita dah macam adik-beradik, Zad. Lepas arwah abah meninggal, kau pulak accident. Lepas tu kau terus menyepikan diri… Kenapa? Apa salah kita orang, Zad?” Akhirnya, Iqbal berpeluang menanyakan soalan yang selama ini tiada jawapannya.

Ameer Aazad tunduk seketika. “Korang tak salah apa-apa pun, Bal. Aku yang bersalah…”

“Apa sebenarnya yang telah terjadi pada kau, Zad?”

Ameer Aazad mengeluh kesal. “Sebenarnya, aku malu dengan kau… dan Syafiq. Dan aku malu dengan mak kau dan terutama sekali dengan Min…” Ameer Aazad mula berterus-terang. “Aku berdosa pada arwah abah dan pada Min…”

“Malu? Dosa? Apa hal pulak ni?” Berkerut dahi Iqbal. Dia tidak mengerti.

Akhirnya, segala perasaan yang dipendam selama ini diluahkan kepada dua pupunya itu. Ameer Aazad menceritakan tentang dirinya yang jauh tersasar dulu, dan juga tentang niatnya yang tidak pernah mahu meneruskan pertunangan dengan Aina Yasmin. Dia menjauhkan diri daripada Iqbal dan Syafiq apabila telah tersedar dan kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya dia malu terhadap keluarga tunangnya yang telah menganggap dirinya sebagai seorang daripada ahli keluarga mereka sendiri kerana tidak berpegang kepada janji. Janji yang dibuat kepada arwah Haji Zainal Abidin dulu.

“Lepas aku sedar tu, aku rasa bersalah sangat, Bal. Aku rasa diri aku ni tak guna! Kawan-kawan aku terus hilang lepas kemalangan tu. Aku ada tunang, tapi sikit pun aku tak pernah kisahkan dia. Aku curang pada Min. Aku berdampingan dengan ramai perempuan lain, walaupun aku takdelah sampai berzina. Tapi menghampiri zina tu dah banyak kali…” Ameer Aazad meraup muka. Dia kesal dengan kehidupannya yang jauh tersasar dulu. Padahal dia dibesarkan dengan ilmu agama yang lengkap di dada. Iqbal pula tidak mencelah. Dibiarkan Ameer Aazad melayari sejarah kehidupannya.

“Aku asyik mimpi arwah abah. Mimpi yang hampir sama setiap malam sebelum aku accident. Aku tak boleh lupa cara arwah abah pandang muka aku dalam semua mimpi tu… Penuh dengan rasa kecewa. Rasa terkilan pun ada. Aku dah mula rasa bersalah. Aku asyik teringatkan Min, yang tak pernah aku pedulikan… Maafkan aku, Bal. Aku banyak berdosa pada Min…”

Iqbal mengeluh kesal. Fahamlah dia kini dengan perubahan yang melanda Ameer Aazad. Walaupun dia kehilangan seorang daripada teman karibnya dulu, dia bersyukur kerana Ameer Aazad telah kembali ke jalan Ilahi. Dia amat bersyukur. Bukan dia tidak tahu tentang kehidupan Ameer Aazad yang penuh sosial dulu. Kuala Lumpur ni, bukanlah kecil sangat dan Ameer Aazad pula bukanlah orang sembarangan. Sebab itu dia tidak membantah apabila Aina Yasmin ingin memutuskan pertunangannya dengan Ameer Aazad kerana dia merasakan lelaki itu tidak layak untuk adiknya.

“Bila aku dah sedar dan bertaubat, aku tak tahu macam mana nak baiki hubungan aku dengan Min. Perasaan malu tu terlampau tinggi. Yang lagi teruk, aku pernah hina dia, Bal. Aku kejam sangat! Aku jarang balik kampung sebab aku malu nak jumpa keluarga kau. Aku malu, Bal! Aku rasa diri aku ni hina sangat! Cuma bila tiba-tiba Min mintak putus, aku sedar aku tak boleh biarkan dia pergi macam tu je. Aku dah janji dengan arwah abah dulu dan aku ingin berpegang pada janji aku tu, sampai akhir hayat aku!

