Monday, 14 September 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 4


Satu hentakan kuat kedengaran. Tumbukan di meja perbincangan itu membuat kesemua yang hadir kecut perut melihat wajah serius Ketua Pegawai Eksekutif atau lebih dikenali dengan panggilan CEO di hadapan mereka, lantas semua tunduk menekur meja. Tidak berani melawan pandang dengan sepasang mata hazel yang lebih tajam daripada pedang samurai panglima askar lama Jepun.

“Macam mana tanah tu boleh jatuh ke tangan orang lain?” Nada suara itu tidak tinggi. Tapi cukup tegang dan keras sehingga menggetarkan jantung tiga lelaki yang masih tunduk di hadapannya. “Kita dah bincang hal ni. Tanah tu penting untuk projek kita! That land is a prime piece of land!! Awak semua kan tahu betapa lamanya kita terpaksa tunggu untuk tuan tanah tu setuju nak jual tanah tu? Macam mana awak semua berurusan dengan tuan tanah sehingga dia tak jadi jual pada kita?” Sekali lagi meja ditumbuk. Terangkat bahu ketiga-tiga lelaki tadi.

Err…err…tuan tanah tu kena pujuk untuk jual pada orang lain, bos. Dia termakan pujukan tauke yang datang dengan deposit RM300,000 cash, walaupun agreement tak sign lagi…” Saleh Ali memberanikan diri bersuara. Sebagai orang yang dilantik menjadi ketua projek, dia merasakan dirinya bertanggungjawab untuk menjelaskan segalanya kepada Ameer Aazad.

“Tuan tanah tu tergoda tengok cash sekali banyak macam tu. Dia pun setuju nak jual pada tauke tu, walaupun kita yang dulu tawar nak beli tanah tu daripada dia. Kita semua dah ready bos, tapi legal department yang masih belum siapkan perjanjian yang kita dah lama mintak sebelum ni…Finance department pun dah standby dengan deposit yang kita mintak…Legal yang lembap!!” Saleh Ali terpaksa menyalahkan jabatan undang-undang untuk membela mereka bertiga yang tidak bersalah.

Ameer Aazad mengeluh kesal. “Tulah masalahnya kalau satu department tak boleh nak support department yang lain. Because of the inefficiencies of one department, syarikat kita pulak yang menanggung rugi! Benda macam ni tak seharusnya terjadi!!”

Ameer Aazad mencapai ganggang telefon. Ucapan ‘helo’ daripada setiausahanya tidak diendahkan. “Call Head of Legal to the meeting room now!” tegas Ameer Aazad memberi arahan. Belum sempat setiausahanya membalas, ganggang telefon sudah dihempas ke tempatnya. Terkejut lagi Saleh Ali bersama rakan-rakan sekerjanya.

CEO baharu mereka ini sungguh tegas dan sentiasa serius. Tidak pernah sekali pun tersenyum. Namun sejak dua bulan bekerja dengan seorang yang bernama Ameer Aazad, mereka tahu bahawa CEO mereka ini cukup beretika orangnya. Seorang yang amat bertanggungjawab dan sangat menitikberatkan kecekapan dalam kerja dan juga sifat team-work. Walaupun baru berusia dua puluh sembilan tahun dan lebih muda daripada kebanyakan pekerja dalam syarikat Warisan Investment Sdn Bhd ini, Ameer Aazad bukan calang-calang CEO, jawatan yang dipegang sejak syarikat ini diambil alih sepenuhnya oleh pemegang saham baru, Dwi Holdings Berhad.

Tidak lama kemudian pintu bilik mesyuarat diketuk. Wajah cemas Puan Angeline Tan muncul di muka pintu. “Encik Aazad nak jumpa saya?” Sedikit terketar suara Puan Angeline Tan menegur Ameer Aazad.

“Duduk, Ms Tan! We have an urgent matter to discuss!”

