Monday, 12 October 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 10

Hari ketiga di Icon Properties Sdn Bhd, Aina Yasmin sudah mula mendapat rentak. Kehadirannya diterima dengan baik oleh kakitangan Icon Properties Sdn Bhd walaupun dia cuma ditempatkan di situ buat sementara waktu oleh Warisan Investment Sdn Bhd, sementara pihak pengurusan syarikat menambah kakitangan di Icon Properties Sdn Bhd.

Di bawah penyeliaan Encik Rashid Ali, pengurus di jabatannya, Aina Yasmin mula mendapat keserasian bekerja bersama-sama rakan-rakan satu jabatan yang lain. Sebagai pekerja baharu, dia perlu banyak belajar daripada pegawai-pegawai yang lebih senior daripada dirinya dan perlu rajin bertanya dengan kakitangan-kakitangan yang lain. Ini bagi memudahkan kerjanya juga. Dia tidak mahu dituduh sombong atau tidak pandai bekerja dalam satu pasukan sekiranya dia memilih untuk mendiamkan diri jika dia tidak tahu bagaimana untuk menjalankan sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

“Aina, fail projek rumah kedai kat Shah Alam tu ada dengan siapa?” tanya Fadli Kassim, pembantu pengurus Jabatan Hal-Ehwal Korperat. Dia sudah tegak berdiri di tepi meja kerja Aina Yasmin. Di Icon Properties Sdn Bhd, rata-rata memanggil dirinya ‘Aina’. Memang rasa sedikit janggal, namun dia tidak pula membetulkan panggilan itu sejak hari pertama dia memulakan tugasnya di Icon Properties Sdn Bhd.

Aina Yasmin bangun dari kerusi sebagai tanda hormat. “Fail tu saya dah pas pada Encik Rashid pagi tadi. Ada dokumen yang dia nak tengok, katanya. Encik Fadli nak saya tanyakan fail tu ke?”

Errr… tak perlu. Biar dulu. Nanti saya tanya pada Encik Rashid sendiri.”

Aina Yasmin mengangguk. Dia masih lagi berdiri memandangkan Fadli tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan beredar dari mejanya. Lelaki itu galak melihat gadis yang berdiri berhampiran dengannya.

“Aina okey? Ada apa-apa yang nak tanya saya?” lembut Fadli bertanya, konon menunjukkan sifat perihatinnya yang jarang-jarang dipamerkan kepada kakitangan lain di syarikat itu.

Dahi Aina Yasmin berkerut. ‘Kenapa suara Encik Fadli ni tiba-tiba lembut semacam pulak ni?’

Errr… buat masa ni semua okey, Encik Fadli. Kalau ada apa-apa masalah, saya akan rujuk pada Encik Fadli atau Yusmadi atau Sarah…” Aina Yasmin menyebut nama-nama teman sejabatannya.

“Bagus. Jangan segan-segan, ya? Kita semua ni satu pasukan… semua kena tolong-menolong apa-apa yang patut…” Matanya sengaja merenung gadis itu dalam-dalam.

Aina Yasmin mengangguk lalu merendahkan pandangan. Dia berasa kurang selesa ditenung begitu. Fadli berlalu dan masuk ke dalam biliknya. Ketika dia melabuhkan punggungnya kembali ke kerusi, sempat dia menjeling ke kubikel Sarah di hadapannya. Gadis itu juga sedang memandang ke arahnya sambil menjongket kening? “Baik mood Encik Fadli hari ni? Kalau tak, asyik nak marah je…”

Aina Yasmin menjongket bahu tanda tidak tahu dan tidak peduli. “Selalu ke dia marah-marah?” Dahlah Aina Yasmin takut dengan orang yang baran ni!

Hmmm… kita orang dah biasa.” Sarah bangun lalu menghampiri meja Aina Yasmin. “Sarah rasa sebab dia bujang terlajaklah. Umur dah tiga puluh tiga tapi masih single! Tu yang asyik hangin je satu badan! Kalah orang pompuan kalau nak dibandingkan dengan mood swings dia tu!”

