Monday, 28 September 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 7


Aina Yasmin melipat lalu menyangkut telekung serta sejadah sebelum merebahkan tubuhnya ke atas katil di dalam kamar tidurnya. Hatinya sedikit lega dapat mengadu dan berdoa kepada Penciptanya. Hanya Allah yang tahu perasaannya ketika ini. Dan hanya kepada Allah dia berserah…

Malam sudah agak lewat. Pasti ibunya sudah tidur kerana rumah mereka dirasakan begitu sunyi dan sepi. Setelah pulang dari rumah Puan Shima selepas Maghrib tadi, ibunya terus masuk ke dalam kamar tidurnya dengan alasan penat. Dua malam mereka bermalam di rumah Puan Shima, seperti yang dijanjikan. Lusa, Aina Yasmin akan bertolak ke Kuala Lumpur dan meninggalkan ibunya bersendirian di rumah. Syukur Syafiq akan pulang dan bekerja di Ipoh tidak lama lagi.

Aina Yasmin melepaskan keluhan. Dia memandang ke arah siling kamar tidurnya sambil tangan kanannya disilangkan ke atas dahi. Semakin berat keputusan yang perlu diambil. Dia semakin kehilangan arah. ‘Ingatkan senang nak putus tunang! Semua orang kata takde bantahan tapi sebenarnya bukan senang seperti yang disangkakan…’

Layanan Puan Shima terhadap dirinya masih seperti dulu. Begitu penyayang dan masih mengambil berat akan dirinya. Sekali pun Puan Shima tidak menyentuh tentang hubungannya dengan Ameer Aazad, walaupun dia banyak menceritakan tentang hal lelaki itu kepadanya.

Rupa-rupanya Ameer Aazad pernah terlibat dalam suatu kemalangan dua tahun lalu, tidak lama setelah arwah bapa Aina Yasmin meninggal dunia. Aina Yasmin berasa hairan mengapa berita itu langsung dipendamkan daripada pengetahuannya. Alasan ibunya, kerana tidak mahu Aina Yasmin berasa tertekan atau terlampau bersedih, memandangkan arwah Haji Zainal Abidin baru sahaja meninggal dunia. Jadi berita kemalangan Ameer Aazad tidak diceritakan kepadanya.

“Aazad berubah tak lama lepas kemalangan tu…” Kata-kata Puan Shima semalam kembali ke ingatan. “Dia jadi pendiam dan tak mahu bergaul dengan orang lain. Kawan-kawan dia pun banyak yang dia sisihkan…termasuk abang-abang Min…mama pun tak tahu kenapa dia jadi macam tu…”

Sejak pertemuan dengan Puan Shima di majlis kenduri kahwin Munirah tempoh hari, Puan Shima sering membahasakan dirinya sebagai ‘mama’ ketika berbicara dengan Aina Yasmin, seolah-olah Aina Yasmin sudah pun menjadi menantunya. Panggilan itu semakin membebankan hati dan perasaannya. Kiranya, jika dia bertekad dengan keputusannya, bukan sahaja dia akan menghampakan harapan arwah bapanya, malah dia turut akan menghampakan harapan Puan Shima yang teramat disayangi dan dihormatinya. Walaupun di mulut, Puan Shima telah meyakinkan Hajah Amirah yang apa pun keputusan Aina Yasmin akan diterima dengan hati yang terbuka, namun di dalam hati siapa yang tahu, bukan?

Aina Yasmin menggigit bibir tatkala terkenangkan apa yang berlaku petang tadi ketika berseorangan di rumah Puan Shima. Ibunya telah menemani Puan Shima ke Ipoh untuk menempah baju di butik kegemaran mereka dan Aina Yasmin yang tidak mahu ikut serta, memilih untuk tinggal bersendirian di rumah Puan Shima. Ketika asyik menonton televisyen di ruang tamu, telefon Puan Shima berbunyi.


Pic By Nurul Huda
“Assalamualaikum…” Aina Yasmin memberi salam sebaik sahaja ganggang telefon ditekap ke telinga.

