Tuesday, 15 September 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 5


Sibuknya keadaan di dapur rumah Pak Lang Yusof dan Mak Lang Rafidah pagi itu. Macam tongkang pecah sahaja rupanya. Kecoh dengan suara makcik-makcik yang mengarah itu dan ini. Hajah Amirah pun tumpang sekaki. Seronok dia sekali-sekala berkumpul ramai-ramai begini.

Lauk-pauk semua dimasak di luar rumah secara bergotong-royong oleh kaum lelaki yang sememangnya mempunyai tenaga yang lebih kuat untuk mengacau dan menggaul lauk di dalam kuali kawah. Kaum Hawa kini sibuk menyusun pinggan mangkuk serta mencedok lauk yang sudah siap dimasak ke dalam mangkuk dan piring hidangan.

Aina Yasmin cuba membantu apa yang perlu tetapi dia betul-betul rimas dengan usikan serta pertanyaan demi pertanyaan tentang dirinya daripada sanak saudaranya.

“Lepas ni kaulah pulak berkenduri, Mirah. Nanti kita orang pulak sibuk masak kat rumah kau…” usik Mak Lang Rafidah. Kakak kepada arwah bapanya menjeling ke arah Aina Yasmin yang sibuk memotong buah tembikai. Aina Yasmin memekakkan telinga. Riak wajahnya kekal bersahaja.

Maimunah yang turut membantu Aina Yasmin diam membisu. Kesian Maimunah. Adik dah kahwin, tapi dia masih begitu. Tidak berteman, walaupun umurnya sudah menjangkau lewat dua puluhan. Kata orang-orang kampung, siapa nak kahwin dengan perempuan macam Maimunah? Lelaki mana yang sanggup mengambil bekas orang lain? Malahan anak yang dilahirkan Maimunah dulu pun sudah diberikan kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat. Cukuplah Mak Lang Rafidah dan Pak Lang Yusof menanggung malu akibat perbuatan Maimunah dahulu. Syukur mereka masih menerima Maimunah dan tidak membuangnya jauh daripada keluarga.

“Kak Munah, bak sini tembikai yang kat belakang Kak Munah tu…Min dah habis potong yang ni…”



Maimunah meletakkan pisau ke atas dulang dan menghulurkan sebiji tembikai kepada Aina Yasmin. Aina Yasmin menghulurkan senyuman tanda terima kasih. Sempat ditatap wajah Maimunah yang suram. Dulu Maimunah menjadi kegilaan para pemuda di kampung mereka ini. Begitu cantik dan menawan. Tetapi sikapnya yang senang mempercayai pujuk rayu kaum lelaki telah menjeratnya. Pengajiannya belum sempat habis, dia sudah mengandung. Biasiswanya telah ditarik balik dengan serta-merta dan dia dihantar pulang ke Malaysia tanpa segulung ijazah. Sayang sekali! Pak Lang Yusof dan Mak Lang Rafidah begitu malu dicerca orang kampung. Akhirnya, berkat kesabaran Pak Lang Yusof dan Mak Lang Rafidah berhadapan dengan orang kampung serta sikap mereka yang mendiamkan diri membuatkan orang kampung berhenti menghina dan mengutuk. Sedikit demi sedikit, mereka mula diterima kembali oleh masyarakat kampung. Mungkin mereka sedar yang tiada siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan dalam dunia ini.

Entah apa yang dilakukan Maimunah sekarang ini, Aina Yasmin tidak tahu. Bekerjakah dia atau duduk memerap di rumah sahaja? Yang pasti, rasa simpati begitu menebal terhadap Maimunah, walaupun Maimunahlah puncanya mengapa Aina Yasmin terpaksa bertunang dengan Ameer Aazad.

“Insya-Allah, Alang…tengoklah bila nanti. Min tu baru je balik. Kerja pun belum lagi. Biarlah dulu…” jawapan selamat oleh Hajah Amirah kepada kakak iparnya.

“Tak elok tunang lama-lama Mirah. Nak tunggu apa lagi? Kahwin jelah sementara ada orang nak…” Mak Lang Rafidah berkata lagi.