Aina Yasmin ingin ketawa tetapi dia takut tawanya sampai ke telinga pemuda yang digosipkan ketika itu. Dia hanya menekup mulutnya. “Jahatlah Sarah ni! Ada-ada je…”

Sarah ketawa kecil sambil kembali ke tempatnya. Sarah yang sporting, Sarah yang peramah dan Sarah yang tidak kedekut dalam memberikan tunjuk ajar. Walaupun umur Sarah tiga tahun lebih tua daripadanya, Sarah tidak mahu dipanggil ‘Kak Sarah’. “Tak mainlah kak-kak ni. Bukannya tua sangat pun Sarah ni…” kata-kata yang terbit dari bibir Sarah ketika hari pertama mereka diperkenalkan.

“Aina, Aina lunch dengan kawan ke hari ni? Kalau tak, Aina lunch dengan Sarahlah, ya?” soal Sarah dari kubikelnya. Kawan yang dimaksudkan sudah tentunya Mastura yang bekerja di tingkat 5 manakala dia di tingkat 10 Menara Muhibbah. Memang sejak hari pertama lagi, Masturalah temannya ketika waktu makan tengah hari.

“Boleh jugak Sarah. Kawan Aina tu ada lunch appointment hari ni…”

Sarah sudah tersenyum. Dia senang dengan rakan kerja baharunya ini. Tak banyak songeh dan tak berkira dalam bekerja. Tidak kekok bertanya dan ringan tulang dalam menghulurkan bantuan.

Aina Yasmin kembali menatap skrin komputer di hadapannya. Sarah juga begitu.

Tiba-tiba, “Eh, korang tak pergi meeting ke? Korang lupa, ya?” wajah Yusmadi tersembul dari muka pintu yang memisahkan jabatan mereka dengan jabatan pemasaran.

Serentak Sarah dan Aina Yasmin bangun dari tempat duduk mereka. “Kan bos besar nak dengar laporan pasal projek rumah kedai kat Shah Alam tu? Encik Rashid nak semua yang terlibat dalam projek tu turut serta dalam meeting ni,” tambah Yusmadi lagi. Dia menghampiri meja Sarah.

“Alamak! Aku lupalah… pukul berapa dah ni?” soal Sarah panik sambil mengerling jam besar di dinding. “Hesy, kau ni! Belum pukul 12.00 lagilah! Kau ni saja je nak buat kita orang gelabah, kan?” Sarah pantas mencapai pen dari atas meja dan mengetuk dahi Yusmadi.

Yusmadi sudah mengekek ketawa. Kesakitan kecil di dahi diusapnya. Suka dia dapat mengenakan Sarah. Selalunya Sarah yang mengenakannya. Yusmadi dan Sarahlah yang menceriakan suasana di jabatan mereka. Kadang-kadang setiausaha-setiausaha dan kerani-kerani di jabatan mereka turut menggamatkan suasana. Semuanya satu kepala.

Sememangnya mereka ada lima belas minit lagi sebelum mesyuarat bermula. ‘Bos besar’ yang dimaksudkan Yusmadi, sudah tentulah salah seorang pengarah Icon Properties Sdn Bhd, merangkap CEO Warisan Invesment Sdn Bhd. Tentunya CEO Warisan Investment Sdn Bhd ingin memantau projek-projek besar anak syarikatnya.

“Eh, Aina belum jumpa lagi kan dengan bos besar?”

Aina Yasmin hanya mampu menggelengkan kepalanya. Teringat kembali kata-kata Mastura tentang ‘kebengisan’ CEO Warisan Investment Sdn Bhd dulu. Dia kecut perut sebenarnya. Kalau tidak kerana arahan Encik Rashid yang mahu semua yang terlibat hadir sama, pasti dia sudah meminta dirinya dikecualikan daripada menghadiri mesyuarat itu.

“Dia okey sebenarnya. Sarah rasa garang dia bertempat… bukan macam Encik Fadli tu!” bisik Sarah perlahan. “Dia nak make sure semua projek anak syarikat takde masalah. Sarah masih tak faham kenapa staf kita pakat berhenti kerja bila syarikat Dwi Holdings ambik alih Warisan Investment dulu. Mudah sangat diaorang dengar gosip-gosip yang entah apa-apa tu. Tahu-tahu berhenti kerja! Sarah senang je… belum cuba belum tahu!”