Bal, aku mengaku, dulu memang aku tunggu masa je nak putus dengan Min. Niat aku, dia balik Malaysia je aku akan putuskan pertunangan. At least dia dah habis belajar. Tapi sekarang tak…”

Perbualan mereka terhenti apabila makanan yang dipesan diletakkan ke atas meja. Ameer Aazad dan Iqbal langsung tidak menghiraukan makanan yang terhidang di atas meja.

“Zad, kami sekeluarga sedia lepaskan kau daripada janji tu… Kau tak payah rasa bersalah pada arwah abah… kita orang semua tak nak paksa kau, dan tak nak paksa Min… Kalau kau betul-betul tak nak kat Min, kita orang takkan ada apa-apa dendam pun pada kau, Zad, kalaupun korang putus tunang. Kau dah macam adik aku walaupun aku tua daripada kau dua bulan je… Aku yakin hubungan mak dan Auntie Shima pun takkan renggang…”

Ameer Aazad menggeleng-gelengkan kepalanya. Namun Iqbal masih belum sudah lagi. Dia mahu menguji tunang adiknya ini. Sejak Ameer Aazad menelefon dirinya tempoh hari dan bersungguh-sungguh meminta izinnya untuk berjumpa dengan Aina Yasmin, dia sudah dapat membaca kesungguhan Ameer Aazad. Lalu dia pun bersetuju untuk membawa Ameer Aazad ke rumah sewa adiknya itu. Kini dia ingin menyelami sejauh mana kesungguhan Ameer Aazad terhadap Aina Yasmin. Sengaja dia menyatakan yang dia rela jika Ameer Aazad putus tunang dengan adiknya. Ingin melihat sendiri reaksi Ameer Aazad.

“Jodoh tu di tangan Tuhan, Zad. Kalau jodoh kau bukan dengan Min, takde siapa pun boleh merubah keputusan-Nya. Kalau kau nak kahwin dengan Min hanya sebab nak lepas daripada rasa bersalah kau pada kami semua dan hanya sebab kau berjanji dengan arwah abah, kau hentikanlah niat kau tu… Tak payah teruskan dengan Min. Min deserves better than that!”

“Tak, Bal… tak…” tangkis Ameer Aazad. Kepalanya digeleng-gelengkan. Dia perlu meyakinkan Iqbal.

Iqbal tidak menghiraukan bantahan daripada Ameer Aazad. “Aku tahu kau pernah rasa yang Min tak layak untuk kau, kan?” Iqbal meneruskan sesi ‘ujian’.

“Tu dulu, Bal. Aku mengaku tu. Tapi sekarang, dah terbalik. Aku rasa aku yang tak layak untuk dia…”

Hah! Bagus…

“Lagipun, kawan aku kat ofis tu tak sudah-sudah pujuk aku untuk kenalkan dia pada Min. Dia ternampak gambar Min kat atas meja aku, terus gila bayang… Aku cakap yang adik aku tu dah bertunang… Tapi kalau kau tak nak pada Min, aku boleh kenalkan Min pada kawan aku tu… Aku pun dah lama kenal dia. Baik budaknya…” Iqbal menambah perisa. Ini bukan cerita dongeng, ya. Cerita betul. Kawan ofis Iqbal ini betul-betul wujud dan memang pernah meminta keizinannya untuk berkenalan dengan Aina Yasmin.

Iqbal melihat wajah Ameer Aazad berubah tegang. ‘Ada asap ke keluar kat telinga Aazad tu?’ Iqbal menelan tawa yang ingin terlepas.

Over my dead body!” balas Ameer Aazad serius. Suaranya setegang mukanya! Membayangkan Aina Yasmin bersama lelaki lain membuatnya ingin mengamuk! Sudah tentu kawan sepejabat Iqbal akan menjadi mangsa amuk nombor satu dan Iqbal akan menjadi mangsa amuk nombor dua!