***********

Sudah dua jam Ameer Aazad memandu. Keluar dari pejabat tadi pun sudah pukul lapan malam. Dari pejabat, dia terus memandu untuk pulang ke kampung. Syukur dia sudah siap berkemas segala pakaian yang hendak dibawa sejak pagi tadi. Tidak perlu pulang ke rumahnya sebelum memulakan perjalanan.

Tangan kiri di stereng, tangan kanan memicit belakang leher yang tegang. Penat betul dia hari ni. Sejak Tan Sri Khir Razak melantik dia sebagai CEO di Warisan Investment Sdn Bhd dua bulan yang lalu, inilah kali pertama dia dapat pulang ke kampung. Bukan senang hendak mengambil alih syarikat yang sedia ada. Lagi-lagi pula syarikat yang sudah berusia lebih dua puluh tahun. Sukar untuk menyuntik semangat baharu dan cara kerja yang lebih efektif kepada tenaga pekerja yang sudah biasa dengan cara kerja yang lama. Mereka sudah biasa dengan cara pihak pengurusan lama bekerja, yang bagi Ameer Aazad sudah tidak berkesan lagi di dunia siber baharu ini.

Cabaran yang paling utama untuknya adalah untuk menukar cara pemikiran semua pekerjanya untuk mengikut cara kerja dan pemikiran yang diterapkan syarikat pemegang saham, Dwi Holdings Berhad. Sesungguhnya dia sudah berjanji untuk tidak menghampakan harapan ayah angkatnya, Tan Sri Khir Razak, merangkap Pengerusi syarikat Dwi Holdings Berhad dan juga Warisan Investment Sdn Bhd. Tan Sri Khir Razak juga merupakan pemegang saham terbesar Dwi Holdings Berhad.

Ameer Aazad meneruskan pemanduan walaupun perut terasa lapar. Namun dia terus memandu. Tidak mahu singgah di mana-mana R&R untuk mengisi perut. Dia pasti ibunya telah memasak untuknya, seperti selalu. Walaupun selewat mana dia tiba di kampung atau sepenat mana pun dia, dia pasti tidak akan mengecewakan ibunya. Akan dijamah apa-apa pun yang dihidangkan ibunya, sebagai membalas kesudian ibunya memasak untuknya.

Esok pagi, mereka akan menghadiri kenduri kahwin Munirah, adik kepada Maimunah atau nama singkatannya Munah yang suatu ketika dulu membawa pulang skandal terhebat pada abad ini ke kampungnya. Munirah dan Maimunah merupakan anak saudara kepada arwah Haji Zainal Abidin. Walaupun dari segi kekeluargaan mereka langsung tiada hubungan darah dengan keluarganya, namun sudah menjadi tradisi keluarga besar mereka untuk bersatu, tidak kira dua pupu atau tiga pupu, mahupun hubungan jauh sekadar bau-bau bacang sahaja, mereka tetap akan berkumpul bagi meraikan apa-apa pun jenis keramaian. Mengikut pendirian ibu Ameer Aazad, anak saudara Hajah Amirah, walaupun dari sebelah arwah suaminya, merupakan anak saudaranya juga. Jadi dia wajib menghadirkan diri ke majlis perkahwinan Munirah. Begitu rapat hubungan antara ibunya dengan Hajah Amirah!

Kereta yang dipecut laju membuatkan perjalanan pulang ke kampung mengambil masa kurang tiga jam sahaja. Puan Shima sudah sedia menunggu kepulangan anak lelaki tunggalnya. Puas hatinya dapat memaksa Ameer Aazad untuk pulang menghadiri majlis perkahwinan Munirah. Walaupun diberikan pelbagai alasan, Ameer Aazad akhirnya pulang jua. Akur dengan kehendak ibunya. Dengan siapa lagi ibunya hendak bergantung harap? Hanya dia seorang sahaja.

“Mama…tak tidur lagi?” tegur Ameer Aazad seraya menyalami dan mencium tangan ibunya.

“Belum. Tunggu Aazadlah…Meh masuk, meh. Makan!” ajak Puan Shima. Dia tahu anaknya pasti belum makan malam kalau masih dalam pakaian pejabat begini.

