Monday, 28 September 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 8


“Alhamdulillah…” lafaz Mastura. Seronok dia mendengar Aina Yasmin telah lulus temu duga dan bakal memulakan pekerjaannya tidak lama lagi.

Thanks, Mas…” ucap Aina Yasmin. “Terima kasih sangat-sangat sebab tolong rekomenkan kerja ni untuk aku! Aku terhutang budi pada kau!”

Small matter je tu. Aku dengar tempat tu perlukan pekerja. Aku pun tanya-tanyakanlah untuk kau. Kau dapat kerja dengan Warisan Investment ke? Kau dah jumpa CEO dia? Amacam CEO kau?”

Suara Mastura yang terlebih girang membuat Aina Yasmin kehairanan. “CEO? Eh, aku interview dengan HR la… Lepas tu ada Ketua dari Jabatan Corporate Planning, jabatan yang nak ambik aku tu… Kenapa kau tanya pasal CEO pulak? Takkanlah CEO sendiri nak interview aku? Aku junior executive je kut…”

Errrtakde apa-apa, takde apa-apa. Aku saja tanya je…” Mastura berdalih. Harapannya agar Aina Yasmin bertembung dengan Ameer Aazad tidak menjadi.

“Kau ni lain macam je? Kau ada sorok apa-apa daripada aku ke?” tembak Aina Yasmin.

Takdelah,” bidas Mastura. Sememangnya dia merahsiakan sesuatu daripada teman baiknya itu. Dia langsung tidak memaklumkan kepada Aina Yasmin tentang Ameer Aazad yang bekerja di syarikat yang sama temannya itu bakal memulakan alam pekerjaannya nanti. Ada sebab mengapa dia merahsiakannya daripada Aina Yasmin dan ada sebab mengapa dia mahu Aina Yasmin bekerja sebumbung dengan tunangnya sendiri.

Pic by Nurul Huda

“Tapi aku tak kerja kat Warisanlah, Mas. Buat sementara waktu ni, aku diletakkan di anak syarikat Warisan, sebab kat situ memang tak cukup kakitangan! Mungkin dalam tiga ke enam bulan. Bila staf anak syarikat dah kembali cukup, barulah aku akan dipindahkan ke Warisan semula…” jelas Aina Yasmin.

Terkejut Mastura mendengar penjelasan Aina Yasmin. Kalau Aina Yasmin tidak bekerja di Warisan Investment Sdn Bhd, maka gagallah rancangannya!

Alaaa… kau kena posting kat mana?”

Don’t worry, my friend. Anak syarikat tu satu bangunan jugak dengan Warisan. Tingkat je lain… Kita still boleh pergi ofis sama-sama, jumpa masa lunch and balik sama-sama nanti, Insya-Allah.”

Yahoooo!!!” jerit Mastura.

“Hoi! Pekak telinga aku kau jerit macam tu!” marah Aina Yasmin sambil menjarakkan kedudukan telefon bimbitnya dari telinga. Bingit! Mastura ketawa…

“Tapi aku nak bagi warning kat kau! Aku dengar CEO Warisan tu garang orangnya. Semua orang kecut perut dengan dia. Dia CEO baru kat situ. Baru dua bulan… Kau jaga-jaga, jangan kena baham dengan singa nanti, ek?” Mastura cuba menakut-nakutkan temannya itu. Arif benar dia tentang kelemahan Aina Yasmin.

“Hesy, kau ni! Janganlah takutkan aku… Aku ni dahlah tak boleh kerja dengan orang yang kuat marah-marah ni…” Aina Yasmin mula cuak. Walaupun orang memanggilnya dengan gelaran tomboy dan mempunyai perwatakan yang lasak dulu, namun hatinya mudah tersentuh. Kena marah atau jerkah sikit, dia dah menangis. Anak bongsulah katakan… Sebab itu dia begitu takut dengan arwah ayahnya yang begitu garang di matanya, dan tidak pernah berani membantah kata-kata dan arahan daripada arwah Haji Zainal Abidin.

“Tapi aku kan tak kerja kat situ. Aku kerja kat Icon Properties mula-mula ni... So mesti aku tak kerja dengan CEO tu, kan?” tanya Aina Yasmin inginkan kepastian.

