Tuesday, 22 September 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 6


“Assalamualaikum…” ucap Aina Yasmin sebaik sahaja kaki kanannya melangkah masuk ke dalam rumah. Tiada siapa di ruang tamu. Sayup-sayup kedengaran salamnya dijawab dari ruang dapur. Aina Yasmin menapak ke ruang dapur. Aroma Nescafe menyambut langkah Aina Yasmin. Kelihatan Iqbal serta Syafiq sedang duduk di meja bersegi empat yang menempatkan enam kerusi di dalam dapur sambil menghirup Nescafe panas.

“Baru balik, dik?” Syafiq menyoal. “Lamanya bertenggek kat rumah Mas tu! Along dengan angah naik berjanggut tunggu adik kat rumah ni…”

Muka kelat Syafiq dijeling. Aina Yasmin menarik kerusi di meja makan dan melabuhkan punggungnya di sebelah Iqbal. Muk Iqbal dicapai dan dihirup perlahan. Ahhh…nyaman… Iqbal menggelengkan kepala melihat aksi adiknya. Syafiq yang duduk di hadapan Iqbal jelas dengan riak tidak puas hati.

“Sibuk je angah ni! Suka hati adiklah! Mas tu kan nak balik KL kejap lagi. Tu yang adik pergi ziarah dia kejap. Yang along dengan angah tunggu adik ni kenapa?”

“Amboi! Kejap adik kata? Ingat si Mas tu sorang je ke nak balik KL? Along dengan angah pun nak balik KL jugak tau. Esok kita orang kerja…” ngomel Syafiq lagi.

Aina Yasmin tersengih. “Hehehesorrylah, ek? Adik terlupa pasal along dengan angah…”

Syafiq menggelengkan kepala. “Tulah…kalau bab kawan, bukan main lagi dia, dengan abang sendiri dia boleh buat tak kisah je…”

Aina Yasmin memaut lengan abang sulungnya. “Sorrylah…sorrylah…janganlah marah. Adik betul-betul lupa yang along dengan angah nak balik KL hari ni…” Aina Yasmin mengerdipkan matanya beberapa kali. Buat muka kesian. Dia tahu kelemahan abang-abangnya.

Hmmm…” balas Iqbal bersahaja. Dia tidak mahu mempamerkan senyuman yang begitu payah untuk disembunyikan. Aina Yasmin masih manja seperti dulu dan bijak memujuk mereka. Bagaimana hendak marah dengan adik manjanya ini?

“Alah along ni…tadi beria-ia membebel. Sekarang kena pujuk sikit dah cair…” Syafiq tidak puas hati. Padahal dia sendiri sudah hilang amarahnya melihat Aina Yasmin mengerdipkan matanya sebentar tadi. Comel sungguh! Cuma masih mahu menunjukkan kemachoannya… Aina Yasmin menjelirkan lidah kepada Syafiq. Sama seperti dulu! Terburai ketawa Syafiq melihat gelagat nakal adik tunggalnya itu. Tidak pernah berubah!

“Adik lama sangat kat rumah Mas. Sampaikan Aazad pun tak boleh nak tunggu adik balik tadi sebab dia kena rush balik KL. Ada kerja katanya.”

Errrkkk???

Laju Aina Yasmin menoleh memandang Iqbal. Wajahnya terus berubah serius. “Apa along cakap? Abang Aazad datang rumah kita tadi?” Terbeliak mata Aina Yasmin. Sungguh dia tidak percaya!

“Yalah! Tunggu tunang terchenta tak sampai-sampai!!” usik Syafiq.

Terus masam mencuka wajah Aina Yasmin mendengar kata-kata sindiran abangnya itu. ‘Chentalah sangaaat! Uwek!’

Syafiq yang menyedari perubahan riak wajah Aina Yasmin terus tergelak besar.

“Adik,” panggil Iqbal. Aina Yasmin menoleh kembali. “Adik tak pernah jelaskan pada along kenapa adik nak putus tunang dengan Aazad. Walaupun kita orang semua takde bantahan, along rasa adik perlu jelaskan supaya kita orang semua faham perasaan adik!”

“Betul tu dik,” sampuk Hajah Amirah yang tiba-tiba muncul masuk ke ruang dapur. Dia mengambil tempat di sebelah Syafiq, bertentangan dengan Aina Yasmin. “Mak pun nak tahu sebab apa adik nak putuskan tunang dengan Aazad. Senang hubungan mak dengan Auntie Shima nanti. Lagipun tadi Aazad datang nak bincang dengan adik. Lama dia tunggu. Adik pulak tak bawak handphone tadi. Susah mak nak panggil adik balik. Sudahnya dia balik je…”

Aina Yasmin tunduk. Kini sudah tiba masanya untuk berterus-terang dengan ahli keluarganya. Tidak boleh berdalih lagi.

“Adik jangan salah faham. Bukannya kita orang nak larang atau nak marah adik. Kita orang cuma nak tahu je…” tambah Syafiq.

Aina Yasmin melipat tangan di atas meja dan merenung ke wajah ibunya. “Mak, mak pun tahu yang adik setuju bertunang dengan Abang Aazad dulu pun sebab arwah abah yang paksa. Kalau tak, adik tak dibenarkan sambung belajar ke US…”

Hajah Amirah mengangguk tanda setuju.