Pintu bilik Encik Rashid dibuka dari dalam. Ada beberapa fail di tangan. “Jom kita tunggu bos kat dalam conference room. Yus, tolong panggilkan Fadli…” Encik Rashid bersuara.

Yusmadi mengangguk. Sarah dan Aina Yasmin mencapai pen dan buku nota masing-masing dan mengekori Encik Rashid menuju ke bilik mesyuarat.

Di dalam bilik mesyuarat, kelihatan setiausaha Pengurus Besar Icon Properties Sdn Bhd, sedang menyusun dokumen-dokumen di atas meja. “Assalamualaikum, Kak Ita…” sapa Sarah. “Rajinnya dia…” usik Sarah lagi. Kak Norita membalas salam Sarah dan menyambut usikan Sarah dengan senyuman mesra. “Kak Ita dah kenal Aina? Pekerja baru kita?”

Wanita berusia awal empat puluhan itu mengilas pandang ke arah Aina Yasmin. Senyuman masih terukir di bibir. “Dah… hari pertama Aina masuk lagi Kak Ita dah jumpa…”

Aina Yasmin membalas senyuman Kak Norita.

“Bos mana?” soal Sarah lagi. Sibuk bertanyakan tentang Encik Mokhtar Shah, Pengurus Besar Icon Properties Sdn Bhd. Dia mengambil tempat berhadapan dengan Encik Rashid di meja kaca besar berbentuk bujur itu. Dia tahu Encik Fadli dan Yusmadi akan duduk di sebelah kanan dan kiri Encik Rashid. Kerusi di kepala meja akan diambil oleh bos besar mereka. Encik Mokhtar pula akan mengambil tempat di sebelah kiri bos besar. Aina Yasmin duduk di sebelah kiri Sarah.

“Bos ada kat lobi. Tengah tunggu bos besar.” Rata-rata mereka memanggil CEO Warisan Investment Sdn Bhd dengan panggilan bos besar. Tapi cuma di belakangnya sahaja. “Bos besar baru balik Penang pagi tadi… patutnya esok baru balik. Tu yang tiba-tiba nak meeting ni…” jelas Kak Norita lagi.

“Oh…” terangguk-angguk kepala Sarah mendengar penjelasan Kak Norita.

Tepat jam 12.00 tengah hari, pintu bilik mesyuarat dibuka. Encik Mokhtar melangkah masuk, disusuli dengan CEO Warisan Investment Sdn Bhd. Aina Yasmin memerhatikan ketiga-tiga lelaki di hadapannya bangun untuk berjabat tangan dengan Encik Mokhtar dan…‘Ya Allah!!! Abang Aazad???’ Terbeliak mata Aina Yasmin melihat kehadiran tunangnya. Dia panik. Dia gugup. Dia gementar. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya…

Sebelum Encik Mokhtar sempat memperkenalkan Aina Yasmin kepada Ameer Aazad, lelaki itu sudah terlebih dahulu memandang gadis itu dari ekor matanya. Dia seakan pernah melihat gadis itu sebelum ini. Tapi di mana ya? ‘Ya Allah!! Gadis tudung pink di majlis kenduri kahwin Munirah!! Apa dia buat sini? Kenapa dia pandang aku macam tu?’

“Encik Aazad, I trust you know Aina? She’s from Warisan, but for the time being, she is seconded to Icon for a few months…” Encik Mokhtar memperkenalkan Aina Yasmin kepada Ameer Aazad.

“Aina?” suara garau itu menyapa telinga Aina Yasmin. Dia tunduk.

Yes! Oh maaf. Saya lupa Encik Aazad berada di Penang selama seminggu. Aina ni baru join kita. Dia ni graduate daripada University of California. HR Warisan ambik dia kerja minggu lepas. This is only her third day in Icon!”

