Wednesday, 30 August 2017

SE Cerpen Air Mata Seorang Lelaki


Amzar melangkah masuk ke dalam kamar tidur. Mata menangkap kelibat isterinya yang duduk di sofa sambil membaca novel. Izara mengangkat mata lalu bingkas bangun dari sofa. Novel di tangan diketepikan begitu saja. Bibir sudah menguntum senyuman manis. Tangan Amzar diraih lalu dikucup mesra. Suara tidak mampu bertanya soalan yang terbias di hati.

“Zara tak tidur lagi?” soal Amzar. “Dah lewat sangat ni…” Mata tak lepas dari wajah isterinya. Mengharapkan agar Izara akan bertanyakan sebab dia sering pulang lewat ke rumah dua-tiga menjak ini.

“Belum, tak ngantuk lagi…” balas Izara. Tangan sudah sibuk mengambil tuala untuk Amzar. “Abang dah makan?”

“Dah… abang makan dengan klien tadi,” jawab Amzar. Tuala yang dihulur Izara disambut. Diri masih menunggu Izara bertanyakan soalan yang selanjutnya.

“Oh, okey.”

Berkerut dahi Amzar melihat Izara kembali duduk di sofa. Okey je? Takde nak tanya apa-apa lagi? Bersama suatu keluhan, Amzar berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri.

Usai mandi, Amzar mengerjakan solat yang tertangguh sebelum melabuhkan penat di birai katil. Hati kurang enak mengenangkan si isteri yang seakan memendam rasa dan mendiamkan diri. Langsung tiada rasa bimbang ke di hati isterinya? Atau sekurang-kurangnya rasa ingin tahu?

“Zara,” seru Amzar.

“Ya?”

“Sini kejap,” gamit Amzar.

Sekali lagi Izara meletakkan novel yang sedang dibaca ke atas sofa sebelum akur akan permintaan Amzar. Punggung dilabuhkan di sebelah suaminya.

Amzar menatap wajah manis isterinya yang sentiasa murah dengan senyuman. Sejak mereka kembali bersatu menjadi suami dan isteri beberapa bulan yang lalu setelah hampir-hampir bercerai, Amzar merasakan dunianya begitu bermakna. Cinta yang dulu, membuat dirinya jauh dari keluarga dan jauh dari Sang Pencipta, tapi cinta yang dirasakan kini membuat dirinya rasa begitu sempurna.  

“Ada apa bang?” soal Izara tatkala merasakan mata Amzar sudah lama singgah di wajahnya.

Amzar berdeham kecil. “Zara ada nak tanya abang apa-apa?”

Untuk seketika senyuman di bibir kelihatan goyah sebelum pantas Izara menyembunyikan perubahan pada reaksinya. “Takde. Kenapa?”

Amzar menelan rasa kecewa. Izara seorang isteri yang terlalu berhati-hati, terlalu menjaga tutur katanya dan terlalu ingin menjaga hati Amzar sehinggakan, Amzar merasakan Izara terpaksa korbankan perasaannya sendiri. Dia tidak mahu Izara begitu. Tidak mahu apa-apa perasaan negatif yang terkumpul dan dipendam, akan semakin membukit lalu meletus begitu saja suatu hari nanti.

“Dah berapa lama Zara ikut abang balik KL?”

Emmm… dah nak masuk tiga bulan,” jawab Izara.

“Dalam masa tiga bulan ni, Zara bahagia tak hidup dengan abang?”

Laju kepala Izara mengangguk. Merekah senyuman di bibir Amzar.

“Betul?”

“Betul! Saya bahagia sangat bang!”

“Abang nak tanya... apa definisi bahagia untuk Zara?”

Errr... kenapa abang tanya macam tu? Saya tak faham,” ujar Izara dengan dahi yang berkerut.

“Saja je abang nak tahu...”

Izara terdiam seketika. Terasa pelik dengan pertanyaan daripada suaminya. “Emmm... Saya bahagia sebab kehidupan saya sekarang serba-serbi cukup semuanya. Abang sediakan semua keperluan saya, abang izinkan saya bekerja, abang jaga keperluan adik-adik saya... Semualah! Jadi, mestilah saya bahagia!”

Amzar mencapai tangan isterinya. “Macam mana dengan hati dan perasaan Zara?”

 “Hati dan perasaan saya?” soal Izara dengan suara yang jelas keliru.

“Ya,” tutur Amzar.

“Mestilah bahagia...”

Terjongket kening Amzar.

“Zara...”

“Abang sebenarnya nak tahu apa ya? Saya kelirulah dengan soalan-soalan abang ni!” celah Izara laju.

Amzar mengeluh perlahan. “Kenapa abang rasa yang Zara tak berterus-terang dengan abang?”

Izara tidak mengerti. Wajahnya berkerut cuba memikirkan maksud di sebalik kata-kata suaminya.

“Atau Zara memang tak kisahkan abang?”

“Abang!” Membulat mata Izara. Terkedu dengan tuduhan Amzar.