Senyap. Tiada jawapan di talian sebelah sana. Aina Yasmin mencuba sekali lagi. “Errr…Assalamualaikum. Ni rumah Puan Maizatul Shima…”

“Oh! Waalaikumussalam…Saya ingatkan saya tersalah nombor tadi…”

Hampir sahaja ganggang telefon terlepas daripada pegangan Aina Yasmin apabila mendengar suara garau yang amat dikenalinya itu. ‘Ya Allah! Apa aku nak buat ni?’

“Boleh saya tahu ni siapa? Mama saya ada?” Ameer Aazad menyoal.

“Errr…errr…” Aina Yasmin tergagap-gagap. “Auntie Shima keluar kejap. Ni Min…Aina Yasmin…” perlahan sahaja Aina Yasmin memperkenalkan dirinya.

Senyap. Tiada balasan. Aina Yasmin membayangkan Ameer Aazad teringin hendak menghempaskan ganggang telefon setelah mengetahui gerangan siapa yang telah menjawab panggilan telefon lelaki itu. Dia masih tertunggu-tunggu Ameer Aazad melakukannya.

Tidak lama kemudian kendengaran Ameer Aazad berdehem kecil. “Apa khabar, Min?”

‘Eh? Dia nak berbual dengan aku ke ni?’

“Ba... baik, Alhamdulillah…” balas Aina Yasmin ringkas. Jantung sudah mula dup dap menandakan diri yang sudah mula gugup.

Senyap lagi. Aina Yasmin kegelisahan.

“Errr… Abang Aazad, nanti Min beritahu Auntie Shima yang abang call, ya? Min letak dulu… Assalamualaikum,” ujar Aina Yasmin tatkala merasa kurang selesa dengan sifat masing-masing yang kelu tidak berbahasa.

“Tunggu!” Sedikit tinggi suara Ameer Aazad bagi menahan Aina Yasmin daripada meletakkan ganggang telefon.

Aina Yasmin tersentak. Nasib baik ganggang telefon tidak terlepas dari tangan. “Ya?”

Terdengar keluhan kecil di hujung telefon. “Boleh kita bincang?”

Aina Yasmin terkedu. Dia mengangguk kecil tetapi setelah menyedari yang tidak mungkin Ameer Aazad dapat melihat tindakannya, dia terus bersuara. “Boleh…”

“Susah abang nak mulakan…” perlahan nada suara Ameer Aazad.

“Abang, Min tahu abang serba salah dengan semuanya. Min pun sama…Tapi eloklah kalau kita…” Sebelum sempat Aina Yasmin menghabiskan kata-katanya, Ameer Aazad mencelah.

“Min, dengar dulu apa abang nak cakap…jangan buat andaian sendiri!”

Tersentap Aina Yasmin dengan teguran yang dibuat dengan nada yang jelas serius.

“Sorry…” bisik Aina Yasmin. Dia termalu sendiri.

“Abang tahu Min dah buat keputusan untuk putuskan pertunangan kita. Seperti yang abang balas dalam e-mel abang pada Min, abang setuju tapi dengan satu syarat…” Jeda.

Aina Yasmin sabar menunggu Ameer Aazad meneruskan kata-kata. Dia tidak mahu mencelah lagi. Takut ditegur seperti tadi.

“Syarat abang simple je. Give me six months! Lepas tu, kalau Min masih nak teruskan dengan keputusan Min, abang terima…”

“Six months? Six months untuk apa?” Aina Yasmin jelas dilanda kekeliruan dengan syarat yang dikenakan tunangnya itu.

“Enam bulan untuk abang jadi tunang Min dan Min jadi tunang abang!”

Aina Yasmin ketawa sinis. “Min tak faham…kita kan dah bertunang lebih lima tahun dah?” Takkan lelaki itu sudah lupa? Entah apa-apa!

Kedengaran keluhan kecil terlepas di hujung talian. “Sebelum ni, walaupun kita dah lama bertunang, kita bukan macam pasangan lain…kita tak pernah berhubung, apa lagi berjumpa. Untuk enam bulan yang akan datang ni, abang nak Min jadi tunang abang dalam erti kata yang sebenar dan abang pun begitu!”

“Bertunang masih belum menghalalkan hubungan, abang! Apa yang abang maksudkan sebenarnya ni?” soal Aina Yasmin tidak puas hati. Suaranya sedikit tegang.

“Abang tahu! Yang abang maksudkan, kita berhubung, call, keluar makan ke, bertanya hal masing-masing…macam couple lain yang bertunang. I want to get to know my own fiancĂ©e!”