Ameer Aazad mengambil tempat di kepala meja. Matanya masih bertumpu ke wajah Aina Yasmin yang kini tunduk merenung buku nota di atas meja. Dia tergamam melihat gadis itu. Wajah ayu gadis bertudung itu menarik-narik tangkai hatinya. ‘Apa nama dia tadi? Aina?’

“Aina, this is one of our directors and the CEO of Warisan Investment, Encik Ameer Aazad,” Encik Mokhtar memperkenalkan Encik Tunang kepada Aina Yasmin.

Aina Yasmin terpaksa mengangkat muka. Dia memandang ke wajah tunangnya yang masih berjambang itu. “Assalamualaikum, Encik Aazad,” sapa Aina Yasmin. Dia dapat menangkap mata Ameer Aazad yang membulat secara tiba-tiba. Riak terkejut Ameer Aazad jelas menunjukkan yang lelaki itu dapat meneka siapa dirinya.

Tersentak Ameer Aazad mendengar suara itu. Suara yang menjadi igauannya sejak beberapa hari ini. Tajam mata Ameer Aazad memanah ke arah Aina Yasmin. Aina Yasmin menjadi tidak keruan!

Pic by Nurul Huda

“Aina apa?” soal Ameer Aazad.

Errr…Aina Yasmin binti Zainal Abidin…” menggigil tubuh Aina Yasmin dipandang sebegitu oleh Ameer Aazad. Sumpah! Kalau dia tahu Ameer Aazad merupakan CEO di Warisan Investment Sdn Bhd, dia tidak akan sekali-kali memohon pekerjaan di situ. Bagaimana harus dia memutuskan pertunangan nanti? ‘Alamat aku kena berhenti kerjalah nanti! Takkan nak kerja satu ofis dengan bekas tunang? Hesy!! Jaga kau Mas!!’ Dia pasti Mastura mengetahui yang Ameer Aazad merupakan CEO di Warisan Investment Sdn Bhd. Kalau tidak, takkan Mastura sibuk menceritakan atau lebih tepat, menakut-nakutkannya tentang CEO Warisan Investment Sdn Bhd? Dia mahu tahu mengapa temannya itu merahsiakan hal itu daripadanya.

Tubuh Ameer Aazad berubah kaku. Tidak menyangkakan yang gadis bertudung pink yang telah mencuri perhatiannya baru-baru ini merupakan tunangnya sendiri! Tidak berkedip matanya melihat kecantikan paras rupa gadis yang telah dijanjikan untuknya ini. Adakah ini semua hanya mimpi? ‘Takkan ni Aina Yasmin, tunang aku?’ Ameer Aazad masih tidak percaya dengan perubahan gadis itu. Lain benar daripada dulu. Bisakah seseorang itu berubah sehingga begini sekali? Memang diakui gadis itu masih belum matang ketika ditunangkan dengannya lebih lima tahun dahulu dan tiada langsung ciri-ciri lazim seorang wanita pada Aina Yasmin. Tubuhnya seakan gadis yang berusia empat belas tahun walaupun sudah berumur lapan belas tahun ketika ditunangkan. Namun kini? Wow!!

“Ehem… ehem…” Encik Mokhtar berdeham. “Ada apa-apa masalah ke Encik Aazad?” Pelik dia melihat kelakuan Ameer Aazad. Mereka yang turut berada di dalam bilik mesyuarat itu turut terpinga-pinga kehairanan.

“Tak… takde masalah. Saya cuma terkejut Warisan ambik staf baru dan letak dia di sini. Saya cakap dengan HR sebelum ni, saya nak tambah staf dalam Corporate Planning Department di Warisan, bukannya di Icon. Hmmm… ada miscommunication nampaknya…” Ameer Aazad melarikan pandangan dari wajah Aina Yasmin. Malu juga dia ditangkap merenung gadis itu. ‘Macam tak pernah tengok pompuan, aku ni!’

Sarah berbalas pandang dengan Aina Yasmin. Risau!