Amzar mengelus lembut rambut isterinya yang lepas bebas. Wajah isterinya yang tegang ditatap lembut. “Zara... Zara tak kisah ke abang balik lambat tiap-tiap malam?” soal Amzar dengan suara yang perlahan. Terluah jua apa yang selama ini mengganggu jiwanya. “Sekali pun Zara tak pernah tanya kenapa abang balik lambat, abang meeting dengan siapa atau abang dinner dengan klien mana. Zara tak kisah ke?” Amzar mengulang pertanyaannya.

Izara tunduk. Menyembunyikan wajah.

“Zara tahu tak yang Zara ada hak nak tahu semua yang berlaku dalam hidup abang?”

Wajah itu masih menekur paha.

“Pandang abang, Zara,” pinta Amzar lunak.

Lambat-lambat Izara menurut permintaan suaminya.

“Kenapa Zara tak pernah nak tanya abang?”

Izara menelan liur. Kesat. Garis-garis resah serta ragu-ragu memenuhi di setiap ruang wajah.

Tell me, Zara. Abang nak tahu,” pujuk Amzar lagi tatkala melihat isterinya masih membisu.

Mata Izara memancar riak pilu. “Dulu, pernah sekali saya tanya abang kenapa abang tak balik rumah. Tapi... abang... abang...” Mati kata-kata Izara. Tidak mampu untuk disudahkan.

Satu keluhan berat dilepaskan Amzar. Mata dipejamkan seketika. Mengertilah kini sebab Izara memendam rasa. Episod yang diungkit Izara terlayar di ruang mata. Setiap hamun, setiap kata nista seakan tidak bisa untuk diulangi. “Maafkan abang. Abang tak pernah terfikir yang ketakutan Zara pada masa tu akan terbawa-bawa sampai sekarang.” Amzar menekup pipi Izara. Kesal dengan kisah lama mereka yang jelas masih meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada isterinya.

“Zara takut abang akan marah ke kalau Zara tanya?”

Teragak-agak Izara menganggukkan kepala.

Perlahan-lahan Amzar menarik tubuh kecil isterinya ke dalam pelukan. “Zara...” Itu saja yang mampu terbit dari helaan nafas Amzar.

Lama Amzar memeluk isterinya. Ingin melenyapkan rasa sangsi, rasa takut dan rasa ragu-ragu yang masih bertapa di hati Izara. Dan Izara hanya membiarkan dirinya hanyut dalam dakapan Amzar.

Setelah sekian lama, Amzar akhirnya merungkaikan pelukan. Namun tangan Izara tidak dilepaskan. “Zara... abang dah pulangkan semua hak Zara sebagai isteri abang. Sepatutnya, kat hati Zara ni, dah takde rasa takut-takut atau ragu-ragu lagi. Zara ada hak nak tanya apa saja soalan pada abang dan abang janji abang takkan marah Zara lagi...” Tangan Izara diramas lembut. “Abang ingatkan yang Zara dah tak kenang lagi kisah lama kita...” Lirih suara Amzar. “Tapi rupa-rupanya...”

“Saya... saya...” Tergagap-gagap Izara cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk meredakan suasana.

“Abang faham, Zara... abang tak salahkan Zara... Cuma abang harap sangat yang Zara akan cuba tinggalkan semua kenangan pahit kita...”

“Saya minta maaf, bang. Bukan saya tak nak bertanya... Tiap-tiap malam, mulut ni macam ringan je nak tanya itu ini. Tapi bila saya ingat balik yang abang pernah marah saya dulu, saya diamkan saja. Lagipun, saya tak nak abang fikir yang saya tak percayakan abang...” jelas Izara akhirnya.

“Zara, kalau sekadar bertanya, abang takkan fikir yang Zara tak percayakan abang. Abang tak nak Zara pendamkan semua perasaan Zara, terutamanya perasaan yang tak elok atau yang negatif. Abang takkan marah, Zara, percayalah...” Bersungguh-sungguh Amzar cuba meyakinkan Izara. Bukan dia tak sedar luka yang pernah dipalitkan ke hati isterinya itu. Bukan sedikit dan tentu juga bukan sehari-dua.

“Tolong jangan pendam apa yang Zara rasa. It’s not healthy for the both of us...”

“Saya... saya cuba bang...”

“Sekarang peluang Zara nak tanya abang apa saja. Tanyalah...”

Izara memberanikan diri menatap tepat ke mata suaminya. “Abang... abang balik lambat hari-hari seminggu-dua ni kenapa?”

“Ada projek yang papa nak abang tolong settlekan. Pengurus syarikat yang selama ni uruskan projek tu tiba-tiba bersalin awal dua minggu sudah. Jadi takde orang boleh ganti memandangkan semua pun sibuk dengan projek masing-masing.”

“Oh... Errrr... abang makan malam dengan siapa tadi?” Izara bertanya lagi.

Koyak senyuman di bibir Amzar. Lega dengan perkembangan positif yang dipamerkan si isteri.

