Wednesday, 4 November 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 13

“Zad? Ada apa malam-malam buta ni? Aazad sihat ke?”

Ameer Aazad yang bersandar di dada sofa di ruang tamu banglo milik Tan Sri Khir Razak bingkas bangun, pabila mendengar suara ayah angkatnya. Tan Sri Khir Razak hanya berbaju Melayu dan berkain pelikat. Mungkin sedang bersedia untuk tidur. Dah hampir pukul 11.00 malam la katakan… Dia menyalami dan mengucup tangan Tan Sri Khir Razak.

Sorry, pa! Papa dah tidur ke?”

“Belum… Papa tengah baca majalah…” Tan Sri Khir Razak mengambil tempat di atas sofa bersebelahan dengan tempat duduk Ameer Aazad tadi. Ameer Aazad turut melabuhkan punggungnya di sebelah ayah angkatnya. “So, what’s up?”

Tan Sri Khir Razak mengenali anak angkatnya itu. Tentu ada masalah. Kalau tidak, masakan dia akan datang melawat pada waktu-waktu lanjut begini. “Girl trouble? Yasmin causing problems?” teka Tan Sri Khir Razak dengan senyuman tersimpul di bibir.

Ameer Aazad menjeling ke arah Tan Sri Khir Razak. ‘Dia ni tahu je kalau aku ada masalah…’ Sememangnya, Tan Sri Khir Razak sudah tahu segalanya mengenai hubungan Ameer Aazad dengan Aina Yasmin. Cerita yang bermula dengan penuh kekesalan, yang lahir sebaik sahaja Ameer Aazad keluar dari hospital dua tahun lalu, dan sehingga kini masih tiada penyelesaian… ‘Harap-harap, enam bulan nanti, akan ada penyelesaian,’ Tan Sri Khir Razak berdoa di dalam hati.

I just found out that she’s an employee of Warisan but is now seconded to Icon…” Ameer Aazad memulakan keluh kesahnya. Lantas diceritakan kepada ayah angkatnya tentang apa yang berlaku tengah hari tadi, dan juga perbincangan dengan Aina Yasmin sebentar tadi. Ameer Aazad cuma tidak menceritakan apa yang dibicarakan oleh gadis itu di dalam kereta sebelum mereka berpisah tadi… Dia tidak rasa ayah angkatnya perlu tahu akan itu.

Tan Sri Khir Razak tersenyum lebar. Sudah lama dia mengidam untuk berjumpa dengan gadis itu. “So, what’s the problem?”

“Masalahnya, pa… dia tak percayakan Aazad… Dia masih ingat Aazad ni macam dulu. Susah betul Aazad nak yakinkan dia!” Ameer Aazad mengeluh.

“Salah dia ke, Zad kalau dia berfikiran macam tu?” Tan Sri Khir Razak menjongketkan keningnya.

Ameer Aazad lantas menoleh ke arah Tan Sri Khir Razak, lelaki yang masih kacak di usia lima puluh lapan tahun itu. Tenang wajah Tan Sri Khir Razak memandang ke wajah Ameer Aazad.

“Kalau dah bertahun-tahun dia dah tanam dalam hati dia yang Aazad anggap dia hodoh dan tak layak untuk Aazad, takkan dengan sekelip mata dia boleh ubah tanggapan tu? Kata-kata Aazad sekarang hanya di bibir je… semua orang boleh cakap benda yang sama… Papa tak salahkan dia kalau dia susah nak percaya pada Aazad. Dia setuju nak bagi Aazad peluang kedua pun papa dah terkejut sebenarnya… after knowing what you did to her before!”

Thanks a lot, pa!” sinis Ameer Aazad menuturkan kata. ‘Bukannya nak bagi aku sokongan!’

Tan Sri Khir Razak ketawa kecil melihat wajah cemberut Ameer Aazad, lelaki yang sudah dianggap sebagai darah dagingnya sendiri. Dia jua turut bersalah dalam membentuk Ameer Aazad dahulu. Menghamparkan selautan kesenangan dan kemewahan kepada Ameer Aazad sebagai langkah ‘membeli’ hati dan kesetiaan lelaki muda itu. Kemalangan yang menimpa Ameer Aazad turut menyedarkannya tentang kesilapan yang telah dilakukan. Segala luahan hati Ameer Aazad tentang Aina Yasmin serta hubungannya dengan keluarga Aina Yasmin diterima dengan penuh penyesalan. Dia turut rasa berdosa kerana membiarkan Ameer Aazad hanyut dalam kehidupan duniawi yang penuh kesesatan suatu ketika dahulu.

Hey! What am I seeing? The CEO of Warisan is giving up so easily? Is this really my son?” giliran Tan Sri Khir Razak pula untuk menyindir.

No la, pa! I’m not giving up! Memang padan dengan muka Aazad pun sekarang ni! Memang patut pun dia uji Aazad macam ni… But giving up? Never!!”

Tan Sri Khir Razak menepuk-nepuk bahu Ameer Aazad. “Bagus! Macam tulah anak papa!” puji Tan Sri Khir Razak bangga.

