Friday, 30 October 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 12

“Abang dah gila, ya?” Ini bukan kali pertama Ameer Aazad membangkitkan soal kahwin.

Ameer Aazad ketawa kecil. Lucu dia mendengar soalan daripada Aina Yasmin.

“Abang kenal ke Min ni siapa? Abang tahu tak yang Min ni masih seperti dulu? Yang tomboy, yang lasak, yang minat memancing, yang suka panjat pokok… abang jangan ingat sebab rupa Min dah berubah, perangai Min pun dah berubah!!” Aina Yasmin tidak tahu lagi bagaimana hendak menyedarkan Ameer Aazad. Jenuh sudah dia menyatakan hal yang sama. Sebelum lelaki itu menyesal di kemudian hari, baik dia berterus-terang sahaja.

Terus mati senyuman dari wajah Ameer Aazad. Ternyata Aina Yasmin masih tidak memahami kata-katanya melalui talian telefon baru-baru ini.

“Min tak nak abang menyesal. Abang dengan Min memang macam enggang dan pipit. Abang tak salah dulu bila abang cakap yang Min tak padan dengan abang. Min sedar tu! Dan sekarang pun Min masih sedar. Min tak nak abang terikat dengan Min hanya sebab arwah abah. Arwah abah dah takde. Min…”

Stop it, Min! Just stop it!!” Ameer Aazad melepaskan rasa terkilan dari celah gigi. Dia tidak betah mendengar kata-kata Aina Yasmin yang penuh dengan rasa rendah diri, lalu dia mencelah. Dicapainya tangan Aina Yasmin dari atas meja dan digenggamnya erat.

Aina Yasmin terkedu. Dia kehilangan kata-kata. Tangan kecilnya tenggelam digenggam oleh tangan besar Ameer Aazad. Hangat. Dia cuba menarik tangannya namun gagal. Ternyata genggaman tangan lelaki itu terlalu kuat. ‘What the…?’

Tajam mata hazel Ameer Aazad menikam ke mata coklat cair Aina Yasmin. Entah mengapa kali ini renungan lelaki itu memerangkap Aina Yasmin. Dia tidak dapat melarikan matanya daripada ditatap Ameer Aazad.

How many times must I tell you? Berapa kali lagi abang nak kena jelaskan pada Min?” tegang suara Ameer Aazad. “Abang dah cakap yang abang terima Min seadanya! Abang tak kisah Min ni siapa! Min tak faham-faham lagi ke? Apa yang perlu abang cakap lagi supaya Min faham??” Ameer Aazad mencuba sedaya-upaya untuk mengawal nada suaranya. Dia menyedari kelemahan tunangnya itu dan tidak mahu Aina Yasmin menangis lagi. ‘Susah juga hendak bersabar ni rupa-rupanya!’ Selama ini dia tidak pernah kisah kepada siapa dia melepaskan barannya.

“Min nak abang buktikan? Sekarang jugak abang boleh buktikan. Kalau Min setuju, abang boleh terus jumpa mak dan abang-abang Min. Kita kahwin! Secepat mungkin!”

“Apa?” bisik Aina Yasmin. Suaranya sudah hilang entah ke mana gara-gara penangan Ameer Aazad. Dadanya terasa sempit. Ruang udaranya terasa sesak. Dia lemas.

“Min tak percaya pada abang kan? Min ingat abang masih macam dulu? Baik, sekarang abang nak buktikan pada Min yang abang bukan macam dulu lagi. Boleh?” cabar Ameer Aazad. Ketajaman renungannya bisa membelah dada Aina Yasmin.

Pucat wajah gadis itu. Sekiranya Ameer Aazad serius dengan niatnya, alamat ‘selamatlah’ dia. Bagaimana hendak bertentang dengan wajah ibunya yang tentunya penuh dengan seribu satu pengharapan?

Aina Yasmin menelan air liur. Perit. Pahit. “Abang kata enam bulan?”

“Itu masa abang nak bagi peluang pada Min untuk kenali abang dan abang sebaliknya. Tapi nampaknya macam Min tak bersungguh-sungguh nak bagi abang peluang tu. Min asyik bangkitkan perkara yang sama. Abang dah tak tahu nak buat apa lagi untuk yakinkan Min!”

Aina Yasmin tunduk. Kecut perutnya. Ternyata lelaki ini serius. Adakah ini balasan terhadap dirinya yang sering mengungkit tentang isu yang sama? Walaupun beberapa kali dia telah mendengar penjelasan daripada tunangnya itu, mengapa hatinya masih tidak dapat menerimanya? Terlampau dalam sangatkah luka yang dipalitkan lelaki itu?

No… jangan…” rayu Aina Yasmin. “Min belum bersedia…” Tangan yang digenggam Ameer Aazad ditarik perlahan. Kali ini Ameer Aazad membiarkan. “Min mengaku yang Min susah nak percaya yang abang dapat terima Min sebagai tunang abang. Apa yang abang cakap pasal Min dulu dah jadi sebati dalam jiwa Min. Dah jadi macam rekod tersekat kat dalam kepala… yang akan ulang-ulang main benda yang sama pada setiap masa. Bukan senang untuk Min lupakan hinaan abang pada Min dulu…” Aina Yasmin tunduk. Dia memilih untuk membuka perasaan hati. Biar Ameer Aazad mengerti mengapa dia begitu.

