Tuesday, 8 September 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 3


Terkocoh-kocoh Aina Yasmin menyorong troli keluar dari balai ketibaan KLIA. Matanya meliar mencari kelibat kawannya Mastura, yang telah bersetuju untuk menyambut ketibaannya. Bagaimana agaknya rupa Mastura sekarang? Dah lebih lima tahun tidak berjumpa, walaupun mereka sering berhubung melalui dunia maya. Sejak meninggalkan kampung halaman, tidak sekali pun Aina Yasmin pulang ke tanah air. Sengaja tidak mahu menyusahkan keluarganya, walaupun mereka sebenarnya lebih daripada mampu untuk membiayai kepulangannya untuk bercuti. Hanya surat, e-mel dan telefon sebagai pengganti diri. Surat tetap dikirimkan buat tatapan ayah dan ibunya yang tidak betah menggunakan komputer bagi tujuan berkomunikasi.

Seorang gadis yang sedang bersandar di balik dinding sambil berbual dengan seorang lelaki yang membelakanginya menangkap perhatian Aina Yasmin. Sekuntum senyuman manis terukir di bibir. “Mas!” Aina Yasmin menjerit kegirangan dari jarak yang masih agak jauh. Tidak dihiraukan pandangan orang ramai di sekelilingnya yang menoleh ke arahnya ekoran jeritannya itu.

Mastura tersentak. Tubuhnya yang elok tersandar tadi ditegakkan. Matanya membulat dan mulutnya ternganga! Lelaki di hadapannya turut berpaling. Senyuman di wajah Aina Yasmin tambah melebar melihat wajah lelaki itu. Air mata kerinduaan terbit juga.

Dibiarkan sahaja trolinya di situ sambil langkahnya laju menuju ke arah Mastura dan lelaki tadi. Esakan kecil terlepas jua pabila melihatkan lelaki tadi mendepangkan tangannya. Aina Yasmin tidak tunggu lagi. Dihempaskan tubuhnya ke dalam pelukan lelaki tadi. “Along…” bisik Aina Yasmin. Abang yang dirinduinya kini berada di hadapan mata…



Iqbal memeluk adik perempuan tunggalnya. Dia hampir tidak mengenali adiknya itu. Gambar terakhir yang dikirim adiknya sebulan yang lalu masih tidak bertudung. Gadis dalam pelukannya kini sudah bertudung. Iqbal memeluk kejap adiknya sebelum merungkaikan pelukan. Wajah adiknya yang basah dek air mata direnung lembut. Belum sempat dia menuturkan kata, adiknya sudah bergerak untuk memeluk Mastura pula. Lama sepasang sahabat itu berpelukan. Pelukan yang diselangi tawa halus tanda gembira yang amat sangat atas penyatuan ini.

“Mas, kau dah banyak berubah! Banyak sangat, Mas! Aku susah nak cam kau tadi…” Wajah ayu Mastura diamati. Mastura elok bertudung serta berbaju kurung berwarna biru air laut. Manis sangat! Graduan Universiti Islamlah katakan… “Kau cantik sangat, Mas!”

Mastura menyeka air mata di wajahnya. Tersenyum mendengar kata pujian dari bibir Aina Yasmin. Namun, kata-kata yang sama perlu diucapkan kepada sahabatnya itu. Wajah berseri gadis di hadapannya ini memang lain daripada dulu. Ke mana perginya gadis yang dikenalinya dulu? Aina Yasmin di hadapannya kini sungguh cantik. Kulit yang halus mulus, cerah dan lembut. Diamatinya pula tubuh Aina Yasmin di sebalik blaus berwarna putih dan jean lusuh berwarna biru itu. Matanya sedikit membulat melihat lekok-lekok di tubuh Aina Yasmin, terutama di bahagian pinggul dan pinggang. Kemudian matanya tertumpu ke bahagian dada! Tidak berkelip.

“Hoi! Apa kau tengok aku macam tu?” sergah Aina Yasmin. “Macam pervert je kau ni!” Lengan kanan Mastura ditampar mesra.

Mastura tergelak besar. Iqbal turut ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Matanya tidak berkalih dari wajah bersih adiknya. ‘Ni, kalau Aazad tengok ni, mahu terlopong…’ hati kecilnya berbisik nakal.

“Adik, sejak bila berubah macam ni?”

Aina Yasmin memahami maksud di sebalik soalan abang sulungnya itu. “Baru je along. Dua minggu sebelum Syawal. Kenapa?”

