Monday, 5 October 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 9


Aina Yasmin menggigit bibir. ‘Kau dah janji, Min! Kau kena call dia… Dah pukul 4.00 petang dah ni. Nak tangguh sampai kul berapa?’ Dia berperang dengan diri sendiri. Kenapalah cepat sangat hari Ahad memunculkan dirinya? Tak boleh ke lambat-lambat sikit?

Dibelek-belek Samsung S4 di tangan, seolah-olah tidak pernah melihatnya sebelum ini. Nombor telefon Ameer Aazad dicari dan dengan helaan nafas yang dalam, nombor lelaki itu didail. Pada deringan kedua, panggilannya berjawab. ‘Cepatnya dia angkat!’

“Assalamualaikum, tunang abang…” sapa Ameer Aazad. Penat sahaja bunyinya.

Waalaikumussalam…” balas Aina Yasmin perlahan. Seperti sebelum ini, dada terasa sempit mendengar panggilan itu...

“Abang, errr… ni Min…” seolah-olah lelaki itu tidak mengenalinya. ‘Apa bodoh kau ni Min? Kan dia dah panggil ‘tunang abang’ tadi. Mestilah dia dah kenal siapa yang call!’ Aina Yasmin memarahi dirinya sendiri. Dahinya ditepuk-tepuk perlahan.

“Ya, Min. Abang tahu…” Ada nada geli hati di situ.

“Oh! Emmm… sebenarnya… sebenarnya Min…”

Diam. Aina Yasmin tidak tahu bagaimana hendak meneruskan kata-kata.

Ambik nafas, Min. Take your time…” saran Ameer Aazad, seakan tahu apa yang melanda perasaannya ketika ini.

Aina Yasmin mengambil nafas. Susahnya!

“Abang Aazad, Min dah buat keputusan yang Min setuju dengan syarat abang…” Dengan satu nafas, akhirnya Aina Yasmin menuturkan kata.

Ameer Aazad menarik nafas. Lega! Terasa dia ingin melepaskan satu jeritan kuat tanda syukur.

“Alhamdulillah… terima kasih sebab bagi peluang pada abang…” Bukan main lebar lagi senyuman di wajahnya.

“Tapi enam bulan je kan? Lepas tu abang janji akan terima apa saja keputusan Min, kan?” Aina Yasmin meminta kepastian.

“Ya, tunang abang. Abang janji… enam bulan bermula hari ni…”

Diam. Aina Yasmin tidak tahu apa yang perlu diperkatakan lagi.

Pic by Nurul Huda

“Kenapa sekarang baru call abang? Dari awal pagi abang tunggu Min call abang tau…” Lembut Ameer Aazad menyoal.

“Min… Min takut nak call…” Aina Yasmin berterus-terang. “Min tak tahu nak cakap macam mana dengan abang…”

Takpelah. Apa pun abang bersyukur sangat dengan keputusan Min. Nanti bila abang dah balik KL, kita jumpa, ya?”

Errr… Jumpa? Perlu ke?”

“Abang nak kita jumpa, berbual dan cuba mengenali diri masing-masing. Abang nak enam bulan yang akan datang ni dimanfaatkan dengan baik… Abang harap Min takkan hampakan harapan abang…”

“Insya-Allah…” dengan separuh rela Aina Yasmin memberi persetujuan. Pelik! Kenapa amat sukar baginya untuk menolak apa-apa pun permintaan lelaki itu?

“Min pergi dulu bang. Min ada kerja sikit nak buat…” Aina Yasmin mencipta alasan. ‘Takpelah. Nak gosok baju untuk pakai ke pejabat esok pun kerja jugak, kan?’

“Yalah… malam nanti abang call Min ya?”

‘Nak call lagi? Sekali tak cukup ke?’

Errr… okey…” Aina Yasmin membalas.

“Assalamualaikum, tunang abang…”

Aina Yasmin menjawab salam Ameer Aazad dengan sekuntum senyuman. ‘Kenapa aku senyum ni? Sukalah tu dengar dia panggil macam tu! Sengal kau ni, Min!’