“Min hilang keyakinan diri disebabkan kata-kata abang tu. Walaupun Min pernah dengar macam-macam orang kampung cakap pasal Min dulu, kata-kata abanglah yang paling berbekas di hati Min… mungkin sebab abang tunang Min. Min tak tahu macam mana nak ubah tanggapan Min pada diri Min sendiri… Bila ada orang puji Min cantik, Min anggap orang tu penipu dan hanya nak main-mainkan Min. Bila ada orang kirim surat atau hadiah tanda mahu jadikan Min teman istimewanya, Min terus buang dalam tong sampah… sebab Min tak percaya ada orang boleh jatuh hati pada orang yang hodoh macam Min…”

Kaku tubuh Ameer Aazad mendengar rintihan tunangnya itu. Dia merasakan dirinya begitu hina sekali, begitu berdosa! Inilah akibatnya menuturkan kata-kata mengikut rasa… akhirnya badannya yang binasa! Betapa terseksanya Aina Yasmin selama ini… ya Allah! Bagaimana harus dia merawat luka yang telah ditaburkan terhadap tunangnya sendiri?

I’m so sorry….” bisik Ameer Aazad perlahan. Hanya ucapan maaf yang bisa dilafazkan berulang kali… Sedarlah dia mengapa Aina Yasmin sering membangkitkan isu yang sama setiap kali mereka berbicara. Gadis itu masih tidak dapat melupakan dan mungkin tidak bisa melupakan kata-kata nista yang pernah dihamburkannya dulu. “Please give me a chance to make it up to you…” Ameer Aazad merayu lagi. Sejak bertemu Aina Yasmin, hanya itu yang dia tahu. Meminta maaf dan merayu…

Sememangnya Aina Yasmin tiada pilihan. Dia telah pun bersetuju dengan ‘syarat-enam-bulan’ Ameer Aazad dan persetujuannya telah dimaklumkan kepada Hajah Amirah, Puan Shima serta abang-abangnya. Mana mungkin ditarik balik?

“Abang masih ada enam bulan…” Aina Yasmin mengangkat wajah. Dia ikhlas kali ini.

Ameer Aazad menghela nafas panjang. Wajah ayu tunangnya ditatap dengan penuh rasa terima kasih. Mata mereka bertaup. Tersekat nafas Aina Yasmin melihat pandangan daripada tunangnya itu. Pandangan yang seperti menghantar pesanan rasa sayang. Pandangan yang melekat terus ke hati.

Hati Ameer Aazad turut merasakan debaran yang sama. Debaran yang begitu asing bagi dirinya. Kini dia yakin dengan perasaan yang melanda sejak mula mendengar suara Aina Yasmin melalui telefon selama ini. Suara yang bisa membuat dia rindu. Suara yang bisa menggegarkan jantungnya. Tanpa wajah. Hanya suara. Dia tidak perlu berdolak-dalik lagi. Sememangnya, dia telah jatuh cinta… dan perasaan itu begitu mencengkam jiwanya...

***********

“Terima kasih, tunang abang sebab sudi temankan abang malam ni…”

Aina Yasmin mengangguk. Tangannya sudah sedia untuk membuka pintu kereta. Kereta Ameer Aazad sudah terparkir di hadapan rumah sewa Aina Yasmin.

“Min?” seru Ameer Aazad.

Aina Yasmin memalingkan tubuhnya. “Hmmm?”

“Abang nak bawak Min jumpa ayah angkat abang. He knows about you and he can’t wait to meet you.”

Dahi Aina Yasmin berkerut. “Min… Min seganlah…”

“Nak segan kenapa pulak… Papa okey. Dia nak sangat jumpa dengan Min…”

“Nantilah Min fikirkan… Rasa macam tak proper pulak.”

“Abang faham…” Ameer Aazad akur.

Kalau diikutkan adat, memanglah kurang manis kalau si gadis yang menziarahi keluarga si lelaki. Sepatutnya, ayah angkat Ameer Aazadlah yang datang ke rumah Hajah Amirah jika ingin bertemu dengannya. Eh, betul ke begitu? Rasanya itulah pesanan yang pernah dititipkan oleh Hajah Amirah dulu. ‘Perigi tak boleh cari timba dan perigi tak boleh terhegeh-hegeh pergi ke rumah si timba selagi keluarga si timba tak datang rumah si perigi dulu!’

“Abang?” Giliran Aina Yasmin menyeru tunangnya. Dia ragu-ragu untuk meneruskan dengan niat hatinya.

Hmmm?”

“Abang pernah tanya Min apa yang Min suka dan apa yang Min tak suka, kan?” Teragak-agak Aina Yasmin berbicara.

Ameer Aazad mengangguk. Wajah Aina Yasmin yang sedikit takut-takut ditatap lembut.

