Thursday, 3 September 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 2


Lima tahun yang lalu

Sudah lama Aina Yasmin duduk termenung sambil bersandar di kepala katil. Diari di atas pahanya digenggam kemas. Hajah Amirah yang sedari tadi memerhati dari muka pintu, melangkah masuk ke dalam bilik anak perempuan tunggalnya, merangkap anak bongsu Hajah Amirah bersama Haji Zainal Abidin. Entah ke mana dah melayang ingatan anaknya ini.

“Adik?”

Aina Yasmin tersentak. Tubuhnya ditegakkan. “Ya, mak?” Diari di atas paha diletakkan di sisinya di atas katil lalu ditolak ke bawah bantal.

Hajah Amirah duduk di sebelah Aina Yasmin di birai katil. “Kenapa adik asyik termenung je sejak pagi tadi? Masa tengah hari tadi pun adik tak nak makan sama-sama dengan kita orang semua. Kan Abang Aazad nak balik KL tadi? Kenapa adik tak makan sekali? Sampai Abang Aazad balik pun adik tak keluar bilik…”

Aina Yasmin memandang wajah ibunya yang jelas risau dengan kelakuannya sejak pagi tadi. Pagi yang telah membunuh segala rasa di dada. Pagi yang telah membuat Aina Yasmin menangis…Mana mungkin dia bisa menjamu selera bersama lelaki itu dan bereaksi bersahaja, sedangkan dia tahu lelaki itu membencinya?

“Mak, betul ke adik ni anak mak dengan abah?” Aina Yasmin terus menyoal pertanyaan yang berlegar-legar di fikirannya sejak pagi tadi. Soalan-soalan ibunya langsung tidak diendahkan.

Terkejut besar Hajah Amirah dibuatnya. Matanya membulat dan tangannya melekap ke dada. “Apa yang adik merepek ni?” terus naik nada suara Hajah Amirah. Agaknya tekanan darahnya turut naik sekali! Soalan yang keluar dari mulut anak gadisnya langsung tidak munasabah. Perih menanggung sakit bersalin selama tiga belas jam untuk melahirkan Aina Yasmin tiba-tiba terasa.

Aina Yasmin kesal dengan cara dia mengutarakan soalannya tadi. Sungguh dia tidak berniat untuk mengecilkan hati ibunya itu. Bukan dia tidak pernah lihat surat beranak dia sendiri. Jelas nama Zainal Abidin bin Ramli tertera sebagai bapanya dan Amirah binti Hassan sebagai ibunya. Tangan ibunya digenggam. “Maaf mak. Bukan itu maksud adik sebenarnya.” Jeda.

Wajah Hajah Amirah ditatap lembut. “Sebenarnya, adik pelik sangat…kenapa adik ni lain benar daripada mak dan abah? Adik ni langsung takde iras mak atau abah. Tengok jelah adik ni…” Aina Yasmin tunduk dan menelek tubuhnya.

Bibir Hajah Amirah kini menguntumkan senyum. Lega.

“Kenapa sekarang baru adik tanya? Selama ni tak pernah tanya pun? Ni mesti sebab adik dah bertunang dengan Abang Aazad, kan?” Hajah Amirah mengusik. Wajah suram anaknya dipandang penuh kasih. Mengertilah dia apa yang mengganggu fikiran anaknya kini. Perasaan yang sama pernah dialaminya ketika dia berusia tujuh belas tahun dulu.

“Mak tahu adik risau tengok badan adik masih macam budak umur tiga belas-empat belas tahun, kurus macam tomboytakde pinggang, takde pinggul, dada flat…tak macam gadis yang sebaya dengan adik, kan?” teka Hajah Amirah.

Aina Yasmin mengangguk lemah. Tepat apa yang diteka Hajah Amirah. ‘Terror betul mak ni. Macam ada telepati pulak…’

“Mak tengoklah si Intan tu. Badan dia macam model. Pinggang ramping! Hari tu dia sibuk berlagak dengan adik kata dia kena tukar saiz bra dia ke cup C. Cup B dah sendat. Sesak nafas katanya. Adik pulak cup A pun macam kena sumbat tisu baru tak nampak kelakar…kalau tak, longgar je…” ngomel Aina Yasmin. Dengan Hajah Amirah, dia bebas mengadu pasal hal-hal perempuan ni. Takkan nak mengadu dengan abahnya yang garang tu atau dengan along dan angahnya pula? Malu!!