Aina Yasmin mengetap bibir menahan geram. ‘Sibuk je! Suka hati akulah nak kahwin bila pun. Ni yang menyampah bila berkumpul masa kenduri-kendara ni!! Kahwin, kahwin, kahwin! Macam takde topik lain!’

Hajah Amirah memilih untuk tidak memberi sebarang komen. Mujur Pak Lang Yusof masuk ke dalam dapur memberitahu khemah sudah siap ditegakkan. Kerusi dan meja di luar juga sudah siap disusun.

“Assalamualaikum…” ucap salam dari muka pintu dapur kedengaran. Semua yang berada di dalam dapur menjawab salam yang diberikan. “Maaflah terlambat sikit. Nasib baik jalan okey. Setengah jam dah sampai…”

“Eh, Shima! Meh masuk meh!” Mak Lang Rafidah menjemput mesra. Puan Shima mengambil tempat di sebelah Hajah Amirah. Mereka duduk bersimpuh di atas tikar yang dibentang di atas lantai dapur.

Sebagai tanda hormat, Aina Yasmin bangun dari tempatnya, membasuh tangannya yang melekit di sinki dan menghampiri Puan Shima. Dia duduk menghadap Puan Shima. Tangan dihulurkan. “Apa khabar, Auntie?”

Puan Shima diam seribu bahasa. Dahinya dikerutkan. Walaupun tangan secara automatik dihulurkan bagi menyambut huluran tangan gadis bertudung di hadapannya, dia tidak kenal akan gadis itu, walaupun suara itu seolah-olah pernah didengarinya. ‘Anak siapa pulak ni?’

Hajah Amirah memandang lucu wajah sepupunya itu. Disondolnya lengan Puan Shima dengan sikunya. “Kau tak kenal ke siapa depan kau ni, Shima?”

Wajah Aina Yasmin mula merona merah. Puan Shima masih terlopong memandangnya, seolah-olah tidak percaya. “Min? Min ke ni??” Akhirnya dia bersuara. Sungguh dia terpaku melihat kejelitaan anak kepada sepupunya ini. Sangat lain di matanya. ‘Mana pergi Min yang aku ingat dulu?’

Aina Yasmin mengangguk.

“Ya Allah! Auntie ingat bidadari manalah tadi…” pipi Aina Yasmin diusap lembut. Kemudian ditariknya tangan Aina Yasmin agar gadis itu merapatinya. Sebuah kucupan mesra hinggap di dahi Aina Yasmin. Aina Yasmin terkedu. “Cantiknya anak kau, Mirah…Aku macam tak percaya ni Min…” Puan Shima masih menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Hesy, kau dah lupa ke macam mana rupa aku masa muda-muda dulu? Kau tak ingat ke masalah keturunan aku dulu?”

“Hah? Apa? Ya tak ya la... Sekarang baru aku ingat balik kau pun macam ni jugak dulu…Ya Allah, Mirah… tak sangka betul…” Sungguh ajaib kuasa Allah. Daripada seorang gadis yang biasa-biasa dan sering digelar perempuan tomboy, kini telah berubah menjadi seorang gadis yang begitu jelita. Memang iras Aina Yasmin yang dulu masih ada. Cuma rambut pendeknya dulu, kini sudah dibaluti tudung, kulit wajahnya yang dulu kusam dan kasar, kini sudah berubah cerah dan halus. Dulu wajahnya gelap akibat kesan panahan panas matahari. Kini begitu cerah tanpa sebarang kesan terbakar. Kulit Aina Yasmin kini kelihatan cerah kekuningan, kembali kepada warna asli. Sama seperti Hajah Amirah.

Di dalam hati kecil Puan Shima, dia berdoa agar Aina Yasmin tidak meneruskan keinginannya untuk memutuskan pertunangan dengan Ameer Aazad. Sejak dulu lagi, dia amat menyayangi Aina Yasmin. Walaupun rupanya tidak seberapa, dia tahu hati dan budi gadis itu. Sangat menghormati dan menyayangi dirinya. Seorang yang pandai, rajin dan tidak pernah membantah kata ayah dan ibunya. Terkadang manja ketika dilayan abang-abangnya. Sebab itu ketika arwah Haji Zainal Abidin mengusulkan cadangan untuk menyatukan Aina Yasmin dengan Ameer Aazad, dia terus sahaja bersetuju. Lebih baik Aina Yasmin yang sudah dikenalinya luar dan dalam menjadi menantunya, daripada gadis yang entah siapa-siapa.