“Manalah aku tahu… Tapi bergantung jugak pada polisi syarikat. Macam syarikat aku kerja ni, CEO dia pantau projek-projek besar anak-anak syarikat walaupun setiap anak syarikat ada Pengurus Besar dia sendiri. CEO aku pulak dilantik menjadi pengarah dalam semua anak syarikat. Kira macam Group CEOlah. Jadi, kalau CEO Warisan merupakan salah seorang pengarah syarikat Icon Properties, ada kemungkinan kau akan selalu bertembung dengan CEO Warisan nanti…”

Alaaa… ya ke? Aku harap taklah… Aku tensionlah kalau dapat bos yang garang atau kuat nak marah-marah ni. Lemah semangat aku!”

“Kau doa jelah, Min… Err... bila kau mula kerja?”

“Isnin depan…”                  

“Oh. So kau ada banyak masa lagi untuk kemas barang-barang kau kat rumah sewa tu. Baguslah…”

“Haah. Aku pun dah sampai rumah kau ni. Aku nak kemas-kemas apa yang patut… Malam tadi tak sempat. Sampai je aku terus tidur. Okeylah Mas. Aku tak nak kacau kau kerja. Aku letak dulu ya? Jumpa petang karang. Assalamualaikum…”

“Yalah. Jumpa nanti. Waalaikumussalam…” Mastura mengakhiri perbualan. Syukur dia dengan peluang yang diberikan oleh syarikat Warisan Investment Sdn Bhd kepada temannya itu, walaupun rancangannya tidak berapa menjadi. ‘Takpelah kerja kat Icon Properties pun. Manalah tahu Min akan bertembung dengan Abang Aazad nanti… Apa pun, lepas tiga atau enam bulan, Min akan dipindahkan kembali ke Warisan. Semoga apa yang aku rancangkan menjadi!’ bisik Mastura sendirian.

Aina Yasmin duduk di birai katil di dalam bilik sewanya. Mesej dihantar kepada abang-abangnya memaklumkan tentang kejayaannya diterima oleh syarikat Warisan Investment Sdn Bhd. Ucapan terima kasih juga dihantar kepada Iqbal kerana sudi menghantarnya ke pejabat Warisan Investment Sdn Bhd pagi tadi. Dia tersenyum puas. Alhamdulillah…

Matanya kini meliar ke ruangan bilik sewanya. Tidak begitu besar namun selesa. Dia bercadang untuk mula berkemas. Isnin hadapan dia akan memulakan alam pekerjaan di salah sebuah syarikat yang ternama di Kuala Lumpur. Dia benar-benar bersyukur. Dia baru hendak mencapai beg pakaiannya, telefon bimbitnya pula berbunyi. Sangkanya tentu Iqbal. Salam diberi dengan nada suara yang cukup ceria.

Waalaikumussalam…” suara garau di talian melenyapkan senyuman di wajahnya. Terus dia gugup.

“Min dah sampai KL?”

“D… dah…” jawab Aina Yasmin perlahan. “Semalam…”

“Abang pulak takde kat KL sekarang ni. Kalau tak, boleh kita jumpa, kan?”

Eeee… siapa nak jumpa dengan dia? Perasan!’

Diam.

“Abang ada kat Penang ni. Ada projek nak diselesaikan. Mungkin seminggu abang kat sini…”

‘Tak tanya pun!’

Diam.

“Min, kenapa senyap je ni?”

Diam.

“Min?”

“Ya? Min kat sini…” Lemah.

“Dan abang kat sini, tunang abang…”

Aina Yasmin terkedu. Entah mengapa ada suatu perasaan yang halus menyapa hatinya tatkala lelaki itu memanggilnya dengan ‘tunang abang’. Gelaran yang seharusnya membawa rasa bahagia sekiranya bertunang dengan orang yang dicintai yang turut mencintai dirinya. Walaupun tiada cinta, mengapa hatinya bagai merelakan panggilan itu?

Errr… kenapa Abang Aazad call Min ni?” Cuba melenyapkan perasaan halus itu. Dia belum bersedia untuk menggali dengan lebih dalam lagi perasaannya itu.