Terletus tawa Hajah Amirah. Rambut pendek potongan boyish cut Aina Yasmin diusap lembut. Ingin dibiarkan anaknya itu meluahkan perasaannya. Kali pertama Aina Yasmin mempamerkan kerisauan akan penampilannya yang tidak feminin itu. Sebelum ini, dia langsung tidak kisah. Tidak pernah peduli dengan kata-kata rakan sekampung, terutama sekali si Intan yang perasan ratu di kampung mereka ini. Ini mesti sebab status dirinya yang sudah berubah. Tunangan orang la katakan…

“Adik tahulah adik tak lawa macam si Intan tu. Rambut adik pendek pun sebab dah biasa. Selama ni kan adik masuk persatuan kadet kat sekolah tu. Mestilah nak rambut pendek. Kalau tak, rimas. Kerja adik asyik berkawad dan berjemur je kat sekolah tu. Tu yang kulit adik hitam berkilat tu…” Aina Yasmin menyinsing lengan baju dan menunjukkan lengannya yang perang kemerahan. Kesan ‘terbakar’ dek panahan matahari sudah beransur hilang memandangkan sudah berbulan-bulan dia tidak menyertai sebarang aktiviti persatuan kadet remaja sekolah bagi menumpukan perhatian pada peperiksaan SPM tahun lepas. Sebenarnya, warna kulit Aina Yasmin tidaklah hitam atau gelap sangat. Cuma sukar untuk cerah dalam keadaan Aina Yasmin yang sangat aktif dan gemar melakukan aktiviti di luar rumah, terutamanya memancing bersama abang-abangnya atau rakan-rakan sebayanya.

“Tapi buruk sangat ke adik ni, mak?” Kata-kata Ameer Aazad pagi tadi terpahat di telinga dan di hati.

Hajah Amirah menggelengkan kepalanya. “Tak, sayang, siapa kata anak mak ni buruk?” Pipi Aina Yasmin diusap perlahan. “Adik dengar mak nak cerita ni, ya?”

“Cerita apa mak? Kalau citer Hindustan adik tak nak dengarlah…” Sempat lagi Aina Yasmin mengusik ibunya. Bukan dia tidak tahu apa yang digemari ibunya itu. Sebut sahaja hero-hero kegemaran ibunya Shah Rukh Khan, Salman Khan, Saif Ali Khan, Shahid Kapoor, John Abraham semua ibunya kenal.

Hajah Amirah menampar lembut pipi yang tadi diusapnya. Geram! Kalau bukan Aina Yasmin yang selalu menyindirnya tentang kegemarannya menonton filem Hindi, pasti along atau angah akan mengusiknya. “Hesy, apa pulak citer Hindustan? Ni citer betul-betul ni…”

Aina Yasmin ketawa kecil melihat wajah cemberut ibunya. Untuk seketika, hilang kesedihan yang melanda dirinya sejak pagi tadi.

“Adik nak tahu, dulu mak pun pernah tanya soalan yang sama pada nenek. Mak ingat lagi masa tu umur mak tujuh belas tahun. Mak tanya nenek kenapa rupa mak tak cantik macam nenek…Mak pun rasa rupa mak buruk je…tak cantik langsung!”

Ternganga mulut Aina Yasmin tidak percaya. Ibunya tidak cantik? Buruk? Sungguh tidak masuk dek akal. Lihat sahajalah ibunya di usia lima puluh dua tahun ini. Masih cantik dan bergetah. Kulit kuning langsat. Pinggang tetap ramping walau sudah beranak tiga. Kedutan di muka akan hanya dapat dilihat sekiranya seorang itu menggunakan kanta pembesar! Serius! Bukan hendak menipu!