Namun dia tidak juga membantah apabila Hajah Amirah memaklumkan kepada dirinya tentang keputusan yang telah dibuat Aina Yasmin baru-baru ini. Dia reda. Kalau tiada jodoh antara mereka, siapalah dia untuk memaksa. Cuma harapannya tetap sama. Jadi dia tidak akan putus-putus berdoa agar Aina Yasmin akan disatukan dengan anaknya Ameer Aazad suatu hari nanti.

“Min sihat sayang?” Tangannya menggenggam erat tangan Aina Yasmin.

“Sihat, Auntie.” Aina Yasmin terharu dengan tindakan Puan Shima terhadap dirinya. Masih sama seperti dahulu. Masih menyayangi dirinya dan menerima dirinya seadanya. Teringat lagi bagaimana Puan Shima telah memeluk dan mencium dahinya sebaik sahaja cincin pertunangan disarungkan ke jarinya bertahun-tahun dahulu, lalu membisik ke telinganya, “Auntie happy sangat Min akan jadi menantu Auntie. Auntie sayang sangat dengan Min!”

‘Ameer Aazad ada di sini ke?’ soal Aina Yasmin di dalam hati. Dia segan untuk bertanya Puan Shima, namun dia berdoa agar lelaki itu tidak menghadiri majlis hari ni. Biarlah dia kekal berada di Kuala Lumpur.

“Mak Min kata Min akan kerja kat KL, ya? Sebelum pergi KL, singgahlah rumah Auntie dulu, ya? Bermalamlah semalam dua…Auntie tak puas lagi nak berbual dengan Min…Ajak mak sekali…”

Aina Yasmin tersenyum sambil mengangguk tanda setuju. Dia tahu tentang Puan Shima yang tinggal berseorangan. Ameer Aazad tinggal di Kuala Lumpur. Jadi tidak mungkin lelaki itu akan berada di rumah Puan Shima. “Insya-Allah, Auntie. Nanti Min pakat dengan mak, ya?”

Riang hati Puan Shima dengan persetujuan Aina Yasmin. Dia ingin lebih mengenali anak kepada sepupunya itu.

“Auntie, Min sambung kerja, ya? Ada banyak lagi buah tembikai nak dipotong tu. Kesian Kak Munah buat sorang-sorang…” Aina Yasmin meminta diri. Melihat anggukan kepala Puan Shima, Aina Yasmin terus berlalu dan kembali ke tempatnya tadi.

“Munah, Min lepas dah habis potong buah tembikai tu, kau susun dalam piring ya? Lepas tu hidang kat depan…” Mak Lang Rafidah mengarah.

Riak wajah Maimunah terus berubah dan ditangkap oleh Aina Yasmin. Mereka berbalas pandang. Aina Yasmin menjongket kening tanda menanyakan ‘kenapa?’ Maimunah hanya menggelengkan kepalanya. “Kak Munah tak nak keluar…” Maimunah berbisik perlahan kepada Aina Yasmin. Aina Yasmin memahami tanpa perlu bertanya lagi. Tentu Maimunah masih malu untuk menonjolkan dirinya kepada masyarakat kampung walaupun dosa yang dilakukan sudah bertahun-tahun lamanya, ketika Aina Yasmin masih bersekolah menengah lagi.

“Takpe Kak Munah. Min boleh buat seorang…Kak Munah potong dan susun je. Nanti Min hidang okey?”

Maimunah mengangguk laju. “Terima kasih, Min…” Maimunah tunduk dan kembali memotong buah tembikai. Segan dia dengan Aina Yasmin yang masih sudi berbicara dengannya. Sepupu-sepupu yang lain lebih gemar menjauhkan diri daripadanya. Sama ada mereka segan dan tidak tahu bagaimana untuk berbual dengannya, atau mereka berasa jijik dengannya.