Don’t you dare!! She’s mine…” tegas Ameer Aazad menuturkan kata. ‘Pandai-pandai nak kenenkan tunang aku dengan lelaki lain pulak. Apa kes?!’

Iqbal cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan keseriusan di wajahnya. “Apa hal pulak? Min tu bukan bini kau lagi, Zad!”

“Tapi dia tunang aku!! Dan dia bakal isteri aku! Aku takkan sekali-kali benarkan lelaki lain ambik dia daripada aku!! Dia hak aku!” Ameer Aazad menguak rambutnya ke belakang. Dia meraup muka sekali lagi. “Bal, kau jangan Bal… Aku serius ni…” Takut dia sekiranya Aina Yasmin jatuh hati pada orang lain…

“Serius apa, Zad?”

“Aku serius dengan Min… Bukan sebab rasa bersalah… bukan sebab janji…”

“Habis tu, sebab apa?” Di dalam hati Iqbal berdoa agar Ameer Aazad berterus-terang sahaja dengannya dan berani meluahkan perasaannya yang sebenar. Sebelum dia akan bersetuju menyatukan Ameer Aazad dengan adiknya, dia mesti meyakini hatinya tentang hati dan perasaan Ameer Aazad dahulu.

“Sebab aku tak sanggup kehilangan dia…” lemah Ameer Aazad mengungkapkan isi hati. “Aku nak habiskan baki hidup aku dengan dia…”

“Sebab dia dah berubah? Sebab dia cantik? Tak macam dulu?” duga Iqbal lagi.

Ameer Aazad mengeluh. Penat! Pemikiran kedua-dua beradik ni sama sahaja. “Tak… bukan sebab tu… Aku dah buat keputusan aku ni sebelum aku tahu Min dah berubah lagi. Takkan kau tak ingat?”

Mestilah ingat. Semasa di majlis kenduri kahwin Munirah lagi Iqbal sudah menyedari tentang itu. Ketika itu, Ameer Aazad langsung tidak menyedari kehadiran Aina Yasmin. Namun dia masih ingin meneruskan hubungan dengan adiknya itu.

“Habis kau nak apa sekarang, Zad?”

“Aku nak Min!!” Laju Ameer Aazad memberikan balasan. “Aku nak dia jadi isteri aku… Dan aku nak restu kau…”

Iqbal bungkam. “Kau sanggup jaga dia macam mana aku dengan Syafiq jaga dia? Dia tu manja, Zad. Kena marah sikit, nangis! Kena tegur keras sikit, nangis! Macam mana dia boleh survive hidup sorang-sorang kat US tu pun aku tak tahu. Lagipun dia tu jauh lagi muda daripada kau… Aku tak rasa kau boleh sabar dengan kerenah dia macam aku dan Syafiq…” Iqbal tidak habis-habis menduga. Biarlah dia puas dan tidak akan menyesal melepaskan adik perempuan tunggalnya kepada Ameer Aazad. “Lagipun aku tengok kau ni panas baran! Mesti adik aku tu asyik nangis je kau kerjakan nanti!”

Raut wajah Ameer Aazad berubah. ‘Memang dah nangis pun….’ gumamnya sendirian. “Aku sanggup, Bal. Aku janji aku akan jaga dia sebaik yang terdaya. Dan aku akan manjakan dia macam korang manjakan dia… Aku takkan hampakan kau, Bal… Aku janji…” Memang itulah yang diniatkan di dalam hati.

“Aku tak pastilah, Zad… Aku tak yakin kau sesuai untuk adik aku tu…” bidas Iqbal.

“Bal…” Ameer Aazad kecewa. Namun dia tidak akan berputus asa. “Beri aku peluang. Aku akan buktikan pada kau…”

“Kau ada enam bulan kan? Itulah peluang kau…”

Ameer Aazad serba salah. Hendak berterus-terang dengan rancangannya ataupun tidak? “Aku tak nak tunggu enam bulan, Bal. Aku nak kahwin dengan Min sekarang jugak and I need your help to do this…”

Terkejut Iqbal dibuatnya. Membulat matanya. “Apa kau kata?” Biar betul!