“Tutup mulut tu sayang, kang kena kancing gigi kang,” Hajah Amirah menegur. “Nak dengar tak mak nak citer ni?”

Aina Yasmin menganggukkan kepala. Suaranya entah sudah ditelan agaknya.

“Masa mak tanya nenek dulu, nenek kata suatu hari nanti mak akan berubah cantik macam nenek. Sebenarnya kan adik, nenek, mak dan sekarang adik ada masalah keturunan yang sama. Kita ni errr…apa orang putih cakap? Late bloomers? Hah tulah dia…”

‘Amboi! Tu dia! Mentang-mentanglah guru sekolah Bahasa Inggeris…’

“Kita lambat nak develop…tu je sebenarnya. Dulu pun, badan mak kurus sekeping macam papan. Tapi bila umur mak dah masuk sembilan belas tahun, barulah tubuh mak mula develop jadi macam perempuan lain. Mula ada pinggang, mula ada pinggul dan mula kena tukar saiz bra…” Hajah Amirah ketawa. Mengenang kembali zaman mudanya. Aina Yasmin masih diam membeku.

“Kulit mak dulu gelap jugak ke?” soal Aina Yasmin akhirnya.

“Taklah gelap sangat sebab mak mana suka berjemur kat luar matahari nun? Kulit mak kuning langsat macam nenek, tapi lama-kelamaan berubah makin cerah…Kulit muka mak dulu pun kasar je. Tapi lepas tu berubah jadi licin. Mak pun hairan. Agaknya gen keluarga kita macam tu. Adik jangan risau. Esok-esok, badan adik mesti akan berubah. Dengarlah cakap mak. Mak berani janji sebab dulu nenek dan mak pun macam adik ni…”

“Betul ke mak? Macam mana dengan mak kepada nenek pulak? Nenek kepada nenek pulak? Semua sama ke?”

“Hesy! Manalah mak tahu. Tapi kalau namanya pun masalah keturunan, yalah kut!”

Niat Hajah Amirah adalah untuk melegakan perasaan Aina Yasmin tetapi gadis itu seolah-olah tidak percaya dengan apa yang diperkatakannya.

“Adik, ada orang memang lambat nak develop. Orang lelaki pun ada macam tu jugak. Adik baru je masuk lapan belas tahun. Mak yakin, tak lama lagi, anak mak ni akan berubah. Kalah si Intan tu, adik tengoklah nanti kalau tak percaya!! Lagipun dulu mak takde iras nenek. Mak iras mak kepada nenek. Adik pun, mak nampak lebih kepada iras nenek…takde iras mak…Tapi untuk mak, nenek tu cantik sangat masa dia muda dulu…”

Sesungguhnya Aina Yasmin benar-benar ingin mempercayai kata-kata ibunya. Tetapi logikkah? Late bloomer? ‘Aku akan bloom ke suatu hari nanti?’

“Mak, boleh percaya ke badan adik yang macam lelaki ni boleh berubah sampai mengalahkan si Intan tu? Hai, senang hidup adik kalau adik ada kakak. Boleh tengok transformasi kakak depan mata sendiri. Along dengan angah takde pulak masalah macam ni…”

Hajah Amirah tersenyum. Memang dia sendiri tidak sabar hendak menyaksikan transformasi anaknya. Entah mengapa, kaum perempuan daripada sebelah ibunya berhadapan dengan masalah begini. Lewat bagi seseorang gadis untuk menikmati perubahan secara fizikal pada tubuh badannya. Namun perubahan tetap akan dilalui. Cuma lewat berbanding dengan gadis-gadis lain.

“Esok, bila adik dah cantik, dah lawa…mesti ramai yang akan tergila-gilakan adik…”

“Macam mak dolu-dolu ke?? Hehe…nenek pernah citer, mak ni dulu ada tiga orang datang meminang. Semua mak bolayan…dengan abah yang garang tu pulak mak tangkap cintun!!” Aina Yasmin kembali mengusik ibunya sambil ketawa. Sedikit sebanyak, kata-kata ibunya dapat menyejukkan hatinya.