“Sebenarnya, Abang Aazad pun terpaksa, mak. Dia tak mahu pun bertunang dengan adik. Siapalah adik ni mak…budak mentah sangat masa tu…Adik tahu Abang Aazad mungkin rasa terhutang budi dengan arwah abah. Sebab tu dia setuju. Tapi adik yakin yang Abang Aazad tak rela pun nak bertunang dengan adik! Dia tak suka adik, mak…”

Aina Yasmin terkedu. Dia sudah terlepas kata. Dia tidak mahu ahli keluarganya tahu akan kata-kata hinaan yang pernah dilemparkan kepadanya suatu waktu dahulu. Lagipun, bukankah Mastura sering melaporkan tentang Ameer Aazad yang sering bertukar-tukar teman wanita semasa Aina Yasmin berada di luar negara dahulu? Sudah tentu lelaki itu sudah ada pilihan hatinya sendiri!

“Macam mana adik tahu dia tak suka adik?” soal Syafiq. Dia pelik.

Errerrr… adik teka je sebab tak pernah sekali pun dia cuba contact adik masa adik belajar kat US… Kalau dia suka, mesti dari dulu lagi dia contact adik…” Aina Yasmin mencipta alasan bagi menutup keterlanjuran kata-katanya.

Hmmm…” balas Syafiq. Entah percaya dengan alasan adiknya, entah tidak.

“Kalau macam tu, eloklah putus…tak payah memaksa diri. Along rasa adik berhak tentukan masa depan adik sendiri. Along yakin adik akan dapat seorang lelaki yang baik untuk jaga adik. Along faham kenapa arwah abah paksa adik bertunang dulu tapi along rasa arwah abah silap dalam membandingkan adik dengan Munah. Cuma arwah abah takut nak lepaskan adik tanpa sebarang ikatan yang abah rasa boleh selamatkan adik.”

Iqbal memandang ke wajah ibunya. Tidak dapat meneka apa yang terlintas di fikiran ibunya itu.

“Mak, along tak nak paksa adik teruskan pertunangan dia dengan Aazad kalau dia tak nak. Tapi along rasa macam Aazad nak teruskan jugak. Dia ada cakap yang dia nak tebus kesalahan dia pada adik. Mak rasa macam mana?”

Tiga pasang mata kini bertumpu ke wajah Hajah Amirah. Hajah Amirah mengeluh.

“Arwah abah memang ada sebab sendiri kenapa dia nak adik bertunang dengan Aazad dulu. Arwah sayang betul dengan Aazad! Lepas adik nak pergi US dulu, arwah cakap pada mak yang dia yakin Aazad seorang saja yang boleh jaga adik seperti mana yang dia harapkan. Dia tak nampak lelaki lain lagi dah…Dia percaya betul dengan Aazad…walaupun masa tu terus-terangnya, mak tak nampak apa yang arwah abah nampak pada Aazad…”

Hajah Amirah kini merenung ke arah Aina Yasmin. Dia serba salah. “Selama mak hidup dengan arwah abah, banyak keputusan yang arwah ambik yang mak pada mulanya tak setuju. Tapi, ternyata keputusan arwah selalunya tepat…dan mak selalunya akan kagum dengan kebolehan arwah abah untuk lihat jauh ke hadapan.”

Mata Aina Yasmin kini mula berkaca. Mengenangkan arwah Haji Zainal Abidin yang sudah tiada.

“Mak pun tak nak paksa adik buat perkara yang adik tak rela. Mak tak nak menyesal kalau adik tak bahagia nanti. Tapi mak nak adik buat keputusan yang tepat. Mak nak adik faham sendiri kenapa arwah abah buat sesuatu perkara tu. Percayalah dik. Arwah abah tak pernah terburu-buru dalam membuat keputusan. Abah selalu akan bersolat dan meminta petunjuk daripada Allah. Tentunya abah ada nampak sesuatu pada Aazad yang kita semua tak nampak. Sekarang mak serahkan bulat-bulat pada adik untuk membuat keputusan. Adik dah besar. Adik tahu nak bezakan yang mana baik, yang mana buruk. Mak terima je apa pun keputusan adik…”

Ketiga-tiga anak Hajah Amirah diam tidak berkutik. Iqbal melihat wajah sedih adik perempuannya yang sudah mula mengalirkan air mata. Dia tahu adiknya itu kini diselubungi rasa keliru dan serba salah. Keliru dengan apa yang baru diperdengarkan oleh Hajah Amirah tadi. Dia menggenggam tangan Aina Yasmin.

“Adik, adik fikirlah betul-betul. Bincanglah secara terbuka dengan Aazad dulu. Lepas tu baru buat keputusan…” Iqbal membuat saranan. Syafiq dan Hajah Amirah sama-sama mengangguk tanda setuju.

Lambat-lambat Aina Yasmin menganggukkan kepala. Dia akur. Dia tahu dia harus berbincang terlebih dahulu dengan tunangnya itu. Namun, kata-kata Hajah Amirah tentang firasat arwah bapanya membuat dia rasa tidak sedap hati. Apakah ibunya cuba menyampaikan pesanan daripada arwah bapanya? Atau sekadar menjelaskan pendirian arwah dahulu? Berdosakah dia sekiranya dia tidak meneruskan harapan arwah bapanya?

Sesungguhnya dia tidak mahu mengecewakan harapan arwah Haji Zainal Abidin. Namun, wajarkah dia mengorbankan segala perasaan dan keinginannya untuk mengecap kebahagiaan? Ah…dia benar-benar buntu…


4 comments:

  1. berbincanglah Ain dgn Aazad dari hati ke hati... cari jalan terbaik bagi kedua-dua pihak...

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....