“Apa Aazad nak buat ni, pa? Kalau ikutkan hati, esok jugak Aazad nak kahwin dengan dia. Biar dia tak dapat lari daripada Aazad, sebab masih ada kemungkinan dia akan mintak putus lepas enam bulan nanti…” Keruh wajah Ameer Aazad. Sesungguhnya dia risau sangat akan kemungkinan itu. Tidak sanggup rasanya sekiranya kemungkinan itu berlaku.

So, what’s stopping you? Anak papa takkan mengaku kalah, kan? Anak papa nak tawan hati seorang gadis, kan? Anak papa nak kahwin, kan? Buatlah apa saja asalkan dia jadi isteri Aazad!” cabar Tan Sri Khir Razak.

“Maksud papa? Bulldoze je?” terpinga-pinga Ameer Aazad memandang wajah selamba Tan Sri Khir Razak. ‘Biar betul papa ni!’

“Yalah! Use the caveman tactics, sweep her off her feet, threaten her, manipulate her, anything! Asalkan dia jadi isteri Aazad! Forget about the six months crap! Dulu bila Aazad nakkan sesuatu, Aazad tak pernah fikir dua kali, kan? Aazad akan buat apa saja untuk dapatkan benda tu. Sekarang ni Aazad nak Yasmin kan? Habis, nak duduk goyang kaki je? Usahalah sikit!!” cabar Tan Sri Khir Razak lagi. Dia tidak suka melihat Ameer Aazad yang kelihatan patah semangat begini.

“Pa, Aazad tengah usahalah ni…” sedikit merengek Ameer Aazad melepaskan keluhannya. “Mana ada Aazad goyang kaki? Pening tau, nak fikir pasal benda ni…”

Tan Sri Khir Razak ketawa halus. “Tulah, orang dah biasa kena kejar, kan? Sekarang ni orang tu pulak yang kena mengejar, mana tak pening?” Pedas sindiran Tan Sri Khir Razak. “Kalau papa jadi Aazad, papa akan perangkap dia. Biar dia tak boleh nak lari lagi…”

“Perangkap? Macam mana?” Ameer Aazad memilih untuk tidak mengendahkan sindiran daripada ayah angkatnya tadi. Malas hendak layan.

“Hai! Bab ni pun papa kena ajar ke? Fikirlah sendiri wahai CEO ku…” Rasa hendak dipiat-piat sahaja telinga anak terunanya ini. Blur semacam. “Dahlah tu, dah lewat ni. Papa nak tidur. Esok papa nak lawat kawasan… Make sure you’re in the office!” Tan Sri Khir Razak memberi amaran.

Tan Sri Khir Razak bangun dan terus beredar. Dibiarkan Ameer Aazad bersendirian di ruang tamu melayan perasaannya. ‘Lantak kaulah Zad. Dulu papa nak kahwin dengan isteri papa pun, papa terpaksa perangkap dia. Kalau papa tak buat taktik papa dulu, melepaslah papa…’ Tan Sri Khir Razak tersenyum kecil. Rasa rindu terhadap suri hatinya tidak pernah padam. Sudah hampir lima belas tahun isterinya meninggal dunia… Dia masih tidak bertemu seorang pengganti… Syukur dengan kehadiran Ameer Aazad yang bisa mengisi kekosongan di hatinya…

Ameer Aazad masih termangu di atas sofa. Memikirkan tentang cadangan Tan Sri Khir Razak tadi. ‘Macam mana nak perangkap dia? Takkan nak perangkap dengan tangkap khalwat kot? Malulah aku. Min mesti lagi malu… Apa yang papa maksudkan tadi? Caveman tactics? Manipulate? Threaten? Nak ugut macam mana? Arrgghhtension aku macam ni!!’

**********

Sukar untuk Aina Yasmin menumpukan perhatian. Dokumen di hadapan mata nampak kabur sahaja. Perbincangan dalaman yang diketuai Encik Rashid dan dihadiri Fadli, Yusmadi, Sarah dan dirinya sudah sejam berlalu. Inti pati perbincangan dapat ditangkap dari semasa ke semasa. Dia khuatir kelakuannya yang berbaur resah akan ditangkap Encik Rashid.

“Okey, ada apa-apa soalan?” Encik Rashid mengilas pandang kepada semua yang hadir. Tiada siapa yang bersuara. “Baik, semua boleh bersurai…”

Errr… Encik Rashid? Boleh saya cakap sesuatu?” suara halus Aina Yasmin mencelah. Inilah masanya. Dia tidak mahu berahsia lagi. Atau paling teruk, dianggap spy kepada lelaki berjambang itu!

“Ya, teruskan…”

Aina Yasmin memberanikan diri untuk berterus-terang. Dia mengambil nafas dalam-dalam. “Encik Rashid, sebenarnya saya ada sesuatu yang saya kena beritahu pada Encik Rashid dan pada semua.” Matanya singgah sekejap pada semua yang hadir dalam mesyuarat itu. Akhirnya, matanya singgah kembali ke wajah Encik Rashid.