Ameer Aazad menarik kemeja keluar dari seluar sleknya dan membuka dua butang kemeja yang teratas. Rimas!

Walaupun badan terasa amat letih dan dia mahu terus baring di dalam bilik sahaja, dia menggagahkan diri untuk menghabiskan sepinggan nasi. Tidak banyak yang dibualkan bersama ibunya. Ibunya itu sudah biasa dengan kelakuan anak terunanya. Perubahan ketara yang melanda anaknya sejak pulih daripada kemalangan suatu ketika dulu dan hingga kini dia tidak tahu apakah puncanya. Mengapa anaknya berubah menjadi terlalu serius dan pendiam begini? Tiada siapa pun tahu. Anaknya terlampau berahsia.

“Zad, Min dah balik...”

Suapan nasi ke mulut terhenti mendengar kata-kata ibunya. “Hmmm…,” balas Ameer Aazad ringkas. Dia kembali menyuap nasi ke dalam mulut. Tiba-tiba nasi itu dirasakan keras seperti pasir. Dia mencapai gelas air sirap bandung di sebelah pinggannya dan lantas meneguk dengan rakus. Dia bangun lalu mengangkat pinggan ke dapur.

“Eh, tak tambah nasi ke Zad?” terpinga-pinga Puan Shima dibuatnya. Bukan ke tadi dia makan dengan cukup berselera sekali? Kenapa tiba-tiba saja anaknya berhenti makan?
                                                                                                        
“Dah kenyang, ma,” balas Ameer Aazad dari dapur. Selepas pinggannya dibasuh, Ameer Aazad kembali ke meja makan. “Ma, Aazad masuk bilik dulu, ya? Nak mandi, lepas tu tidur. Penat sangat! Esok ma nak pergi kenduri tu pukul berapa?”

Emmm…kita pergi awal sikitlah, dalam pukul sepuluh. Tolong apa-apa yang patut. Takkan nak pergi makan je? Tak manis pulak kalau saudara kita tengok nanti…” jelas Puan Shima.

Ameer Aazad mengangguk. Dia mencapai beg pakaian dari atas sofa di ruang tamu. “Aazad masuk dulu, ma…” ulang Ameer Aazad kepada ibunya.

“Ha, yalah. Pergilah rehat…” Puan Shima menghantar langkah Ameer Aazad dengan ekor mata. ‘Kenapalah anak aku ni boleh jadi dingin sampai macam ni sekali? Sampai bila dia nak jadi macam ni?’ Puan Shima mengeluh sebelum bangun untuk mengemas meja makan.

Di dalam bilik tidurnya, Ameer Aazad menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Tangan kanan disilang ke atas dahi. Matanya dipejamkan. ‘Min dah balik…’ kata-kata ibunya tadi kembali menerjah ke dalam minda. Terus sahaja e-mel yang dihantar oleh gadis itu diingat kembali. Bagaimana hendak berhadapan dengan Aina Yasmin nanti? Tentu sahaja gadis itu akan ditemuinya esok. Dia malu dengan gadis itu! Malu dengan kata-kata yang pernah dilemparkannya dulu.  

Pasti gadis itu ingin berjumpa dengannya untuk mengetahui syarat yang akan dikenakan bagi ‘membeli’ persetujuan daripadanya. Apa pun, dia rasakan apa yang akan dilakukannya ini merupakan perkara yang betul. Dia perlu menebus kembali segala kesalahannya terhadap Aina Yasmin. Kesalahan dari segi tutur kata, sehinggalah kepada kesalahan dari segi tingkah lakunya. Dia tidak pernah berlaku adil terhadap Aina Yasmin. Sebagai seorang tunang, dia tidak pernah mempedulikan kehadiran gadis itu, langsung tidak pernah ingin mengambil tahu tentang gadis itu dan langsung tidak pernah cuba menghubungi Aina Yasmin.