“Hesy, adik ni. Ada cakap abah macam tu. Garang-garang pun, abah la lelaki yang paling penyayang tau!” laju sahaja Hajah Amirah membela suaminya.

“Yalah mak tu…garang dengan adik tapi penyayang pada mak sorang je kut…”

“Adik kan pompuan…mestilah abah garang. Tak nak adik ikut dengan perangai gadis-gadis lain kat kampung ni. Ada yang sekolah tak habis, lepas tu suka berpeleseran dengan mat-mat rempit yang takde masa depan tu…sebab tu abah jaga adik, kawal adik supaya adik tak lalai macam budak-budak yang lain tu…”

“Tak semua budak sekolah adik macam tulah, mak…Kawan-kawan sekelas adik, ramai yang macam adik. Ramai yang serius nak belajar tinggi-tinggi macam adik dan yang nak punya masa depan yang cerah macam adik…Tengok je si Pian, Man dan Mas tu…”

Hajah Amirah mengangguk tanda setuju dengan pandangan anak bongsunya. Dia memang kenal dengan rakan-rakan yang disebut Aina Yasmin tadi. Merekalah yang setia berkawan dengan Aina Yasmin tanpa mengira rupa atau siapa pun anaknya itu. Setia menemani Aina Yasmin dengan hobi memancingnya pada kala ketiadaan anak-anak bujangnya, dan mereka jugalah yang sama-sama belajar secara berkumpulan ketika sibuk menghadapi peperiksaan SPM tahun lepas.

“Mak, sebab tu ke abah paksa adik bertunang dengan Abang Aazad?”

Hajah Amirah mengeluh. Keputusan suaminya itu jelas menghampakan Aina Yasmin. Masakan ketika usia anak gadisnya itu baru menginjak lapan belas tahun sudah dipaksa bertunang. Hajah Amirah merenung anak mata Aina Yasmin yang suram itu. Di hatinya turut merasakan kesuraman yang sama.

“Adik, abah tu sebenarnya sayang sangat-sangat pada adik. Kalau tak sayang, abah takkan guna duit pampasan yang abah dapat untuk tanah tepi jalan tu untuk sponsor adik belajar tau. Abah tak nak halang cita-cita adik nak pergi belajar overseas, tapi pada masa yang sama, abah takut nak lepaskan adik sorang-sorang pergi negara orang macam tu je. Adik muda lagi. Abah takut adik mudah terpengaruh dengan orang. Macam apa yang jadi pada Kak Munah dulu. Jadi, abah yakin yang sebagai tunangan orang, adik akan jaga maruah adik, adik akan tahu batas-batas pergaulan adik kat sana nanti…Adik takkan nak malukan kita sekeluarga dengan keluarga Abang Aazad, kan?”

Lembut sahaja Hajah Amirah mengambil masa untuk menjelaskan perkara sebenar kepada Aina Yasmin. Dengan anaknya yang bongsu ini, Hajah Amirah memang sentiasa bersikap lembut dan bersabar. Biarlah suami dia seorang yang tegas dengan anak-anak. Dia mahu Aina Yasmin sentiasa selesa untuk berkongsi rasa dengannya.

Aina Yasmin mengeluh kesal. Tidak pernah sudah dengan skandal sepupunya itu. “Balik-balik Kak Munah. Balik-balik Kak Munah. Kak Munah dengan adik, lainlah mak…Kak Munah tu kan lembik, senang jatuh cinta dengan orang hensem, lebih-lebih lagi mat saleh! Orang puji sikit dah cair…cakap cantik sikit dah meleleh air liur…lepas tu mengandung…Takkan abah ingat adik boleh jadi macam Kak Munah?” Aina Yasmin melepaskan geram. ‘Abah memang tak adil. Tak pasal-pasal aku kena bertunang dengan Abang Aazad…ni semua sebab si Munah tu…’

“Bukan macam tu adik…Mak dengan abah tahu adik bukan orang yang macam tu…tapi tak salah kan kalau mak dan abah ambik langkah berjaga-jaga dan pilihkan bakal suami adik? Lagipun adik kenal apa dengan Abang Aazad?”