Empat pasang mata kini bertumpu ke wajah Aina Yasmin. “Sebenarnya, masa saya apply kerja di Warisan, kawan saya yang submitkan CV saya. Saya tak tahu pun yang CEO Warisan tu Encik Ameer Aazad…”

“Jadi, kenapa pulak? Awak nak cakap yang awak kenal bos besar ke?” teka Fadli.

Original Pic by Nurul Huda

 Aina Yasmin mengangguk. “Ya, saya kenal dia. Percayalah, Encik Rashid. Kalau saya tahu dia CEO kat Warisan, saya takkan apply kerja dekat sana…” Serius wajah Aina Yasmin menuturkan kata. Dia perlu meyakinkan ahli-ahli jabatannya yang dia benar-benar tidak tahu tentang kewujudan Ameer Aazad di situ. Dia tidak mahu rakan-rakan sepasukannya memandang serong kepadanya. Kepercayaan adalah penting dalam membentuk apa-apa hubungan, termasuk hubungan profesional.

“Eh, apa salahnya pun kalau kenal? No big deallah. Masa HR Warisan nak masukkan awak kat sini, saya sendiri mintak tengok CV awak. I was very impressed. Saya tahu awak diterima Warisan sebab pencapaian awak, dan bukan sebab awal kenal bos besar… Lagipun, kan bos besar ada kat Penang masa awak datang interview… Jangan risau, Aina. Saya tahu kebolehan awak!” kata-kata Encik Rashid memberi sedikit kelegaan di hati Aina Yasmin.

“Terima kasih, Encik Rashid. That means a lot to me…”

So, macam mana awak kenal bos besar? Apa hubungan awak dengan dia?” soal Yusmadi pula.

Aina Yasmin menelan air liur. Dengan tangan yang sedikit terketar dia mencapai lalu menggenggam pen di atas meja agar tiada siapa bisa melihat kegelisahannya.

Errr… Dia tunang saya…” Aina Yasmin mengaku perlahan.

Terbeliak mata semua yang memandang Aina Yasmin. Fadli terkedu. Hancur berkecai harapannya untuk memikat gadis yang telah menarik perhatiannya itu. Gadis yang persis bekas tunangnya dulu, kini merupakan tunangan orang! Bagaimana dia bisa bersaing dengan CEO Warisan Investment Sdn Bhd sendiri, sedangkan dia hanya pembantu pengurus sahaja? Awal-awal sudah kalah tanpa perlu bertanding. Padanlah lelaki itu melenting dalam mesyuarat semalam! Mungkin lelaki itu cemburu melihat dirinya asyik merenung Aina Yasmin. Yakinlah kini dirinya memang sengaja dimalukan oleh Ameer Aazad dalam mesyuarat itu. Hatinya membara.

“Apa?” serentak Encik Rashid, Yusmadi dan Sarah bersuara. Sungguh mereka tidak percaya. Sangka mereka Ameer Aazad merupakan kenalan biasa sahaja.

Aina Yasmin tunduk. Dia malu.

“Padanlah semalam Sarah tengok Aina terkejut semacam masa meeting dengan bos besar! Muka Aina pucat gila!!” ujar Sarah. Sah! Dia percaya Aina Yasmin tidak menyedari yang tunangnya merupakan CEO Warisan Investment Sdn Bhd. Kalau dia tahu, takkan dia bisa terkejut begitu sekali?

Aina Yasmin memandang ke wajah Encik Rashid. “Encik Rashid, saya benar-benar tak selesa dengan keadaan ni. Saya betul-betul tak tahu apa yang harus saya lakukan. Saya buntu sekarang…”

“Takkan awak tak tahu tunang awak kerja kat mana?” Fadli menyindir dengan suara yang tegang lagi dingin. Hatinya masih panas. Hancur berkecai segala angan dan impian…

“Saya baru balik Malaysia dan sebelum saya masuk kerja kat sini, kami tak sempat berjumpa. Jadi takde kesempatan untuk saya bertanyakan hal dia…” Dengan sabar Aina Yasmin memberikan penjelasan. Seringkas yang mungkin. Mereka tidak perlu tahu tentang hubungannya dengan Ameer Aazad secara terperinci.

Hmmm… saya tak tahu macam mana nak handle situasi ni. Saya rasa macam tak ada konflik apa-apa tapi saya kena tanya Encik Mokhtar dulu… Saya rasa dia pun kena rujuk balik pada Warisan sebab awak asalnya staf Warisan, dan cuma dipinjamkan saja ke sini. Lagipun, setahu saya, takde pulak polisi yang mengatakan staf kat sini tak boleh kahwin dengan staf di pejabat yang sama…”

Aina Yasmin mengangguk. “Terima kasih, Encik Rashid. Saya terima apa pun keputusan pengurusan. Kalau saya terpaksa tinggalkan Warisan atau Icon, saya akur. Saya cuma nak berterus-terang dengan semua sebab tak nak ada komplikasi nanti.”