“Kak Munah kerja ke sekarang?” Aina Yasmin mengajak Maimunah berbual. Takkan nak senyap je…

“Tak. Kak Munah duduk rumah je…” Dia masih lagi tunduk.

“Kak Munah tak nak kerja ke? Min nak cari kerja kat KL tak lama lagi…”

“Entahlah…rasa macam nak…tapi Kak Munah tak berani…” Memang dia tidak berani. Sejak apa yang berlaku ke atas dirinya, dia merasa amat takut untuk bergaul dengan dunia luar. Dia malu mahu mencari pekerjaan di sekitar kampung ini kerana tahu masyarakat memandang serong kepada dirinya. Kalau mencari di kawasan yang jauh sikit seperti Ipoh ataupun Kuala Lumpur, dia takut dia tidak boleh hidup bersendirian tanpa orang tuanya kerana dia tahu dia perempuan yang lemah. Dia perlukan sokongan ayah dan ibunya. Sesungguhnya dia tidak mahu mudah terpedaya pada janji-janji manis seorang lelaki lagi.

“Kalau Kak Munah dah sedia, Kak Munah cakaplah dengan Min, ya? Manalah tahu Min boleh tolong...” Ikhlas Aina Yasmin menawarkan pertolongan. Baginya, Maimunah jelas telah dihukum dan menanggung beban dosa daripada kesalahan yang telah dilakukan. Sekiranya Maimunah telah menyedari kesilapannya dan memohon keampunan daripada Allah, siapalah dia untuk terus menghukum sepupunya itu. Dia masih Aina Yasmin yang sama dan tidak mungkin akan menyisihkan Maimunah seperti sanak saudara yang lain, hanya kerana dosa yang pernah dilakukannya dulu.

Maimunah sekadar mengangguk. Bukan dia tidak pernah berfikir untuk berdikari. Dia ingin bekerja dan mencari duit sendiri, tetapi perasaan takut dan rasa kerdil dalam dirinya terlalu menguasai dirinya. Dia mengasihani orang tuanya yang masih menanggung perbelanjaan dirinya di usia dewasa begini. Entahlah…dia benar-benar buntu.

Tangan Aina Yasmin dan Maimunah masih ligat memotong buah tembikai. Setelah semuanya selesai dipotong, hirisan-hirisan buah disusun elok di atas piring. Piring yang telah siap diisi, disusun di atas dulang besar. Aina Yasmin berkira-kira untuk meminta pertolongan along atau angahnya. ‘Mana larat angkat dulang besar-besar ni sorang-sorang? Banyak pulak tu…’

Aina Yasmin menjenguk ke luar dari pintu dapur rumah ke bahagian belakang laman. Matanya melilau mencari seorang daripada abang-abangnya. Aksi Aina Yasmin menangkap perhatian jejaka-jejaka yang berkumpul di bawah khemah yang dikhaskan untuk memasak lauk-pauk kenduri tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Lega melihat kelibat Pak Lang Yusof yang tiba-tiba berjalan menghampiri tempat berdirinya. Malu dia diperhatikan berpasang-pasang mata nakal sebegitu. “Pak lang nampak along atau angah tak?” soal Aina Yasmin perlahan dengan sekuntum senyuman.

“Ada kat depan tadi rasanya. Tengah susun gelas atas meja…” balas Pak Lang Yusof lalu terus masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur, meninggalkan Aina Yasmin terpinga-pinga keseorangan.

Aina Yasmin mengayun langkah menuju ke hadapan laman rumah mencari abang-abangnya. Langsung tidak perasankan sepasang mata hazel yang asyik mengekor setiap gerak-gerinya sejak dia melangkah keluar dari pintu dapur tadi.

Ameer Aazad terpegun memandang seraut wajah ayu gadis bertudung pink tadi. Baju kurung sutera berwarna pink dan berbunga kuning cair menyerlahkan lagi seri pada gadis itu. Jantungnya berdegup laju melihat gadis itu tersenyum tadi. Dia hairan. Setelah lama perasaannya terhadap seorang perempuan mati, kini seakan terjaga kembali. Dia sendiri tidak mengerti apa yang telah terjadi kepada dirinya. Siapakah gadis itu?