‘Hailah mak…kalaulah mak tahu yang Abang Aazad bencikan adik…’ Aina Yasmin berbisik di dalam hati. Bagaimana agaknya reaksi Hajah Amirah sekiranya dia tahu tentang perasaan Ameer Aazad terhadap dirinya.

“Adik manalah kenal dengan Abang Aazad tu. Dia kan sebaya along. Dia selalu lepak dengan along dengan angah je…Dia mana pernah nak bertegur sapa dengan adik? Nak tanya khabar adik atau nak tanya pasal sekolah adik pun tak pernah…”

Dahi Hajah Amirah berkerut. Mengapa sedih sangat nada suara anak gadisnya itu? Sedih campur terkilan. Terkilan yang amat sangat… “Adik tak suka dengan Abang Aazad ke?” Hajah Amirah cuba mengorek isi hati anaknya.

Aina Yasmin terdiam. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan ibunya itu. ‘Suka? Suka yang macam mana? Suka tengok muka hensem dia tu adalah…’ Bagaimana hendak suka lebih daripada itu sekiranya bergaul dengan lelaki itu pun tidak pernah? Namun, Aina Yasmin mengakui yang dia suka mencuri-curi melihat ketampanan dan kemachoan yang dimiliki tunangnya itu dari dulu lagi…Sejak Aina Yasmin kenal erti ‘minat’ atau ‘crush’. Tapi suka?

“Nak suka macam mana mak kalau adik tak pernah pun duduk berbual dengan dia…tak tahu pun dia orang yang macam mana…” suara Aina Yasmin melirih. ‘Kecuali dia seorang yang suka menghina, suka memandang rendah terhadap orang lain dan seorang yang mementingkan paras rupa luaran sebagai perkara yang penting dalam mencari teman hidup…’ fikir Aina Yasmin.

“Lagipun, sejak Abang Aazad habis belajar dan kerja di KL, kan dia jarang balik kampung! Sudahnya, Auntie Shima yang selalu ziarah Abang Aazad kat KL tu…”

Aina Yasmin tunduk. Dia tidak mahu ibunya melihat riak wajahnya yang mempamerkan hatinya yang sakit dihiris seorang lelaki bernama Ameer Aazad.

“Mak, kenapa abah pilih Abang Aazad jadi tunang adik?” Mata Aina Yasmin masih direndahkan. Tidak memandang ke wajah ibunya.

“Entahlah…adik pun tahu kan yang abah sayang benar dengan Abang Aazad. Abang Aazad pun rapat dengan abah sejak arwah ayah Abang Aazad meninggal dulu. Kalau Abang Aazad ada masalah, dia mesti cari abah. Abang Aazad pun rapat dengan along dengan angah. Abah dah anggap Abang Aazad tu macam anak sendiri. Jadi mungkin abah yakin yang Abang Aazad akan jaga adik dengan baik…”

“Mak pulak? Mak yakin?”                                                                                  

Hajah Amirah terkedu. Entah mengapa lain benar cara anaknya bertanyakan soalan yang terakhir itu. Seolah-olah mencabar dirinya. Memanglah kalau difikirkan betul-betul, dia kurang bersetuju hendak menjodohkan Aina Yasmin dengan Ameer Aazad. Baginya, biarlah Aina Yasmin sendiri yang menentukan jalan hidupnya sendiri. Biarlah anaknya itu yang mencari calon suaminya sendiri. Lagipun Aina Yasmin masih terlalu muda dan mentah untuk dipaksa bertunang begini. Tetapi, kehendak suaminya tidak boleh dilarang. Takut-takut nanti, Aina Yasmin langsung tidak dibenarkan ke luar negara untuk menyambung pelajarannya.