Namun di hati kecilnya, dia tidak mampu membohongi dirinya. Dia suka dengan panggilan itu. Panggilan yang menghebohkan status dirinya yang telah dipunyai... yang telah diikat... Seolah-olah dirinya dihargai dan disayangi. Sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan ini, dia akan mempunyai peluang untuk mengenali seorang insan bernama Ameer Aazad. Mengenali seorang yang dulunya ego, sombong dan kaki perempuan. Ikhlaskah perubahan Ameer Aazad, dan yang pentingnya, adakah perubahan yang melanda lelaki itu bersifat kekal atau sementara? Dia tidak tahu, tetapi dia akan cuba mengambil tahu…

************

Ameer Aazad menadah tangan tanda syukur. Syukur doanya diperkenankan Yang Maha Esa. Baginya, enam bulan bukanlah suatu tempoh yang lama… namun dia akan pastikan Aina Yasmin akan menerima dirinya. Janji untuk menjaga dan melindungi Aina Yasmin yang pernah dibuat di hadapan arwah Haji Zainal Abidin kini dipegangnya. Dia tidak akan sekali-kali mengambil ringan akan janji yang dilafazkan dahulu.

Zad, abah harap Aazad dapat jaga Min baik-baik. Kalau ada yang kurang pada Min, Aazad bimbinglah dia, tegurlah dia elok-elok. Abah tak harap pada orang lain untuk jaga anak abah tu. Esok-esok, Iqbal dengan Syafiq akan ada keluarga dan tanggungjawab diaorang sendiri. Jadi pada Aazad soranglah abah harapkanabah pun entah esok, entah lusa mungkin dah takde lagi…

Itulah kata-kata yang diucapkan arwah Haji Zainal Abidin melalui panggilan telefon sehari sebelum arwah meninggal dunia. Sebelum itu, setiap kali Ameer Aazad pulang ke kampung dan bertemu dengan arwah, janji yang sama ditagih daripada Ameer Aazad. Selama ini, Ameer Aazad tidak pernah berniat untuk mengotakan janjinya. Lafaznya hanya di bibir bagi memuaskan hati lelaki yang telah mengambil tempat arwah bapanya dulu. Tidak sampai ke hati. Namun, tidak lagi! Semuanya sudah berubah…

Tiga hari selepas kematian arwah Haji Zainal Abidin, Ameer Aazad mula bermimpi. Mimpi yang seakan sama setiap malam. Wajah arwah Haji Zainal Abidin yang memandangnya dengan wajah sayu dan kecewa. Arwah tidak pernah menuturkan sebarang kata dalam mimpi-mimpinya. Cukup sekadar memandang ke arah Ameer Aazad dengan maksud pandangan yang sama. Akibat terlalu terganggu dengan kehadiran mimpi-mimpi itulah Ameer Aazad hilang tumpuan terhadap pemanduan, lalu kereta yang dipandu laju bersama emosi yang tidak begitu stabil, terbabas lalu jatuh ke dalam gaung kecil di tepi lebuh raya.

Syukur umurnya masih panjang. Namun dia kehilangan beberapa perkara yang pernah menjadi tunjang kehidupannya dahulu. Dia kehilangan teman-teman liburnya, kesempurnaan di wajahnya, malah dia turut kehilangan Sheila, Diana, Marina, Eda dan ramai lagi gadis yang berganti-ganti menjadi teman kesunyiannya. Semua kerana ‘perubahan’ pada wajah tampannya yang dulu menjadi kegilaan gadis-gadis yang mengenalinya.

Disebabkan rasa kecewa, Ameer Aazad memilih untuk bersendiri. Dia kini tahu siapa temannya ketika susah dan siapa temannya ketika senang. Ditinggalkan dunia lamanya dan memilih untuk memencilkan dirinya di kediaman bapa angkatnya, sehinggalah dia bersedia untuk menghadapi dunia luar. Dia turut memilih untuk menyisihkan diri, jauh daripada Iqbal dan Syafiq, bukan kerana dia menganggap kedua-dua beradik itu bukan teman semasa susahnya, tetapi kerana perasaan malu yang begitu menebal terhadap keluarga arwah Haji Zainal Abidin.