“Saya faham…” ujar Encik Rashid. “Kalau ada apa-apa, saya akan maklumkan pada awak. Sementara tu, awak buat je kerja awak macam biasa…”

Aina Yasmin mengangguk lagi. Lega dia dapat berterus-terang dengan Encik Rashid dan rakan-rakan sekerja yang lain. Mereka nampaknya sudi menerima penjelasannya, melainkan Fadli. Cara lelaki itu memandangnya menggerunkan! Wajahnya merah dengan amarah yang cuba dipendamkan. ‘Kenapa dengan dia tu?’

Mereka bersurai. Sarah dan Yusmadi membontoti Aina Yasmin ke kubikelnya, manakala Fadli menghempaskan pintu biliknya. Walaupun hairan dengan sikap lelaki itu, mereka bertiga tidak mempedulikan kelakuan Fadli yang dianggap baran tidak bertempat itu.

“Wah, Aina ni tunang bos besar rupanya! Cayalah! Mana cincin tunang? Tak pakai pun?” teruja sungguh lagak Sarah. Tangan Aina Yasmin dicapai dan dibelek.

“Aina tak pakai pun. Ada kat rumah… Takut hilang…” Aina Yasmin beralasan.

“Padanlah bos besar pandang Aina semacam je semalam! Tak berkelip siot… Rupa-rupanya sebab bertemu dengan cinta hati…” Sarah mengusik lagi. Tangan dilekapkan ke dada. Matanya terpejam. “Oh, how romantic…” Drama betul minah ni!

“Hesy! Blahlah kau… banyak benor berangan… padanlah pakwe pun takde sampai sekarang!” Yusmadi menolak bahu Sarah dengan bahunya. Sarah membuka mata lalu mencebik. Kalau diikutkan hati, hendak disekeh sahaja kepala lelaki yang sering menyakatnya itu. Habis terbang angannya sebentar tadi.

Aina Yasmin hanya mengukirkan senyuman. Senyuman yang dibuat-buat. Biarlah mereka memikirkan apa pun tentang dirinya dan Ameer Aazad. Dia tidak mahu membuka cerita dengan mereka yang masih belum dikenali secara mendalam.

Tatkala itu, telefon di atas meja kerja Aina Yasmin berbunyi. Sarah dan Yusmadi beredar ke meja masing-masing dan membiarkan Aina Yasmin bersendirian. “Helo?”

“Aina, ni Kak Ita. Aina diminta naik ke pejabat Warisan sekarang jugak. Bos besar nak jumpa…” pesanan daripada Kak Norita membuat Aina Yasmin kaget. Peluh sejuk mula terbit di dahinya. ‘Dia ni nak apa? Kalau tak kacau aku tak boleh ke?’

“Okey, Kak Ita. Terima kasih…” ucap Aina Yasmin kepada setiausaha Encik Mokhtar itu.

Aina Yasmin bangun. Dia membetulkan skirt labuh berpotongan duyung berwarna hitam serta blaus sutera pendek berwarna biru muda di tubuhnya. Tudung bercorak abstrak berwarna biru dan putih turut dibetulkan. Dia mencapai jaket yang tersangkut di kerusi lalu menyarungkan ke tubuh kecilnya. Dengan buku nota dan pen di tangan, dia melangkah kaki. “Sarah, Aina naik ke Warisan kejap.”

“Okey, beb…” Sarah tidak banyak soal. Langsung tidak mengangkat wajah yang tekun memandang skrin komputer.

Tiba di tingkat 20, Aina Yasmin meninggalkan pesanan kepada si gadis penyambut tetamu, yang terus mendail telefon. Aina Yasmin sudah mula kecut perut. Macam-macam perkara berlegar di kepalanya. ‘Kenapa dia nak jumpa aku ni?’

Tidak lama kemudian, datang seorang wanita seksi berskirt pendek dan berblaus sendat. Rambutnya yang dicelup perang gelap dan dikerinting, terbuai-buai mengikut lenggok kakinya. “Cik Aina ke?” Senyuman tawar terbit di bibir.

“Ya, saya…” balas Aina Yasmin juga dengan sekuntum senyuman.

“Saya Sally, secretary Encik Aazad. Mari, ikut saya…”

‘Amboi! Seksinya secretary Abang Aazad!’ Ada perasaan kurang senang yang menyapa dirinya melihat kecantikan gadis yang diekorinya itu. Mula membayangkan gadis itu berada di samping Ameer Aazad pada setiap waktu pejabat. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Apa kena dengan aku ni? Takkan cemburu kut?’

Aina Yasmin mengikut Sally, atau nama sebenarnya Salina masuk ke dalam pejabat Warisan Investment Sdn Bhd. Dia membukakan pintu kayu yang tertera jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan menjemput Aina Yasmin masuk. Aina Yasmin mengambil nafas dan melangkahkan kaki masuk ke dalam bilik pejabat Ameer Aazad.

Permaidani tebal berwarna krim menutup segenap ruang lantai di bilik mewah itu. Ruang yang cukup luas. Wow! Terpesona Aina Yasmin dengan hiasan dalaman bilik itu. Moden dan elegan.