“Saja, nak dengar suara Min…” Itulah sejujurnya. Ameer Aazad memilih untuk berterus-terang. Inilah kali kedua mereka berhubung di talian. Tiga hari Ameer Aazad menahan rasa. Hanya mesej mengucapkan salam dan bertanya khabar mampu dihantar. Masuk hari ini, dia sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk mendengar suara tunangnya yang satu itu. “Min tak suka ya abang call?”

“Bukan macam tu… Min cuma tak biasa…”

“Min kena belajar biasakan diri Min dengan abang… Insya-Allah kalau ada jodoh, kita akan hidup bersama nanti…”

Tidak tertelan air liur Aina Yasmin mendengar kata-kata Ameer Aazad yang dituturkan dengan suara yang begitu dalam. Hidup bersama? Oh tidak!!!!

“Min masih belum buat keputusan lagi…”

“Abang tahu… abang hanya mampu berharap dan berdoa…”

“Boleh Min tahu kenapa abang ubah pendirian abang?” Soalan yang membelenggu hati dan fikiran Aina Yasmin sejak dia menerima ‘syarat-enam-bulan’ yang dikenakan Ameer Aazad dilontarkan. Dia benar-benar mahu tahu sebab Ameer Aazad mengubah fikirannya.

“Semua orang mampu berubah, Min. Antara cepat dengan lambat saja… Syukur abang dapat peluang abang sebelum terlambat…” ringkas dan perlahan Ameer Aazad menuturkan kata. “Min dah bincang syarat abang dengan mak dan abang-abang Min?” giliran Ameer Aazad pula bertanya soalan.

“Dah. Diaorang serahkan pada Min untuk buat keputusan…” Aina Yasmin mengeluh. Terbayang sepasang mata ibunya yang memandangnya dengan penuh pengharapan. Seolah-olah memintanya untuk memberi persetujuan kepada syarat Ameer Aazad, walaupun bibirnya tidak berkata sedemikian.

“Dan keputusannya?”

“Min tak tahu…Min janji akan bagi tahu keputusannya hari Ahad ni…”

Ameer Aazad menarik nafas lega. Sangkanya Aina Yasmin sudah membuat keputusannya. Maknanya, dia masih mempunyai harapan.

“Okey. Abang tunggu…”

Errr…abang?”

Enaknya panggilan ‘abang’ itu di telinga Ameer Aazad. Mengapa sekarang baru terasa? “Ya, tunang abang?” Ameer Aazad sengaja mahu menekankan panggilan itu. Dia tidak mahu sesaat pun Aina Yasmin melupakan status dirinya, iaitu tunangan kepada Ameer Aazad.

Errr…” Aina Yasmin kembali gugup mendengar panggilan itu. “Betul ke abang tak kisah punya tunang macam Min ni? Yang berpenampilan macam Min ni?” Aina Yasmin perlukan kepastian. Dia tahu Ameer Aazad tidak menyedari tentang perubahan dirinya dan dia mahu meyakini hatinya bahawa Ameer Aazad menerimanya dengan sangkaan dirinya masih seperti dulu.

“Aina Yasmin binti Zainal Abidin! Abang terima siapa pun diri Min. Min kurus ke, Min gemuk ke, Min kudung ke, Min cacat ke, abang terima! Tolonglah jangan bangkitkan hal ni lagi. Abang tahu abang bersalah pada Min dulu dan abang harap Min sudi maafkan abang. Tapi, please jangan ungkit lagi cerita dulu. Abang nak mulakan episod baru dalam kehidupan kita berdua. Abang tetap anggap Min sebagai tunang abang dan abang harap status tu akan bertukar menjadi isteri tak lama lagi! I want to marry you, Min! You!!”

Aina Yasmin memejamkan matanya. Berderau darahnya mendengar luahan hati Ameer Aazad dengan nada yang cukup tegas itu. Sungguh dia terharu. Penuh perasaan Ameer Aazad cuba meyakinkannya. Siap panggil nama penuh lagi!

“Min faham tak?”

Diam.

“Min… abang tanya ni. Min faham tak??”

“Fa... faham,” bisik Aina Yasmin.

“Cuma abang tak pasti yang Min sanggup terima abang… terima abang yang sekarang, bukan yang Min ingat dulu…” suara Ameer Aazad sudah hilang ketegangannya.