“Kenapa abang nak buat macam ni? Abang tak perlu buat ni semua…Min tahu perasaan sebenar abang pada Min. Min sedar diri Min ni siapa di sisi abang. Abang tak perlu lakukan semua ni hanya sebab abang rasa terhutang budi dengan arwah abah! Kalau kita tak ikhlas dengan hubungan kita ni, baik tak payah teruskan!” Panjang lebar Aina Yasmin bersuara. Dia tidak berapa setuju dengan syarat yang dikenakan Ameer Aazad yang dirasakan tidak begitu munasabah.

“Six months Min! Tu syarat abang. Your choice! Yes or no?” Ameer Aazad tidak menghiraukan kata-kata Aina Yasmin. Dia tahu apa yang dilakukannya.

“Kalau Min tak setuju?”

“Then I will sue you for breach of promise!”

“Apa? Abang serius??” Tercengang Aina Yasmin dengan ugutan yang dibuat.

“Dead serious! Abang boleh saman Min sebab mungkir janji dengan memutuskan pertunangan kita. Abang akan mintak ganti rugi!”

Aina Yasmin ternganga!! Mujur Ameer Aazad tiada di hadapannya ketika itu. Entah apalah yang akan dilakukan kepada lelaki itu sekiranya Ameer Aazad berada di hadapannya! Marah betul dia mendengar ugutan daripada lelaki itu. “Ganti rugi? Ganti rugi apa pulak? Macamlah kita ni dah buat persiapan kahwin bagai!! Mengarut je!”

‘Tak logik betul mamat ni! Takkan sampai nak saman-menyaman pulak? Eh! Tapi macam pernah baca kat surat khabar kisah orang yang disaman sebab memutuskan pertunangan. Saman malu lagi!’

Walaupun di hati dia tidak merasakan yang Ameer Aazad akan menyaman keluarganya, namun hakikatnya, dia tidak mengenali Ameer Aazad. Dia tidak tahu hati budi lelaki itu. Dia hanya mengenali Puan Shima yang terlalu baik di matanya. Lelaki itu mungkin lain daripada ibunya walaupun darah mereka sama! Lagipun Puan Shima sendiri mengakui yang tunangnya sudah berubah. Ameer Aazad dulu amat rapat dengan abang-abangnya. Kini tidak lagi…Jadi tiada siapa yang benar-benar mengenali Ameer Aazad lagi.

“Terpulang pada Min nak fikir apa…”

“Min tak percaya abang Aazad sanggup buat macam tu pada keluarga Min…” nada suara Aina Yasmin melirih.

Tekaan yang tepat daripada Aina Yasmin, namun Ameer Aazad tidak mahu beralah. Takkanlah dia sanggup menyaman sebuah keluarga yang sudah dianggap sebagai keluarganya sendiri? Dia hanya mahu menggertak Aina Yasmin sahaja.

“Try me!” cabar Ameer Aazad secara serius bagi melindungi penipuannya.

“Kenapa Abang Aazad kenakan syarat macam ni?” soal Aina Yasmin. Suaranya berubah dingin dan tegang. Rasa benci mula bertandang di hati. Dulu dia benci kerana kata-kata hinaan yang dihamburkan lelaki itu. Kini dia benci dengan syarat tidak munasabah yang dikenakan Ameer Aazad. Tapi betul ke benci?

“Kan abang dah bagi tahu sebabnya tadi…Take it or leave it!” Ameer Aazad memberi kata dua.

“Habis, Abang Aazad tak malu ke nanti orang tahu Min ni tunang abang? Tak malu dapat tunang kurus kering macam jantan dan kulit terbakar macam Min?” sindir Aina Yasmin pedas. Dia masih mahu cuba untuk melepaskan diri daripada ‘syarat-enam-bulan’ yang dikenakan Ameer Aazad.

Ameer Aazad mengeluh lagi. Terkena sebiji tepat ke muka! Dia mengerti perasaan Aina Yasmin yang tentunya sedang marah itu.