Iqbal tersengeh meleret. “Cantik!” sepatah balasan Iqbal. “Abah mesti bangga dengan perubahan adik ni…”

Terus lenyap kecerian yang menghiasi wajah Aina Yasmin tadi. Kini berubah suram. Air mata yang telah kering tadi, kembali terbit di tubir mata. Iqbal kaget. Tersilap cakap agaknya…Dia mesti pantas melakukan sesuatu untuk mengembalikan adiknya yang riang tadi.

“Eh, jomlah. Jauh lagi perjalanan kita ni…”

Aina Yasmin menghadiahkan senyuman terpaksa kepada abangnya. “Tak sangka along tunggu adik kat sini. Angah mana?”

“Along saja pakat dengan Mas nak surprisekan adik. Takkan Mas nak drive sorang-sorang sampai Ipoh. Kesian dia. Angah dah tunggu kat rumah dengan mak…Dia balik semalam…” jelas  Iqbal sambil berjalan untuk mengambil troli yang ditinggalkan begitu sahaja oleh Aina Yasmin tadi. Langkahnya dibuntuti Aina Yasmin dan Mastura yang berjalan beriringan.

Aina Yasmin mengerling ke wajah Mastura yang beriak selamba. Kenapa dirasakan sesuatu dengan kata-kata abangnya tadi? Bila masa abangnya kesiankan Mastura? Tak pernah-pernah pun sebelum ini? Pelik!

“Mak sihat, along?” Aina Yasmin menepis dahulu perasaan janggalnya tadi. Dia ingin lebih memerhatikan gelagat abangnya bersama teman rapatnya ini.

“Sihat, Alhamdulillah…mak tak sabar nak tunggu adik balik…”

Aina Yasmin tersenyum puas. Dia sendiri pun begitu. Terlampau berat beban rindu yang ditanggung gadis itu buat ibunya…Insya-Allah, lebih kurang tiga jam setengah lagi, mereka bakal disatukan. ‘Tak sabarnya!!’

*************

Tepat jam lima petang, kereta Honda Accord abangnya tiba di perkarangan rumah banglo dua tingkat di sebuah kampung yang terletak lebih kurang dua puluh minit perjalanan dari bandar raya Ipoh. Rumah separuh batu dan separuh kayu itu menyapa pandangan mata Aina Yasmin yang sudah mula berair. Baru kejap tadi, mereka menghantar Mastura pulang ke rumahnya. Kini tinggal Aina Yasmin berdua dengan abangnya, yang sudah pun membuka pintu kereta penumpang dengan luas. Dengan perlahan-lahan, Aina Yasmin menapak keluar dari perut kereta.

Di pintu utama rumah, Hajah Amirah menahan air mata. Ketika melihat kelibat Aina Yasmin keluar dari kereta milik anak sulungnya, laju Hajah Amirah mengatur langkah. Hampir berlari! Aina Yasmin pun apa lagi. Terus berlari mendapatkan Hajah Amirah dan memeluk tubuh wanita itu dalam esak tangis. Hampir tenggelam tubuh kecil Aina Yasmin dalam dakapan ibunya. Tangis yang lahir dari dua beranak itu, bukan hanya sekadar melepaskan tangis kerinduan. Tetapi bagi Aina Yasmin, dia melepaskan tangis terkilan serta rasa kesal yang menggunung.

“Mak…” Itu sahaja yang mampu dituturkan Aina Yasmin. Lantas pipi dan keseluruhan wajah ibunya dicium.

“Adik…” Hajah Amirah seolah-olah tidak percaya melihat perubahan anak gadisnya. Dia bersyukur dengan perubahan ini. Syukur sangat-sangat, ya Allah!

“Adik?” suara garau milik Muhammad Syafiq muncul dari belakang Hajah Amirah.

“Angah!!” jerit Aina Yasmin. Dilepaskan pelukan ibunya dan pantas mendapatkan abang keduanya. Syafiq, seperti biasa memeluk Aina Yasmin sehingga terangkat kaki gadis itu lalu memusing-musingkan tubuhnya dengan laju. Melayang-layang Aina Yasmin jadinya. Dan seperti biasa, Aina Yasmin akan menjerit sambil ketawa dengan perlakuan abangnya itu. Hajah Amirah serta Iqbal hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat kemesraan yang tidak pernah pudar antara Aina Yasmin dengan Syafiq!