“Insya-Allah, sayang! Takkan Abang Aazad nak sia-siakan adik…” Hajah Amirah cuba meyakinkan dirinya sendiri. Dia mula berasa tidak sedap hati. Cara Aina Yasmin meluahkan perasaannya tentang Ameer Aazad yang selama ini tidak pernah cuba berbual dengannya membuat dia rasa tidak selesa. Dia tidak pernah perasan akan hubungan Ameer Aazad bersama Aina Yasmin. Sangkanya tentu mesra seperti hubungan lelaki itu bersama kedua-dua anak lelakinya. Dahlah rumahnya dengan sepupunya, Shima tidak jauh. Mereka sekampung. Kalau naik kereta, tak sampai lima minit dah sampai. Tapi, mestilah naik kereta. Kampung mereka ni besar juga. Sehinggakan rumah ini sudah menjadi persinggahan tetap buat Ameer Aazad. Dia pula asyik sibuk mengajar di sekolah. Langsung tidak menyedari ketiadaan sebarang hubungan antara Ameer Aazad dengan Aina Yasmin.

‘Agaknya Aazad setuju pun sebab rasa terhutang budi dengan suami aku tu! Dia pun terpaksa…’ Hati Hajah Amirah berbicara.

“Adik, adik rehatlah dulu…Adik tak payah risau. Kalau adik lapar, adik keluarlah makan, ya? Lauk tadi banyak lagi mak simpan kat dapur.” Hajah Amirah memujuk.

Hmmm…” balas Aina Yasmin ringkas.

“Barang-barang adik yang nak dibawak dah kemas ke? Adik jangan tangguh-tangguh. Tak lama lagi adik dah nak berlepas…”

“Yalah mak…Nanti adik kemas sikit-sikit…”

“Okey, mak keluar dulu, ya?”

Aina Yasmin mengangguk kecil dan melihat kelibat ibunya keluar dari biliknya. Dia mengeluh kembali. Diari yang disorok tadi dicapai semula. Ligat tangannya menulis dan menulis…

************

“Man, kau dah siap kemas barang kau?” Suara Sufian, atau lebih dikenali sebagai Pian, kedengaran agak kuat di gerai Pak Bakar, tempat kegemaran rakan berempat itu melepak.

“Adalah sikit-sikit? Kau?” balas Lukman.

“Entah, mak aku yang tolong kemas…aku tolong tengok je…” selamba Sufian menjawab. Air teh-o ais limau di hadapannya dihirup laju. Tiga kepala menggeleng-geleng mendengar balasan Sufian.

“Dasar anak manja!” usik Mastura.

Sufian hanya mengangkat bahu tanda tidak kisah. Dia sudah lali dengan usikan yang sama daripada Mastura.

“Kau Min?” tanya Sufian.

“Dah mula packing tapi tak habis lagi…”

“Aku sedihlah…” mulut Mastura memuncung. “Korang dapat belajar kat luar negeri. Aku kat sini je. Lecehlah bapak aku ni. Tak bagi aku sambung belajar overseas macam korang semua…” Entah untuk kali yang ke berapa Mastura mengadu. Sedih betul dia kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan baiknya itu.

Lukman, Sufian serta Aina Yasmin dapat melanjutkan pengajaran ke Amerika Syarikat walaupun Aina Yasmin di universiti yang berbeza dan jauh dari Lukman dan Sufian. Dia terpaksa mengikut arahan bapanya untuk sambung belajar di Universiti Islam Antarabangsa sahaja. Hasrat untuk ke luar negara terpaksa dilupakan, walaupun ayahnya sama-sama mendapat habuan pampasan daripada kerajaan seperti ayah rakan-rakannya dan lebih daripada mampu untuk menghantarnya ke sana.

“Cakap orang anak manja, dia lagi manja!” ngomel Sufian. “Sampai kaki kena ikat…”

Terus mencuka wajah Mastura. Dia menjeling Sufian tajam. Terbit rasa simpati dalam diri Aina Yasmin. Dia juga tidak sanggup berpisah dengan Mastura, padahal cita-cita mereka sama.

“Kau janganlah kacau dia, Pian! Aku bagi kau sebijik nanti…” Aina Yasmin pura-pura berlagak marah sebagai mengambil hati Mastura. Penumbuk dikepal dan dilayangkan di hadapan wajah Sufian. Seperti biasa, Sufian buat tidak endah.