“Abang mintak maaf pasal apa yang abang pernah cakap dulu…Abang tak sangka yang Min dengar segalanya…” ujar Ameer Aazad dengan nada kesal. “Abang betul-betul mintak maaf. Insya-Allah abang takkan malu bertunangkan Min. Abang terima Min seadanya…dan abang harap Min pun terima abang seadanya. Dan abang ikhlas nak teruskan dengan pertunangan kita kalau Min sudi terima abang…” Itulah sebenarnya harapannya…agar Aina Yasmin mengambil masa untuk mengenali dan menerimanya dalam tempoh enam bulan ini. Dia tidak mahu mengambil remeh ikatan yang telah diikat antara mereka, walaupun tanpa cinta. Cinta boleh dipupuk. Namun janji yang telah dilafazkan kepada Haji Zainal Abidin kerap menghantuinya.

Aina Yasmin terkedu mendengar ucapan maaf yang lahir dari bibir Ameer Aazad. Tidak pernah terfikir yang lelaki itu akan meminta maaf atas kata-kata hinaan yang begitu menghiris hatinya. Tak akan sekali-kali dia bisa melupakan kata-kata itu! Kata-kata yang sehingga kini bisa membuatnya menangis…

“Apa keputusan Min? Setuju dengan syarat abang?”

“Tolong bagi masa untuk Min fikirkan dulu. Min tak boleh nak bagi keputusannya sekarang…” pinta Aina Yasmin.

“Okey. I will call you in a week’s time. Hari Ahad ni abang akan call Min.”

‘Hah? Seminggu je? Cukup ke?’

“Bagi abang nombor telefon Min?” Ameer Aazad meminta sebelum sempat Aina Yasmin meminta tambahan masa untuk dirinya membuat keputusan.

Bagai lembu yang dicucuk hidung, Aina Yasmin memaklumkan nombor telefon bimbitnya kepada Ameer Aazad. Sejurus kemudian, Ameer Aazad mengucapkan salam dan mematikan talian telefon, membiarkan Aina Yasmin terpinga-pinga sendirian.

Hajah Amirah serta Puan Shima langsung tidak menyedari perubahan yang melanda Aina Yasmin petang itu, yang melarat sehingga ke saat ini. Aina Yasmin buntu. Lusa sudah hendak ke Kuala Lumpur. Sekiranya sesi temu duganya berjaya, dia akan melangkah ke alam pekerjaan tidak lama lagi. Bagaimana pula dengan Ameer Aazad dan syaratnya? Enam bulan…enam bulan…

Kalau hendak difikirkan enam bulan tidaklah lama. Namun, memikirkan dia perlu membawa watak seorang tunang yang sebenar-benarnya kepada Ameer Aazad membuat dia tidak senang duduk. Setakat bermesej atau melalui panggilan telefon tidak mengapa lagi. Tapi kalau diajak dating, bagaimana? ‘Aduh…susahnya macam ni…’

Aina Yasmin hairan dengan perubahan sikap dan pendirian tunangnya itu. Kalau dulu lelaki itu begitu membencinya dan tidak pernah setia dengan ikatan pertunangan mereka, mengapa sekarang lelaki itu berubah? Bukan dia tidak tahu tentang hobi Ameer Aazad yang gemar bertukar-tukar teman wanita dulu. Mastura sering melaporkan berita-berita panas tentang tunangnya dulu. Rupa-rupanya, teman sebilik Mastura di kampus merupakan anak kepada orang gaji Tan Sri Khir Razak, yakni bapa angkat Ameer Aazad. Segala laporan mengenai Ameer Aazad yang diterima daripada teman sebilik Mastura, disalurkan terus kepada Aina Yasmin. Lama Ameer Aazad tinggal bersama Tan Sri Khir Razak, sebelum dia berpindah untuk hidup sendiri. Maka, senang untuk Mastura memaklumkan kegiatan Ameer Aazad kepada teman karibnya itu.

Aina Yasmin pula langsung tidak terkesan dengan berita-berita yang diterima. Setelah hatinya dihunus dengan pisau yang amat tajam oleh lelaki itu, Aina Yasmin sudah tidak menyimpan apa-apa perasaan pun terhadap Ameer Aazad. Apa-apa sisa rasa minat atau ‘crush’ terhadap lelaki itu ketika zaman remajanya sudah lenyap dalam sekelip mata. Lenyap kurang dua puluh empat jam setelah menjadi tunangan Ameer Aazad.