Dari tempat duduknya, dia melihat gadis itu menuturkan kata kepada dua pupunya Syafiq. Kemudian dia lihat gadis itu mencebik tatkala melihat Syafiq menggelengkan kepalanya. Comelnya! Gadis itu ingin berlalu dari situ namun langkah kakinya terhenti apabila mendengar namanya dipanggil seorang lelaki lain. Ah, dia tidak mendengar pula nama yang dipanggil lelaki tadi. Jauh sangat. Lelaki itu rasanya adik kepada pengantin perempuan, Munirah. Kalau tak silap, nama lelaki itu Muaz.

Dilihat pula senyuman kembali terukir di wajah gadis itu. Mereka berjalan beriringan menuju ke bahagian belakang rumah. Ameer Aazad sekali lagi berpeluang melihat wajah gadis itu dari hadapan. Untuk seketika, gadis itu masuk ke dalam rumah seperti ingin mengambil sesuatu. Tidak lama kemudian, dia keluar dengan membawa sebuah dulang besar berisi hirisan buah tembikai lalu dihulurkan kepada Muaz. Muaz menyambutnya dari tangan gadis itu dan berlalu. Gadis itu masuk ke dalam kembali. Mungkin untuk mengangkat dulang lain. Gadis itu muncul semula.

‘Hesy! Nampak berat je dulang tu. Larat ke dia?’ fikir Ameer Aazad. Niat hendak membantu terbantut apabila melihat dua orang pemuda yang duduk tidak jauh dari tempat duduknya terlebih dahulu bangun untuk menghulurkan bantuan. Nampak sangat mereka berdua turut memerhatikan setiap gerak-geri gadis itu. Sama sepertinya. Laju sahaja seorang daripada mereka menyambut dulang dari tangan gadis itu, sebelum sempat gadis itu mengatur langkah ke hadapan rumah. Gadis itu pada mulanya terkejut dengan kehadiran pemuda itu di hadapannya, namun pantas tersenyum tatkala pemuda itu menuturkan sesuatu. Yang seorang lagi menunggu di luar pintu untuk menunggu gadis itu menghulurkan dulang yang lain pula. Muaz kembali ke muka pintu lalu menghulurkan dulang yang telah dikosongkan dan gadis itu hilang sekali lagi. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir gadis itu kepada Muaz dan pemuda-pemuda yang telah sudi membantunya.

Ameer Aazad tidak senang duduk. Kenapa dia rasa resah gelisah begini? Melihatkan gadis itu membuatkan fikirannya jadi tidak menentu. Baru sahaja malam tadi dia sudah membulatkan tekad terhadap tunangnya. Dia meraup wajahnya. Cuba memfokuskan fikirannya kembali kepada Aina Yasmin, dan bukan gadis tadi. Ameer Aazad yang gemar menukar teman wanita pada suatu ketika dahulu sudah tidak wujud lagi. Dia telah menjadi seorang lelaki yang baharu. Tapi bukanlah baharu sangat pun. Sejak dua tahun lalu je. Eh, yang mana satu Aina Yasmin? Kelibat gadis tomboy berambut pendek dicari. Sudah lebih satu jam dia berada di sini. Namun tiada seorang pun gadis-gadis yang lalu-lalang di hadapannya, menyerupai tunangnya itu.

Para jemputan sudah mula hadir. Sanak-saudara semakin sibuk melayan tetamu dan pekerja-pekerja yang tidak bertauliah dan tidak bergaji pula sibuk ke hulu dan ke hilir menghidang makanan dan mengemas meja. Ameer Aazad juga begitu. Dia ringan tulang membantu mengangkat pinggan mangkuk yang telah digunakan ke belakang rumah untuk dibersihkan.

“Zad, tolong kemas meja kat depan tu. Aku nak ganti dengan hidangan lauk baru,” Iqbal menegur. Bahu Ameer Aazad ditepuk lembut.

Ameer Aazad memandang ke arah meja yang ditunjukkan Iqbal. Kelihatan gadis bertudung pink tadi sedang mengangkat pinggan yang telah digunakan dan menyusunnya ke dalam besen besar yang dipegang dengan sebelah tangan dan ditekan ke pinggang agar besen tadi dapat diimbangi. Gadis itu dihampiri. Besen semakin sarat dengan pinggan dan gelas-gelas kotor. “Meh abang tolong. Berat tu!”