Bayangan wajah Ameer Aazad yang berjambang menyapa pandangan matanya. Baginya, berjambang atau tidak, Ameer Aazad tetap segak seperti dahulu. Badannya semakin tegap daripada dulu. Yang bezanya, Ameer Aazad kini lebih serius dan lebih berkarisma. Aura yang dibawa Ameer Aazad begitu mempesonakan, walaupun mereka sempat bertentang mata tidak sampai seminit ketika di majlis kenduri kahwin Munirah baru-baru ini.

“Kenapa abang Aazad cakap macam tu?”

“Yalah, manusia berubah Min. Abang tak terkejut kalau Min tak dapat terima abang macam abang terima Min…”

‘Kenapa dia cakap macam tu? Seperti ada sesuatu yang tersirat…’ fikir Aina Yasmin sendirian.

Diam.

“Okeylah, tunang abang. Staf abang dah tunggu tu. Janji Min akan call abang Ahad ni?” pinta Ameer Aazad.

“Ya, Min janji…”

Satu keluhan berat dilepaskan Ameer Aazad. Entah mengapa dia masih mahu berterusan berbual dengan Aina Yasmin dan mendengar suara gadis itu. Namun tuntutan kerja memanggilnya.

“Janji yang bila abang mesej, Min akan balas...”

“Min cuba, Insya-Allah…”

“Janji yang Min akan jaga diri Min selama kat KL ni…”

“Min janji…”

“Janji yang Min akan jaga maruah Min sebagai tunang abang…”

“Min janji…”

“Janji Min akan kahwin dengan abang!”

“Min jan… Aaa... apa?”

Terlepas tawa kecil Ameer Aazad. Tawa yang sudah sekian lama dipendam. Dia rasakan dia sudah lupa bagaimana hendak ketawa. Sudah lama dirasakan hidupnya sepi daripada gelak tawa. Kini dengan gadis itu, tawanya bisa terletus. Pelik!

Aina Yasmin terkesima. Kahwin?

“Tak kira! Min dah janji dengan abang…”

“Mana ada?” bantah Aina Yasmin laju.

Ketawa lagi. Apa yang lucu pun Aina Yasmin tidak tahu.

“Min dah dapat tempat kerja kat KL?”

“Dah bang, Alhamdulillah… Min mula Isnin depan.”

“Baguslah kalau macam tu. Okeylah. Abang pergi dulu. Try to miss me, okay?”

‘Gila mamat ni! Yucks!’

Diam.

“Assalamualaikum, tunang abang,” ucap Ameer Aazad.

Waalaikumussalam…”

Butang merah di telefon ditekan. Aina Yasmin menekup dada. Mengharapkan agar degupan jantungnya kembali normal. ‘Aku pun dah gila agaknya… kenapa aku jadi macam ni, setiap kali dia mesej atau call aku? Kata tak suka? Kata nak putus? Wahai hati, tolong jangan buat aku macam ni…’ Aina Yasmin merayu.

Nafas diambil dalam-dalam. Dadanya diusap perlahan. Bila semuanya sudah kembali reda, Aina Yasmin bangun dan mencapai beg pakaiannya sekali lagi. Dia ingin melupakan Ameer Aazad buat seketika dan menumpukan perhatiannya pada bilik dan rumah baharunya.

Nun jauh di Pulau Pinang, tiga orang pekerja dari Warisan Investment Sdn Bhd memandang sesama sendiri. Pelik dengan gelagat ketua mereka yang tiba-tiba murah dengan senyuman. Apa yang sudah terjadi kepada bos mereka ni? Dapat bonus ke? Atau tersampuk dengan makhluk halus? Mereka tidak berani bertanya. Lebih elok Ameer Aazad bermood positif begini daripada mereka dihidangkan dengan wajah serius yang pada bila-bila masa boleh bertukar bengis itu. Harap-harap mood baik bos mereka akan kekal sepanjang minggu ini!



4 comments:

  1. kalau boss awak tahu 'tunang abang' keje kt tmpt yg sama mahu terus tersenyum selalu... Min bg peluang pada Aazad untuk terus berubah... adakah Mas tahu hanya Min saja yg boleh ubah cara Aazad....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang dia akan tersenyum selalu Kak Sue.... hahaha... Mas tahu perasaan Min yg sebenarnya Kak Sue... :D

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....