“Memang aku yang mintak enam bulan, tapi lepas jumpa dengan Min, aku tak rasa aku mampu tunggu… Kat ofis Min pun ada sorang buaya tengah tunggu peluang nak rampas Min daripada aku!” Wajah Fadli terlayar di depan mata. “Aku tak sanggup kehilangan Min, Bal. Kau kena tolong aku!” Sudah macam orang terdesak sahaja bunyi Ameer Aazad ni. Sebelum ni dia merayu-rayu pada Aina Yasmin, sekarang pada Iqbal pula. ‘Dah tak betul agaknya aku ni!’

“Kau tak boleh buat macam ni, Zad. Tu adik aku tu! Takkan aku nak paksa dia kahwin dengan kau? Kalau aku buat macam tu, aku sama jelah dengan arwah abah…” bantah Iqbal.

“Bal, bukan paksa… tapi tolong aku dekati Min… aku tahu dia ada perasaan pada aku, tapi mungkin dia tak sedar atau mungkin dia masih muda… atau mungkin dia nak lawan perasaan tu, tapi aku yakin dia ada perasaan pada aku…”

Ameer Aazad bukan orang yang perasan ya. Tapi dia boleh dikatakan mahir dalam membaca reaksi daripada kaum Hawa ini. Aina Yasmin yang malu, Aina Yasmin yang gelabah dan Aina Yasmin yang berdebar bila dekat dengannya. Wajah Aina Yasmin yang sedih dan hampir menangis melihat parut di mukanya. Itu semua merupakan tanda bukan? Tiba-tiba wajahnya terasa panas, mengenangkan belaian jari-jemari Aina Yasmin di wajahnya siang tadi.

“Kau yakin ke?” soal Iqbal kurang percaya. Keningnya bertaut. Dia ragu-ragu.

“Aku yakin, Bal. Aku ada rancangan. Kalau kau sanggup tolong aku, kau boleh tengok sendiri reaksi Min nanti bila aku ada dekat dengan dia. Biar kau tengok sendiri dengan mata kepala kau!”

“Okey, aku tolong. Biar aku tengok sendiri kelakuan adik aku tu bila dengan kau. Tapi aku takkan sekali-kali paksa adik aku buat apa-apa yang dia tak rela! Kau faham kan?”

“Ya, aku faham…Thanks, Bal! Thanks a lot!!”

“Tapi ingat, Zad. Sekali kau sakitkan hati adik aku tu, aku takkan lepaskan kau!! Sampai ke lubang cacing aku akan cari kau. Kau ingat tu! Dia tu amanah arwah abah untuk aku. Aku tak mahu kau sia-siakan dia. Aku tak kisah kau ni siapa. Walaupun suatu hari nanti dia dah jadi isteri kau, dia masih adik aku sampai bila-bila dan aku takkan biarkan hati dia disakiti! Termasuk kau!!” Melayang-layang jari telunjuk Iqbal. Dia serius. Dia takkan benarkan hati Aina Yasmin disakiti lagi. “Kau ingat tu, Zad!”

“Aku faham, Bal. Aku pun ada adik perempuan, jadi aku faham sangat pendirian kau tu dan aku hormati kata-kata amaran kau tu…Insya-Allah, selagi hayat dikandung badan, aku akan jaga hati dia baik-baik…”

Iqbal dan Ameer Aazad saling berpandangan. Mereka memahami diri dan pendirian masing-masing. Terbit rasa lega di hati dua jejaka itu.

So apa plan kau?” soal Iqbal.

“Begini…” Ameer Aazad memulakan pembentangan rancangannya. Iqbal hanya mengangguk-angguk tanda tiada bantahan.

2 comments:

  1. hanya Iqbal ja yang boleh tolong Aazad... berusaha Aazad untuk baiki perhubungan... kena semangat yang kuat... yang pasti Min pun masih sayang cuma Min berhati-hati ... takut hati terluka lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang Min takut hatinya terluka lagi Kak Sue... dan Aazad semakin pasti dengan keinginan hati sendiri... :D

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....