“Dengan klien.” Ringkas saja penjelasan Amzar. Sengaja. Ingin melihat sejauh mana Izara berani menyuarakan soalan demi soalan demi mendapat jawapan yang akhirnya akan memuaskan hatinya.

“Klien?”

Hmmm...”

“Klien lelaki ke perempuan?”

Semakin lebar rekahan di bibir lelaki itu. Entah mengapa soalan Izara yang terakhir ini amat menyenangkan hatinya. Pelik bukan? Dia yakin lelaki lain tentu tidak akan merasa senang dengan soalan sebegitu. Tapi dia? Dia gembira betul! Ada bintik-bintik cemburu pada sorotan mata isterinya.

“Perempuan...” jawab Amzar dengan mata yang tak lepas dari mata isterinya.

“Pe... perempuan?”

“Haah. Mrs. Rani nama dia. Dia datang dengan anak dan menantu dia...”

Izara melarikan mata. Namun sempat Amzar menangkap riak lega yang terpancar dari segenap rongga wajah isterinya itu. Amzar mencuit hidung Izara. “Lega?”

Izara menjeling suaminya. Sesuatu yang jarang-jarang sekali dilakukannya. Pecah tawa Amzar. Sekali lagi tubuh isterinya itu didakap erat. Bahagia datang bertimpa-timpa.

“Ada apa-apa lagi Zara nak tanya?” Lembut suara Amzar.

Kepala digeleng laju.

“Esok Zara tak kerja, kan?”

Hmmm...” balas Izara di dada Amzar.

“Jom dating?” ajak Amzar.

Izara melabuhkan mata. Terasa nyaman sehinggakan mata terasa semakin memberat. “Nak pergi mana?” gumamnya perlahan.

“Mana-mana je Zara nak pergi...”

“Saya nak pergi KLCC...”

“KLCC? Okey. Boleh je. Zara nak tengok wayang ke?” soal Amzar ingin tahu.

Kepala di dada Amzar menggeleng sekali. “Tak...”

“Habis tu?”

“Saya nak popcorn cheese yang mahal tu... Yang abang pernah belikan tu...”

Bertaut kening Amzar. Mahu ke KLCC hanya kerana inginkan bertih jagung jenama Garrett tu? Ada apa-apa ke ni?

“Zara?”

Diam. Tiada balasan.

Perlahan-lahan Amzar merenggangkan pelukan. Kepala Izara yang seakan melentok ke bawah disambut dengan bahunya. Terbit senyuman di bibir Amzar. Tubuh Izara diangkat sedikit lalu dilabuhkan ke atas katil. Rambut Izara yang menutup di bahagian dahi dielus ke belakang. Sebuah ciuman singgah di dahi Izara.

Mata Izara terbuka kembali. “Abang?”

Amzar mencuri peluang untuk bertanya. Tidak sanggup rasanya menunda ke esok pagi. “Zara, kenapa Zara nak makan popcorn cheese tu?”

“Sebab sedap...”

“Sebab sedap je ke?” usik Amzar. Wajahnya masih rapat dengan muka Izara. Matanya dalam menusuk ke dalam mata Izara. “Bukan sebab lain?”

“Sebab lain apa?” Terkebil-kebil mata Izara. Tidak mengerti. Mata sudah terlalu mengantuk.

“Zara mengidam ke?”

“Mengidam?” Besar kembali mata Izara. “Mana ada?”

Ohh...” Amzar tidak dapat menyembunyikan nada kecewa dari suaranya.

“Abang...”

Hmmm?”

“Belum rezeki kita...” ujar Izara perlahan. Tangan diangkat lalu pipi Amzar diusap lembut. Tahu kini maksud di sebalik pertanyaan suaminya.

Amzar mengangguk sambil tersenyum. “Abang tahu...” Mata jatuh ke bibir merah isterinya. Nampak begitu menggiurkan.

“Sabar ya bang...” pujuk Izara.

Selfish abang ni kan? Padahal Zara masih muda untuk jadi seorang ibu...”

Giliran Izara pula tersenyum. “Arwah mak lagi muda masa bersalinkan saya dulu...”

Mata Amzar bercahaya. “Jadi Zara tak kisah ke kalau kita ada anak sekarang? Yalah... abang ni dah tua...”

Nyaman kedengaran ketawa kecil Izara di telinga Amzar. Begitu indah... begitu merdu...

“Tua ke abang ni? Hmmm...” usik Izara. Wajah Amzar yang masih dekat di depan mata ditatap puas. Wajah yang sudah merasuk di segenap jiwanya. Jari sudah meleret di pipi suaminya itu. “Kulit dah berkedut ya? Rambut dah ada uban?”

Amzar menangkap jari Izara lalu digenggam erat. Tidak tahan dengan sentuhan Izara. “Tak kisahlah tua pun! Yang pasti abang tetap power, kan?”

Membulat mata Izara. “Abang!” Pipi sudah memerah.

Pecah tawa Amzar. Kuat.