“Encik Aazad ada kat meeting room. Dia mintak Cik Aina tunggu sini. Kalau ada apa-apa, saya kat luar tu…” Sally menuding jari ke arah meja di luar bilik Ameer Aazad. Suaranya dingin. Matanya masih menjamah dari kepala hingga ke kasut Aina Yasmin. Ingin melihat bagaimana rupa tunang bosnya itu. Sejak Ameer Aazad mengambil tempat CEO Warisan Investment Sdn Bhd menggantikan bosnya yang lama, pelbagai cara telah dilakukan untuk menarik perhatian lelaki itu, walaupun dari mula lagi Ameer Aazad telah mengiklankan tentang dirinya yang telah bertunang. Namun dia tidak kisah dengan semua itu dan dia masih mahu mencuba, tapi sebelah mata pun lelaki itu tidak memandangnya. Rupa-rupanya gadis seperti Aina Yasmin yang menjadi pilihan. Dia cemburu. ‘Boleh dia pilih pompuan macam ni? Aku yang seksi macam ni dia boleh tak pandang?!’

“Terima kasih…” ucap Aina Yasmin. Dia tidak menghiraukan pandangan tidak puas hati yang dilontarkan Sally kepadanya. Dia kemudian ditinggalkan berseorangan di dalam bilik Ameer Aazad. ‘Apahal lak minah tu? Macam tak puas hati je? Pelik betul!’ gumam Aina Yasmin sendirian.

Dia mengambil beberapa langkah lagi. Tidak tahu sama ada hendak duduk di sofa atau di kerusi di hadapan meja kerja Ameer Aazad. ‘Kemasnya meja dia… semuanya teratur… mamat perengus ni pengemas jugak rupanya…’ fikir Aina Yasmin. Aina Yasmin memilih untuk menghampiri meja kerja Ameer Aazad. Ada beberapa bingkai gambar di atas mejanya. Aina Yasmin berjalan mengelilingi meja kerja Ameer Aazad untuk melihat dengan lebih dekat lagi. Ada sebuah gambar lama Puan Shima bersama arwah bapa Ameer Aazad, iaitu Ariff Mirza. Ada juga gambar arwah Haji Zainal Abidin bersama Hajah Amirah, serta gambar Ameer Aazad dengan bahunya dirangkul seorang lelaki yang agak berusia. ‘Mungkin ayah angkat Abang Aazad,’ teka Aina Yasmin.

Aina Yasmin meletakkan bingkai gambar kembali ke tempatnya. Dia mengeluh. ‘Mana Abang Aazad ni?’ Dia memalingkan tubuhnya dan menghadap pula ke arah tingkap besar di belakang meja kerja Ameer Aazad. Panorama Kuala Lumpur menyapa pancainderanya. Matanya meliar memandang kesibukan kota Kuala Lumpur yang telah banyak berubah sejak peninggalannya ke bumi Amerika.

Ameer Aazad ralit memerhatikan tunangnya yang langsung tidak perasankan kehadirannya. Elok dia bersandar di daun pintu. Dari belakang, jaket yang dipakai Aina Yasmin menyerlahkan kerampingan pinggang gadis itu. Potongan skirt labuh yang dikenakannya pula menyerlahkan pinggul yang bisa membuat mana-mana lelaki tidak bisa tidur. Dadanya mula berombak. Cepat-cepat ditepisnya perasaan yang mula menular. Perasaan yang lahir dari naluri seorang lelaki yang normal sepertinya.

Dengan perlahan, dia menghampiri tempat berdiri tunangnya. Derap kasutnya tidak kedengaran, akibat diserap permaidani tebal di ruangan biliknya. Asyiknya Aina Yasmin dengan renungan yang dilemparkan ke luar tingkap.

“Assalamualaikum, tunang abang…” sapa Ameer Aazad lembut, betul-betul di belakang telinga Aina Yasmin. Ameer Aazad terpaksa tunduk sedikit memandangkan kepala gadis itu hanya sampai di bawah dagunya walaupun dengan berkasut tumit tinggi dua inci. Kalau tanpa kasut tumit tinggi, Aina Yasmin berdiri di paras atas dadanya sahaja.

Aina Yasmin tersentak. Bahunya terjongket kecil dan dia pantas berpaling. Ameer Aazad berdiri begitu hampir dengannya. Dia bertambah terkejut melihat wajah tunangnya. Dia ternganga. Matanya membulat tidak berkelip. Terpegun. Terpesona. Dan segala macam Ter...

Ameer Aazad tersenyum melihat reaksi Aina Yasmin. ‘Comelnya!’

“Abang Aazad?” soal Aina Yasmin tidak percaya. Ucap salam Ameer Aazad dibiar tidak berbalas.