Aina Yasmin mengalih wajah ke arah gadis yang duduk di bangku bersebelahan dengannya. “Kau janganlah sedih, Mas. Kita orang janji, kita orang takkan lupakan kau. Sekarang ni macam-macam ada. FB, e-mel, skype, chat…kau pilih je… kita orang kan dah janji yang kita orang takkan sekali-kali putus sahabat?”

Sufian dan Lukman bersungguh-sungguh menganggukkan kepala. Macam burung belatuk sahaja lagak mereka.

“Nanti aku sunyi…aku mesti rindukan korang semua…korang jauh…” suara Mastura semakin melirih.

“Nanti kau mesti akan jumpa kawan baru kat UIA tu… kita orang pun sama. Semua kena buat kawan baru…Entah-entah kau yang akan lupakan kita orang semua bila dah dapat kawan baru nanti…” Lukman pula memberi kata-kata perangsang.

Mastura mencebik. Dia tahu dia tidak akan sekali-kali melupakan mereka bertiga ini. Teman-teman yang sudah dianggapnya teman sehidup-semati ini.

“Eh, kenduri aku esok, korang jangan lupa tau. Mak bapak aku nak buat doa selamat sikit…” Aina Yasmin mengingatkan. Cuba melarikan topik perbualan mereka agar Mastura tidak berterus-terusan dengan kesedihannya.

“Eh mestilah kita orang ingat…Abang Aazad kau datang tak? Aku frust betul tak dapat datang masa kau bertunang hari tu. Time tulah pulak mak cik aku nak masuk hospital…” Mastura mengomel tidak puas hati.

“Hesy kau ni! Tak baik cakap macam tu. Bukannya dia sengaja nak sakit! Kau ni pun…” Aina Yasmin menegur sahabatnya itu. Memang gadis ini mulutnya main lepas je. Takde insurans betul mulut si Mastura ni.

Lukman tersenyum menyindir melihat Mastura ditegur Aina Yasmin begitu. Memang perwatakan Lukman begitu. Pendiam tetapi orangnya sangat-sangat observant! Dia lebih suka memerhati daripada bercakap. Tapi sesekali dia bersuara, pasti semua akan mendengar!

Mastura tidak menghiraukan teguran Aina Yasmin itu. “Cepatlah, Min. Abang Aazad datang ke tak?”

Aina Yasmin menjongket bahu. Sungguh! Dia tidak tahu sama ada tunangnya yang satu itu akan pulang ke kampung hanya untuk menghadiri majlis doa selamat untuknya atau tidak. Sesungguhnya dia gadis yang sedar diri. Tahu dia bukan sesiapa pun di hati lelaki itu. ‘Kalau dia tak datang pun lagi bagus!’

Lukman dan Sufian berbalas pandang. Bagai ada yang tidak kena dengan reaksi Aina Yasmin itu. Wajahnya tiba-tiba berubah mendung tatkala nama Ameer Aazad disebut.

“Kenapa dengan kau ni?” Sufian bertanyakan soalan yang bermain di fikirannya dan juga Lukman. “Ada apa-apa ke yang kau nak kongsi dengan kita orang ni?”

Takde apa-apalah…Eh! Minggu ni jangan lupa tau. Last kita pergi memancing…” Cekap sungguh Aina Yasmin mengubah topik perbualan sekali lagi.

Walaupun Sufian dan Lukman masih tidak puas hati dengan sikap acuh tidak acuh Aina Yasmin tadi, mereka mengiakan sahaja tanda setuju dengan cadangan Aina Yasmin hendak memancing. Empat orang sahabat itu terus menghirup minuman sambil berbual mesra…


4 comments:

  1. memang ada org ikut keturunan ...itu dulu Min... tapi sekarang jgn terperanjat ya en tunang...hihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya Kak Sue... memang ada... hehehe mesti terperanjat punya...:)

      Delete
  2. Hiii..transform betul ya Aina Yasmin ni nanti..dari sekeping kpd solid..body model kot😉😉

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya kak... Late bloomer gitu... Hehehe

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....