Aina Yasmin bangun daripada perbaringan lalu menekan suis lampu. Terus gelap kamar tidurnya. Dia ingin tidur, kerana hanya ketika tidur dia dapat melupakan sebentar segala masalah duniawi. Dan semoga ketika dia dijemput lena, dia akan menerima petunjuk daripada yang Maha Esa. Itulah yang diharapkan daripada solat istikharah yang dilakukannya tadi. Dia telah berserah bulat-bulat kepada Ilahi, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui…

************

Mata Ameer Aazad terkebil-kebil di hadapan notebooknya. Dia langsung tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerjanya. Semuanya gara-gara teringatkan suara Aina Yasmin yang begitu merdu di telinganya. Mengapa suara itu masih terngiang-ngiang di telinganya? Mengapa debaran di dada lambat untuk kembali ke denyutan normal walaupun sudah lebih sepuluh minit talian telefon diputuskan petang tadi? Apa maksudnya semua itu? Apa sudah jadi dengan dirinya?

‘Ah…takkan dengar suara je boleh angau? Tak logik betul!’

Namun itulah hakikatnya…Tangannya terasa gatal untuk menelefon tunangnya. Sesaat pun jadilah…asalkan dia bisa mendengar suara itu sekali lagi sebelum dia tidur.

‘Gila kau ni, Zad!’ dengus Ameer Aazad.

Ameer Aazad cuba membayangkan wajah tunangnya dulu. Marah dia terhadap ego yang dijulang begitu tinggi dahulu terhadap paras rupanya, sehingga tidak sedikit mahu melayan adik kepada Iqbal dan Syafiq yang langsung tidak menarik perhatiannya. Padahal, rumah arwah Haji Zainal Abidin sudah menjadi rumah keduanya. Dia sedar Aina Yasmin meminatinya dahulu. Renungan daripada gadis itu selalu bisa ditangkapnya. Namun dia tidak pernah ambil peduli, walaupun dia sering menyedari kewujudan gadis itu yang begitu manja dengan abang-abangnya. ‘Tak mainlah dengan budak sekolah!’ lagaknya suatu ketika dahulu.

Tatkala berada di universiti dan takdir menemukan dia dengan Tan Sri Khir Razak, sifat angkuhnya semakin menjadi-jadi. Tan Sri Khir Razaklah yang memberi peluang kepada dirinya untuk menjalani praktikal di syarikatnya dan dari situ timbul rasa percaya dan kasih terhadap Ameer Aazad. Maka Ameer Aazad ditatang bagai minyak yang penuh oleh lelaki itu yang tidak mempunyai zuriat sendiri walaupun pernah berkahwin. Ameer Aazad semakin lupa diri. Cuma rasa hormat dan kasih terhadap arwah Haji Zainal Abidin yang masih tersemat di dada, membuatkan dia tidak membantah dengan cadangan arwah untuk bertunang dengan Aina Yasmin. Itu pun dia bertunang tanpa memaklumkan perkara yang sebenar kepada Tan Sri Khir Razak…sehinggalah dua tahun yang lalu…

Seingat dia, Aina Yasmin kurus orangnya. Lagaknya macam tomboy, suka melepak dengan rakan-rakan lelaki yang sebaya dengannya serta memancing dengan abang-abangnya. Kulitnya gelap kerana dia tahu Aina Yasmin suka sangat melakukan aktiviti-aktiviti lasak di luar rumah. Bagi ibunya, Aina Yasmin cantik di matanya kerana gadis itu seorang yang amat menghormati orang tua, seorang yang rajin serta bijak dalam pelajarannya. Seorang yang tidak pernah alpa dalam mengerjakan solatnya dan sering berbakti kepada ibu dan bapanya. Ibunya menaruh harapan yang besar yang suatu hari nanti, Aina Yasmin akan menjadi menantunya. Ibunya dapat melihat sesuatu yang istimewa dalam diri Aina Yasmin sejak dulu lagi. Ameer Aazad yakin dia akan dapat menemuinya jua, sekiranya diberi peluang oleh gadis itu…

‘Ya Allah, bukalah hatiku untuk menerima dan menyayangi Aina Yasmin sebagaimana dia layak disayangi, ya Allah. Ampunkan aku atas segala kelalaian dan kealpaanku selama ini, ya Allah. Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu yang lemah…Ya Allah, bukalah hati Aina Yasmin untuk memberikanku satu peluang lagi…Itu saja yang kuharapkan dari-Mu, ya Allah…’