Wajah yang bersih… tiada sehelai bulu pun yang tinggal. Wajah inilah yang diingatinya dulu. Wajah yang sering dicuri-curi pandang ketika zaman remajanya. Wajah yang segak dan menawan. Terserlah kulitnya yang cerah, kening yang agak lebat, serta bibir yang merah yang menjadi kebanggaan seorang lelaki yang tidak merokok. Wajah yang tetap sempurna di mata Aina Yasmin, walaupun tercemar dengan kehadiran parut yang panjang dan agak tersembul keluar, yang bermula dari tepi pipi di bahagian kanan wajah Ameer Aazad, dan meleret sehingga ke bawah cuping telinga dan hilang di balik rambut lebat lelaki itu. Parut yang panjangnya lebih daripada tiga inci. Daripada kesan parut yang timbul di wajah Ameer Aazad, Aina Yasmin dapat meneka yang lukanya dahulu pasti dalam.

Ameer Aazad hanya membiarkan Aina Yasmin meneliti parut di wajahnya yang kini jelas kelihatan tanpa diselindungi tumbuhan jambangnya. Dia pasrah dengan penerimaan atau penolakan Aina Yasmin. Diperhatikan dengan teliti riak gadis itu. Ingin melihat riak jijik melintasi di wajah tunangnya, gadis yang kini telah bertakhta di hatinya. Penolakan daripada gadis itu pasti akan merobek dan menghancurkan hatinya… Dia tidak mempedulikan reaksi orang lain. Dia hanya mementingkan reaksi daripada Aina Yasmin, sama ada baik atau buruk, pasti akan merubah kehidupannya.

Mata Aina Yasmin tidak berkalih dari parut di wajah Ameer Aazad. Tanpa sedar, dia mengangkat tangan lalu jari-jemarinya mengelus lembut wajah Ameer Aazad. Bermula dari permulaan kesan parut, jatuh ke bahagian tepi rahang, hingga ke bawah telinga. Diusapnya perlahan berulang kali. Dari atas hingga ke bawah.

Nafas Ameer Aazad terhenti. Jantungnya terasa ingin melompat keluar dari dada tatkala jari-jari halus Aina Yasmin singgah di mukanya. Begitu lembut usapan daripada gadis itu. Belaian yang terasa hingga ke dalam jiwanya. Terbuai-buai rasanya. Dia langsung tidak menjangkakan reaksi tunangnya itu. Redup matanya memandang Aina Yasmin. Mata Aina Yasmin mula berkaca.

“Masih sakit ke, bang?” bisik Aina Yasmin perlahan. Tidak sanggup membayangkan betapa seksanya Ameer Aazad menanggung kesakitan ekoran daripada kecederaannya itu.

Ameer Aazad menelan air liur. Terharu! Sejak kemalangan yang menimpa dirinya, tiada sesiapa pun sebelum ini yang sanggup membelai wajahnya atau menyentuh parutnya dengan penuh perhatian seperti ini. Terasa ada rasa kasih yang mengalir dari jari-jemari Aina Yasmin. Ameer Aazad tidak dapat menahan perasaannya lagi. Dia cuba menahan sebak yang hadir. Dia menggenggam tangan Aina Yasmin yang masih menyentuh wajahnya lalu dibawa terus ke bibir. Tertumpah rasa kasih dan sayang buat Aina Yasmin.

Tangan Aina Yasmin terasa hangat dikucup Ameer Aazad. Lama. Tersekat nafasnya. Jantungnya sudah mula berlari… Dia sedar apa yang diperlakukan Ameer Aazad itu salah, namun hati perempuannya tersentuh. Kejernihan yang terbit dari mata Aina Yasmin mengalir jua.

Tatkala itu, ingin sahaja Ameer Aazad meluahkan segala isi hati. Rasa kasih, rasa sayang dan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap tunangnya itu. Di hadapannya kini merupakan gadis yang telah berjaya mencairkan kebekuan di hatinya. Bermula daripada suara merdu gadis itu dan terus melekat ke hati. Kalau diikutkan naluri lelakinya, ingin sahaja dia menarik gadis itu ke dalam pelukan agar Aina Yasmin dapat merasakan segala ledakan perasaan yang dirasakan ketika ini. Namun dia tidak mahu melampaui batasan yang wujud antara mereka, selagi mereka masih belum disatukan mengikut syariat agama.

Thank you, Min… thank you…” Hanya itu yang mampu dilafazkan Ameer Aazad. Ya! Terima kasih kerana masih sudi memberi peluang kepadanya… kerana sudi menjadi tunangnya… kerana sudi memaafkannya… kerana sudi menerima ketidaksempurnaannya… dan kerana gadis itu begitu sempurna di matanya… Air mata Aina Yasmin diseka lembut.

Aina Yasmin tidak mengerti dengan ucapan terima kasih yang dilafazkan namun dia tidak mampu bersuara. Kehangatan genggaman tangan dan kucupan bibir Ameer Aazad di tangannya membuatkan dia kelu seribu bahasa. Suatu perasaan yang cukup indah menawan sepelosok sanubarinya. Dia lemas dengan perasaan itu tetapi pada waktu yang sama, dia tidak mahu perasaan itu berakhir…

Lama mereka melayan perasaan. Ameer Aazad masih dengan renungan redupnya sehingga membuatkan Aina Yasmin mula berasa tidak selesa. Tangannya masih belum dilepaskan Ameer Aazad.