Aina Yasmin terkaku. Tanpa menoleh pun dia sudah kenal akan tuan punya kepada suara itu. Masakan dia boleh lupa akan suara itu? Dengan perlahan dia berpaling dan kemudian mendongak. Wajah lelaki berjambang di sebelahnya diamati. ‘Ya Allah! Abang Aazad ke ni??’ Suaranya mati. Yang ada cuma persoalan di dalam hati yang tidak mampu diluahkan.

Pandangan mereka bertaut. Debaran kembali terasa di dada Ameer Aazad. ‘Cantiknya dia! Lebih cantik bila dah dekat macam ni…’ Kulit yang licin lagi halus, hidung yang sedikit mancung elok terletak di wajahnya dan bibir itu…oh bibir itu!!! Bibir itu bisa mengundang angan-angan yang nakal. Ameer Aazad berdehem kecil. Cuba melayangkan fikirannya yang entah apa-apa tadi.

Besen di tangan Aina Yasmin ditarik lembut. Aina Yasmin tersentak lalu terus tersedar. Dilarikan pandangannya dari mata Ameer Aazad. Dibiarkan sahaja Ameer Aazad mengambil besen dari tangannya dan terus berlalu. Sepatah perkataan pun tidak mampu lahir dari bibirnya. Dia masih tidak percaya dengan apa yang menyapa pandangannya kini. Perubahan yang tidak disangka-sangka. Wajah yang dulu segak dan tampan kini terlindung di balik jambang yang tumbuh di wajah lelaki itu. Walaupun jambang nampak kemas dan dijaga rapi, Aina Yasmin teringin sangat untuk melihat wajah tunangnya yang dulu.

Sambil berjalan menuju ke belakang rumah, Ameer Aazad hairan dengan kelancangan mulutnya yang membahasakan dirinya ‘abang’ sebentar tadi. ‘Macam gatal sangat bunyinya! Ah! Lantaklah…memang dia nampak muda sangat lagi…panggil abang pun tak salah…entah-entah saudara jugak…’

Berjam-jam lamanya Aina Yasmin melakukan kerja-kerja di kenduri sepupunya itu. Akhirnya, majlis tamat juga. Kini tinggal kerja-kerja pembersihan dan sesi kemas-mengemas. Sakit di kaki dan di pinggang terasa mencucuk-cucuk. ‘Tulah, manja sangat. Buat kerja berat sikit dah sakit sini dan sana…’ Aina Yasmin mengomel sendirian. Entah ke mana perginya semua kaum kerabatnya. Dia seorang sahaja berada di dapur ketika ini. Dia mencapai pinggan kosong dan mengisi nasi serta saki-baki lauk kenduri tadi. Perut bukan setakat berkeroncong sahaja sekarang ini, tapi dah bergendang rentak lagu Bhangra. Dia duduk bersandar di dinding di balik tingkap dan mula menyuap nasi.

Pada mulanya, dia tidak menghiraukan suara-suara dari laman luar yang boleh ditangkap dari tingkap dapur di atas kepalanya. Dia asyik menikmati nasi minyak dan lauk ayam masak merah serta rendang daging tok di atas pinggan. Mungkin kaum lelaki sedang sibuk membasuh pinggan mangkuk di luar sana memandangkan bunyi kaca berlaga sering kedengaran. Kemudian suasana bertukar menjadi sepi walaupun bunyi pancuran air yang keluar daripada hos getah masih mampu didengarinya. Tiada lagi suara-suara dari luar sana.

Tidak lama kemudian, dia terdengar suara abang sulungnya dari luar. “Zad, ni ada sikit lagi ni nak kena basuh. Meh, aku tolong kau!”

Aina Yasmin kaku seketika. ‘Abang Aazad ada kat luar ke? Tapi tak dengar pun suara dia tadi? Yang dengar suara entah siapa-siapa. Agaknya Abang Aazad basuh pinggan tapi tak campur berbual dengan orang lain kut…’ Aina Yasmin membuat andaian sendiri. Nasi di atas pinggan dikuis-kuis. Dia ingin mendengar perbualan Iqbal bersama tunangnya.