Dia menerima dugaan daripada Allah. Dia menganggap dia telah menerima peringatan serta pengajaran daripada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, dia bersyukur dengan segala apa yang telah menimpa dirinya… agar dia tidak terus hanyut dengan dunianya…

Ameer Aazad bangun dari sejadah dan kembali ke meja tulis di dalam bilik hotelnya. Tidak sabar untuk menyelesaikan segala tugasannya agar segera boleh kembali ke Kuala Lumpur. Dia ingin melabuhkan pandangannya ke wajah tunangnya itu.  Wajah yang tidak pernah meninggalkan sebarang kesan terhadap dirinya dahulu. Namun kini, suara milik gadis itu sering menghantuinya. Bagaimana pun rupa Aina Yasmin kini, cerah atau gelap kulitnya, kurus atau gemuk tubuhnya, bukanlah menjadi pengukur terhadap komitmen yang telah dijanjikan buat gadis itu. Dia terima. Dia reda dengan takdir jodohnya.

Dia tersenyum memikirkan kekalutan tunangnya petang tadi. Comel sungguh! Mungkin Allah tidak menganugerahkan Aina Yasmin paras rupa yang cantik menawan tetapi telah menggantikannya dengan peribadi yang amat menarik. Lagipun, cantik itu subjektif bukan? Cantik pada matanya tidak semestinya cantik pada mata lain yang memandang, dan begitu juga sebaliknya.

Ameer Aazad mengilas pandang ke arah jam tangannya. Pukul 10.30 malam. Tidak begitu lewatkah untuk dia menelefon Aina Yasmin? ‘Ah, belasah jelah!!’

Spontan senyuman terukir di wajah Ameer Aazad tatkala mendengar gadis itu menjawab panggilannya. ‘Gila bayang dah aku ni agaknya!’

“Min tak tidur lagi?”

“Belum… tengah tengok TV…”

“Abang mengganggu Min ke?”

Errr… tak…” Sememangnya Aina Yasmin tidak dapat menumpukan perhatian kepada cerita yang ditonton bersama Mastura kerana asyik membelek telefon bimbitnya menantikan panggilan daripada tunangnya itu. Pabila telefon itu berbunyi, dia terus berlari masuk ke dalam bilik tidurnya. Tidak mahu Mastura mencuri dengar perbualannya bersama Ameer Aazad yang masih dirasakan begitu kekok sekali.

“Baguslah… Esok Min mula kerja kan?”

“Haah…” jawab Aina Yasmin sepatah.

Nervous?” teka Ameer Aazad.

Very!”

Ameer Aazad ketawa kecil.

“Min tak payah risau sangat. Abang tahu Min pasti boleh buat semua tanggungjawab yang diberikan nanti. Buat kerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, ya? Yang lain berserah je pada Allah… Lagipun Min dah ada pengalaman kerja masa kat US dulu kan? Abang percaya, Min takkan ada masalah kat tempat kerja baru ni…” Nasihat Ameer Aazad diterima Aina Yasmin dengan hati yang terharu.

“Insya-Allah, bang. Terima kasih sebab keyakinan yang abang letakkan pada Min…”

“Sama-sama… Dah call mak kat kampung? Mak sihat?”

“Sihat, bang. Alhamdulillah…”

Agak lama juga mereka berbual itu dan ini. Sedikit demi sedikit, Aina Yasmin mula hilang kegugupan dan rasa gementarnya setiap kali berhubung dengan tunangnya melalui telefon. Ameer Aazad bijak mencari topik perbualan. Bertanyakan hal-hal yang dulu sedikit pun tidak dihiraukannya. Dia ingin tahu apa yang menjadi kesukaan tunangnya itu.

“Min masih minat memancing lagi?”

‘Alamak! Malunya… nampak sangat aku ni bukan macam perempuan lain…’

Errr… Min masih minat. Tapi dah lama Min tak memancing. Along dengan angah sibuk. Geng lama Min pulak, selain daripada Mas, belum balik Malaysia lagi…” Aina Yasmin memilih untuk berterus-terang. Bukankah lelaki itu berjanji untuk menerima dirinya seadanya?

“Nanti Min ajaklah abang…boleh kita pergi sekali…” ujar Ameer Aazad.

Errr… abang minat memancing ke?” Hairan Aina Yasmin dibuatnya.

“Nak kata minat tu taklah sangat. Tapi abang akan belajar untuk suka apa yang Min suka…”

Sekali lagi Aina Yasmin terharu.