Syyyy! Nanti mama dengan papa terjaga,” pesan Izara dengan wajah yang masih terasa pijar.

Dan Amzar masih melayan tawanya.

“Teruklah abang ni!” Izara menolak tubuh Amzar agar menjauhinya. Kononnya merajuk.

Amzar berkalih tempat lalu baring di sebelah isterinya. Kepala dilabuhkan di atas bantal kepunyaan Izara. Laju tangan menyauk tubuh isterinya agar terkunci dalam pelukannya. Izara hanya merelakan. Tangan turut melingkar di pinggang Amzar.

“Betul apa yang abang cakap tadi!” Amzar masih tidak mahu kalah. “Nak abang buktikan ke?” bisik Amzar penuh romantis dekat di telinga Izara.

Kelu lidah Izara seakan digam. Sekali lagi ketawa kecil Amzar menyapa halwa telinganya. Tawa berbaur usikan penuh menggoda. Jantung sudah berdegup hebat. Disambut mesra oleh dentuman jantung di dada Amzar.

Rambut ikal Izara dielus lembut. Selembut kucupan yang hinggap di kepala Izara.

“Sayang abang ni masih malu-malu nampaknya...”

Izara diam tidak membalas. Dia membetulkan letak duduk kepalanya di dada Amzar agar lebih selesa.

“Zara dah mengantuk ke?” Diam Izara membuat Amzar bersuara semula.

Hmmm...”

“Tapi abang tak mengantuk lagi...” bisik Amzar.

Izara cuba mengawal larian jantungnya. Tahu apa yang dimaksudkan oleh suaminya itu. “Kalau abang tak ngantuk, abang pergilah tengok TV,” saran Izara dengan suara yang cuba dikekalkan serius. “Mesti ada cerita yang best malam-malam macam ni...”

“Tapi abang lebih berminat nak buat cerita abang sendiri. Zara nak tengok tak cerita tu? Cerita tu gerenti best! Lepas dah habis nanti, tidur Zara mesti lena sampai ke pagi...”

Gulp!

“Zara,” seru Amzar bersama deruan nafas yang semakin berat.

Hmmm?”

“Abang tutup lampu tau. Cerita dah nak mula ni...” Amzar menjarakkan diri seketika lalu bangun dari katil. Sekelip mata pandangan Izara berubah gelap. Hanya cahaya lampu dari laman luar yang menerobos masuk melalui tingkap kamar mereka menyerlahkan bayang-bayang figura Amzar yang kembali mengambil tempatnya. Tak berkelip mata Izara menantikan aksi seterusnya daripada Amzar.

Senyuman yang terukir di bibir Amzar tidak mungkin dapat ditangkap mata Izara, namun Amzar tidak kisah. Dia sudah terjangkit penyakit murah dengan senyuman daripada isterinya. Sesungguhnya, moodnya sentiasa baik, sentiasa elok jika bibir mengukir senyuman yang ikhlas. Bahasanya juga indah dan sentiasa lembut. Lembut yang hadir tanpa dipaksa. Melihat wajah Izara sahaja, jiwa secara automatik akan menjadi tenang... dan ketenangan itu akan melahirkan keinginan ingin melimpahkan segenap rasa bahagia kepada insan yang bertanggungjawab menjadikan dia seorang lelaki yang lebih baik...

“Zara tahu abang sayangkan Zara?” lunak suara Amzar.

Dalam kemalapan suasana, Izara membalas renungan suaminya. Dia mengangguk kecil.

“Kenapa Zara diam je?”

“Saya... saya masih tak biasa dengan abang yang sekarang. Kadang-kadang saya rasa macam saya ni bermimpi...” luah Izara ikhlas.

“Zara takut abang akan berubah semula macam dulu ke?”

“Tak... bukan macam tu. Saya nampak keikhlasan abang. Saya boleh rasa kat dalam hati ni. Dan saya yakin abang takkan berubah kembali macam dulu...” Izara menekup pipi Amzar. “Cuma saya masih tak biasa... Abang yang dulu dengan abang yang sekarang, sangat-sangat berbeza!”

Hilang senyuman di bibir Amzar mendengar kata-kata isterinya. Tapi sedikit pun Amzar tak salahkan Izara. Tiada apa pun yang boleh dibanggakan dengan dirinya yang dulu. Hati masih sukar untuk percaya bagaimana Izara bisa jatuh cinta dengan Amzar versi yang dulu. Namun dia tetap bersyukur Allah titipkan rasa cinta di hati isterinya dan juga di hatinya. Suatu keajaiban yang tak akan sekali-kali dilupakan seumur hidup!

“Insya-Allah abang yang dulu dah mati, Zara. Yang ada sekarang ni abang yang sangat-sangat cintakan Zara...” lirih suara Amzar. Matanya sedikit berkaca.

“Saya tahu,” bisik Izara. Mata yang menatap jauh dalam ke anak mata Amzar sarat dengan pengertian. “Saya tahu, abang...”

“Tapi abang harap, Zara yang dulu dan Zara yang sekarang, takkan pernah berubah. Abang cintakan Zara seadanya.”