Errr, jadi Aina akan ditukarkan semula ke Warisan?” soal Encik Rashid dengan tiba-tiba. Mereka betul-betul perlukan Aina Yasmin di Icon Properties Sdn Bhd. Tidak menang tangan dengan projek-projek yang sedang dikendalikan ketika ini.

“Kenapa?” soal Ameer Aazad. Matanya mencerlung memandang ke arah Encik Rashid. Tidak suka dengan cara Encik Rashid yang seolah-olah mencabar dirinya sebagai orang yang berkuasa membuat keputusan di situ.

Errr… sebenarnya Encik Aazad, kami kat sini memang kekurangan kakitangan. Dengan projek kat Shah Alam dan projek kat JB yang akan bermula tak lama lagi, kami betul-betul terdesak sekarang ni. Staf yang berhenti dulu masih belum berganti. Ada Aina ni, sedikit-sebanyak dia dapat meringankan beban Sarah dan Yusmadi. Sementara waktu ni, sebelum dapat staf baru, saya harap sangat Aina dapat kekal di sini.”

Aina Yasmin tunduk. Sebolehnya dia mahu kekal di Icon Properties Sdn Bhd. Untuk selama-lamanya pun tidak mengapa! Tidak sanggup dia kembali ke Warisan Investment Sdn Bhd setelah mengetahui Ameer Aazad ada di sana.

Ameer Aazad menerima penjelasan Encik Rashid dengan dada yang lapang. “Hmmm… nanti saya discuss dengan HR. Okey, let’s start our meeting!” Ameer Aazad kembali serius. Namun tidak lama. Ketika Encik Rashid membentangkan perkembangan projek rumah kedai di Shah Alam, matanya asyik lari ke arah Aina Yasmin. Gadis itu tekun mengambil nota, seolah-olah tidak terkesan dengan kehadirannya. Namun kalau diperhatikan betul-betul, jari-jari yang memegang pen mata bulat itu seakan menggeletar. Ameer Aazad menyembunyikan senyum. Tahulah dia betapa gementarnya Aina Yasmin ketika itu.

Tatkala merasakan sepasang mata Fadli turut berlabuh pada objek yang sama, Ameer Aazad menjadi tidak senang duduk. ‘Apa hal lak pandang-pandang tunang aku ni?’ Ameer Aazad menahan rasa. Dia tidak betah melihat tunangnya menjadi santapan mata lelaki lain. Kenapa, ya? Dulu, dia tidak pernah merasa apa-apa sekiranya teman-teman wanitanya mendapat perhatian daripada lelaki lain. Sehinggakan dia sendiri tidak kisah sekiranya rakan-rakan liburnya ingin berdansa atau merapati teman-teman wanitanya.

Ameer Aazad sengaja bertanyakan beberapa soalan tentang isu-isu berbangkit kepada Fadli sebaik sahaja pembentangan selesai dilakukan Encik Rashid. Dia mahu tahu sejauh mana pengetahuan lelaki itu terhadap projek syarikat. Tergagap-gagap Fadli menjawab pertanyaan bos besarnya itu memandangkan dia tidak membuat persediaan rapi untuk mesyuarat tengah hari itu. Fail pula dipegang Encik Rashid sejak pagi tadi. Lagilah sukar hendak menjawab!

Next time, please be prepared for any meeting with me. Jangan harap pada Encik Rashid seorang saja! Kalau namanya satu pasukan, semua aspek projek awak kena ambik tahu! Bukan jawab dengan gaya tak confident macam ni!” Keras teguran Ameer Aazad terhadap Fadli. Fadli tertunduk. Malu ditegur begitu di hadapan rakan sepasukan yang lain, terutamanya di hadapan Aina Yasmin. Namun dia akur dengan kesalahannya. Semalam dia langsung tidak mahu membelek fail. Ingatkan hari ini dia masih sempat membaca apa yang patut. Dia silap percaturan.

“Aina Yasmin, what is your role in this project?” Terangkat bahu Aina Yasmin ketika mendengar namanya tiba-tiba disebut Ameer Aazad. Nama penuh pulak tu!