Enam bulan bukanlah suatu masa yang lama. Namun dia telah bertekad akan menjadi seorang tunangan yang sempurna buat Aina Yasmin. Cukuplah selama ini dia mengabaikan tunangnya itu, dan langsung tidak mengendahkan hati dan perasaan Aina Yasmin. Kini dia meminta satu peluang lagi. Hati Aina Yasmin perlu ditakluki dan yang paling utama, dia perlu belajar menyerahkan hatinya kepada gadis itu… Sekiranya Aina Yasmin tidak dapat menerimanya setelah segala usaha untuk memenangi hati gadis itu telah dilakukan…maka dia pasrah dan reda…Mungkin tiada jodoh antara mereka…

Dia mencapai telefon bimbitnya. Walaupun dia telah bersetuju untuk memberikan satu minggu untuk gadis itu membuat keputusannya, dia tidak pula berjanji tidak akan menghubungi tunangnya itu selama waktu itu, bukan? Satu idea nakal bermain di minda. Tekadnya untuk memenangi hati gadis itu akan dimulakan segera! Sekarang, kalau boleh! Malam ini!

Cadangnya untuk menghantar mesej kepada Aina Yasmin. Namun dia tidak tahu mesej apa yang perlu dikarangnya. Sudah dua tahun dia berhenti menjadi seorang Romeo dan bertukar menjadi seorang lelaki yang pendiam dan sentiasa serius di mata umum. Dia sudah berkarat! Ayat-ayat jiwang yang dulu sebati dengan jiwanya sudah hilang entah ke mana.

“Selamat mlm, tunang abg! Sweet dreams. Semoga bertemu dgn jwpan yg dicari dlm mimpi…Abg Aazad”

Pesanan dihantar.

Aina Yasmin yang masih belum dapat melelapkan mata terkejut mendapat isyarat masuknya pesanan WhatsApp di telefon bimbitnya pada lewat malam begini. Terbeliak matanya membaca mesej yang diterima. Seolah-olah lelaki itu tahu tentang dirinya yang memang mencari suatu jawapan…

‘Nak jawab ke tak ni? Apa aku nak cakap?’

Setelah sekian lama berdolak-dalik, Aina Yasmin membalas.

“Selamat mlm…”

Ringkas. Hantar.

Tidak lama kemudian, telefon Aina Yasmin berbunyi lagi.

“Abg berdoa, Min akan mimpikan abg dan abg pun akan mimpikan Min…Amin…”

Bergetar jantung Aina Yasmin menerima mesej daripada Ameer Aazad. ‘Dia pun buat solat istikharah ke? Dia pun sedang tunggu petunjuk macam aku?’ Telefon lekas-lekas diletakkan ke bawah bantal. Dia tidak ingin membalas pesanan terakhir daripada Ameeer Aazad itu. Entah mengapa, hatinya diselubungi rasa malu…

Telefon berbunyi sekali lagi. Dia menyeluk bantal.

“Semoga keputusan Min akan menjadi permulaan yang cukup bermakna buat kita berdua…”

Aina Yasmin menggigit bibir.

‘Min, kau kena kuat…kau tak boleh jatuh hati dengan lelaki yang pernah hina dan kutuk kau dulu! Lelaki curang, sombong dan angkuh! Kau kan benci dengan lelaki macam tu? Entah-entah dia hanya nak mainkan kau! Kau dengan dia bagai langit dan bumi! Kau tak layak untuk dia! Kau kena kuat, Min! Kau kena kuat!!’


Entah berapa lama Aina Yasmin berperang dengan perasaannya. Akhirnya, dia tertidur.

6 comments:

  1. x pa Min layan ja abg Aazad yg baru sadar diri tu... kita tgok sejauh mana kuat iman dia...hihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha... lawak arrrr Kak Sue... :D :D

      Delete
  2. Hiii..pantas tindakan Azad..6 bln sekejap je

    ReplyDelete
  3. Hiii..pantas tindakan Azad..6 bln sekejap je

    ReplyDelete
  4. Hiii..pantas tindakan Azad..6 bln sekejap je

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....