“Abang…”

“Ya, Min?”

“Lepas…”

Not yet…” Tidak perlu Ameer Aazad meminta Aina Yasmin menjelaskan apa maksud di sebalik permintaannya. Dia memahaminya. Cuma dia belum mahu melepaskan tangan tunangnya itu. “And no, abang dah tak rasa sakit lagi kat parut tu…” Ameer Aazad menjawab soalan tunangnya yang tidak terjawab tadi.

Aina Yasmin gelabah. Pandangan Ameer Aazad seolah-olah menyinarkan seribu macam rasa. Dia malas mahu berteka-teki. Dia tidak mahu perasan sendiri. Kelak dia yang bakal terluka nanti.

“Tak manis kalau orang nampak…lepaskan, please…” Aina Yasmin merayu.

Nobody can see us. The glass walls of my room are not transparent… Don’t worry. Takde siapa boleh nampak kita,” Ameer Aazad berdegil. “Kita boleh nampak orang kat luar tapi orang kat luar tak boleh nampak kita. It’s one-sided.” Dia mengalihkan genggaman di tangan Aina Yasmin ke pergelangan tangannya pula. Genggaman tangan Aina Yasmin dibuka agar telapak tangan Aina Yasmin dalam posisi menadah ke atas. Terpinga-pinga Aina Yasmin melihat apa yang diperlakukan Ameer Aazad. Kemudian dengan perlahan, Ameer Aazad tunduk dan mengucup telapak tangan Aina Yasmin. Dia terkedu! Dadanya beralun kencang. Jantung terasa dipukul kuat. Dia memejamkan matanya. Rasa bersalah menerjah di jiwa pabila merasakan kenikmatan daripada ciuman itu. Terasa hingga ke hulu hati.

“Abang, don’t… please…” rayu Aina Yasmin lagi. Dia takut dia tidak mampu mengawal perasaannya dan terus membiarkan lelaki itu memperlakukan apa saja mahunya. Tangan ditarik. Ameer Aazad membiarkan.

I love you, Min…’ kata-kata itu hanya mampu dilafaz di dalam hati… Kata-kata yang tidak pernah diucapkan kepada mana-mana gadis sebelum ini.

“Encik Aazad, Tan Sri is here to see you…” suara Sally berbunyi dari interkom.

Terkejut Aina Yasmin mendengar suara Sally. Namun dia bersyukur adanya gangguan daripada setiausaha tunangnya itu. Kalau tidak, apalah bakal dilakukan lagi oleh lelaki itu.

Ameer Aazad pantas menjarakkan dirinya daripada Aina Yasmin. Namun sempat dia menarik tangan gadis itu ke sofa. Aina Yasmin terpaksa menurut. Elok sahaja Aina Yasmin melabuhkan punggung di kerusi, pintu bilik Ameer Aazad dibuka dari luar. Sally mempersilakan Tan Sri Khir Razak masuk. Tiada senyuman di wajah gadis itu.

Ameer Aazad menyambut kedatangan ayah angkatnya. Sekali lagi Aina Yasmin kecut perut.

Dengan tangan di belakang tubuh Tan Sri Khir Razak, Ameer Aazad memimpin ayah angkatnya ke sofa. Aina Yasmin berdiri. Dia keresahan.

“Pa, this is my girl, Aina Yasmin…” Ameer Aazad memperkenalkan Aina Yasmin kepada ayah angkatnya.

My girl? Bestnya bila dia panggil macam tu…’ sempat Aina Yasmin menggumam di dalam hati.

“Min, kenalkan. Ni ayah angkat abang, Tan Sri Khir Razak,” Ameer Aazad bersuara lagi.

Aina Yasmin tunduk sebagai tanda hormat. Tan Sri Khir Razak menekapkan tangan di atas kepala Aina Yasmin yang bertudung. ‘Cantik! Macam manalah Aazad boleh kata budak ni hodoh dulu, ek? Buta betul anak aku tu!’

Senyuman manis cuba diukir Aina Yasmin. Namun sedikit goyah. “Apa khabar Tan Sri?”

“Baik. No need for titles, my dear. Just call me Uncle. Nak panggil papa pun boleh…” usik Tan Sri Khir Razak.

Aina Yasmin tersipu malu. Ameer Aazad pula senyum meleret.

“Duduklah…” pelawa Ameer Aazad kepada Tan Sri Khir Razak dan Aina Yasmin. Mereka duduk. Tan Sri Khir Razak di sofa tunggal, manakala Ameer Aazad duduk bersebelahan Aina Yasmin di sofa berangkai tiga.

“Akhirnya! Dapat jugak papa jumpa dengan bakal menantu papa ni! Bila papa boleh buat kenduri? Papa dah bagi tahu ahli lembaga pengarah Warisan yang Aazad nak kahwin. Sibuk diaorang tanya bila… Papa pun tak sabar nak buat kenduri untuk anak papa ni…”

Aina Yasmin terkedu. ‘Kahwin? Semua ahli lembaga pengarah Warisan dah tahu? Mati aku macam ni…’

“Yasmin, bila Uncle dengan mama Aazad ni boleh buat kenduri?”