Izara merapatkan diri ke tubuh Amzar dan tangan semakin erat melingkar di pinggang suaminya. Terharu dengan luahan Amzar. Begitu menggetarkan sukmanya. Mulut tidak bisa menuturkan balasan yang setimpal dengan ungkapan rasa daripada si suami. Hanya bahasa tubuh menyambut luahan bicara daripada Amzar.

Sejak Amzar menjadi suaminya yang sebenar-benarnya, tidak pernah terlintas di hati Izara yang Amzar akan kembali berubah seperti dulu. Sedikit pun tidak. Hati nuraninya begitu yakin dengan hikmah yang dikurniakan Sang Pencipta kepadanya. Setiap yang berlaku pernah terselit duka, duka yang teramat dalam! Namun berkat kesabarannya, serta doa yang tak pernah putus, bahagia yang hadir tak terduga keajaibannya. Jika difikirkan, segala yang dialaminya kini, tak pernah terjangka atau tercapai oleh akal fikiran.

Amzar mencintainya? Sesuatu yang tak pernah terduga. Namun, cinta Amzar itulah yang dirasakannya saban waktu. Seolah-olah, sedetik pun Amzar tidak mengizinkan dia bernafas tanpa diselimuti dengan kehangatan cinta daripada suaminya itu!

Aneh? Mungkin... Tapi bukan mustahil!

“Zara pun cintakan abang seadanya...” lafaz Izara penuh syahdu. Dia melangut agar matanya dapat menatap wajah Amzar.

Amzar melekatkan dahinya ke dahi Izara sebelum memejamkan mata. Namun sempat Izara menangkap mata berkaca suaminya. Syukur Amzar memejamkan matanya kerana Izara tak sanggup lagi melihat lelaki itu membazirkan air matanya lagi. Lebih-lebih lagi ketika mereka kini sedang enak meniti bahagia.

Alunan nafas mereka sekata. Degupan jantung mereka seirama. Melagukan rentak yang semakin lama semakin rancak. Terbuai-buai mereka jadinya.

Dan tika sepotong doa dibaca, Izara secara automatik menjadi pelakon utama dalam sketsa cerita yang dimainkan oleh Amzar. Cerita cinta yang akan dibawa sampai ke syurga, Insya-Allah....

~ TAMAT ~

Sunday, 23 October 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 10 (Akhir)



Izara masih malu-malu berkumpul begini di ruang tamu rumah mentuanya. Sebelum ini, dia dan Amzar sekadar berlakon di hadapan Datuk Arifin serta Datin Khadijah. Hanya Zaim yang bisa meneka segala penipuan dengan tepat. Tapi kini, dia seolah-olah berada dalam mimpi. Amzar seakan melekat di sisi. Perginya seketika ke dapur pun diekor rapat melalui pandangan mata suaminya itu.

Bercahaya wajah Datin Khadijah. Sudah lama tawanya tidak kedengaran di dalam rumah ini. Wanita tu kelihatan sepuluh tahun lebih muda daripada semalam. Semuanya kerana gadis bertudung biru yang kini sudah kembali duduk di sebelah anak sulungnya. Kepulangan Amzar dinanti dengan penuh debaran. Amzar langsung tidak memaklumkan kepada mereka akan keputusan Izara. Hanya setelah tubuhnya dipeluk menantu yang dirindu selama ini meyakinkannya bahawa doa serta harapannya telah diperkenankan Ilahi.

“Papa nak buat kenduri doa selamat... Sejak abang dah baik pun kita tak buat kenduri. Nanti kita buat sekali sempena ulang tahun pertama perkahwinan abang dengan Zara,” umum Datuk Arifin penuh ceria.

“Mama setuju! Nanti kita jemput abah dengan adik-adik Zara kat kampung, ya? Tak lama lagi pun dah nak cuti sekolah...” sambung Datin Khadijah teruja.

“Boleh, pa. Abang setuju...” Amzar bersuara.

Datuk Arifin bangun. “Jom, Jah. Kita naik. Banyak benda saya nak bincang dengan Jah...”

Sempat Datin Khadijah melabuhkan ciuman di kepala Izara dan mengusap kepala Amzar sebelum membuntuti suaminya. “Hari ni hari paling bahagia untuk mama...” bisik Datin Khadijah.

Zaim melihat kedua orang tuanya berlalu. Mata kini berlabuh ke wajah abangnya yang berseri-seri serta kakak iparnya yang sentiasa tenang dan ayu. “Welcome back to the family, Kak Zara...” Ucapan yang tidak sempat dilafazkan tadi, kini meniti di bibir Zaim.

Membulat mata Izara mendengar Zaim memanggilnya dengan gelaran ‘Kak Zara’. Sedar yang lelaki itu sudah menerimanya sebagai seorang kakak ipar dan tidak lagi menaruh harapan padanya. “Terima kasih, Zaim...”

“Abang, aku doakan korang berdua akan bahagia hingga ke akhir hayat. Aku tumpang bahagia korang tak jadi berpisah...”