My main role is to co-ordinate the launching of the project, as well as advertising the sales of the units with marketing department, Encik Aazad.” Aina Yasmin cuba sedaya-upayanya untuk bertutur dengan yakin. “In between, saya akan bantu Cik Sarah dan Encik Yusmadi dalam isu-isu berkaitan dengan permit, kontraktor, project development dan sebagainya.” Sekali lagi mereka bertentangan mata. Aina Yasmin menelan rasa gugup dan gementar.

Good!” balas Ameer Aazad sepatah. Bangga dia seketika mendengar Aina Yasmin menjawab soalannya dengan yakin. Siap buat eye-contact lagi!

Pantas Aina Yasmin melarikan pandangannya.

“Baiklah, I think we can end our meeting. It’s almost lunch time anyway. Awak semua boleh pergi, except for Aina Yasmin. Saya nak discuss sekejap dengan dia pasal status dia di Warisan dan di Icon… And oh, I do not wish to be disturbed!!”

Aina Yasmin terkedu. ‘Masak aku macam ni!’ Seorang demi seorang teman sejabatannya meninggalkan bilik mesyuarat. Sempat Sarah berbisik ke telinganya yang dia akan tunggu Aina Yasmin di kafeteria. Aina Yasmin cuma mengangguk.

Kini hanya ada Aina Yasmin dan Ameer Aazad. Ameer Aazad bangun lalu mengambil tempat yang diduduki Sarah sebentar tadi, di sebelah Aina Yasmin. Aina Yasmin menggenggam erat tangannya. Jantungnya sudah kembali bergendang hebat.

“Tak sudi pandang muka abang, ke?” dengan lembut Ameer Aazad bertanya.

Pantas Aina Yasmin menoleh ke arah tunangnya. Mengapalah Ameer Aazad membiarkan wajahnya dipenuhi bulu-bulu yang menutup wajah asalnya yang tampan dulu? Walaupun lelaki itu masih segak di matanya, namun dia tidak meminati lelaki yang berjambang begini. Dia geli!

Ameer Aazad tersenyum. “Abang betul-betul tak sangka dapat jumpa Min hari ni… abang lupa nak tanya Min kerja kat mana. Rupa-rupanya Min ni pekerja Warisan… Kejutan yang paling membahagiakan abang! Tak sia-sia abang balik awal…”

Aina Yasmin menggigit bibir. Rasa kekok dengan renungan dari sepasang mata hazel Ameer Aazad. Mata Ameer Aazad tidak berhenti menjamah wajahnya. Syukur dia dalam keadaan duduk. Kalau berdiri, entah ke mana mata Ameer Aazad akan meliar! ‘Gatal jugak dia ni ek?’

“Boleh tak jangan tengok Min macam tu?” Aina Yasmin jelas tidak selesa. ‘Macam tak pernah tengok pompuan!!’ bentak Aina Yasmin di dalam hati.

“Macam tu? Macam tu macam mana?” Ameer Aazad tergelak kecil. Tahu Aina Yasmin tidak selesa.

“Macam tulah… macam yang abang sedang buat sekarang! Min tak selesa…”

Ameer Aazad ketawa kecil. “Nak tengok tunang sendiri pun tak boleh, ke?” Nakal Ameer Aazad bertanya. Suka dia melihat kekalutan tunangnya itu. “Lagipun dah lama abang tak jumpa Min. Min dah berubah… Min cantik sangat sekarang! Abang langsung tak cam Min masa kenduri Munirah baru-baru ni…”

Entah mengapa hati Aina Yasmin sedikit tergores dengan kata-kata Ameer Aazad. Dia tidak suka dipuji cantik kerana dia tahu siapa dirinya yang sebenar. Dia masih gadis yang dulu – badan kurus sekeping macam jantan, kulit berkilat terbakar dan langsung takde selera nak dipandang. Rupanya yang sudah berubah langsung tidak merubah hakikat dirinya yang sebenar. ‘Sebab aku dah berubah ke dia layan aku mesra macam ni? Kalau aku masih macam dulu, dia ingin ke renung aku macam mana dia renung aku sekarang?’ Aina Yasmin masih sensitif dengan hal-hal berkaitan penampilan dirinya. Lupa dia tentang persetujuan Ameer Aazad untuk menerima dirinya seadanya sebelum mereka berjumpa secara berdepan begini. Wajah Aina Yasmin berubah mendung.