Ameer Aazad tersengih. Sempat dia mengenyitkan mata kepada ayah angkatnya. Aksi yang berani dilakukan kerana menyedari ia tidak mungkin dapat ditangkap Aina Yasmin. ‘Pandai betul papa aku ni berlakon!! Sayang papa!’

Errr… belum lagi kut, Uncle. Saya dengan Abang Aazad masih belum bersedia…” tergagap-gagap Aina Yasmin memberikan alasan.

“Aazad tak bersedia lagi? Hai, Zad tunggu apa lagi? Umur dah nak masuk tiga puluh. Semua dah cukup kan? Takkan tak bersedia lagi?!” sindir Tan Sri Khir Razak. Sengaja.

Aina Yasmin meramas-ramas tangan. Mengharapkan bantuan Ameer Aazad untuk menepis desakan daripada Tan Sri Khir Razak. Dia pasti Ameer Aazad akan menolak cadangan ayah angkatnya itu. Bukankah dia yang meminta enam bulan lagi?

“Aazad dah lama ready, pa… Lagipun kita orang dah bertunang dah terlampau lama… Bila-bila je Aazad sedia nak jadi suami Min ni…”

Pantas Aina Yasmin menoleh ke arah Ameer Aazad. Tidak puas hati dengan balasan yang diberikan. Membuntang matanya memandang lelaki itu. Dia geram! Ameer Aazad menyimpan tawa di dalam hati. Comelnya dia!

“Betul tu Zad. Tak elok bertunang lama-lama sangat. Apa kata kita segerakan perkahwinan Aazad dengan Yasmin?” cadang Tan Sri Khir Razak.

Errr… Uncle. Saya ni baru je mula kerja. Terus-terang saya masih belum bersedia untuk berumah tangga…” bidas Aina Yasmin dengan sesopan yang mungkin.

“Kalau Yasmin belum bersedia pun, tak salah kan kalau Uncle pergi ziarah keluarga Yasmin kat kampung? Bincang apa-apa yang patut?”

Aina Yasmin sudah mati akal untuk mencipta alasan. Dipandangnya semula wajah Ameer Aazad. Ada pandangan penuh rayuan meminta lelaki itu membantah cadangan Tan Sri Khir Razak. Ameer Aazad pura-pura tidak mengerti.

“Eh, kalau tak silap minggu depan ada long weekend, kan? Hari Jumaat kan cuti. Bolehlah Aazad bawak papa balik kampung Aazad. Kita jumpa famili Yasmin sekali…”

Aina Yasmin menelan air liur. Dirasakan amat pahit sekali. Bagaimana harus dia menolak? Kurang ajar ke dia kalau dia melarang Tan Sri Khir Razak daripada menziarahi keluarganya di kampung?

“Yasmin tak sudi nak ajak Uncle jumpa famili Yasmin ke?” teka Tan Sri Khir Razak.

“Eh, bukan macam tu Uncle. You are always welcome to come for a visit…” Tidak sampai hati Aina Yasmin menolak cadangan Tan Sri Khir Razak. “Nanti saya beritahu mak dan abang-abang…”

Tan Sri Khir Razak dan Ameer Aazad tersenyum puas. Rancangan mereka menjadi nampaknya.

Great! I’m sorry but I have to leave now. Uncle ada appointment, tapi Uncle nak jemput Yasmin datang makan malam kat rumah Uncle one of these days ya? Boleh, my dear?” Tan Sri Khir Razak bangun dari sofa yang didudukinya. Suatu pandangan mesra dilemparkan ke arah gadis itu.

“Insya-Allah…” balas Aina Yasmin perlahan.

“Oh ya! Tadi Uncle dapat call daripada Encik Mokhtar, tanyakan pasal kedudukan Yasmin. Yasmin tak payah risau. There is no conflict if you were to remain with Icon or with Warisan. Bila Yasmin dah jadi isteri Aazad pun, syarikat takkan ada masalah. Yasmin boleh kekal kerja kat sini…” jelas Tan Sri Khir Razak. Isu tentang status Aina Yasmin di syarikat terjawab sudah. Dia mengangguk tanda terima kasih.

‘Alhamdulillah.’ Aina Yasmin berasa lega. Dia hanya memerhatikan Ameer Aazad menghantar ayah angkatnya ke muka pintu. ‘Errr… apa dah jadi tadi? Tan Sri nak datang rumah mak kat kampung?? Oh tidak!!!’


2 comments:

  1. Pandai Tan Sri Khir Razak dan Ameer Aazad ya... sekurang-kurangnya kedudukan Min terjamin sebab Tan Sri Khir Razak dan Ameer Aazad sentiasa bersama... sally dengan Fadli tu jangan layan samgat.... kedua-duanya sengal...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tan Sri memang sporting Kak Sue... hehehe.... nak tolong Aazad dapatkan Min punya pasal! :D

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....