Amzar mengangguk. Gembira hubungannya yang renggang dengan Zaim sejak kehadiran Izara sudah pulih sepenuhnya. Sesungguhnya Amzar terhutang budi dengan Zaim kerana telah menyedarkannya akan segala yang pincang dalam kehidupannya. Marah Zaim terhadap dirinya sememangnya patut dan wajar. Zaim telah berjaya mencelikkan matanya yang sudah lama buta.

Zaim menghulurkan tangan ke arah abangnya. “Aku nak keluar kejap.”

Amzar bangun namun menepis tangan Zaim. Sebaliknya, tubuh Zaim dipeluk sambil bahu adiknya itu ditepuk-tepuk. “Thanks, Zaim!” ucap Amzar penuh ikhlas.

“Jom, Zara. Kita masuk berehat...” ajak Amzar. Bilik tetamu yang dihuni Amzar ketika sakit dahulu menjadi arah langkah Amzar. “Kita duduk kat sini dulu. Kaki abang masih tak berapa kuat nak panjat tangga naik ke bilik lama abang kat tingkat atas...”

Errr... kita tidur kat sini ke malam ni?” soal Izara ingin tahu. Dia melabuhkan duduk di sofa baharu yang tidak sempat digunakan sebagai alas tubuhnya sebelum ini. Amzar duduk rapat di sebelahnya.

“Zara, kondo abang tu abang dalam proses nak jual pada Zaim. Banyak sangat kenangan buruk antara abang dengan Zara kat dalam rumah tu. Abang nak bina hidup baru dengan Zara. Tapi, buat sementara waktu ni, kita duduk kat sini dulu, ya? Zara tak kisah kan?”

Izara tersenyum. “Saya tak kisah. Kat sini je pun takpe...”

Senyuman Izara dibalas mesra. “Abang nak mandi dulu. Nanti lepas ni kita solat sama-sama...”

Bahagia menyentap hati mendengar Amzar berbicara tentang solat. Semoga suaminya akan sentiasa istiqamah... Insya-Allah...

*******

“Kenapa Zara suka sangat duduk kat laman ni?” tanya Amzar seraya mengambil tempat di sebelah isterinya di atas bangku di halaman rumah orang tuanya. Angin sepoi-sepoi bahasa terasa nyaman menampar ke wajah.

“Macam mana abang tahu saya suka duduk kat sini?” soalan Amzar dijawab dengan pertanyaan lain.

“Zara tak perasan ke kalau abang duduk kat katil bilik kita tu, pemandangan tingkap abang akan bertumpu ke sini?”

Membulat mata Izara. Sungguh dia tak tahu.

“Dan kalau tingkap terbuka, abang boleh dengar kalau Zara berbual dengan sesiapa kat luar ni...” Ada mesej yang tersirat pada kata-kata Amzar itu.

Mata Izara melawan pandang mata suaminya. “Abang... abang tahu? Pasal Zaim?” Teragak-agak Izara bertanya.

“Abang dah lama tahu... Dari mula papa nak satukan abang dengan Zara, Zaimlah yang paling kuat membantah selain abang. Abang hairan jugak, tapi abang ingatkan yang Zaim sokong niat abang nak kahwin dengan Tina... Rupa-rupanya, Zaim menentang cadangan papa sebab dia dah jatuh hati kat Zara. Abang perasan daripada cara dia tenung Zara sejak mula...”

Izara tunduk. Rasa bersalah terhadap Amzar datang menyapa.

Amzar menongkat dagu isterinya dengan jemarinya. “Abang tak pernah salahkan Zara, sebab abang juga perasan yang Zara sedikit pun tak pernah balas perasaan Zaim. Abang pernah dengar Zara berbual dengan Zaim kat sini satu malam lepas abang accident tu. Malam tu abang sedar yang abang sebenarnya cintakan Zara. Kalau tak cinta, kenapa abang perlu rasa cemburu dan marah yang amat sangat bila dengar Zara berbual dengan Zaim kat sini? Cuma ego abang buat abang tak mahu mengaku perasaan abang yang sebenar...” keluh Amzar.

“Saya ada perasan yang abang dah tak marah-marah sangat beberapa minggu sebelum mak meninggal tu. Abang lebih banyak diam...”

Amzar menyelit rambut Izara yang terlepas dari ikatan ke belakang telinga. “Masa tu abang dah penat, Zara. Penat nak melayan rasa benci kat dalam hati abang ni, sedangkan Zara tak bersalah. Bila Zara mengaku kat abang yang Zara terpaksa tinggalkan kekasih Zara untuk berkahwin dengan abang, abang sedar betapa selfishnya abang selama ni. Meletakkan 100% kesalahan kat bahu Zara, sedangkan Zara pun terpaksa macam abang...”

Bahu Izara dirangkul dan ditarik rapat ke dada. “Abang macam masih tak percaya Zara ada kat sini dengan abang... Walaupun abang tak layak untuk dimaafkan, apa lagi nak terima peluang kedua daripada Zara, tapi abang bersyukur sangat. Allah masih sayangkan abang... Allah makbulkan doa abang...”