“Dahlah tu, angah!” tegur Hajah Amirah. “Kang pening adik tu. Dia tu mesti penat lagi. Yang kau pergi pusing-pusing macam tu kenapa?”

Syafiq tidak menghiraukan teguran daripada ibunya. Sungguh! Dia benar-benar rindukan adik tunggalnya ini. Tidak lengkap kehidupannya selama ketiadaan Aina Yasmin. Tiada siapa untuk disakat atau dibuli!! Kini tidak lagi. Mangsanya sudah kembali ke pangkuan keluarga.

Selepas hampir setengah jam mereka berbual-bual sambil minum petang, Aina Yasmin tiba-tiba bangun dari meja makan. “Angah, boleh bawak adik pergi kubur arwah abah? Adik teringin sangat nak ziarah arwah abah…”

Suasana di meja makan itu tiba-tiba sepi. Hajah Amirah tunduk merenung cawan yang sudah kosong diminum. Tiba-tiba hatinya dipagut pilu. Kesian Aina Yasmin. Arwah suaminya meninggal dunia hampir dua tahun yang lalu akibat serangan jantung ketika Aina Yasmin masih di luar negara. Hajah Amirah melarang Aina Yasmin untuk pulang kerana anaknya sedang menghadapi peperiksaan akhir bagi tahun ketiga ketika itu. Itu yang menyebabkan Aina Yasmin begitu terkilan dan kesal sekali.

“Jom, angah bawak adik…”

Syafiq menunggang motor peninggalan arwah ayah mereka dan membawa Aina Yasmin ke tanah perkuburan Islam di pinggir kampung.

“Assalamualaikum, abah,” bisik Aina Yasmin perlahan sambil mencangkung di tepi pusara arwah Haji Zainal Abidin. “Adik datang ni… Adik dah balik… Adik tak sempat nak hadiahkan ijazah adik pada abah…” Aina Yasmin menangis.

Pautan tangan di bahunya memberi sedikit kekuatan. “Adik, sebelum abah meninggal, abah sempat ampunkan semua dosa mak dan dosa kita adik-beradik. Abah kata abah sayang pada kita semua…Adik janganlah nangis. Dah ajal abah macam tu. Meh, kita hadiahkan pahala bacaan surah Yasin ni pada arwah abah…”

Air mata Aina Yasmin masih mengalir, namun hatinya terasa sedikit tenang dengan kata-kata Syafiq. Dengan lafaz Bismillah, mereka mula membaca surah Yasin…

***********

Usai makan malam, empat beranak itu menyambung kembali perbualan yang tergantung sejak petang tadi. Perut pun sudah kenyang berisi dengan nasi putih berlaukkan paceri nenas, sambil tumis udang galah, sayur kobis masak lemak dan ikan pari bakar, semuanya lauk kegemaran Aina Yasmin. Hajah Amirah puas hati melihat anak gadisnya bertambah dua kali sebentar tadi. Makanlah macam mana banyak pun! Aina Yasmin tetap kecil molek begitu. Sama sahaja dengan arwah ibu Hajah Amirah. Sehingga tua, nenek Aina Yasmin masih kekal kecil. ‘Eh aku pun apa kurangnya…kecik molek jugak…bukan aku yang kata, abang Nal yang kata…’ Hajah Amirah tersenyum mengenang pujian arwah suaminya dulu.

“Adik apa plan lepas ni?” Iqbal, selalu ketua keluarga mengambil tempat arwah Haji Zainal Abidin bersuara, sambil menghirup kopi-o panas di ruang tamu.

Aina Yasmin yang bersandar kekenyangan di sofa berangkai tiga sambil melentokkan kepalanya ke bahu Hajah Amirah yang duduk di sebelahnya berdehem kecil sebelum menuturkan kata. “Emm…adik nak duduk kat kampung ni dalam seminggu dua. Lepas tu adik nak kena lapor diri untuk temu duga kat syarikat yang Mas recommend kat KL tu. Mas dah dapatkan tempat untuk adik. Syarikat tu memang perlukan orang sekarang ni. Mas kata, lepas syarikat tu kena ambil-alih dua bulan sudah, ramai yang berhenti sebab tak tahan dengan pihak pengurusan baru. Jadi pihak pengurusan baru ni kena cari tenaga pekerja baru untuk menggantikan yang lama…” jelas Aina Yasmin panjang lebar.

“Adik nak kerja kat KL? Tak nak cari kerja kat Ipoh je?” Hajah Amirah bertanya. Sedih sahaja nada suaranya.