Aina Yasmin memberanikan diri menatap wajah Ameer Aazad. “Emmm… Min tak suka lelaki berjambang…” perlahan Aina Yasmin menyuarakan pendapatnya. Terluah jua.

Kening Ameer Aazad terjongket mendengar pengakuan tunangnya itu. Spontan juga tangannya naik ke muka. Menyentuh rahang dan pipi yang dipenuhi bulu yang sentiasa dijaga rapi. “Abang rasa kalau abang cukur semua jambang abang ni, Min tak sudi nak pandang muka abang…” Ameer Aazad berterus-terang. Pandangan jijik daripada teman wanitanya dulu sebaik sahaja dia sedar daripada koma selepas kemalangan yang menimpa dirinya, kembali ke ruang mata. Parut hodoh yang mencemar wajahnya perlu disembunyikan.

“Kenapa abang cakap macam tu? Abang nak sorokkan parut kat muka abang tu ke?” Dengan selamba Aina Yasmin membangkitkan tentang parut di wajah Ameer Aazad. Walau cuba disembunyikannya, seseorang itu masih boleh melihatnya, apatah lagi sekiranya Ameer Aazad berada dekat di hadapan mata.

Tersentak Ameer Aazad jadinya. Tidak pernah ada seorang pun yang berani menyebut tentang hal parutnya secara berdepan dengannya selama ini. Mereka cuma berani menyebutnya di belakangnya sahaja. Mengumpat dan mencerca. Dia kelu tiada jawapan.

“Nampaknya kita berdua sama je…” keluh Aina Yasmin.

“Maksud Min?” Ameer Aazad tidak mengerti.

We are both ashamed of how we look…”

Ameer Aazad menarik nafas. Kebenaran yang begitu menyakitkan. ‘Macam mana dia tahu?’

Aina Yasmin tersenyum tawar. “Dari kecik, Min tak pernah kisah pasal apa orang cakap pasal Min. Min pekakkan je telinga sebab Min sedar yang apa yang ada pada Min semuanya kurniaan daripada Allah. Sampailah hari lepas kita bertunang… bila Min dengar sendiri pendapat abang pasal Min… lepas tu barulah Min rasa malu… malu dengan paras rupa Min…”

Ameer Aazad memejamkan matanya. Tidak mampu memandang ke wajah sayu tunangnya. Malu dia dengan apa yang pernah dilakukannya dulu.

All this while, I let your opinion of me ruled the way I lived my lifenow you are doing exactly the same thing! You are letting other people’s opinion of your face rule your life! Don’t make the same mistakes I did… you’ll live to regret it…” Sebaik meluahkan kata-kata itu, Aina Yasmin melangkah kaki keluar dari perut kereta. 

Ameer Aazad tergamam di tempat duduknya. Dia melihat Aina Yasmin hilang di balik pintu utama. Dia berasa begitu terkesan dengan kata-kata Aina Yasmin. Bagai meramas-ramas jantungnya sehingga membuatnya tercungap-cungap seolah-olah ketandusan udara. Gadis itu baru berusia dua puluh tiga tahun. Enam tahun lebih muda daripadanya. Namun dia merasakan dirinya banyak kekurangan berbanding gadis itu. Gadis itu sebenarnya lebih tabah dan lebih kuat daripada dirinya.

Bertahun-tahun Aina Yasmin dicemuh dan dihina dek kerana dirinya yang tidak sempurna seperti gadis-gadis lain. Namun dia tetap tabah dan tidak pernah menyesali kurniaan Allah kepadanya. Sehinggalah orang yang menghinanya merupakan tunangnya sendiri. Berbanding pula dengan dirinya, dia baru sahaja menerima nasib yang sama sejak dua tahun yang lalu. Sekejap sangat jika dibandingkan dengan apa yang pernah dilalui Aina Yasmin, dan semestinya tidak seteruk hinaan yang diterima Aina Yasmin. Dia hanya menerima pandangan jijik atau geli daripada orang yang pernah mengenalinya dulu. Mereka tidak berani mencemuh di hadapannya. Itu pun dia sudah terasa. Maka disembunyikan parut yang hodoh itu melalui tumbuhan bulu-bulu di wajahnya.

Kata-kata Aina Yasmin memang benar. Dia membenarkan pandangan orang lain mempengaruhi cara kehidupannya. Dia mula berubah sikap kerana perubahan dirinya ekoran daripada kemalangan itu. Dia memilih untuk menyisih teman-temannya kerana mereka terlebih dahulu menyisihnya. Mengapa? Hanya kerana kehadiran sebuah parut di wajahnya? Karut!!

Ameer Aazad akhirnya meneruskan pemanduan. Dia perlukan nasihat dan pandangan daripada seseorang yang begitu bermakna dalam hidupnya. Dia terus memandu…





2 comments:

  1. Aazad kena terima apa yg Aina cakap... yg penting jadi diri sendiri jangan peduli org kata... sekurang-kurangnya Aazad dan Aina telah sama-sama berterus terang apa yg x puas hati...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, Kak Sue.... Puas hati Yasmin dapat luahkan semua...:)

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....