“Kita akan jadi lebih tenang kalau kita selalu memaafkan, abang. Tu pesan arwah mak pada saya dulu. Saya pun tentu ada buat salah pada abang, kan? Saya pun bukan isteri yang sempurna...”

“Zara dah cukup sempurna buat abang... Mulai hari ni, abang pulangkan semua hak Zara sebagai isteri abang yang abang nafikan dulu. Zara berhak ke atas semua milik abang, termasuk hati dan cinta abang...”

Rasa terharu yang mencengkam dada membuat Izara tidak mampu bersuara.

“Zara?”

Hmmm?”

“Sejak bila Zara mula sayangkan abang?”

“Saya tak tahu betul-betul sejak bila, tapi yang pasti, hari yang abang cakap pada mama dan papa yang abang nak ceraikan saya tu, sakit yang saya rasa kat hati saya masa tu, tak pernah saya rasa seumur hidup saya. Lebih sakit daripada ketika saya terpaksa berpisah dengan kekasih saya dulu...” aku Izara perlahan.

“Dan bila saya balik ke kampung sebelum abang kemalangan tu, saya rasa kehidupan saya kosong sangat. Tak tahu nak mengadu pada siapa. Saya sendiri tak faham dengan hati saya. Takkan saya boleh ada perasaan pada orang yang sangat bencikan saya?”

“Pelik kan? Zara ada perasaan pada abang sedangkan abang tak pernah layan Zara dengan baik. Dan abang pula? Abang boleh jatuh cinta pada orang yang kononnya abang benci sangat tu...” Amzar ketawa kecil. “Tapi sememangnya hati kita ni milik Allah... Allah yang tentukan perasaan apa yang lahir kat hati kita ni... Dari benci boleh jadi sayang... terlampau sayang!” Lunak suara Amzar. Terkesan dengan mainan takdir buat mereka berdua.

“Entahlah... kalau nak fikirkan, tak logik saya boleh jatuh cinta pada abang, sedangkan saya tahu abang bencikan saya. Tapi saya sedar yang abang bencikan saya bersebab. Sebab saya, abang terpaksa berpisah dengan Kak Tina. Mungkin juga sebab status isteri yang saya pegang tu. Sebab bagi seorang perempuan, gelaran isteri tu bermaksud dia adalah hak mutlak suaminya. Mungkin sebab saya rasa yang saya ni milik abang buat hati saya ni mampu rasa perasaan sayang tu... Saya pun tak tahu macam mana nak jelaskan...”

“Zara memang milik abang...” bisik Amzar penuh romantik. “Selamanya milik abang...”

Izara terdiam. Terkesan dia dengan deklarasi yang dibuat dengan suara yang cukup dalam.

“Abang pun sebenarnya hairan kenapa dada abang sentiasa berdebar tiap kali Zara dekat dengan abang. Tiap kali Zara peluk abang untuk bantu abang naik ke kerusi roda, abang macam tak keruan...” luah Amzar. “Tak payah ceritalah pasal apa yang abang rasa setiap kali Zara mandikan abang. Mungkin sejak tu lagi hati abang dah bersuara...”

Izara tersenyum manis. Amzar terpanar.

“Jomlah kita masuk. Dah lewat dah ni...”

Amzar memimpin tangan Izara masuk ke dalam bilik. Langsung saja Izara mengambil tempat di sofa. Sudah terlalu biasa dia di situ sehingga dia tidak perasan perubahan di wajah suaminya. ‘Eh! Mana bantal dan selimut aku?’

“Zara...” seru Amzar lembut. “Cari apa?”

Errr... bantal dengan selimut saya. Mungkin bibik simpan kat dalam almari kut.” Izara bangun lalu ke barisan almari di tepi bilik. Takde pulak!

“Zara...”

Izara berpaling.

“Bantal dengan selimut Zara ada kat situ.” Amzar berisyarat melalui kerlingan matanya, menunjuk ke arah katil.

Gulp! Izara faham kini. Pantas wajahnya kehilangan darah. Malu!

Amzar menghulurkan tangan. Mata turut menggamit agar Izara mendekatinya. Kaki Izara bagai digam ke lantai. Tidak bisa bergerak.

“Zara nak abang ambikkan kerusi roda ke? Macam yang selalu Zara buat untuk abang?” usik Amzar. Usikan yang pertama sejak mereka bergelar suami isteri. Senyuman di bibirnya nampak nakal.

Izara tunduk sebelum memaksa kaki untuk melangkah ke hadapan. Tangan dilabuhkan di atas telapak tangan suaminya. Tidak tahu bagaimana mahu menangani gugup yang menguasai segenap jiwanya.

Dagu Izara ditongkat perlahan. “Zara, abang tahu Zara belum bersedia. Zara ada kat sini dengan abang pun, abang dah bahagia sangat. Kita tidur, ya?”