“Kenapa Min? Abang salah cakap ke?” Terus hilang senyuman di wajah Ameer Aazad melihat perubahan di wajah tunangnya.

Aina Yasmin menggelengkan kepala. Wajahnya suram.

Can I be excused now?” Aina Yasmin ingin melarikan diri. “Min ada buat janji dengan Sarah!”

No! Tell me what’s wrong!” bantah Ameer Aazad. Dia tidak suka meninggalkan isu yang tertangguh. Dia lelaki yang pentingkan penyelesaian pada apa-apa masalah. Kalau boleh, tidak mahu dipanjangkan ataupun ditangguhkan.

Takde apa-apa. Errr… abang, Min rasa, Min dah tak selesa kerja kat sini lagilah. Kalau Min tahu abang CEO Warisan, Min takkan mintak kerja kat situ. Apa pulak kata orang nanti? Mesti diaorang ingat Min dapat kerja ni bukan sebab merit tapi sebab abang!” Aina Yasmin memilih untuk membangkitkan isu ini dan bukan tentang hatinya yang tergores tadi.

“Ah, pedulikan tu semua! Cakap je yang Min tak tahu pasal abang CEO Warisan. Lagipun, bukan abang yang interview Min dulu! Abang pun tak tahu Min dapat masuk Warisan…”

“Min tetap tak selesa…”

“Kalau macam tu, biar abang buat announcement pada semua staf yang Min ni bakal isteri abang! Biar semua orang tahu!” Ameer Aazad mencadangkan jalan penyelesaian.

No!!” Aina Yasmin hampir menjerit. ‘Nak bagi tahu semua orang? Oh tidak!!! Tak sanggup!’

“Kenapa?” Ameer Aazad kehairanan. Keningnya bertaut.

“Min belum bersedia…” suaranya kembali mengendur.

“Min ada cakap pada diaorang yang Min dah bertunang?”

Aina Yasmin menggelengkan kepalanya.

Ameer Aazad mengetap bibir. “Kenapa?” soalan datang bertubi-tubi daripada lelaki itu. Semakin lama semakin tegang suaranya.

“Sebab takde siapa tanya!” Selamba jawapannya. Aina Yasmin memberanikan diri memandang ke wajah Ameer Aazad. Jelas ada riak tidak puas hati di situ.

Mata Ameer Aazad berkalih pula ke jari-jemari Aina Yasmin di atas meja. Kosong. “Kenapa tak pakai cincin tunang? Tak suka? Tak cantik? Kata tak kisah orang tahu Min dah bertunang. Rupanya Min tipu abang, ya? Kalau tak suka bertunang dengan abang, cakap je terus-terang! Tak payah nak buat cerita dongeng dengan abang dan tak payah nak bagi abang harapan lagi!” Dia marah. Melihat jari Aina Yasmin yang kosong membuatkan dirinya hilang pertimbangan diri. Tanpa mendengar penjelasan gadis itu, dia sudah membuat andaian sendiri. Sungguh! Ego lelakinya tercalar. Dia mahu mencanangkan kepada satu dunia tentang siapa Aina Yasmin kepada dirinya. Tetapi sebaliknya, bukan sahaja gadis itu tidak bersedia memaklumkan kepada teman-teman sepejabat tentang hubungan mereka, malah cincin tunang pun tiada di jarinya. Mana dia tidak marah?!

Aina Yasmin tersentak. Matanya mula berkaca. Dia memang pantang jika dimarahi dan disergah sebegitu. Dia pasti akan menangis.

“Dah tiga tahun Min tak pakai cincin tu…” bisik Aina Yasmin perlahan. Air mata mula menitis perlahan. “Sebab dah tak muat! Bukan sebab Min tak suka atau tak cantik! Sebelum tu, Min tak pernah tanggal, not even once!”