Pantas Aina Yasmin mengangkat kepala dari bahu ibunya. Risau mendengarkan nada kesedihan di sebalik soalan ibunya tadi.

“Mak, adik nak cari pengalaman kat KL dulu, macam Mas. Pejabat Mas pun satu bangunan dengan adik nanti, jadi adik akan menyewa satu rumah dengan Mas. Kebetulan seorang teman serumah dia kena pindah sebab baru kahwin. Jadi ada satu bilik kosong yang adik boleh sewa. Kenapa mak? Mak tak suka ke adik kerja kat KL?”

“Bukan tak suka, sayang. Mak cuma risaukan adik. Mak kalau boleh tak nak berjauhan dengan adik…” Jeda. “Lepas adik grad dulu pun, adik tak balik terus. Adik kerja kat sana untuk cari pengalaman...”

Aina Yasmin dihurungi rasa bersalah. Baru sahaja balik, sudah mahu meninggalkan ibunya bersendirian di rumah ini. Mesti ibunya itu berasa sunyi sejak pemergian arwah ayahnya.

Sebelum Aina Yasmin sempat membalas, Syafiq mencelah. “Takpe, mak. Biarlah dia cari pengalaman kat KL tu. Insya-Allah lepas ni, mak tak sorang-sorang lagi. Permohonan angah untuk kerja kat cawangan syarikat di Ipoh dah diluluskan. Bulan depan angah mula kerja sini. Jadi angah akan duduk dengan mak…Biar along yang tengok-tengokkan adik kat KL nanti…”

“Betul ke, ngah?” soal Hajah Amirah tidak percaya. Sekiranya benar, dia benar-benar bersyukur. Ada juga teman dia di rumah nanti. Tidak lagi keseorangan dan kesunyian. Syukur juga sepupunya Shima sering mengunjunginya di sini. Kadang-kadang sehingga bermalam. Shima juga kesunyian. Ameer Aazad sibuk dengan kerjanya di Kuala Lumpur manakala anak bongsu perempuannya sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan di Bandung, Indonesia. Tinggallah mereka berseorangan di rumah masing-masing.

Syafiq mengangguk sambil tersenyum. Selesai masalah ibunya.

“Alhamdulillah…” terbit ucapan kesyukuran daripada Hajah Amirah. “Mak bukannya apa. Sejak mak pencen ni, mak cepat sangat rasa bosan. Kalau Auntie Shima datang, barulah mak ada kawan…saudara-saudara lain pulak asyik sibuk dengan hal masing-masing…”

Sebut sahaja nama Auntie Shima, tubuh Aina Yasmin terus kaku. Hajah Amirah di sebelah menyedari perubahan ketara anaknya itu. Dia mengeluh kecil. Tahu tentang keputusan yang telah dibuat Aina Yasmin melalui panggilan telefon yang dibuat anak gadisnya itu dari bandar Berkeley, California minggu lalu. Panggilan telefon yang dibuat sebaik sahaja Aina Yasmin menerima kata persetujuan bersyarat daripada Ameer Aazad.

“Adik, kenapa ni? Adik risaukan Auntie Shima, ya?” Hajah Amirah meneka. Kedua-dua pasang mata Iqbal serta Syafiq turut bertumpu ke arahnya. Mereka juga sudah tahu akan keputusan Aina Yasmin untuk memutuskan pertunangan dengan Ameer Aazad.

Aina Yasmin mengangguk lemah. “Adik takut yang keputusan yang adik buat, akan jadikan hubungan mak dengan Auntie Shima renggang…Bukan tu niat adik…Adik tahu mak dengan Auntie Shima tu dah macam adik-beradik walaupun sebenarnya sepupu je…Maafkan adik sebab buat keputusan tak bincang dengan mak dulu…”

Hajah Amirah mengeluh. Isyarat mata diberikan kepada Iqbal yang telah dipertanggungjawabkan oleh arwah suaminya untuk menjaga Aina Yasmin. Iqbal mengangguk. Dia mengerti permintaan ibunya itu.