Izara ditimpa rasa bersalah. “Saya... saya...”

It’s okay... Abang faham... Zara jangan risau...”

“Arwah mak selalu berpesan, jangan lari daripada tanggungjawab...” Tergagap-gagap Izara bersuara. “Dan saya... saya anak yang selalu dengar cakap mak...”

Amzar mengukirkan senyuman yang paling tampan buat tatapan isterinya. Senyuman yang menyampaikan betapa dia menghargai pengakuan daripada Izara yang sudah tentu begitu sukar untuk dilafazkan. Amzar bangga akan keberanian Izara walaupun dia sedar keadaan sebenar isterinya itu. Pipi Izara dielus lembut dengan jari telunjuknya.

“Dah lama abang tak jalankan tanggungjawab abang pada Zara. Tak terhitung dosa abang pada Zara...”

Izara menggelengkan kepala. Tak suka Amzar mengungkit tentang kisah semalam lagi.

Tubuh Izara ditarik lembut ke dalam pelukan. Dagunya dilabuhkan ke atas kepala isterinya. “Abang nak minta sesuatu daripada Zara...”

“Apa, bang?” soal Izara dari dada Amzar.

“Lepas ni, abang tak nak kita sebut lagi pasal Tina atau kekasih lama Zara tu. Mulai saat ni, dalam hidup kita hanya ada nama Adam Amzar dan Nur Izara Raisya... Boleh?”

Kepala Izara di dada Amzar bergerak ke atas dan ke bawah. Bergesel dengan dagu Amzar. Amzar tersenyum bahagia.

“Terima kasih, Zara...”

Amzar mengucap syukur sebelum membaca sepotong doa. Tangan mengusap belakang tubuh Izara dalam rentak yang perlahan. Tiada langsung aura terburu-buru dalam perlakuannya. Suatu kedamaian menghembus ke wajah dan ke seluruh rongga tubuhnya. Perasaan yang ingin dipupuk dan dirasakan sepanjang hayatnya. Perasaan yang tidak pernah hadir ketika dia bersama Tina atau mana-mana perempuan dulu... Kini dia sedar bahawa perasaan itu hanya bisa wujud untuk Izara... isterinya...

*********

“Kak Zara...”

Izara melangut. Cawan di tangan kembali diletakkan ke atas piring. Zaim sudah mengambil tempat di hadapannya.

“Zaim bertembung dengan abang kat luar tadi. Dia kata nak keluar. Zaim tak pernah tengok abang sehappy tadi...”

Izara tersenyum.

“Boleh Zaim tanya sesuatu?”

Izara mengangguk.

How did he do it? Maksud Zaim, macam mana Kak Zara boleh terima abang semula?”

Lama Izara terdiam. Cuba mencari kata-kata yang sesuai bagi menjawab pertanyaan adik iparnya.

“Zaim pernah tengok Abang Am menangis tak?”

Lambat-lambat Zaim menggeleng. “Seingat Zaim, tak pernah. Masa papa tak bagi abang kahwin dengan Tina dan terpaksa kahwin dengan Kak Zara pun tak...”

“Lepas dia accident dan doktor bagi tahu dia mungkin lumpuh selamanya pun dia tak menangis, kan?” Izara bersuara. “Dia marah-marah dan mengamuk kat hospital, tapi dia tak pernah menangis...”

“Betul tu!” sokong Zaim.

“Bila Tina tinggalkan dia kat hospital pun tak...” sambung Izara lagi. “Tapi... dia menangis bila dia doa pada Allah untuk kebahagiaan akak dan dia menangis bila dia ingat dia terpaksa lepaskan akak...” Bergetar suara Izara memikirkan malam itu. Malam yang merubah segala pendirian hatinya.

Zaim mengangguk lalu tersenyum. Faham sepenuhnya kini maksud kata-kata Izara. Tidak perlu dirungkaikan.

Pada saat Amzar terpaksa berkahwin dengan Izara dan dipaksa melepaskan cinta hatinya, Amzar tidak menangis. Pada saat dia diuji dengan dugaan yang begitu hebat sehingga terpaksa berkampung di atas katil berbulan-bulan lamanya, sedikit pun dia tidak mengalirkan air mata. Namun tika kesedaran serta keinsafan berhembus ke sanubarinya, begitu mudah lelaki itu menangis. Air mata itulah yang membuktikan keluhuran niat Amzar untuk menjadi yang lebih baik... yang lebih bertanggungjawab... dan lebih ikhlas menerima takdir kehidupannya...

Dan air mata lelaki itulah yang memberikan keyakinan kepada Izara untuk tidak melepaskan cintanya... Cinta kepada yang berhak. Walaupun segala-galanya hampir musnah, namun takdir Allah, tiada siapa yang dapat menduga. Bercintalah kita dengan sesiapa pun jua. Namun jika tiada jodoh, maka tiada sesiapa pun bisa memaksa tersimpulnya ikatan perkahwinan itu. Itulah yang dinamakan jodoh... dan itulah yang dinamakan takdir...