Tanpa menunggu reaksi Ameer Aazad, Aina Yasmin terus bangun dan meluru keluar dari bilik mesyuarat menuju ke tandas wanita. Dia mengambil nafas dalam-dalam bagi menghilangkan rasa sakit di hati. Syukur tiada siapa di dalam tandas ketika itu. Mungkin semua staf wanita sudah meninggalkan pejabat untuk makan tengah hari.

Sudah dua kali Ameer Aazad membuatnya menangis dengan kata-katanya. Yang pertama kali dulu lebih pedih. Pasti Aina Yasmin akan mengalirkan air mata setiap kali kata-kata hinaan itu melintas di fikirannya.

Aina Yasmin mengambil tisu lalu mengeringkan wajahnya. Dia mengambil nafas sekali lagi sebelum pantas beredar ke mejanya untuk mengambil tas tangan. Lekas-lekas dia keluar dari pejabat dan menunggu lif untuk ke kafeteria. Dia khuatir dia akan bertembung dengan Ameer Aazad.

Di dalam bilik mesyuarat, Ameer Aazad masih kaku di tempat duduknya. Segunung kesalan melanda hatinya. Pada pertemuan pertama mereka sejak sekian lama, dia telah membuat tunangnya menangis! Memang sejak kemalangan yang menimpanya dua tahun lalu, Ameer Aazad telah berubah menjadi seorang yang serius dan perengus. Dia mudah marah. Cepat hendak melenting. Mungkin di hati, dia sebenarnya masih tidak reda sepenuhnya dengan segala ujian daripada Ilahi. Dia mengeluh.

Kalau diikutkan hati, dia ingin mengejar Aina Yasmin tadi dan memujuknya. Namun dia tidak tahu bagaimana hendak memujuk hati seorang wanita. Dia tidak pernah perlu memujuk sesiapa pun dulu. Mereka yang sering datang melutut kepadanya. Tapi ini Aina Yasmin…. tunangnya.

Air mata gadis itu tadi betul-betul menyesakkan jiwanya. Dia lemah tatkala melihat air mata jernih yang mengalir ke pipi halus tunangnya itu. Dia yang bersalah! Menuduh tanpa usul periksa. Kini, sekali lagi dia telah menggores hati Aina Yasmin. Tiba-tiba teringat kata-kata Iqbal suatu waktu dahulu. “Min tu manja sikit, Zad. Orang marah sikit dia akan menangis. Nampak je keras tapi sebenarnya Min tu sensitif sangat. Cengeng! Sebab tu dia takut dengan abah. Dengan mak, aku dengan Syafiq je dia tak takut… sebab kita orang manjakan dia!” Ketika itu dia melihat mata Aina Yasmin, yang mungkin baru berusia lima belas tahun, membengkak seolah-olah baru lepas menangis. Apabila ditanyakan kepada Iqbal, itulah balasannya.


Ameer Aazad mengeluh lagi. Dia perlu memujuk dan memohon maaf daripada tunangnya itu. Dia perlu memikirkan sesuatu. 

9 comments:

  1. Aazad pujuklah Aina tu... bincang dari hati ke hati... x baik sama-sama saling membuat andaian sendiri....

    ReplyDelete
  2. Aazad pujuklah Aina tu... bincang dari hati ke hati... x baik sama-sama saling membuat andaian sendiri....

    ReplyDelete
  3. Aazad pujuklah Aina tu... bincang dari hati ke hati... x baik sama-sama saling membuat andaian sendiri....

    ReplyDelete
  4. Ya Kak Sue... nanti Aazad akan pujuk... Hehehe

    ReplyDelete
  5. Owh aazad..nape biarkan min terluka lg... klau dh trrluka berkali2 ssh nk dlupakan sekalipn ada kemaafan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baran dia tu Umairah Nora... fail bab hati dan perasaan ni... Hehehe... Terima kasih sudi baca sis...:)

      Delete
  6. Owh aazad..nape biarkan min terluka lg... klau dh trrluka berkali2 ssh nk dlupakan sekalipn ada kemaafan

    ReplyDelete
  7. Replies
    1. Soon OrochimaruNM... kejap lagi lynn post ya...:)

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....