“Adik... Along, angah dengan mak tak halang keputusan adik. Kita orang semua tahu kenapa arwah abah paksa adik bertunang dulu. Abah pun dah takde…Adik pun dah balik dengan selamat…jadi takde sebab kenapa adik kena teruskan pertunangan dengan Aazad…” Jeda. Iqbal pun kalau boleh, tidak mahu beradik iparkan Ameer Aazad. Dia tidak yakin lelaki itu mampu menyayangi dan menjaga adik kesayangannya itu seperti yang diharapkan. Ameer Aazad sekarang bukan Ameer Aazad yang dikenalinya dulu. Sama seperti Aina Yasmin yang juga sudah berubah. Walaupun perubahan Aina Yasmin lebih kepada perubahan secara fizikal, perubahan Ameer Aazad pula lebih daripada itu. Fizikal, mental, emosi dan juga perwatakan…Iqbal sudah tidak tahu bagaimana hendak mendekati Ameer Aazad yang cukup rapat dengannya suatu ketika dahulu…Tapi, apakah syarat yang dikenakan Ameer Aazad, ya?

“Auntie Shima macam mana, mak? Dia marah tak dengan adik?” Riak wajah risau masih jelas terpamer.

“Tak, Auntie tak marah…Dia pun faham…Dia kan sayang pada adik? Lagipun dia setuju yang adik dan Aazad ada kehidupan sendiri. Dua-dua pun dah besar panjang. Dah boleh menilai dan bijak memilih apa yang baik untuk diri sendiri. Mak dengan Auntie Shima tak nak paksa-paksa dah…Nanti kita tunggulah apa syarat Aazad pada adik nanti…”

Riak kerisauan tadi kini bertukar menjadi lega. Seolah-olah beban yang menimpa bahu Aina Yasmin sejak seminggu yang lalu, telah dilepaskan terbang tinggi hingga ke awan. “Syukurlah kalau macam tu…Adik nak kena pulangkan cincin tunang tu ke?” Aina Yasmin tiba-tiba teringat akan cincin itu.

“Tak payah. Auntie Shima kata cincin tu hadiah untuk adik…tak payah pulangkan…Tapi adik kena tunggu kata putus daripada Abang Aazad dulu. Kan dia ada letak syarat sebelum pertunangan adik boleh diputuskan?”

Hmmm, yalah…apa pun cincin tu dah tak muatlah, mak…” Aina Yasmin ketawa kecil. “Jari adik ni dah membesar kot dari lima tahun sudah…kalau simpan pun, adik tak boleh pakai. Ketat gila…”

“Tulah adik! Makan tak ingat dunia…Kan dah gemuk!” usik Syafiq. Virus sakat sudah menyerang. Dia menyengih meleret. Gemuk? Suatu perkataan yang tidak layak untuk adiknya. Tetapi dia sengaja hendak memancing kemarahan adiknya itu.

“Hei, tolong sikit! Siapa gemuk? Dulu adikkan kurus. Sekarang pun masih maintain okey? Cuma berisi tang sini sikit, tang sana sikit je… Mestilah adik dah membesar dari dulu. Dulukan adik budak sekolah lagi…” Aina Yasmin mencebik. Terserlah sifat manja seorang anak perempuan bongsu Hajah Amirah. “Angah tu yang dah boroi adik tengok. Baru dua puluh enam tahun dah boroi! Kalau macam ni la kan, tak lakulah angah nanti…” Aina Yasmin membalas.

Syafiq mengusap perut yang dikatakan boroi oleh adiknya tadi. “Mana ada boroi?” Giliran Syafiq pula menidakkan kata-kata usikan Aina Yasmin. Pantang sekiranya ada yang mengatakan dia begitu. ‘Aku fit, okey? Ada pulak boroi! Kempis je perut aku ni! Six pack lagi!’

Terletus tawa Hajah Amirah, Iqbal dan Aina Yasmin. Wajah mencuka Syafiq benar-benar menggelikan hati mereka. ‘Hai! Barulah kena buku dengan ruas,’ fikir Hajah Amirah. Bahagia betul dia dengan kepulangan Aina Yasmin, yang kembali mewarnakan kehidupan mereka sekeluarga dengan gelak ketawa mesra seperti ini. Sesungguhnya Hajah Amirah merindukan suasana begini. Insya-Allah, kehidupannya tidak akan sunyi lagi selepas ini…Kini dia hanya perlu menunggu untuk mana-mana anaknya membawa pulang menantu dan kemudian cucu-cucu untuknya. Dia sabar menanti akan waktu itu…



4 comments:

  1. semangkin menarik... banyak hati yg kena jaga ... apa SYARATNYA????...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Kak Sue.... Nanti kita tahu syaratnya ya...:)

      Delete
  2. Yessss..sgt2 menarik..x sabar nak tau syaratnya..

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....