Ameer Aazad diam tidak membalas. Cuma anggukan diberikan kepada Iqbal yang sudah duduk di hadapannya. Tangan sudah direndam ke dalam besen berisi sabun.

“Kau apa khabar Zad? Susah betul nak jumpa kau sekarang ni…”

“Aku okey. Sibuk kerja tempat baru…” ringkas dan perlahan Ameer Aazad membalas. Entah mengapa suara dalam lelaki itu yang menyapa halwa telinga Aina Yasmin menggetarkan jiwanya.

Iqbal mengilas pandang dua pupunya itu. Susah benar hendak mendengar suara dan gelak ketawa dari bibir Ameer Aazad seperti dulu. Padahal, suatu ketika dahulu, mereka seperti adik beradik. Makan sepinggan, tidur sebantal…

“Min sihat, Bal?” tiba-tiba Ameer Aazad bertanya. Aina Yasmin diam tidak berkutik. Debaran di dada semakin laju. ‘Eh, dia tengah tanya pasal aku ke?’

“Sihat je, Zad. Kau belum jumpa dia ke?” soal Iqbal kehairanan. Rasa macam nampak Ameer Aazad menegur adiknya tadi.

“Belum…” jawab Ameer Aazad perlahan. “Aku nak jumpa dia kalau kau izinkan…” pinta Ameer Aazad lagi.

‘Biar betul dia tak jumpa Min lagi! Maknanya dia tak kenal perempuan yang dia cakap tadi tu Min?’ fikir Iqbal sendirian.

“Kenapa kau nak jumpa dia?” uji Iqbal. Tangan masih ligat mencuci pinggan di dalam tangan sebelum dihulurkan kepada Ameer Aazad untuk dibilas.

Ameer Aazad mengeluh. “Aku ni dah banyak buat salah. Aku betul-betul tunang yang tak guna. Padahal macam-macam aku pernah janji dengan arwah abah dulu. Aku nak tebus balik kesalahan aku pada adik kau tu…”

Iqbal dan Aina Yasmin sama-sama tergamam. Iqbal memandang Ameer Aazad dengan riak tidak percaya manakala Aina Yasmin pula mula menggigit bibir.

“Apa kau cakap ni? Dengar macam kau nak teruskan pertunangan kau dengan adik aku tu je? Tapi Min kata kau dah setuju nak putuskan, walaupun kau ada syarat kau sendiri…”

“Hmmm…aku memang letak syarat tapi biarlah aku bincang dengan Min dulu. Pasal pertunangan tu, aku serahkan saja pada Tuhan. Kalau Min tu memang betul jodoh aku, aku terima…”

Agaknya dah berdarah bibir Aina Yasmin dikerjakannya. Dia langsung tidak menghiraukan kesakitan yang dirasakan pada ulas bibir yang digigitnya. Sungguh dia tidak percaya dengan apa yang dia dengar ketika ini. Betul ke Ameer Aazad sanggup terima dia sebagai isteri? Kenapa Ameer Aazad berubah?

“Kau tak kisah ke kahwin dengan adik aku tu? Aku tahu apa pandangan kau dulu pada dia. Aku tak hairan. Budak-budak kat kampung pun punya pandangan yang sama pasal Min dulu. Tomboy, lasak, tak rupa perempuan, suka memancing, suka panjat pokok dan berkawan dengan lelaki, dan entah macam-macam lagilah…”

Iqbal tidak sampai hati hendak mengulangi kata-kata rakan-rakan mereka dulu tentang Aina Yasmin, terutama tentang penampilan dari segi fizikal adiknya itu. Badan sekepinglah, nasi lemak tiga puluh senlah, tak cantiklah…semua menyakitkan telinga dan hatinya. Dia tidak pasti sama ada Ameer Aazad juga tergolong daripada mereka yang sering mengutuk adiknya dahulu.