Tunang apalah dia ni? Terlampau ego dan sombong! Terlalu mementingkan paras rupa dan kecantikan luaran sehingga dia sanggup melafazkan kata-kata hinaan yang pasti telah melukakan hati tunangnya sendiri. Bukan orang lain tetapi, anak kepada arwah Haji Zainal Abidin yang begitu disanjung dan disayangi. Kejamnya dia!

Namun setelah kesedaran menjelma, dia begitu takut dan begitu malu untuk memulakan langkah untuk menghubungi tunangnya itu. Pada ketika itu juga, dia tidak tahu bagaimana hendak memulakannya. Walaupun dia amat rapat dengan kedua-dua abang Aina Yasmin, dia tidak pernah mahu merapati Aina Yasmin, yang baginya terlalu tomboy dan lasak. Gadis itu tidak pernah ditegurnya, walaupun dia selalu melepak di rumah arwah Haji Zainal Abidin. Dia juga buat-buat tidak tahu pabila menyedari gadis itu selalu mencuri-curi memandangnya. Dia tidak mahu melayan kerenah budak sekolah seperti Aina Yasmin, sehinggalah dia diminta bertunang dengan gadis itu.

Ah, seperti baru semalam arwah Haji Zainal Abidin memanggilnya datang ke rumah. Permintaan arwah Haji Zainal Abidin untuk dia menjadi suami kepada Aina Yasmin begitu berat untuk diterima. “Bukan nak kahwin sekarang, Zad. Zad dengan Min bertunang dulu, lepas Min dah habis belajar nanti, baru kahwin…” kata-kata arwah Haji Zainal Abidin suatu ketika dahulu masih terngiang-ngiang di telinga.

Atas dasar sayang dan hormat yang cukup tinggi kepada arwah Haji Zainal Abidin, Ameer Aazad terpaksa bersetuju. Lelaki inilah yang telah mencurahkan kasih sayang seorang bapa sejak kematian arwah bapa Ameer Aazad ketika Ameer Aazad berumur enam belas tahun. Dia tidak tergamak menolak permintaan arwah Haji Zainal Abidin pada ketika itu, namun dalam diam, dia telah berniat untuk memutuskan pertunangan sebaik sahaja Aina Yasmin pulang ke tanah air. Dia tidak ingin beristerikan gadis tomboy itu. Itu tekadnya.

Kini segalanya telah berubah. Dia bagai terikat dengan janjinya kepada arwah Haji Zainal Abidin untuk menjaga Aina Yasmin suatu ketika dahulu.

“Abah harap Aazad boleh jaga Min dengan baik. Abah yakin Zad takkan sia-siakan Min tu…Min tu, satu-satunya anak perempuan abah…”

Panggilan ‘abah’ itulah yang membuatnya tewas. Walaupun Hajah Amirah hanyalah sepupu kepada ibunya, namun arwah Haji Zainal Abidin telah menganggap dirinya sebagai seorang anak, dan membahasakan dirinya sebagai ‘abah’ kepada Ameer Aazad.

‘Maafkan Aazad, abah. Aazad dah kecewakan abah dan semua orang…’ keluh Ameer Aazad sendirian. ‘Tapi Aazad janji akan perbetulkan segala kesilapan Aazad…Aazad janji!’

Dengan suatu semangat baharu, Ameer Aazad bangun lalu melangkah ke bilik mandi. Rasa malu untuk berhadapan dengan Aina Yasmin ditolak ke tepi. Walau bagaimanapun rupa dan kelakuan Aina Yasmin sekarang sudah tidak penting lagi baginya. Aina Yasmin merupakan amanah arwah Haji Zainal Abidin kepadanya. Maka dia akan menerima gadis itu seadanya dan dia akan cuba menanam perasaan yang sewajarnya yang layak bagi seseorang yang bergelar tunang!



5 comments:

  1. Aazad kena ikhlas kan hati utuk buat semua ini... jgn kerana terpaksa...

    ReplyDelete
  2. Apa sebab dia accident ya?
    Apa syarat dia?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nanti kak Fidah tahu macam mana Aazad boleh accident.... Ngeee....

      Delete
  3. Apa sebab dia accident ya?
    Apa syarat dia?

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....