“Abang pulak suka buat apa?”

Ameer Aazad tersenyum senang. Soalan pertama bersifat peribadi daripada Aina Yasmin. Nampaknya gadis itu juga ingin lebih mengenalinya.

“Hobi abang sekarang membaca and I love to travel… cuma abang dah lama tak travel sebab sibuk sangat dengan kerja…”

“Oh… Min pun suka travel. Masa belajar dulu, pantang ada cuti je, mesti kita orang jalan-jalan tengok tempat orang…”

“Kita orang?” Ada nada tidak puas hati di situ.

Hmmm… kawan-kawan Min. Mak tak bagi Min jalan sorang-sorang. Jadi selalunya, Min akan travel dengan kawan-kawan…”

“Lelaki ke perempuan?” Ameer Aazad tidak tahu mengapa dia perlu bertanyakan soalan ini. Padahal di hati kecilnya, dia yakin Aina Yasmin tidak pernah curang terhadapnya, seperti mana dia pernah curang terhadap tunangnya itu.

Emmm…. ada lelaki, ada perempuan…” jujur Aina Yasmin menjawab. Tiada apa yang perlu diselindungkan. Mereka hanya kawan, tidak lebih daripada itu. Status dirinya yang sudah bertunang, bukanlah suatu rahsia yang disimpan. Awal-awal lagi dia sudah mengiklankan status dirinya kepada teman-teman seuniversiti, agar tiada yang salah faham dengan ikatan persahabatan yang dihulurkannya. Dan dia tidak mahu ada yang mendekatinya dengan harapan dapat menjalinkan hubungan yang lebih serius daripada seorang kawan. “Semuanya kawan Min…”

Ameer Aazad mengeluh kecil. Tidak mengerti dengan perubahan emosinya. “Kawan-kawan Min tahu pasal abang?” soal Ameer Aazad ingin tahu.

“Maksud abang? Tentang Min yang dah bertunang dengan abang?”

Hmmm…”

“Min tak pernah rahsiakan status Min daripada sesiapa… Min tak kisah siapa pun tahu…” perlahan Aina Yasmin menuturkan kata.

Ameer Aazad dilanda kekesalan. Malu dia dengan keikhlasan yang dizahirkan Aina Yasmin terhadap ikatan suci antara mereka, walaupun gadis itu tidak pernah rela menjadi tunangnya. Lain pula dengan dirinya yang langsung tidak pernah mengiktiraf kehadiran gadis itu dalam hidupnya. Sering menidakkan dirinya yang sudah bertunang. Gadis-gadis lain pula yang disorong ke hulu dan ke hilir… Tunangnya sendiri tidak dipedulikan… Sedarlah Ameer Aazad yang walaupun Aina Yasmin terlalu muda ketika mereka ditunangkan dulu, ternyata gadis itu lebih reda menerima takdir hidupnya daripada Ameer Aazad sendiri.

Banyak benar kesalahannya terhadap Aina Yasmin. Mampukah ditebus semula?

“Terima kasih, Min…” lirih ucapan daripada Ameer Aazad.

“Terima kasih? Untuk apa?” Aina Yasmin tidak mengerti. Tiba-tiba sahaja Ameer Aazad mengucapkan rasa terima kasih. Berkerut dahinya.

“Untuk segalanya…”

Aina Yasmin masih tidak mengerti, namun lidahnya kelu untuk bertanya dengan lebih lanjut lagi. Cara Ameer Aazad mengucapkan ‘untuk segalanya’ tadi begitu terkesan di hatinya, seolah-olah Aina Yasmin telah melakukan sesuatu perkara yang begitu hebat. Begitu istimewa. Bersama suara yang cukup dalam dan perlahan, membuatkan jantung Aina Yasmin berdetak kencang.

Diam.

“Min?” Suara Ameer Aazad bertukar romantik.

Aduhhh… lemah kepala lutut aku macam ni…’ Aina Yasmin menggenggam erat telefon bimbitnya. Takut terlepas.

“Ya?”

I can’t wait to see you…” bisik Ameer Aazad perlahan.