Ameer Aazad benar-benar rasa terpukul dengan kata-kata Iqbal. Memang tepat kena dengan hidung mancungnya. Terasa dirinya disindir, walaupun sebenarnya butir bicara Iqbal tidak bertumpu kepadanya seorang. Memang wajar dia terasa begitu. Dia pernah menuturkan kata-kata yang lebih teruk lagi mengenai tunangnya itu.

“Aku terima dia seadanya, Bal. Siapalah aku hendak menilai adik kau tu? Aku tak layak pun…Cuma aku tahu yang dia mungkin susah nak terima aku sebagai tunang dia. Aku langsung tak salahkan dia. Dia memang berhak kalau nak putus dengan aku pun. Cuma aku harap dia dapat beri aku peluang, tu je…” lirih sahaja nada suara Ameer Aazad. Suara yang penuh dengan kekesalan.

“Itu aku serahkan pada Min. Aku tak nak paksa dia macam mana arwah abah paksa dia dulu. Biar dia buat keputusan yang terbaik untuk diri dia sendiri. Dia seorang je adik perempuan aku, Zad. Aku hanya boleh nasihat dan jaga dia dengan sebaiknya selama dia belum menjadi isteri kepada mana-mana lelaki. Itu amanah arwah abah pada aku. Aku harap kau faham…” Tajam pandangan yang dilemparkan Iqbal kepada Ameer Aazad. Dia serius. Dia mahu Ameer Aazad memahami dan menerima apa pun keputusan Aina Yasmin. Baginya, kebahagiaan Aina Yasmin melebihi segala-galanya.

Ameer Aazad membalas pandangan Iqbal. Dia mengerti apa yang cuba disampaikan oleh dua pupunya itu kepadanya. Amaran yang diberi secara halus. Dia mengangguk.

“Tapi…betul ke kau tak jumpa dia lagi sejak pagi tadi?” soal Iqbal lagi. Dia mahu meyakinkan dirinya yang Ameer Aazad masih menyangkakan yang rupa Aina Yasmin tidak berubah dari dulu dan lelaki itu menerima adiknya walaupun rupa dan perwatakan adiknya masih kekal seperti dulu.

“Betul…aku tak jumpa lagi… Dia pun tak tegur aku…”

Betullah sangkaan Iqbal tadi. Ameer Aazad tidak mengenali adiknya yang sudah berubah itu. Ameer Aazad mahu meneruskan pertunangan dengan Aina Yasmin, gadis yang dikenalinya dahulu dan gadis yang dia belum pernah berjumpa sejak lebih lima tahun yang lalu. Iqbal menyembunyikan senyuman. ‘Gasak kau adik! Macam mana nak putus tunang kalau si Aazad ni nampak macam tak nak lepaskan je?’

Di balik dinding dapur, Aina Yasmin tersandar lesu. Perbualan antara Ameer Aazad dengan abangnya tadi membuatkannya keliru. ‘Dia kata dia belum jumpa aku lagi sejak pagi? Yang aku tangkap dia asyik curi-curi pandang aku satu hari suntuk ni apa? Yang dia tolong aku angkat besen tadi tu apa? Dia tak tahu ke aku ni Aina Yasmin, tunang dia? Lain sangat ke muka aku ni sampai dia tak kenal langsung? Maksudnya, dia ingat aku masih macam dulu? Jadi dia nak aku yang dulu jadi isteri dia?? Betul ke macam tu? Ah…mustahil…’

Aina Yasmin kebingungan. Masih berbicara dengan diri sendiri untuk meringankan kekusutan yang melanda. ‘Dia kata tadi dia terima aku seadanya dan tak layak untuk menilai diri aku…Maknanya dia terima pompuan yang entah apa-apa, badan kurus macam jantan dan takde selera nak dipandang tu? Akulah pompuan tu! Ya Allah! Apa maksud semua ni?’

Lekas-lekas Aina Yasmin bangun dan beredar dari dapur. Cukuplah setakat itu. Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi yang bisa menambah kekusutan di hati dan fikirannya.


4 comments:

  1. siapa kita nak menilai tentang diri org lain... hanya DIA... berusaha Zad...

    ReplyDelete
  2. Terasa tulus pulak hati Azad skrg ni. Sonething had changed him..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya kak Fidah... kesedaran tu dah datang pada Aazad...:)

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....