Naik bulu roma Aina Yasmin. Dia merasakan seolah-olah lelaki itu berada dekat di sebelahnya ketika membisikkan niat hatinya. Bergetar bibirnya menahan rasa gementar yang melanda. Lekas-lekas dia menggigit bibir. Sungguh! Dia tidak pernah bereaksi sebegini sebelum ini… dengan mana-mana lelaki!

“Abang Aazad…” Jeda. Cuba mengumpul sedikit kekuatan.

“Ya, tunang abang…”

‘Habislah aku macam ni… Mahu mati cepat kalau jantung asyik kerja lebih masa je…’

“Kalau… kalau tak jumpa tak boleh ke? Min lagi selesa macam ni…”

Terdengar keluhan kecil di hujung talian. “Min tak percaya kat bang, ya? Takut abang tak boleh terima Min?” Ameer Aazad meneka. Sangkanya Aina Yasmin segan untuk bertemu dengannya kerana berasa rendah diri dengan rupa serta penampilannya.

Namun sebenarnya, Aina Yasmin takut tidak dapat menahan perasaannya yang sememangnya sudah mula huru-hara, apabila bertentang mata dengan tunangnya itu nanti. Selama ini, dia yakin dia tidak menaruh apa-apa perasaan pun terhadap lelaki itu. Namun sejak mereka mula berhubung, ada suatu perasaan halus yang mula menjentik dirinya. Takut perasaan itu menular tidak terkawal. Bagaimana pula dia mampu memutuskan pertunangan mereka enam bulan nanti? Ya, memang niatnya untuk memutuskan pertunangan mereka akan diteruskan juga bila tempoh enam bulan tamat kelak. Sengaja dia akur dengan syarat yang dikenakan Ameer Aazad bagi tidak menghampakan harapan ibunya dan juga Puan Shima.

Aina Yasmin tidak tahu bagaimana untuk berterus-terang. Dia tidak mahu berjumpa dengan Ameer Aazad. Cukuplah mereka berbual melalui telefon sahaja.

“Percayalah pada abang, Min… niat dan hati abang takkan berubah…” ujar Ameer Aazad cuba meyakinkan Aina Yasmin. Hatinya dilanda kerisauan pabila gadis itu tidak memberikan sebarang balasan. “Abang betul-betul nak jumpa dengan Min…”

“Min… Min…”

Please, Min? Please?” rayu Ameer Aazad sebelum sempat Aina Yasmin menolak permintaannya. Seumur hidupnya, dia tidak pernah perlu merayu kepada mana-mana wanita pun untuk bertemu dengannya. Setiap masa, merekalah yang memujuk dan merayu untuk mendapatkan perhatian daripadanya. Mereka yang terkejar-kejarkannya dan merayu untuk berjumpa. Bukan dirinya…

Aina Yasmin terus cair. Ketika ini, sekiranya Ameer Aazad merayunya untuk berkahwin pun dia sanggup, agaknya! ‘Banyaklah cikadak kau, Min!’

“Yalah…” akhirnya Aina Yasmin mengalah.

“Terima kasih, tunang abang… Tunggu abang balik, ya? Nanti kita jumpa…”

“Okey…” sepatah Aina Yasmin menjawab.

“Okeylah Min. Dah lewat ni. Tidur lepas ni, ya? Esok Min mula kerja… Jangan lambat ke pejabat esok…First impression is always important. Remember that!”

“Okey…”

All the best for tomorrow… kalau ada apa-apa masalah, call je abang, ya?”

“Okey…”

‘Apa aku ni? Asyik okey, okey… Takde perkataan lain ke?’

“Selamat malam, tunang abang…”

“Selamat malam…”

Ameer Aazad membiarkan Aina Yasmin yang mematikan talian telefon dulu. Ketika talian dimatikan, lambat-lambat dia mengalihkan telefon dari telinganya. Dia sudah merindukan suara gadis itu! ‘Ah! Parah macam ni… Tak sabar nak balik KL!’ 


2 comments:

  1. Min bagi peluang untuk Aazad peluang... kalau untuk kebaikan x pa... x sabar nak tahu perasaan Aazad bila namapk Min visi TERBARU... hihihi.... mesti Aazad tahu Min dpt keje kt company sama...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Min tu masih takut-takut Kak Sue... dia tak percaya Aazad dah berubah...:)

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....